loading...

Thursday, September 17, 2015

Maut Bertembung Kereta


KLUANG - Seorang pekerja swasta maut apabila bertembung sebuah kereta di KM 28 Jalan Renggam-Simpang Renggam, dekat sini, kira-kira jam 1.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohamad Laham berkata, penunggang motosikal, R Tanggarasu, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta jenis Proton Wira, Sharol Mohd Sani, 29, cedera di kepala.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kawasan kemalangan berhampiran kawasan Polis Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam itu diterangi banyak lampu dan jalan lurus, serta permukaan jalan kering.

“Kemalangan berlaku semasa pemandu kereta, seorang lelaki Melayu memandu dari arah Simpang Renggam menghala Kluang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba motosikal ditunggang Tanggarasu dari arah Kluang menghala ke Simpang Renggam dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan kereta menyebabkan pertembungan.

“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal telah tercampak ke tengah jalan manakala kereta terbabit terbabas ke kiri jalan,” katanya semalam.

Mohamad berkata, penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pekerja-swasta-maut-motosikal-bertembung-kereta-1.431060


Maut Terbabas


BENTONG - Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 12.5, Jalan Bentong - Raub, di sini, sekitar jam 6.45 petang kelmarin.

Kejadian berhampiran Kampung Asap itu mengakibatkan mangsa, Yong Kok Kheng, 37, memandu kereta jenis Toyota Corolla meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan dari Bentong menuju ke Raub.

“Kereta dipandu mangsa dipercayai cuba mengambil selekoh namun terbabas.

“Disebabkan itu, kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van jenis Toyota Hiace,” katanya.

Pemandu van terbabit, menurut Mohamad Mansor bagaimanapun mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Bentong.

Katanya, lokasi merupakan jalan satu lorong dua hala, berselekoh yang mana permukaan jalan adalah kering dan cuaca ketika kejadian adalah cerah.

Kok Kheng berasal dari Taman Sentosa, Raub bekerja sendiri. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Mohamad Mansor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-gagal-ambil-selekoh-1.431389


Sunday, July 19, 2015

Bas Ekspres Terjunam ke Gaung


Rawang: Sembilan cedera selepas bas ekspres yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur terjatuh ke gaung di Kilometer 436 Lebuhraya PLUS dekat Jambatan Sungai Buaya di sini, 6.40 pagi tadi.

Bas yang dipercayai membawa tujuh penumpang itu dilaporkan terbabas dan merempuh besi penghadang jambatan sebelum terjunam dan terbalik ke gaung sedalam lima meter.

Pegawai Operasi Bomba Op Selamat Raya Haizad Morah Abas berkata, bomba menerima panggilan pada 6.44 pagi dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

"Sampai di lokasi terdapat seorang lelaki dipercayai pemandu kedua bas ekspres berkenaan sudah ada di luar bas dan memaklumkan terdapat seorang penumpang tersepit.

"Seorang wanita berusia 66 tahun terperangkap dan berjaya dibawa keluar sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Video Berita



Monday, July 6, 2015

Bekas penyerang Harimau Malaya parah


6 Julai 2015
KOTA KINABALU - Awangku Mohd. Farris Mahmud, 21, yang terlibat dalam kemalangan bersama penyerang pasukan bola sepak negara, Md. Rozaimi Abd. Rahman, 23, di Kilometer 3.5, Jalan Tuaran petang tadi, disahkan meninggal dunia malam ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra dipetik sebagai berkata, mangsa disahkan meninggal dunia 8.37 malam tadi selepas menerima rawatan.

"Mangsa dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) petang tadi, selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan 1.30 petang.

"Pada 8.37 malam tadi, Farris disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Md. Rozaimi dikatakan sudah sedarkan diri dan boleh bercakap serta dilaporkan stabil.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, kereta jenis Honda Civic yang dipandu mangsa bersama bekas penyerang Harimau Muda itu dalam perjalanan dari Inanam menghala ke pusat bandar raya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok, tiang telefon dan tembok konkrit.

Akibat kejadian itu, Farris dan Rozaimi yang mengalami kecederaan parah dibahagian kepala kemudian dikejarkan ke HEQ II untuk rawatan lanjut.


Tujuh Jam Bertarung Nyawa 


Kota Kinabalu: Selepas bertarung nyawa hampir tujuh jam, pemain Piala Presiden Sabah, Ak Mohd Farris Mahamud, 21, yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 3.5 Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa disahkan meninggal dunia 8.37 malam tadi selepas menerima rawatan.

"Mangsa dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) petang tadi, selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan 1.30 petang.

"Pada 8.37 malam tadi, Farris disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, kereta yang dipandu mangsa bersama bekas penyerang Harimau Muda Md Rozaimi Abdul Rahman dalam perjalanan dari Inanam menghala ke pusat bandar raya sebelum terbabas lalu merempuh pokok, tiang telefon dan tembok konkrit.

Akibat kejadian itu, Farris dan Rozaimi yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke HEQ II untuk rawatan lanjut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/anak-saudara-rozaimi-meninggal-dunia-1.408250
http://www.hmetro.com.my/node/62471

Sunday, July 5, 2015

Penceramah bebas maut kemalangan


5 Julai 2015
DUNGUN - Seorang penceramah bebas, Mohd Nor Shauqi A. Rahman, 29, maut dalam satu nahas jalan raya di kilometer 352.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II, Bukit Besi menghala ke Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, mangsa bersama isteri, Siti Maryuni Mansur, 26, dan anak mereka, Safiyyah Maisarah, 2, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Buruk, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kanan kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa pancit secara tiba-tiba apabila sampai di lokasi kejadian.

Menurutnya, ia menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabas ke kiri dan melanggar penghadang jalan.

"Mangsa dan keluarga dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Kuala Terengganu tetapi berlaku insiden tidak disangka apabila tayar belakang kenderaan telah pancit.

"Akibat kemalangan itu, mangsa dihantar ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan.

"Bagaimanapun, isteri dan anak mangsa terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Punca kemalangan dipercayai kerana tayar pancit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) (AY Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/lpt-ragut-nyawa-ustaz-1.407878



Sunday, May 3, 2015

Wakil kelab Myvi FMC tampil beri penjelasan


Wakil kelab Myvi FMC (Familia Myvi Club) telah datang menziarahi keluarga mangsa di majlis tahlil bagi memberi penghormatan dan bekerjasama memberi penjelasan berkenaan insiden kemalangan di lebuh raya DUKE.




Rakaman CCTV Myvi berlumba dimuatnaik


SHAH ALAM – Sebuah rakaman litar tertutup didakwa merakam tindak tanduk pemandu Myvi yang berlumba di Lebuhraya Duke, Sabtu lepas telah dimuat naik ke laman Facebook, hari ini.

Melalui rakaman berdurasi 29 saat berkenaan, Sinar Online mendapati beberapa buah kenderaan termasuk beberapa buah Myvi dipandu dengan laju berbanding kenderaan-kenderaan lain.

Video tersebut yang telah dikongsi hampir 7,000 pelayar dan ditonton lebih 130,000 pelayar lain dikatakan mampu menjadi bahan bukti untuk siasat pihak polis.


Sebelum ini, kemalangan awal pagi Sabtu lepas yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia enam bulan dikatakan berpunca dari enam buah Myvi yang dikatakan berlumba sesama mereka.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Fairuz Nizam yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) , malam tadi.



SHAH ALAM – Kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia enam bulan di Lebuhraya Duke  awal pagi Sabtu lalu, mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Fairuz Nizam yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, kejadian pada jam 1.05 pagi di laluan dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila Pajero itu yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.



“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas di sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri.

“Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan,” katanya.

Sebagai tanda simpati, ramai yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyuarakan perasaan sedih di laman sosial.

Tidak kurang juga marah dengan kecuaian pemandu Myvi dipandu secara melulu sebelum merempuh kenderaan dipandu Allahyarham Fairuz Nizam.

Kedua-dua pemandu kereta Myvi itu, seorang daripada mereka seorang wanita berumur 35 tahun, cedera ringan manakala seorang lagi pemandu lelaki berumur 31 tidak cedera.

Laman Facebook dipenuhi spekulasi bahawa kejadian itu berpunca daripada enam kereta Myvi yang sedang berlumba sekitar jam 1 pagi.



Malah akaun Facebook Familia Myvi Club diserang dengan kritikan daripada pengguna laman sosial itu yang berang dengan perbuatan ahli kelab tersebut.

Pemilik akaun dengan nama Faizul Rahimi dalam komennya berkata, kelab tersebut perlu dipersalahkan atas kejadian itu.

“Kalau sebuah saja yang berlumba, salah individu. Tapi kalau dah sampai beberapa buah kereta dari kelab ini terlibat, terpaksalah tuding jari dekat kelab ini.

“Yang berlumba kau orang serah dekat polis. Minta maaf secara terbuka dan bubar terus lagi elok,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna dipercayai ahli keluarga mangsa, Azeera Rahmat berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan dua orang lagi anak pasangan itu menjadi yatim piatu.

“Kau orang telah menyebabkan anak buah aku jadi yatim piatu,” katanya.

Rata-rata komen juga mendesak agar Familia Myvi Club menasihatkan ahli mereka yang terlibat dalam kemalangan itu agar menyerah diri kepada polis.

“Minta presiden serah semua suspek. Semoga kelab ini bertanggungjawab dengan apa yang menimpa keluarga ini,” tulis pengguna dengan nama Nizam Giler-Giler Rider.

Terdapat juga akaun Facebook yang baharu diwujudkan bernama Familia MurderMyvi Club–FMC dan Memburu Familia Myvi Club FMC tanda kemarahan kepada pemandu Myvi terlibat.

Setakat jam 7 petang semalam, laman tersebut mendapat 1,135 like.

Bagaimanapun, tersebar satu mesej yang dikatakan berasal daripada wakil Familia Myvi Club, iaitu Yana, menafikan enam pemandu Myvi itu berlumba.

“Itu memang budak kelab Yana. Semua yang terlibat selamat dan apa yang tersebar tidak betul. Mereka bukan berlumba.

“Tolong jangan percaya pada viral yang tersebar. Mereka hanya jalankan tugas sedangkan tak tahu perkara sebenar.

“Kami satu kelab kena hentam dengan kelab lain, tetapi kami di tempat yang terlibat tahu perkara sebenar.

"Harap semua jangan sebarkan berita yang bukan-bukan kalau tak tahu pangkalnya,” kata mesej itu.

Sunday, April 26, 2015

Nahas Bas Bola


Lahad Datu: Seorang pemandu lori muatan ikan ‘menemui ajal’ selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres yang membawa 21 penumpang dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu - Sandakan, Segama, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, pemandu lori, Eni Punrung, 63, beralamat di Kampung Mamblus, Tawau parah pada badan dan kaki meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Besar Lahad Datu.

Manakala pemandu bas ekspres berusia 26 tahun luka kecil pada lengan tangan kanan dan lutut menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama manakala 19 penumpang iaitu pelajar dan dua guru pengiring tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian, bas ekspres yang membawa pasukan bola sepak Tenggara iaitu seramai 19 pelajar dan dua guru pengiring dalam perjalanan balik dari Kota Belud ke Tawau dan sebaik tiba di lokasi kejadian bertembung dengan sebuah lori tiga tan muatan ikan yang menghala ke Sandakan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/46500



Sunday, April 19, 2015

Pelajar Utar Maut


18 April 015
KAMPAR- Seorang pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) maut manakala lima rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 33.7, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, S Hemala, 20, yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di tempat kejadian selepas cedera parah di badan.

Difahamkan, kesemua pelajar terbabit dalam perjalanan pulang ke universiti  di Bandar Baru Kampar selepas membeli-belah di sebuah pasar raya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, nahas di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah pasar raya itu melibatkan melibatkan Proton Wira dinaiki enam pelajar terbabit dan sebuah Nissan Sylphy dipandu seorang peniaga berusia 45 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Nissan Sylphy yang datang dari arah Kuala Lumpur melanggar bahagian kanan kereta dinaiki kesemua pelajar terbabit.

“Kereta yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh itu melanggar kereta dinaiki enam sekawan yang keluar dari simpang pasar raya itu secara tiba-tiba.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk di belakang cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Kong Soon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala lima rakannya dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu Nissan Sylphy yang beralamat di Kampung Batu Jeram, Kampar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian tepi dan hadapan kenderaan manakala, lampu isyarat di lokasi kejadian tidak berfungsi,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pelajar-utar-maut-rakan-cedera-1.380912

Monday, March 9, 2015

Bas Sekolah Bertembung Lori


KUALA KRAI: Seramai 11 pelajar cedera selepas bas sekolah yang dinaiki mereka bertembung dengan lori di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di Kilometer 81.5 Jalan Gua Musang Kuala Krai berhampiran Chuchuh Puteri.

Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peria dan SMK Pahi.

Semua pelajar dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan dan disahkan berada dalam keadaan stabil.

http://www.bharian.com.my/node/39885



44 orang cedera bas kilang rempuh jejantas



GEORGETOWN: Sembilan orang cedera parah termasuk dua kritikal apabila sebuah bas yang membawa 45 pekerja kilang merempuh jejambat di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini hari ini.



Kemalangan pada kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan bumbung bas kilang itu tercabut dan pemandu serta penumpang yang kesemuanya terdiri daripada rakyat Indonesia tersepit di dalam bas berkenaan.

Dua pekerja kilang yang kritikal dan tujuh yang cedera parah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Pengarah HPP, Dr Sukumar Mahesan dalam kenyataannya di sini Isnin berkata, 46 orang termasuk pemandu bas cedera dalam kejadian itu dan mangsa pertama tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma HPP pada 7 pagi.

"Dua orang mangsa berada dalam keadaan kritikal, tujuh orang cedera parah dan 37 orang cedera ringan. Seramai 14 orang dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Rohizad Yusof berkata pihaknya mengambil masa kurang 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

"Pemandu bas cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke HPP," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan mengalami masalah brek menyebabkan pemandunya bertindak melencongkan kenderaan itu dari laluan utama sejauh 150 meter sebelum melanggar jejambat yang sedang dalam pembinaan.

"Impak daripada pelanggaran itu dipercayai terlalu kuat sehingga menyebabkan bumbung bas kilang itu tercabut," katanya.

Sementara itu, pemandu bas, D. Ashogan, 49, berkata beliau terpaksa berbuat demikian untuk menghentikan bas apabila menyedari sistem brek tidak berfungsi semasa kenderaan yang dipandunya itu tiba di persimpangan lampu isyarat.

"Masa itu saya sepatutnya membelok ke kanan untuk ke kilang tapi brek tak makan dan bas terus jalan ke hadapan...saya pun terpaksa masuk ke kawasan jalan yang ditutup dan bila nampak saja flyover itu saya suruh semua orang tunduk kepala," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang.

Bas berkenaan membawa pekerja rakyat Indonesia dan difahamkan kebanyakan mereka sedang tidur ketika kejadian.

Maryati Rambat, 19, dari Jawa Tengah, Indonesia berkata beliau berada di kerusi paling belakang dan berada dalam keadaan separuh sedar ketika kepalanya terhantuk pada cermin bas.

"Saya tinggal di Farlim. Masa itu baru nak masuk kerja...sikit lagi mahu sampai. Bila terdengar jeritan saya terjaga dari tidur dan berasa pusing.

"Masa kecelakaan itu saya masih di tempat duduk dan boleh keluar sendiri. Tapi bahu kiri cedera dan jari kelingking tangan kiri retak. Mereka yang duduk di hadapan lebih teruk, ada yang tak boleh jalan," katanya yang baru tujuh bulan bekerja sebagai operator di kilang itu. - BERNAMA

Sunday, January 25, 2015

Tiga Maut Rempuh Tiang Jejambat


GOMBAK - Tiga maut manakala dua cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang jejambat dalam kejadian di Kilometer 11.7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Sri Gombak, pagi semalam.




Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kereta jenis Toyota Estima berkenaan dipandu lelaki berusia 30-an bersama dua anak, ibunya dan seorang lagi rakan.

Menurut sumber, pemandu didakwa gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh tiang konkrit jejambat berkenaan.

“Kereta terseret kira-kira 25 meter melalui kesan brek atas jalan sebelum akhirnya melanggar besi pengadang dan tiang.

“Kesemua mangsa tersepit dalam kereta. Ibu pemandu, Kham Chui Yoke, 58, maut akibat tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan (putus kaki),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selayang Makmur dari arah Setapak.

“Rakan pemandu, Kueh Chin Hui, 42 dan anak perempuan pemandu, Ng Lee Teng, 10, juga meninggal dunia akibat tersepit di dalam kereta.

“Pemandu kini dilaporkan kritikal sementara seorang lagi anaknya berusia 14 tahun hanya mengalami cedera ringan. Kedua-dua mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/tiga-maut-kereta-rempuh-jejambat-1.353802



Friday, January 23, 2015

Rentung Dirempuh Treler


22 Januari 2015
Kuala Kangsar: Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan treler dan kereta yang musnah terbakar di Kilometer (KM) 254.7 lebuh raya PLUS arah utara di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, mangsa lelaki berusia 32 tahun berbangsa Melayu meninggal dunia, manakala seorang wanita cedera dan dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan dan kebakaran itu pada 9.26 pagi.

"Maklumat awal, kemalangan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbakar dan menyebabkan seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun rentung, manakala mangsa wanita cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi yang diketuai Penguasa Bomba Meor Kamarul Haslin turut dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Meru, Ipoh.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/25547

VIDEO






Saturday, January 10, 2015

Bertembung Bas Unimap


KANGAR - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas yang membawa 45 pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Jalan Jejawi Hutan Buluh, di sini, petang kelmarin.


Menurut Ketua Balai Bomba Kangar, Zaharul Amin Ahmad, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.20 petang sebelum 11 anggota dikerah ke tempat kejadian menggunakan sebuah jentera dan sebuah kereta.

“Tiba di tempat kejadian mangsa, Saifful Rizal Mahadin, 32, yang memandu pacuan empat roda jenis Naza tersepit di tempat duduknya dan dikeluarkan setelah anggota sampai di tempat kejadian pada 6.29 petang.

“Saiful Rizal yang cedera di kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menggunakan ambulans. Seramai 45 pelajar termasuk pemandu bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/lelaki-nyaris-maut-kereta-bertembung-bas-1.349176



Thursday, January 8, 2015

Dua beranak nyaris maut


SUNGAI PETANI – Dua beranak nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki terbalik ketika melalui Jalan Ambangan Heights, Sungai Petani dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam.

Mangsa, Nur Azila Rosli, 30, yang memandu kenderaan berkenaan bersama anaknya, Mohd Derawis Hafiz, empat tahun, sedang dalam perjalanan dari Bukit Bayu, Sungai Lalang menuju ke arah Sungai Petani.

Bagaimanapun, sebaik sampai di pertengahan jalan, mangsa tidak menyedari terdapat laluan yang berlubang sehingga menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terbabas.
Kenderaan yang dinaiki kedua beranak itu kemudian terpelanting sehingga merempuh zink pengadang sebuah tapak pembinaan.

Namun setakat ini, kedua-duanya dilaporkan mengalami cedera ringan.

Pegawai Bomba Kanan II, Khairil Shamsul Md Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.30 pagi berhubung kejadian itu.

“Seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Polis dan Penyelamat Sungai Petani bersama sebuah jentera bomba, Emergency Medical and Rescue Services (EMRS) serta dua Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) dikejarkan ke lokasi,” katanya.

Menurutnya, apabila sampai, kenderaan yang dinaiki mangsa dilihat dalam keadaan terbalik.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dan dibawa mendapatkan rawatan dengan bantuan orang awam.

“Pemantauan di lokasi kejadian turut menemui tumpahan minyak petrol di kawasan kemalangan dan anggota bomba terus melakukan kawalan lokasi kejadian serta mengawal lalu lintas,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-beranak-nyaris-maut-1.348890



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my