loading...

Friday, July 8, 2011

Tiada lampu isyarat

SIMPANG LIMA – Keadaan lalu lintas di jalan besar Butterworth-Taiping dari Sungai Rawa Simpang Lima ke Pekan Bagan Serai mampu mengundang bahaya sekiranya tiada kemudahan lampu isyarat disediakan.


Seorang penduduk, Jamaluddin Hassan, 49, berkata, laluan yang menghubungkan pengguna ke kawasan estet Tali Air kerap digunakan kenderaan berat menyebabkan risiko bahaya bagi kenderaan lain melintas.

Menurutnya, meskipun sudah hampir setahun jalan berkenaan siap dibina, kemudahan lampu isyarat masih belum disediakan.

“Jalan ini sepatutnya mempunyai lampu isyarat kerana berada di tengah-tengah bahagian laluan utama antara pekan Simpang Lima menghala ke Bagan Serai.

“Sudah ada beberapa siri kemalangan berlaku, semuanya gara-gara tiada isyarat berhenti menyebabkan kenderaan yang datang dari arah bertentangan sering tergesa-gesa membelok,” katanya kepada Sinar harian.

Keadaan laluan itu, sebelum ini menyebabkan seorang penunggang parah di bahagian lutut apabila motosikalnya dirempuh kereta yang membelok ke arah persimpangan estet dalam keadaan tergesa-gesa.

Jalan itu juga, dikatakan menjadi laluan pelajar sekolah.

Katanya, kemalangan itu berlaku disebabkan ketiadaan isyarat berhenti.

“Kita tidak mahu lebih banyak kemalangan maut di kawasan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, kita harap pihak berkuasa segera meletakkan lampu isyarat,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story9271789.asp

Jalan Kampung Tanjung Kertau perlu dibaiki


KERTAU - Penduduk dan pengguna meminta supaya pihak berkenaan mengambil tindakan segera membaiki jalan raya di Kampung Tanjung Kertau di sini yang rosak teruk akibat tebing runtuh sejak Februari lalu.

Seorang pengguna, Abdul Razak Ahmad Sulaiman, 35, berkata, kerosakan itu dibiarkan berlarutan untuk tempoh lama sehingga menyukarkan pengguna.

Menurutnya, tebing berdekatan Sungai Pahang itu dipercayai runtuh akibat hujan lebat mengakibatkan hampir keseluruhan bahagian jalan mengalami rosak teruk.

“Jalan raya ini baru siap diturap namun akibat tebing runtuh, strukturnya rosak sehingga memaksa pengguna menggunakan laluan bersebelahan.

“Namun, ia mengundang risiko bahaya memandangkan masih terdapat tanda rekahan tanah dan bila-bila masa boleh berlaku mendapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk, Shahidan Sukor, 29, berkata, sekiranya masalah peruntukan menjadi kekangan kepada pihak berkenaan untuk mengatasi kesulitan itu, satu laluan alternatif berturap perlu dibina.

Menurutnya, laluan yang disediakan sekarang berada di atas tanah merah dengan permukaan tidak rata.

“Kerosakan ini sudah lama, maka tidak perlu tunggu lebih lama lagi kerana penduduk menggunakan laluan itu setiap hari,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story9271441.asp

Pelajar Vokasional Telok Air Tawar digilis Lori


JUNJUNG - Keseronokan dua pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Vokasional Telok Air Tawar di Butterworth yang dalam perjalanan ke Taman Rekreasi Air Terjun Junjung bertukar menjadi tragedi apabila terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Junjung kira-kira 400 meter dari Kem Pasukan Gerakan Am, tengah hari semalam.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mereka menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan ketika tiba di selekoh, penunggangnya gagal mengawal motosikal lalu masuk ke arah bertentangan sebelum merempuh bahagian belakang tayar sebuah lori treler.

Kedua-duanya terseret dan terhumban ke belakang lori sebelum dirempuh sebuah lori lain dari arah belakang.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian badan dan patah kaki kanan manakala pemboncengnya maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa yang cedera parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) manakala rakannya dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenali Muhamad Zaidi Mohd Zabel, 17, dari Taman Seri Serdang, Kepala Batas.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan untuk berkelah di Air Terjun Junjung kerana sekolah di Pulau Pinang ditutup untuk cuti am.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa datang dari arah Kulim menuju ke Junjung manakala dua lori pula dari arah bertentangan.

“Motosikal mereka terbabas dan masuk ke arah bertentangan. Mangsa yang merupakan pembonceng maut apabila kepalanya digilis oleh tayar belakang lori manakala penunggangnya cedera parah. Sehingga kini, polis masih menyiasat punca kemalangan itu,” katanya.

Sumber: SH

Akibat Kerosakan Lampu Isyarat

PORT DICKSON – Kerosakan lampu isyarat di simpang empat Telok Kemang menghala ke lebuh raya Seremban didakwa menjadi punca berlakunya satu kemalangan membabitkan dua kenderaan jam 3.40 petang, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, lampu isyarat itu rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik sejak dua minggu lalu.

Dalam kejadian, Nur Zuhairah Rosmani, 22, yang memandu kereta jenis Honda Swift terselamat, manakala empat lagi rakannya Nur Fadilah Aishah Murad,22, Fatin Nadia Suhaimi, 22, Laila Farhana Abdul Latif, 20, dan Mardiah Shafie, 24, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Seremban untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu kereta jenis Proton Saga, Hassan Ibrahim, 61, yang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampin selepas selesai membuat :urusan kerja di Port Dickson, hanya mengalami cedera ringan.

Nur Zuhairah berkata, dia bersama empat rakannya dalam perjalanan pulang dari Telok Kemang menghala ke lebuh raya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia dapati lampu isyarat masih hijau, namun ketika berada di tengah-tengah simpang berkenaan tiba-tiba sebuah kenderaan keluar dari simpang kiri menyebabkannya tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan.

“Kemudian saya pengsan dan hanya sedarkan diri ketika tiba di Hospital Port Dickson (HPD),” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HPD.

Isteri kepada mangsa pemandu kereta Proton Saga, Norsham Bachik, 58, berkata, selepas kejadian itu, suaminya menghubungi anaknya dan memaklumkan tentang insiden itu.

Menurutnya, mereka segera ke lokasi kejadian dan mendapati keadaan kereta sangat teruk.

“Mujurlah dia tiada apa-apa tetapi rawatan lanjut tetap diberikan untuk memastikan tiada kecederaan dalaman.

“Suami saya memberitahu, lampu isyarat menunjukkan hijau dan dia meneruskan perjalanan menghala ke Sua Betong,” katanya yang juga bekerja di Hospital Tampin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi, semalam mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Sumber: SH

3 Maut 1 Parah di Gemencheh

 Al-Fatihah


TAMPIN – Tiga maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan ngeri di dua lokasi kemalangan berbeza di Gemencheh, dekat sini, tidak sampai 30 minit daripada kejadian kemalangan pertama, malam kelmarin.

Kemalangan pertama membabitkan Bilal Masjid Assyakirrin, Harun Sahor, 73, jam 9 malam di Kilometer 25, Jalan Gemas-Tampin yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Gemencheh selepas selesai menunaikan solat Isyak berjemaah.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Wish.

“Mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.



“Kejadian kedua pula berlaku kira-kira jam 9.15 malam di persimpangan Pekan Gemencheh menghala ke Felda Bukit Rokan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian motosikal ditunggangi seorang remaja, Muhamad Hanis Mohd Ali, 18, dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya di Kampong Air Rawa ke rumahnya di Kampung Seri Asahan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal lain yang ditunggangi dan dibonceng lelaki Indonesia yang cuba membelok ke sebelah kanan menuju ke Felda Bukit Rokan.

“Muhamad Hanis parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Sudirman disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tampin,” katanya.

Difahamkan, rakan Sudirman yang parah di kepala dan muka, dikenali sebagai Abdul Sukur, 32, dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, anak angkat Allahyarham Harun, Izdihar Suhin, 27, berkata, arwah ingin melihatnya berkahwin kerana dia sahaja masih bujang daripada empat adik-beradik angkat yang lain.

“Memang sudah lama arwah ayah menggesa saya berkahwin dan ingin melihat lelaki pilihan saya, namun saya menolak dengan baik kerana menunggu hari lahir saya pada 12 September ini.

"Walaupun saya hanya anak angkat tetapi saya amat rapat dengan arwah ayah kerana telah diasuh dan dijaga sejak berusia 40 hari lagi,” katanya.

Bapa Muhamad Hanif, Mohd Ali Ismail, 52, pula berkata, anak keempat daripada lima adik-beradik itu sudah tiga tahun mengidap kanser tulang dan menjalani beberapa siri rawatan termasuk kimoterapi.

“Sepatutnya hari ini (semalam) saya menemaninya ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan selepas kimoterapi. Tidak sangka dia pergi begitu cepat” katanya.

Jenazah Allahyarham Harun dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gemencheh, sementara Allahyarham Muhamad Hanis dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Asahan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9270915.asp

Motosikal Meletop 4 Remaja Maut


Al-fatihah

PASIR MAS 7 Julai - Empat remaja yang dipercayai sedang berlumba haram, maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Kampung Banggol Chicha di sini, petang semalam. 



Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mereka yang terbunuh ialah Mohd. Fikri Mat, 19, dari Kampung Banggol Setol; Mohd. Amirul Afiq Baharom, 17, dari Kampung Pak Amin; Raja Ahmad Muzzammil Raja Mansor, 18, dan Abdul Muhaimin Makhtar, 21, kedua-duanya dari Kampung Kubang Panjang.


 Kesemua remaja itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang oleh Mohd. Fikri meletup dan bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha 125z datang dari arah bertentangan.

"Letupan itu juga menyebabkan dua lagi penunggang yang datang dari kedua-dua arah tidak sempat mengelak dan bertembung sesama sendiri. Dipercayai kumpulan remaja ini sedang berlumba di jalan raya yang baru siap diturap sejauh kira-kira satu kilometer.

"Dua daripada penunggang ini tidak memakai topi keledar manakala Abdul Muhaimin seorang sahaja yang memiliki lesen memandu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, malam tadi.

Haliludin berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu.

Katanya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dituntut oleh keluarga untuk pengkebumian.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Khairulzaman Alias, 15, memberitahu, sebelum kemalangan itu terdapat dua perlumbaan yang dijalankan secara serentak dari arah bertentangan. 

Dakwanya, dia hanya mengenali Mohd. Fikri kerana mangsa tinggal berhampiran rumah neneknya di Kampung Banggol Setol dekat sini.

"Kebiasaannya mereka berlumba secara bergilir-gilir, tetapi semalam mereka berlumba serentak. Dua motosikal jenis Honda EX5, termasuk yang ditunggang oleh Mohd. Fikri dari arah Kampung Banggol Cihcha manakala dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z dari arah bertentangan.



"Ketika sedang berlumba, motosikal Mohd. Fikri tiba-tiba meletup dan bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan. Letupan itu mengejutkan dua lagi pelumba lain menyebabkan mereka gagal mengawal motosikal dan bertembung sesama sendiri," dakwanya.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story9270411.asp
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0708&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
http://www.hmetro.com.my/articles/Padahberlumba/Article

Wednesday, July 6, 2011

Pusher Dadah Kemalangan


PASIR PINJI – Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah melanggar dua buah kereta di Taman Bunga Raya, di sini malam kelmarin dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis.

Tindakan lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun gagal apabila kereta Naza Citra yang dipandunya berlanggar dengan dua buah kereta Proton Wira dan teksi sebelum terbabas di kaki lima jalan.

Bukan setakat kereta, malahan seekor anjing yang berkeliaran di kawasan itu juga mati dilanggar suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Azisman Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kenderaan suspek dikatakan berlegar-legar di kawasan taman sebelum berjaya ditahan polis.

“Sewaktu pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan milik suspek, anggota kami menemui dua paket plastik dipercayai dadah jenis heroin dan morfin.

“Selain itu, kami difahamkan kereta yang dipandu suspek adalah kenderaan curi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azisman berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) sehingga 11 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber: SH

Tuesday, July 5, 2011

Lori Tangki Petronas Terbakar


TAIPING – Sebuah lori tangki Petronas terbakar di Kilometer 202.4 dari Bukit Merah menghala ke selatan setelah tergelincir ke bahu jalan kira-kira 11.15 pagi, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, sebanyak empat jentera bersama 25 anggota iaitu dari balai bomba Taiping, Kamunting dan Parit Buntar bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, lori itu dipercayai tergelincir dan melanggar bahagian pembahagi jalan sebelum terbabas.

“Ketika kami tiba di lokasi kebakaran, lori itu sudah terbakar hampir 80 peratus dan api berjaya dikawal sejam selepas itu,” katanya

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku sejauh lapan kilometer.

Katanya, pemandu lori dipercayai menghilangkan diri kerana pihaknya hanya menemui sehelai baju rasmi pada besi pembahagi jalan.

Sumber: Sinar Harian

Kepala Terputus

Al-Fatihah....



PELABUHAN KLANG – “Pakcik sering nasihatkan arwah mencari pekerjaan lain yang lebih menjamin masa depan demi kebaikan dan keselamatannya.

Pakcik kesal apabila dia meninggal dalam keadaan ngeri,” demikian luah Wan Ahmad Wan Bakar, 60, bapa kepada mangsa, Wan Shakir, 28, yang maut selepas kepalanya terputus akibat tersepit antara kontena dan kepala lori di kawasan sebuah kilang minyak masak, di Jalan Sungai Keladi, di sini, petang semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai Kerani Operasi dikatakan dalam perjalanan menuju ke kontena untuk urusan pemeriksaan kontena dan sebelum sempat melaksanakan tugasan itu, mangsa terlebih dahulu dilanggar kepala lori yang sedang berundur.

Pemandu lori tersebut dikatakan tidak perasan dengan kehadiran mangsa sebelum terus mengundurkan kepala lori bagi disambungkan dengan pengunci kontena.

Sebaik kepala lori hampir bercantum dengan pengunci kontena, mangsa berada di tengah-tengah tersepit sebelum lehernya terkena bucu tajam. Berikutan itu, leher mangsa terus bercerai daripada badannya beberapa meter antara satu sama lain di bawah kontena dan kepala lori tersebut.

Wan Ahmad berkata, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian yang meragut nyawa anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Walau apa pun, kami harus menerima pemergian arwah kerana takdir telah tentukan yang dia terpaksa menghadap Ilahi pada usia yang masih muda.

“Arwah disifatkan anak yang baik dan rajin bekerja sepanjang berkhidmat di kilang tersebut sejak empat tahun lalu,” katanya yang tinggal di Lorong Azmi, Teluk Gadung Besar, Klang kepada Sinar Harian di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat bagi urusan bedah siasat.

“Setakat ini kita sudah memanggil saksi dan pemandu kepala lori itu bagi siasatan lanjut berkenaan kejadian ngeri ini.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua pekerja di kawasan kontena agar berhati-hati kerana pelbagai kejadian yang tidak diduga seperti ini boleh berulang jika keselamatan diabaikan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Sunday, July 3, 2011

Wanita sarat mengandung anak kembar maut


KUCHING: Debaran menantikan kelahiran anak kembar bertukar tragedi apabila wanita yang sarat mengandung itu maut apabila ambulans yang membawanya terbabas ketika cuba mengelak anjing dan melanggar pokok, semalam.

Kejadian jam 1.50 pagi di Batu 9, Penrissen itu mengakibatkan mangsa, Mura anak Rungor dari Kemantin, Sri Aman meninggal dunia di tempat kejadian.
Mura, 33 yang dibawa dari Hospital Sri Aman untuk di rujuk ke Hospital Umum Sarawak mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

Kejadian itu menyebabkan bayi kembar dalam kandungan wanita berkenaan tidak dapat diselamatkan.

Pemandu ambulans terbabit, Sapuan Ain, 37 dilaporkan kritikal akibat tulang rusuknya patah dan terkena organ dalaman.

Selain itu, jururawat yang mengiringi mangsa, Sunny anak Ngadei, 40 pula cedera di bahu dan patah kaki kanan, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang berkata, sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 2 pagi, anggotanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan pemandu ambulans yang tersepit di tempat duduk.

“Laluan berkenaan tidak berbahaya, malah ketika kejadian, jalan itu lenggang tetapi anjing liar yang berkeliaran di situ menyebabkan pemandu ambulans gagal mengelak lalu terbabas,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat, manakala Sapuan dan Sunny, turut mendapat rawatan di hospital sama.
Wanita sarat mengandung anak kembar maut

Sumber: bharian.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount