Friday, April 5, 2013

Malang tak berbau



6 April 2013
KOTA BHARU - Malang tidak berbau apabila seorang gadis mengalami kecederaan teruk setelah motosikal yang ditungganginya terjatuh ke dalam longkang akibat dilanggar kereta Kancil, kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Melor-Pasir Puteh, semalam.

Gadis berkenaan, Amira Abdul Manaf, 25 mengalami cedera parah apabila patah pada bahagian lengan, paha, punggung setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar dari arah belakang dan terjatuh ke dalam longkang yang agak dalam.

Ibu saudaranya, Sharifah Wangi, 47 yang juga peniaga nasi berkata, dia dimaklumkan kenalan, anak saudaranya terlibat dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Melor, di sini.

“Saya kemudian dibawa orang yang dikenali ke tempat kejadian dan terkejut melihat keadaan Amira yang mengadu kesakitan, mujurlah dia tidak terjatuh sama ke dalam longkang tersebut.

“Amira memberitahu saya, dia langsung tidak menjangkakan dia dilanggar kerana kereta tersebut berselisih menyebabkan motosikalnya terbabas ke dalam longkang di kiri bahu jalan Pasir Puteh-Kota Bharu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sharifah berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika Amira berhasrat pulang ke rumah setelah menghantar kakaknya di Stesen Bas Melor dan semasa dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Tempoyak, Melor, di sini, dia terlibat dalam kemalangan.

"Amira mengalami kecederaan dan pendarahan teruk pada bahagian badan. Kini dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta Kancil, Abu Bakar Mohidu, 54 berasal dari Pasir Puteh berkata, dia tidak dapat mengawal kereta yang dipandunya apabila terjatuh ke dalam jalan berturap yang pecah dan berlopak akibat sistem paip pecah.

“Saya mengelak daripada jalan pecah dan berlopak air, lalu hilang kawalan dan kereta itu akhirnya melanggar motosikal dan benteng pada longkang berdekatan,” katanya.

Selain keretanya mengalami kerosakan teruk, dia juga mengalami kecederaan, manakala telefon bimbitnya pula pecah semasa kejadian kemalangan itu.

Penduduk menyaksikan kemalangan tersebut menggesa pihak berkenaan segera membuat penambah baikan terhadap jalan rosak dan paip pecah bagi mengelak kejadian berulang yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/gadis-cedera-parah-dilanggar-1.147034


Terjunam ke dalam Sungai Klang




5 April 2013
Shah Alam: Seorang lelaki hampir maut selepas lori tangki membawa diesel dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Klang di Jalan Lama Kota Kemuning, berhampiran Kilometer 31.9 Lebuh Raya Kesas menghala ke Kota Kemuning, di sini, awal pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang untuk menghantar bahan api itu.

Setiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal lori 12 tayar itu menyebabkannya terjunam ke dalam sungai sedalam dua meter.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.40 pagi dan sepasukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, anggota penyelamat mendapati mangsa terperangkap di dalam lori berkenaan kerana kakinya tersepit di ruang pemandu lori yang remuk.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Loriterjunamdalamsungai//Article


Tak sempat ambil anak


Inalillahi wainailaihi rojiun



5 April 2013
KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang suri rumah yang mahu mengambil anaknya untuk pulang bercuti hujung minggu dari sebuah sekolah pondok tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kampung Banggol Tok Ku, Serada, petang semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Normah Ahmad, 45, yang memandu kereta jenis Proton Wira dengan ditemani dua lagi anaknya dari arah Kampung Kuala Bekah, di sini, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan mahu mengambil anaknya yang belajar di sebuah sekolah pondok di Serada.

“Bagaimanapun, semasa tiba di lokasi kejadian iaitu hanya 500 meter jarak dari sekolah pondok tersebut, kereta dipandu mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok di situ,” katanya, semalam.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah anggota dalaman, manakala dua anaknya, masing-masing berusia 6 tahun dan 8 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk rawatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Alwi Musa berkata, seramai lapan anggota daria Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu tiba di lokasi kejadian dan mengambil masa beberapa minit mengeluarkan mangsa yang ketika itu tersepit di tempat duduk.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-sempat-ambil-anak-1.146391

http://salam.hmetro.com.my/myMetro/articles/Yasinbuatustazah/2013/Article




Saya pergi dulu





5 April 2013
BUKIT CINA - Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal ditungganginya melanggar sebuah bas sekolah sebelum dia tersepit di bawah kenderaan berkenaan, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi di Bulatan Bukit Cina, di sini, apabila mangsa, Subarianto Rebani, 68, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di muka.

Bapa beranak empat yang berstatus penduduk tetap berasal dari Indonesia itu dalam perjalan ke tempat kerja di sebuah kilang di Cheng, dekat sini.

Mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Jalan Panjang berhampiran Jalan Laksamana Cheng Ho menuju kilang selepas balik semula ke rumah kerana tertinggal uniform.

Namun, sebaik tiba di lokasi, basikal ditunggangnya berlanggar tayar belakang bas yang baru menurunkan murid di sebuah sekolah behampiran sebelum terjatuh lalu terseret di bawah bas.

Isteri mangsa, Sri Indrawati, 54, ketika ditemui pemberita berkata, dia tidak menyangka kata-kata ‘saya pergi dulu’ sebelum keluar bekerja adalah petanda suaminya itu pergi buat selama-lamanya.

“Dia keluar rumah jam 7 pagi sebelum balik semula ke rumah kerana tertinggal baju kerja.

“Sebelum naik basikal dia sempat berkata ‘Saya pergi dulu ya, bu’ tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Sri berkata, suaminya yang sudah bekerja selama lapan tahun di kilang berkenaan setiap hari mengayuh basikal ke tempat kerja dan tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum ini.

Cuma, katanya, suaminya sempat berpesan kepada anak perempuan mereka, Ayu Satria Indra, 15, supaya menguruskan insurans yang dibeli sekiranya berlaku apa-apa.

"Kebelakangan ini, dia kerap mengingatkan kami sekeluarga supaya menjaga diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/saya-pergi-dulu-ya-bu-1.146474


Tuesday, April 2, 2013

Pelajar Cemerlang Kolej Universiti Tati (Tatiuc) maut


bas bertembung kereta

Inalillahi wainailaihi rojiun

2 April 2013
KIJAL – Dua remaja lelaki termasuk mahasiswa cemerlang Kolej Universiti Tati (Tatiuc), maut dalam dua nahas berasingan yang berlaku dalam tempoh 22 jam, membabitkan empat kenderaan dan sebuah bas ekspres membawa seramai 11 penumpang di Teluk Kalong, dekat sini.

Kereta Viva remuk tepi


Dalam kejadian di simpang tiga ke Taman Seri Kalongan, Teluk Kalong, kira-kira jam 7 petang, Sabtu lalu, penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pembuatan, Muhammad Fadzlan Ramli, 23, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta jenis Perodua Viva.

Nahas berlaku kira-kira 400 meter dari pintu pagar utama kampus induk Tatiuc dan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) Tatiuc menuju ke arah Kuala Terengganu.

Mangsa yang juga anak sulung daripada enam beradik sebelum itu menyiapkan projek acuan plastik bagi projek subjek ‘workshop’ di ITC.

Yamaha RXZ remuk


Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa dipercayai dirempuh Perodua Viva yang dinaiki empat pemuda dari arah bertentangan yang ingin masuk ke simpang kawasan taman.

Lebih menyedihkan, mangsa tidak sempat menggenggam segulung ijazah kerana pengajiannya hanya berbaki dua minggu sahaja sebelum tamat pengajian.


Arwah mahu bawa balik motosikal

DALAM pada itu, bapa mangsa, Ramli Abdullah, 51, tidak menyangka hasrat arwah anaknya untuk membawa pulang motosikal ke rumah mereka di Paka, Dungun bertukar menjadi peristiwa duka.

“Arwah janji dengan saya untuk balik hantar motosikal pada waktu petang. Katanya, dia kurang selesa bawa motosikal, lagipun sementara tunggu tamat belajar, dia mahu tumpang kereta rakannya ke kuliah.

“Tapi kira-kira jam 7.30 petang semasa saya sedang menunggu arwah tiba di rumah, ada orang hubungi saya dan beritahu tragedi menimpanya,” kata Ramli ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada 24 Mac lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Biasanya setiap Jumaat dan Sabtu arwah akan pulang ke rumah tetapi minggu ini dia tidak pulang kerana siapkan projeknya,” katanya.

Pada semester pengajian lalu Muhammad Fadzlan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan merupakan salah seorang penuntut yang disasarkan mendapat Anugerah Dekan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman dan jenazah kemudiannya dikebumikan din Tanah Perkuburan Limbong, Dungun kira-kira jam 2 pagi.


Kenderaan terbabas di laluan bertentangan

SEMENTARA itu, dalam nahas berasingan di Kilometer 140.5, Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Mohd Sakhrullah Kamaludin, 19, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Kemaman pada jam 9.59 malam, selepas pacuan empat jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya merempuh sebuah bas ekspres di laluan bertentangan.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa yang beralamat di Rumah Murah Kemasik, dipercayai mengantuk menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terperosok di hadapan bas terbabit yang dinaiki 11 penumpang.

Pemandu bas, Asrul Ezuan Abd Malik, 30, berkata, dalam jarak kira-kira lima meter dia melihat pacuan empat roda itu masuk ke laluannya menyebabkan dia hanya sempat mengelak sedikit.
“Waktu lihat pacuan empat roda itu melencong masuk ke laluan kami, saya dan penumpang hanya mampu jerit ‘Allahu Akbar’ kerana terlalu terkejut.

“Dalam jarak yang sangat dekat ini, saya hanya mampu mengelak sedikit dan menekan brek kerana bimbang bas masuk cerun," katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk dirinya.

Bas ekspres berkenaan berlepas dari Kuantan kira-kira jam 2.15 dan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman selain patah tangan dan kaki.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-sempat-genggam-ijazah-1.145250


Monday, April 1, 2013

OKU rentung dalam kemalangan




1 April 2013
Sarikei: Dua petani termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU) rentung, apabila kereta yang dinaiki dalam perjalanan membeli baja terbakar sejurus bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sarikei-Saratok, dekat Sungai Paoh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Ramli Panjai, 42 dan Duie Bujang, 50, dari Pusak, maut apabila kereta Proton Saga BLM yang dipandu Duie dipercayai gagal memotong sebelum bertembung dengan sebuah lori dan terbakar.

Ketika kejadian dalam keadaan hujan itu, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka, Jon Samat, 40, dikatakan dalam perjalanan ke bandar Sarikei.

Bagaimanapun, Jon dilaporkan terselamat dan kini dirawat di Hospital Sarikei.

Rakan mangsa, Ahmat Mustapa, 63, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu Ramli terbunuh dalam kemalangan itu hanya beberapa jam selepas mereka bertemu sebaik selesai bersarapan pagi di sebuah kedai makan sebelum tiga rakan itu bertolak ke Sarikei.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Rentungketikamahubelibaja//Article


2 jam tahan kesakitan




1 April 2013
KUALA KETIL - Seorang pemandu lori terpaksa menahan sakit selama dua jam akibat tersepit dalam kejadian kemalangan di kilometer 7 Jalan Malau- Batu 7 kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

Mangsa, Mazlan Abas, 53, dari Kampung Charuk Gorok, Mukim Pulai berhadapan situasi itu setelah lori yang dipandunya masuk ke dalam gaung sedalam hampir tiga meter.

Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa dalam kejadian itu.

Keadaan sekeliling yang dipenuhi semak selain permukaan tanah yang tidak rata turut memberikan kesan kepada operasi menyelamat itu.

Bagaimanapun, ayah kepada lima anak itu berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan.

Mazlan berkata, kejadian berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Keadaan itu mengakibatkan lori muatan getah sekerap itu terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung tersebut.

Menurutnya, dia hanya mampu beristighfar dan mengucap panjang setelah lori yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung itu.

“Saya hanya berserah kepada tuhan. Kemudian, saya sedar saya telah berada di bawah gaung. Saya cuba keluar. Tapi, kaki dan tangan saya tersepit,” katanya.

Katanya, dia menjerit meminta pertolongan, tetapi tiada siapa yang tampil berikutan tiada siapa yang melihat kejadian itu.

“Tambahan pula, kawasan ini jauh dari kawasan kampung dan jalan raya. Pengguna jalan tidak akan dapat lihat sekiranya mereka tidak berhenti dan melihat dalam gaung ini.

“Selama dua jam saya mengerang kesakitan dalam lori itu. Selepas itu, barulah  saya dengar bunyi riuh-rendah orang ramai.

Difahamkan, kejadian itu disedari setelah terdapat seorang penduduk yang melalui kawasan itu setelah terbau getah sekerap yang bertaburan.

Mazlan yang dalam keadaan lemah itu telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian berkenaan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-jam-mengerang-sakit-terbabas-masuk-gaung-1.144880


Terkorban dalam kemalangan tiga kenderaan





Inalillahi wainailaihi rojiun

1 April 2013

BESUT - Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Simpang Empat Tanjung Demong, Jalan Pengkalan Nyireh – Bukit Keluang, di sini kelmarin.

Pemandu kereta Proton Iswara, Mohd Talmini Mohamad, 30, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa yang bekerja kontrak bersama seorang rakan, Nurul Sabirah Abd Rahman, 24,  beralamat di Seberang Jertih duduk di kerusi
penumpang hadapan dalam perjalanan dari arah Kampung Limbongan ke Tanjung Demong.

Menurutnya, apabila sampai di tengah simpang, muncul sebuah kereta jenis Mercedes dari arah Pengkalan Nyireh lalu merempuh sisi kiri kereta mangsa.

“Akibat rempuhan, menyebabkan kenderaan terbabit berpusing dan kereta mangsa terbabas ke arah sebuah lori dan yang berhenti di persimpangan dari arah Tanjung Demong.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang kereta cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum mangsa yang beralamat di Kampung Lubuk Chekok, Pasir Mas, Kelantan, dituntut keluarga.

Beliau berkata, pemandu Mercedes dari Kampung Pengkalan Nyireh berusia 67 tahun dan pemandu lori ais berusia 29 tahun dari Chendering, Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan.

Pasukan bomba dan keselamatan terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/seorang-maut-dalam-kemalangan-tiga-kenderaan-1.144863


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount