loading...
Friday, April 5, 2013
Malang tak berbau
6 April 2013
KOTA BHARU - Malang tidak berbau apabila seorang gadis mengalami kecederaan teruk setelah motosikal yang ditungganginya terjatuh ke dalam longkang akibat dilanggar kereta Kancil, kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Melor-Pasir Puteh, semalam.
Gadis berkenaan, Amira Abdul Manaf, 25 mengalami cedera parah apabila patah pada bahagian lengan, paha, punggung setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar dari arah belakang dan terjatuh ke dalam longkang yang agak dalam.
Ibu saudaranya, Sharifah Wangi, 47 yang juga peniaga nasi berkata, dia dimaklumkan kenalan, anak saudaranya terlibat dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Melor, di sini.
“Saya kemudian dibawa orang yang dikenali ke tempat kejadian dan terkejut melihat keadaan Amira yang mengadu kesakitan, mujurlah dia tidak terjatuh sama ke dalam longkang tersebut.
“Amira memberitahu saya, dia langsung tidak menjangkakan dia dilanggar kerana kereta tersebut berselisih menyebabkan motosikalnya terbabas ke dalam longkang di kiri bahu jalan Pasir Puteh-Kota Bharu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sharifah berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika Amira berhasrat pulang ke rumah setelah menghantar kakaknya di Stesen Bas Melor dan semasa dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Tempoyak, Melor, di sini, dia terlibat dalam kemalangan.
"Amira mengalami kecederaan dan pendarahan teruk pada bahagian badan. Kini dia dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya.
Sementara itu, pemandu kereta Kancil, Abu Bakar Mohidu, 54 berasal dari Pasir Puteh berkata, dia tidak dapat mengawal kereta yang dipandunya apabila terjatuh ke dalam jalan berturap yang pecah dan berlopak akibat sistem paip pecah.
“Saya mengelak daripada jalan pecah dan berlopak air, lalu hilang kawalan dan kereta itu akhirnya melanggar motosikal dan benteng pada longkang berdekatan,” katanya.
Selain keretanya mengalami kerosakan teruk, dia juga mengalami kecederaan, manakala telefon bimbitnya pula pecah semasa kejadian kemalangan itu.
Penduduk menyaksikan kemalangan tersebut menggesa pihak berkenaan segera membuat penambah baikan terhadap jalan rosak dan paip pecah bagi mengelak kejadian berulang yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/gadis-cedera-parah-dilanggar-1.147034
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment