loading...

Saturday, September 1, 2012

Pelajar kolej perubatan maut

Inalillahi wainailaihi rojiun 

1 September 2012 
KUALA PILAH: Seorang pelajar kolej perubatan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dia terjatuh dan digilis sebuah kereta di Kilometer 18, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, Muaz Hasan Shaari, 21, dari Temerloh, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Seremban menuju Kuala Pilah gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke laluan bertentangan. “Bagaimanapun, sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan gagal mengelak lalu menggilis mangsa menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian. “Kami masih menyiasat lanjut punca kemalangan dan pemandu kereta terbabit sudah diambil keterangan sejurus selepas kemalangan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarjatuhmotosikalmautdigiliskereta/Article/index_html


RM36,800 Bertaburan


1 September 2012 
Bukit Beruntung - Tiga pengawal keselamatan cedera apabila sebuah van syarikat kawalan keselamatan yang membawa wang syiling terlibat kemalangan sebelum terbalik di Kilometer 426 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di sini, awal pagi semalam.


Kejadian jam 12.10 pagi itu berpunca daripada masalah tayar belakang van sebelah kiri yang pecah sehingga mengakibatkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik.

Salah seorang mangsa, yang duduk di belakang van berkenaan, Ibrahim Jailani, 54, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Pejabat Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di Ipoh, namun van gagal dikawal kenderaan sebaik tayar belakang sebelah kanan pecah di lorong tengah lebuh raya.

“Tayar belakang meletup dan merempuh besi penghadang di bahu jalan.

“Rempuhan mengakibatkan van berpusing-pusing dan terbalik sebelum menggelongsor merintangi jalan di lorong kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan bahagian hadapan van remuk manakala pintu belakang terbuka.

Ibrahim yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun sebagai pengawal keselamatan berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian wang syiling bernilai lebih RM30,000 tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan.

Katanya, kejadian tersebut turut menyebabkan sebuah treler yang mengekori di belakang turut terbabas kira-kira satu kilometer dari van terbabit ketika cuba mengelak daripada terlanggar van mereka.

"Treler terbabit telah merempuh besi pembahagi lebuh raya dan berpusing ke arah bertentangan," katanya.


Selamat diri ikut pintu kecemasan van

Sementara itu, menurut Ibrahim, sebaik kemalangan berlaku, dia berusaha membantu dua lagi rakannya yang cedera untuk keluar dari van yang terbalik.

Dia berjaya membuka lubang kecemasan di bahagian bumbung van untuk keluar.

Bagaimanapun, ketika mereka cuba keluar menyelamatkan diri, pengguna jalan raya yang melalui kawasan kejadian tanpa rasa bersalah mengambil wang syiling yang bertaburan.

“Dalam tempoh lima minit saja orang yang melalui kawasan ini mengambil kesempatan berebut mengutip duit syiling yang bertaburan di jalan.

“Saya tak boleh buat apa-apa,” katanya yang akan bersara tahun depan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira lima kilometer dan mengambil masa lebih dua jam sebelum kembali terkawal.


Wang milik Plus, pasar raya

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, van terbabit membawa muatan wang syiling lama kepunyaan sebuah pasar raya dan Plus.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pemandu van berkenaan, Khairul Zani, 38, mereka dalam perjalanan ke Ipoh, Perak sebelum tayar belakang sebelah kiri pancit.

“Kenderaan telah hilang kawalan lalu terbalik. Dalam van ada pemandu dan dua orang pengiring. Pemandunya dirawat di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar.

“Jumlah wang dibawa lebih kurang RM36,800,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/syiling-rm36-800-bertaburan-1.80643


Potongan maut


Inalillahi wainailaihi rojiun 

1 September 2012 
ULU BENDUL – Seorang pembantu perubatan dari Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Perak maut selepas terlibat dalam kemalangan dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tenghari di kilometer 18 Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Muaz Hassan Shaari, 21, menunggang motosikal jenis Legenda berwarna merah sendirian dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan dari arah Seremban ke Kuala Pilah.

”Bagaimanapun tiba di lokasi, mangsa tidak berjaya memotong sebuah kenderaan di hadapannya lalu hilang kawalan menyebabkan mangsa terbabas dan tercampak ke bahu kanan jalan.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan jenis proton wira berwarna biru dari arah Kuala Pilah ke Seremban tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat dari kenderaan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kerana tidak dapat mengelak, mangsa yang berasal dari kampung Kuala Krau, Temerloh dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

“Kereta tersebut terbabas ke kiri jalan dan melanggar kon yang diletakkan di atas jalan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu katanya, pemandu kereta jenis Proton Wira, Adi Rosilawati Shafuddin, 26, yang tinggal di Ulu Bendul tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk dituntut ahli keluarganya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kemalangan-tak-sempat-memotong-kereta-1.80827


Maut terjunam


Inalillahi wainailaihi rojiun  

1 September 2012 
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke kawasan bangunan Capital Mall dalam kejadian kemalangan yang berlaku kira-kira empat jam selepas detik merdeka ke-55.

Mangsa, Muhd Nur Azizul Abd Jalil, 28 yang memandu kereta  Proton Wira Aeroback dikatakan memandu dari arah lampu isyarat Capital Mall menghala ke Jalan Lim Hoe Lek dekat Sekilau.

Pegawai Penguat kuasa Trafik/Tadbir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa terlanggar dua batang pokok jenis palma di bahagian kiri jalan sebelum menjunam ke bahagian bawah jalan bersebelahan bangunan Capital Mall.

“Mangsa terbabas sendiri manakala keretanya remuk di bahagian tempat duduk pemandu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat  dan polis juga masih meneruskan siasatan berkaitan kes itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

Sementara itu, seorang lelaki yang mendakwa rakan mangsa berkata, dia dan beberapa rakan lain sepatutnya bertemu di satu lokasi di Indera Mahkota bagi meraikan hari lahir seorang lagi rakan mereka.

“Kami sudah berjanji untuk bertemu di Indera Mahkota bagi meraikan hari lahir rakan tetapi tidak sempat. Dia pun sudah tiada lagi,” katanya.

Lelaki berkenaan bagaimanapun berkata, dia dan semua rakannya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/gagal-kawal-kenderaan-maut-kereta-terjunam-1.80675


Thursday, August 30, 2012

Koma rempuh kerbau


30 Ogos 2012
 ALOR GAJAH - "Apabila saya berpatah balik selepas mendengar dentuman kuat, saya lihat Adi sudah rebah atas jalan raya."

Itu luahan hati Mohd Razi Azmi, 20, yang melihat kejadian Adi Sabri Zulkefli, 21, kemalangan selepas mengelak sekumpulan kerbau melintas di Jalan Sungai Ragut, Ayer Paabas, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Padang Besar, Ayer Paabas, di sini, selepas keluar makan bersama tiga rakannya, Mohd Razi, Amir Abdul Mutalib, 21, dan Mohd Azwan Abd Kadir, 21, di Simpang Ampat.

Akibat kemalangan itu, mangsa kini dilaporkan koma dan kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Razi berkata, dia yang tinggal sekampung dengan mangsa menghantar seorang rakan yang tinggal di Rumah Awam Paya Datuk sementara mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda menyusul di belakang.

“Selepas hantar rakan, saya menyusuri jalan dalam dan keluar di satu lorong hadapan disusuli sebuah kereta yang dipandu seorang rakan, Fazrul Azim Tahir, 21, sementara mangsa teruskan perjalanan mengikut jalan besar.

“Apabila menyedari kelibat motosikal mangsa masih tidak kelihatan, saya berhentikan motosikal di bawah lampu jalan dan menunggunya di satu selekoh kerana mahu bergerak pulang bersamanya," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian semasa melalui jalan terbabit, terdapat kira-kira 20 ekor kerbau melintas jalan dan dia mengelak daripada merempuh haiwan berkenaan dibantu Fazrul Azim yang membunyikan hon kereta.

“Beberapa minit kemudian selepas Fazrul Azim meneruskan perjalanan, saya sendirian menunggu mangsa dengan jarak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan objek jatuh atas jalan raya.

“Apabila saya patah balik, saya lihat mangsa sudah rebah atas jalan raya dan sekumpulan kerbau bertempiaran lari ke tepi jalan,” katanya.

Panik dengan keadaan itu katanya, dia segera menghubungi bantuan kecemasan dan tidak lama kemudian, ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Adi yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh mengambil cuti pada hari berkenaan dan merancang keluar bersama sebelum memulakan tugas semula pada pagi ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, dia keluar dengan rakannya itu seawal jam 9 malam untuk ke Tampin bersama beberapa rakan lain sebelum berhenti makan di Simpang Ampat kira-kira jam 12.30 tengah malam dan bergerak pulang kira-kira jam 1.15 pagi.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Mohd Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 1.46 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama tiga anggota lain.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami lihat mangsa terbaring atas jalan dalam keadaan  separuh sedar dan menggelupur, berlaku pendarahan di kepala dan tangan kanannya patah.

“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Alor Gajah sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami pendarahan tanpa henti di kepala,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/koma-rempuh-kerbau-melintas-1.80120


Empat cedera dalam kemalangan

30 Ogos 2012
KOTA BHARU - Sepasang suami isteri cedera manakala cucu mereka terselamat apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki terbabit dalam kemalangan, di Jalan Cabang Tiga Kedai Buluh, di sini.

Kejadian yang berlaku pada jam 6 petang itu turut mengakibatkan sepasang tunang mengalami kecederaan apabila kereta Proton Saga Iswara yang dinaiki terlibat sama dengan perlanggaran itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Wan Masriza Wan Hassan, 26, dan tunangnya, Ahmad Hisyam, 27, serta Safein Abdullah, 60, serta isterinya dan cucunya yang berumur lingkungan 5 tahun dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan selanjutnya.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat rosak teruk di bahagian hadapan akibat pertembungan yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang dan bergegas ke sana bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

“Walaupun tiada mangsa tersepit, tetapi kami turut terlibat di dalam operasi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat dan mengalihkan kenderaan serta membersihkan kawasan kemalangan mengambil masa hampir setengah jam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/empat-cedera-dalam-kemalangan-1.80079



Tuesday, August 28, 2012

Dirempuh tiga kali


Inalillahi wainailaihi rojiun 

28 Ogos 2012
ALOR GAJAH - Sebuah lori tiga tan yang merintangi lebuh raya dirempuh tiga kali, mengakibatkan dua maut dalam kemalangan Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 4.45 pagi membabitkan lima kenderaan itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor, sementara Mohammad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, seorang jurutera, maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Muhammad Farid memandu kereta jenis Perodua MyVi dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu.

Mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan yang sebelum itu telah merempuh bahagian belakang sebuah treler.

Sumber berkata, kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa terhumban ke tebing lebuh raya, sementara lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan tengah sehingga merentangi jalan.

"Pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, tersepit di tempat duduk selepas merempuh treler dan kemudian dirempuh pula oleh mangsa di bahagian belakang.

"Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Dengar jeritan pemandu lori

Menurutnya, selang 30 minit kemudian, Mohammad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal Kawasaki Versys turut merempuh lori terbabit menyebabkan mangsa tercampak ke tebing lebuh raya.

"Beberapa saat kemudian, sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza Irdawati, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1, merempuh bahagian tepi lori terbabit," katanya.

Saksi kejadian, Mohd Farhan Mohd Asri, 23, berkata, dia cuba membantu pemandu kereta Perodua MyVi tetapi gagal berikutan pintu kereta mangsa tidak dapat dibuka.

"Pada masa sama, saya mendengar jeritan pemandu lori yang meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu kerana lorinya berada di tengah jalan dan  terpaksa menunggu anggota peronda lebuh raya tiba.

"Sementara itu, saya lihat empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Saga berjaya menyelamatkan diri ke tepi lebuh raya," katanya yang mengakui panik dengan kejadian itu dan pantas menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba Alor Gajah tiba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Operasi JPAM, Mohd Rizuan Rahmat berkata, tiga anggotanya bersama sepasukan anggota Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kedudukan mangsa yang tersepit rapat di bahagian tempat duduk penumpang menyukarkan operasi. Kami berjaya mengeluarkannya selepas 30 minit," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian tersebut.

"Pemandu lori mengalami kecederaan parah di kaki akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, sementara empat sekeluarga  menaiki kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.




Isteri pantang anak pertama

Isteri Allahyarham Muhammad Farid, Nurul Ain Suhari, 20-an, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mikhail Zain Muhammad Farid, berusia 20 hari reda dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Mohammad Fakhrulrazi, Ily Zafirah Shahrinan, 27, berkata, dia tidak menyangka permintaan agar kedua ibu bapanya tingal di rumahnya lebih lama adalah petanda dia mahu meluangkan masa bersama mereka.

“Bapa, Shahrinan Ibrahim, 53, dan ibu saya, Zan Abd Ghani, 53, pelik dengan permintaan suami yang seolah-olah menghalang mereka pulang namun hanya menurutkan sahaja permintaannya supaya pulang ke rumah malam ini (semalam),” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan kerana hasrat arwah suaminya untuk membeli sebuah rumah baru buat mereka sekeluarga tidak kesampaian.

"Lebih seminggu arwah bercuti sempena Hari Raya dan tiada reaksi pelik ditunjukkannya cuma arwah enggan membeli apa-apa barangan raya untuk dirinya tetapi melebihkan saya serta anak, Mohamad Adeeb Zuhayr berusia 20 bulan," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/lori-dirempuh-3-kali-guru-antara-maut-1.79495
hmetro.com.my/articles/Rempuhlorimelintang/Article


Lain kemalangan lain terjun gaung


28 Ogos 2012 
REMBAU – Hanya kerana terkejut melihat kemalangan dan cuba mengelak daripada melanggar kereta yang terlibat dalam kejadian itu, seorang lelaki berhadapan detik mencemaskan apabila van yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Bukit Miku-Kampung Batu, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, mangsa, Mohamad Ali Abdullah, 51, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Linggi selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri rakannya di Bahau, Jempol.

Ali berkata, setibanya di tempat kejadian, dia ternampak dua kereta iaitu Proton Wira dan Perodua Alza terbabit dalam kemalangan sebelum cuba mengelak daripada melanggar kenderaan berkenaan.

“Namun, saya tidak menyangka tindakan saya itu menyebabkan van yang dipandu masuk ke dalam gaung sedalam 10 meter dan bernasib baik apabila orang ramai membantu mengeluarkan saya.

“Mujur saya tidak cedera dan ini merupakan kejadian pertama kali saya terbabit dalam kemalangan selama memandu sejak 30 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, petang kelmarin.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/van-terjunam-dalam-gaung-1.79526


Monday, August 27, 2012

Ambulans Terbalik

Sumber: utusan.com.my

Maut Merempuh Bas



27 Ogos 2012
GEORGETOWN - Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah bas dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Paya Terubong, Air Itam di sini awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Yong Kean Aik, 34 dikatakan memandu laju sebelum kenderaannya terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh bas.

Akibat rempuhan itu, kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk di bahagian depan dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asissten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Kong Meng berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan patah kedua-dua kakinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Paya Terubong mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. “Kita percaya kejadian berpunca apabila kereta yang dipandu laju mangsa  terbabas sebelum merempuh bas terbabit.

“Pemandu bas berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/lelaki-maut-rempuh-bas-1.79374



2 Maut Penutup Op Selamat




Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Ogos 2012
BUKIT BERUNTUNG - Penutup Op Selamat semalam merekodkan kematian seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 429.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur selepas susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian jam 11.05 pagi itu dipercayai berlaku setelah mangsa, Tan Kok Wai, 39, yang menunggang motosikal bersendirian terbabas di lorong kecemasan.

“Mangsa yang beralamat di Kampung Lambak, Tanjung Malim, Perak. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Norel berkata, sepanjang Op Selamat yang dijalankan di sekitar daerah ini sejak 12 Ogos hingga semalam, hanya dua kematian direkodkan.

Katanya, kematian pertama berlaku turut melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Tanjung Malim - Sungai Besar dekat Kampung Serigala, Hulu Bernam awal Syawal lalu.

Bagaimanapun, katanya rekod itu menunjukkan penurunan selain faktor kesedaran pengguna jalan raya terhadap amalan pemanduan berhemah yang semakin meningkat.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, selang lima jam kemudian satu lagi kemalangan maut berlaku hanya 1 kilometer (km) dari lokasi kemalangan pertama yang turut melibatkan penunggang motosikal.

Norel berkata, kemalangan kedua itu berlaku jam 4 petang semalam di Kilometer 430.9 arah Kuala Lumpur.

“Kemalangan melibatkan seorang penunggang remaja perempuan dikenali Nur Sabrina Sulaiman berumur 21 tahun.

"Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai datang daripada Alor Setar, Kedah menuju Kuala Lumpur dan terbabit kemalangan itu setelah motosikalnya hilang kawalan sebelum terbabas di lorong kecemasan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan kepala.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Beliau berkata, kedua-dua kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-maut-nahas-di-lebuh-raya-1.79315



Bola sepak Terengganu hilang peminat setia


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Ogos 2012
KUALA TERENGGANU - “Arwah ayah ada menyatakan hasrat mahu berpuasa sunat esok (semalam), tetapi saya tidak menyangka niatnya itu tidak kesampaian,” demikian kata Nurul Faraheim Mat Rani, 22.

Nurul Faraheim adalah anak sulung kepada Mat Rani Jusoh, 50, yang maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta, sebelum diseret kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dalam kemalangan di Jalan Hiliran, Chabang Tiga, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Kaya, di sini, selepas menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan T-Team menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di pusat bandar raya.

Namun, ketika tiba dilokasi kejadian, mangsa, bapa kepada tiga anak itu dirempuh sebuah Toyota Corola yang dipandu laju dari arah sama, sehingga tercampak dan pemandu berusia 39 tahun dari Kampung Padang Hiliran, dikatakan cuba melarikan diri sebaik melihat mangsa dalam keadaan parah dan nyawa-nyawa ikan.

Bagaimanapun, cubaannya untuk melarikan diri tidak berhasil apabila beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu cuba mengejarnya, sebelum terbabas di atas pembahagi jalan di lampu isyarat berhampiran Balai Polis Chabang Tiga.

Menurutnya, arwah bapanya yang amat meminati bola sepak telah keluar rumah kira-kira jam 8.45 malam untuk menyaksikan perlawanan bola sebelum mereka sekeluarga dikejutkan dengan panggilan kecemasan memberitahu arwah ditimpa kemalangan.

“Saya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 malam memaklumkan ayah terlibat kemalangan. Saya ingat ayah terlibat kemalangan kecil sahaja dan sebab itu, hanya adik lelaki serta ayah saudara ke lokasi kejadian.

“Tetapi beberapa minit kemudian saya diberitahu ayah meninggal dunia sebelum adik lelaki berusia 19 tahun mengambil saya di rumah untuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HSNZ.


Saksi nampak kereta dipandu laju

Menurut saksi kejadian, Fatimah Mohd, 60, sebelum kejadian, dia nampak sebuah kereta dipandu laju dari arah Pulau Kambing menghala ke Chabang Tiga, di sini, dan tidak sampai beberapa minit, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Saya memang nampak kereta itu dipandu laju dan ketika terdengar dentuman kuat itu, saya sudah mengagak kereta terbabit pasti melanggar sesuatu, sebelum ternampak ia menyeret sebuah motosikal bersama penunggangnya sekali.

“Selepas 100 meter dari lokasi kejadian, mangsa yang cedera parah itu tercampak ke bahu jalan, sebelum kereta itu terbabas di atas pembahagi jalan di lampu isyarat berhampiran Balai Polis Chabang Tiga,” katanya yang ketika kejadian, berada di kedai makan yang dibukanya berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian dan menjelaskan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut ini tampil ke mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.


Bola sepak Terengganu hilang peminat setia

“SAYA amat terkejut menerima berita ini (kematian), kerana arwah (Mat Rani) sememang seorang yang sangat cintakan sukan khususnya bola sepak.

“Bayangkan, dia sanggup ikut dan membantu saya setiap kali saya mengendalikan sesi latihan bersama T-Team secara sukarela serta tidak pernah melepaskan peluang untuk menonton aksi pasukan T-Team dan Terengganu di stadium.”

Itu luahan penolong jurulatih T-Team, Yusoff Ali, 47, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HSNZ selepas mendapat tahu berita pemergian rakannya, Mat Rani Jusoh, 50, yang maut akibat dirempuh sebuah kereta kira-kira jam 10.45 malam tadi (semalam).

Yusoff berkata, selain terlibat secara tidak langsung dalam pengurusan T-Team, Mat Rani juga masih aktif dalam aktiviti sukan, termasuk pernah mewakili kelab bola sepak pejabat Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) bagi kategori veteran.

“Saya sudah lama bersahabat dengan arwah sejak zaman sekolah lagi dan dia senior saya. Kehilangannya secara mengejut malam ini (semalam) juga merupakan satu kehilangan buat pasukan T-Team dan Terengganu,” katanya.

Turut meluangkan masa menziarahi jenazah ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. Dalam pada itu, Nurul Faraheim, memberitahu, bapanya merupakan peminat setia pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team sejak dulu lagi.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tragedi-pulang-menyaksikan-perlawanan-t-team-1.79226



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount