loading...

Saturday, September 7, 2013

Gigil lihat kaki rakan putus



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 September 2013
Dungun: “Badan saya menggigil selepas melihat kakinya putus,” kata Roslan Awang Bota, 29, mengenai kemalangan maut yang meragut nyawa rakan serumahnya di Kilometer 100 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat Taman Uda Murni, Paka, dekat sini, jam 8.50 malam kelmarin.

Suhaimi Sulong, 38, terbunuh apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Proton Persona di persimpangan lampu isyarat terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.



Ketika kejadian, mangsa, penyelia projek yang bekerja di loji petrokimia di Kerteh, dikatakan dalam perjalanan ke kedai makan sebelum membuat pusingan U di situ lalu dirempuh kereta terbabit yang datang dari arah Paka ke Kerteh.

Roslan berkata, dia bersama tiga rakannya hanya dikenali sebagai Wan Zulkifli, 27, Mohd Nasarudin, 28, dan Mohd Akmal Hakim, 23, sepakat untuk keluar makan bersama mangsa.

“Ketika hendak keluar, tiba-tiba dua rakan arwah datang ke rumah dan arwah meminta kami berempat keluar makan terlebih dulu serta akan menyusul kemudian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Gigillihatkakirakanputus/Article/index_html
ntv7.com.my




Dua pekerja katering maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

7 September 2013
PENDANG - Dua pekerja katering maut selepas van yang mereka naiki bersama 10 yang lain terbabas dan terbalik ke dalam parit di KM62.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Pendang hari ini.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi berkata, mangsa Nurul Najwa Mohd Naim, 15, dari Taman Sireh, Bukit Pinang, Alor Setar dan Muhammad Azrul Adli Sulaimi, 18, dari Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Alor Setar maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
 
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 9.55 pagi itu, van yang dipandu Ahmad Hazri Ahmad Nazri, 20, dikatakan hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu pancit mengakibatkan ia terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri sebelum terbalik ke dalam parit.
 
"Dua mangsa yang meninggal itu dipercayai ditindih penumpang lain di dalam van. Najwa ketika itu duduk di belakang sebelah kanan sementara Muhammad Azrul di bahagian tengah di belakang pemandu," katanya ketika dihubungi.
 
Kesemua mangsa yang berusia antara 15 hingga 53 tahun itu bekerja sambilan dengan syarikat katering berkenaan.
 
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke kampung Lubuk Getah di sini untuk menguruskan jamuan di majlis perkahwinan.
 
Pubadi berkata, lima lagi yang menaiki van itu cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan termasuk pemandunya sementara dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Yang cedera mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.
 
Mayat dua remaja itu juga dihantar ke hospital berkenaan untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga masing-masing.
 
Bapa Najwa, Mohd Naim Othman, 48, berkata, anak sulungnya daripada empat beradik itu bakal mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tidak lama lagi.
 
Dia berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas itu baharu sahaja bekerja secara sambilan dengan syarikat katering itu untuk mendapat duit poket bagi membantu keluarga.
 
"Memang saya tak bagi dia pergi kerja, tapi dia mahu pergi juga sebab dia kata nak tambah duit poket dan hanya bekerja pada hari minggu. Dia mula kerja Sabtu lepas dan hari ini dia ada majlis kenduri kahwin di Pendang.
 
"Awal pagi tadi mak dia hantar dia ke tempat katering itu di Kepala Batas, tidak jauh dari rumah kami ketika hujan lebat. Saya kemudiannya terkejut bila pihak hospital hubungi saya bagitau anak saya maut kemalangan kira-kira pukul 10 pagi tadi," katanya ketika ditemui di hospital.
 
Mohd Naim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah anaknya itu berkata, sejak seminggu lepas anaknya itu menunjukkan perubahan dengan mengajak adik-adiknya bersama-samanya menunaikan solat secara berjemaah setiap hari.
 
Beliau berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Alor Ganu, Kepala Batas lewat petang ini.
 
Sementara itu bapa Muhammad Azrul, Sulaimi Din, 50, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu bekerja sambilan di syarikat katering itu kerana sedang menunggu panggilan untuk menyambung pelajaran di sebuah Politeknik. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/dua-pekerja-katering-maut-van-terbalik-1.199745



Dua nahas selang lapan jam



7 September 2013
JEMPOL - Tidak sampai 24 jam kemalangan maut membabitkan seorang warganegara China di Kilometer (KM) 16 Jalan Bahau-Kemayan di sini, dua remaja lelaki pula menemui ajalnya di lokasi berhampiran, pada hari sama, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, kejadian pertama melibatkan empat warganegara China, masing-masing merupakan sepupu berumur antara 44 hingga 52 tahun, baru tiba di negara ini kelmarin.

Menurutnya, mereka dipercayai sedang bercuti dan melawat saudaranya di Air Hitam, Jempol dan dibawa sepupu mereka menaiki pacuan empat roda Toyata Hilux, namun hilang kawalan setelah mengelak kenderaan yang memotong.

"Kejadian berlaku apabila sebuah kereta yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya, datang dari arah bertentangan kerana memotong.

"Kenderaan tersebut masuk ke laluan mangsa menyebabkan pemandu kereta pacuan empat roda itu mengelak ke bahu jalan sebelah kiri," katanya.

Beliau berkata, pemandu Hilux cuba naik semula ke atas jalan raya namun kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke laluan sebelah kanan jalan sebelum masuk ke dalam longkang.

“Kenderaan itu terlanggar tebing lalu terbalik beberapa kali. Pemandu bersama tiga warganegara China itu mengalami cedera ringan, namun salah seorang daripada mereka, Shen Bing Lian, 44, disahkan maut di Hospital Jempol kira-kira jam 10.30 pagi,” katanya.

Dalam kejadian kedua, dua remaja maut apabila motosikal yang dinaiki terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Kenari.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 5.35 petang, mangsa, M S Selvam, 19, menunggang motosikal Yamaha 125 dan membonceng bersama P Rajkamal, 17, di KM 19 Jalan Bahau-Kemayan.

“Penunggang maut di tempat kejadian, manakala rakannya meninggal dunia di Hospital Jempol kira-kira jam 8.10 malam kelmarin. Kedua-dua mangsa ini dipercayai digilis dalam insiden tersebut.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini masih dalam siasatan polis dan ia disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa, Rajkamal adalah anak kepada Ketua Pemuda MIC Jelebu, N Parthiban, 40.

Parthiban baru sahaja tiba di Tamil Nadu, India kelmarin untuk bercuti selama seminggu bergegas pulang ke tanah air sebaik menerima berita kematian ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-nahas-selang-lapan-jam-1.199646



Maut motosikal bergesel treler



7 September 2013
KUANTAN – Seorang penunggang motosikal, G Venayagam, 52, maut dipercayai bergesel dengan treler dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Lembing, dekat Indera Mahkota, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi itu, lelaki berkenaan dilihat menunggang motosikalnya di laluan sama dengan treler terbabit sebelum bergesel dan jatuh di tengah jalan.

Seorang saksi, M Karthik, 18, yang ditemui berkata, dia berlari ke arah jalan raya selepas  terdengar bunyi kuat dan mendapati seorang lelaki sudah terlentang di atas jalan raya manakala motosikalnya terseret 10 meter dari mangsa.

Katanya, ketika itu orang ramai mengerumuni lelaki terbabit manakala pemandu lori dilihat memberhentikan kenderaannya.

“Pemandu lori sempat turun dan melihat  keadaan mangsa tapi beberapa minit  selepas itu, dia menaiki lori dan meninggalkan tempat ni,” katanya.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas kakitangan kesihatan membuat pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dab Trafik, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian membabitkan tiga kenderaan membabitkan motosikal, kereta dan lori.

Menurutnya, mangsa yang beralamat di Lorong Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing, menunggang motosikal menghala dari arah Kuantan ke Sungai Lembing.

Beliau berkata, mangsa ketika itu dipercayai cuba mencelah di tengah deretan kenderaan di lorong kiri dan kanan lalu bergesel dengan kereta di sebelah kanan sebelum terjatuh di bawah lori yang berada di lorong kiri.

“Mangsa digilis treler berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk siasatan lanjut sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-bergesel-dengan-treler-1.199653



Thursday, September 5, 2013

Terbalik rempuh tiang elektrik



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 September 2013
TAMPIN – “Saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaik menyedari kereta saya akan merempuh tiang elektrik di tepi jalan selepas melalui selekoh,” luah mangsa kemalangan, Yuzair Khairudin, 24, ketika ditemui di kilometer 10, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumah sahabatnya di Tampin menuju ke tempat kerjanya iaitu sebuah kedai yang terletak di dalam Kem Syed Sirajudin, Gemas.

Menurutnya, dia jarang menggunakan laluan berkenaan kecuali ketika ingin pulang ke kampung halamannya di Selangor memandangkan dia kini menetap di Gemas Baru, Segamat, Johor kerana lebih dekat dengan tempat kerjanya.

“Kejadian ini berlaku dalam sekelip mata apabila saya gagal mengawal kereta selepas melalui selekoh.

"Ketika itu, saya lihat jalan berkenaan seolah-olah beralun. Malah, selepas terbabas ke bahu kiri jalan kereta saya berpusing sekali dan terbalik sebelum merempuh tiang elektrik," katanya kepada Sinar Harian.

Yuzair berkata, dia tidak cedera dan berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu di sebelah penumpang hadapan.

"Insiden ini adalah pengalaman kali pertama saya terbabit dalam kemalangan," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Satria Neo gagal mengawal kenderaannya selepas melalui selekoh berkenaan.

“Malah, kereta mangsa turut berpusing dan terbalik sebelum melanggar sebatang tiang elektrik. Susulan perlanggaran berkenaan, tiang elektrik itu patah dua," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kejadian-berlaku-sekelip-mata-1.199281



4 anggota Imigresen cedera



5 September 2013
SEREMBAN – Empat anggota Jabatan Imigresen negeri cedera selepas van yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pantai – Seremban, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, van dinaiki anggota Imigresen itu dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas menghantar beberapa warga asing ke Depoh Tahanan Imigresen di Lenggeng.

Jurucakap polis berkata, van berkenaan dikatakan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dinaiki tiga lelaki.

“Sebaik tiba di satu selekoh, sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan tiba-tiba terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung van terbabit.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan anggota Imigresen berusia 20 hingga 35 tahun dalam van cedera. Dua penumpang kereta berusia 20-an turut cedera,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, penumpang hadapan kereta Proton Aeroback, turut tersepit dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit mengeluarkan mangsa.

“Tiga anggota Imigresen hanya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) akibat kecederaan di bahagian belakang.

“Dua penumpang kereta itu turut dirawat di HTJ akibat kecederaan di kepala dan badan namun keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusof Awang, mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/empat-anggota-imigresen-cedera-1.198823



Dihempap balak


5 September 2013
GOMBAK - Seorang pemandu nyaris maut selepas kereta Proton Gen 2 yang dinaikinya terhempap muatan kayu balak di Jalan Lama Batu 10, kira-kira jam 7.45 pagi.

Mangsa, Nordin Abdul Shukor, 54, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Subang menuju ke tempat kerjanya yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, secara tiba-tiba lori muatan batu yang berada di hadapan keretanya cuba memintas sebuah motosikal di hadapan lori berkenaan namun gagal lalu bergesel dengan lori yang membawa muatan kayu balak dari arah bertentangan.

"Lori yang bawa batu itu terus merempuh penunggang motosikal manakala lori kayu balak hilang kawalan sehingga menyebabkan muatannya jatuh menghempap kereta saya.

“Saya hanya mampu menjerit Allahuakbar ketika kejadian itu berlaku. Saya hanya berserah pada ALLAH,” katanya.

Nordin berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Orang Asli Gombak untuk menerima rawatan.

"Penunggang motosikal itu patah kaki kanan dan di hantar ke Hospital Selayang manakala pemandu lori muatan batu itu terus menghilangkan diri selepas kejadian itu," katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ngeri itu.

"Saya akan buat laporan polis selepas ini bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu lori balak yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian itu berlaku, dia sedang dalam perjalanan menghantar kayu balak ke Ulu Yam.

"Saya terkejut dan gagal kawal lori selepas lihat lori di laluan bertentangan masuk secara tiba-tiba ke laluan saya.

"Saya tak sempat elak menyebabkan lori saya terbabas dan muatan dibawa menghempap kereta Gen 2 itu,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/nyaris-maut-kereta-dihempap-balak-1.198765




Terputus diseret 500 meter

Inalillahi wainailaihi rojiun

5 September 2013
GUA MUSANG - Kaki kanan seorang pemandu lori yang terputus diseret bersama motosikal ditungganginya oleh sebuah kereta sejauh 500 meter dalam kejadian kemalangan ngeri di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Noor Setapa, 51, berasal dari Tok Uban, Pasir Mas yang kehilangan kaki kanan dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 6.30 petang itu, bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah.

Kejadian kemalangan ngeri itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal untuk membeli rokok di sebuah kedai di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bandar Chiku membuat pusingan `U’ di kawasan terbabit.

Berikutan itu, sebuah kereta yang dinaiki sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai terus merempuhnya menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan sementara kaki kanannya terputus diseret kereta terbabit bersama motosikal.

Bagaimanapun, dalam kejadian berkenaan sekeluarga terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta mereka turut mengalami remuk teruk.

Anak mangsa, Nor Fidliana Mohd Noor, 22, berkata, arwah bapanya sudah lama berpisah dengan ibu dan membawa diri untuk bekerja sebagai pemandu lori di Kampung Aring.

Beliau berkata, arwah juga menumpang di rumah bapa saudara di Tanah Rancangan Felda Chiku 6 untuk mudah berulang alik ke tempat kerja yang terletak tidak jauh dari situ.

“Bapa dikatakan keluar seorang diri dengan menunggang motosikal untuk membeli rokok di sebuah kedai dan secara tiba-tiba membuat pusingan `U’ di kawasan terbabit.

“Sedih apabila mendapat tahu kemalangan itu dan terus bergegas ke tempat kejadian mendapat berita sebenar mengenai kaki kanan arwah ayah terputus dalam kejadian kemalangan ngeri itu,” katanya.

Menurut Nor Fidliana, walaupun arwah ayah berpisah dengan ibu, tetapi kerap pulang ke kampung untuk menemui anak-anak termasuk musim menyambut perayaan Aidilfitri lalu.

“Kebetulan pula pada Hari Raya Aidilfitri kedua diadakan majlis pertunangan abang sulung dan meriah apabila dihadiri bersama arwah ayah sebelum dia pulang semula ke Gua Musang,” katanya.

Katanya, jenazah arwah ayah akan dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Uban, Pasir Mas.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-maut-dirempuh-kereta-1.198807


Wednesday, September 4, 2013

Warga Emas maut bergesel lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 September 2013
SIMPANG – Seorang warga emas maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat dekat Simpang, Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohamed Haniff Nordin, 67, dari Kampung Paduka Setia, dalam perjalanan dari Kuala Sepetang ke Taiping.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan lori dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang yang menuju ke arah sama.

“Akibat pergeselan itu, penunggang motosikal terjatuh dan maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Yusuf berkata, sehingga kini siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian terbabit.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-maut-nahas-1.198619


Tuesday, September 3, 2013

Tragedi pulang sambut hari keluarga


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 September 2013
BESUT 2 Sept. - Sepasang suami isteri adalah antara tiga yang maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan van di Kilometer 88, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Gong Penaga, Jabi di sini petang semalam.


Kemalangan kira-kira pukul 2.50 petang itu turut mengakibatkan anak tunggal pasangan itu yang berusia empat bulan, Mohd. Iqbal Jefri patah tangan kanan dan luka di seluruh badan.

Bayi itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, ibu bayi itu, Rubiah Ismail, 37, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya Jefri Othman, 38, yang memandu kereta Perodua Kancil dan pemandu van, Ng Piah Huat, 67, meninggal semasa dirawat di Hospital Besut.

"Pemandu van itu meninggal dunia ketika dirawat kira-kira pukul 4.30 petang dan tidak lama kemudian disusuli Jefri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu Piah Huat dari arah Kuala Terengganu menuju Jerteh gagal memotong sebuah kenderaan lalu bertembung dengan kereta Kancil dinaiki tiga sekeluarga itu dari arah bertentangan.

Beliau berkata, rempuhan kuat menyebabkan ketiga-tiga mereka tersepit dalam kenderaan masing-masing dan polis meminta bantuan Bomba dan Penyelamat Jerteh untuk mengeluarkan mereka.

Katanya, pasangan suami isteri itu berasal dari Blok J, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan, Pahang manakala Piah Huat dari Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan.

Pasangan itu dikatakan dalam perjalanan balik dari Kota Bharu selepas menghadiri hari keluarga anjuran syarikat tempat Jefri bekerja, Jump Retail Sdn. Bhd. berpejabat di Kuantan.


Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130903/je_02/Suami-isteri-antara-tiga-maut
nst.com.my/nation/general/three-killed-in-car-van-crash-1.348301



Pelajar maut dipandu guru


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 September 2013
Beaufort: Gara-gara memintas sebuah kenderaan lain di garisan berkembar, seorang maut manakala lima parah termasuk seorang guru dan kanak-kanak berusia lima tahun dalam kemalangan di Kampung Weston, Bukit Pantai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa Noraini Abdul Main, 17, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Weston.

Manakala, lima lagi yang parah dikenali Siti Fazilah Mohd Yusop, 33, (pemandu), Nursuhaida Zaidi, 15, Aida Nairun, 15, dan Hamidah Nairun serta seorang kanak-kanak Mohd Fahmi Shahmi, 5, terpaksa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas mengalami kecederaan parah di anggota badan.

Tujuh yang lain, Mohd Rafizi, 14, Aida Norianti Ibrahim, 17, Mohd Zaidi Basir, 15, Mohd Nurshanizam, 13, Marshera Jude, 13, Marlisa Jude, 17, dan Mohd Nasriq, 15, hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Beaufort sebagai pesakit luar.

Difahamkan, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston dan pemandu yang juga seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di kawasan terbabit dipercayai menghantar semua pelajar berkenaan ke sekolah mereka.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Potongdiselekoh//Article



Sekeluarga nyaris maut


3 September 2013
BALING - Sebuah keluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan nyaris maut selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kulim Grik berdekatan Kampung Binjul, kelmarin.

Difahamkan, keluarga terbabit baru pulang dari bercuti di Pulang Pinang dan sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, keluarga terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Viva hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan sebuah teksi dari arah bertentangan gagal mengelak seterusnya merempuh kenderaan keluarga terbabit.

“Rempuhan itu mengakibatkan kenderaan terbabit terbabas di bahu jalan.

"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bagi kedua-dua kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan parah dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, polis tidak mengelak kemungkinan kejadian itu disebabkan pemandu berada dalam keadaan mengantuk.

“Diharap pemandu berhati-hati dan mengambil rehat secukupnya sebelum bergerak destinasi,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/sekeluarga-nyaris-maut-1.198253



Remaja berbasikal maut


3 September 2013
BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki tidak menyangka mayat remaja yang terbaring atas jalan selepas basikal ditunggangi dilanggar sebuah kereta, adalah saudaranya sendiri.


Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang kelmarin, Jeffrey Tan, 15, maut di persimpangan Jalan Kota Laksamana, ketika mahu ke kedai kopi milik bapanya yang tidak jauh dari rumahnya dekat Kota Laksamana di sini.

Saksi, Wang Tun Jeow, 37, berkata, sebelum kejadian, dia melihat sekumpulan remaja lelaki berbasikal di simpang taman berkenaan dari jauh, selepas menutup kedai makannya  yang  terletak kira-kira 10 meter dari lokasi kemalangan.

“Tetapi seorang daripada mereka tiba-tiba menekan brek basikal hingga tayar belakangnya terangkat dan terjatuh. Ketika itu juga saya nampak sebuah kenderaan berada di situ berhenti,” katanya.

Bagaimanapun, Tun Jeow berkata, dia hanya menyedari mangsa kemalangan itu adalah saudaranya apabila melihat seorang lelaki yang juga saudara mereka menghampiri remaja yang terbaring atas jalan.

“Apabila mendekati mangsa, saya sungguh terkejut kerana melihat seorang remaja sudah terbaring kaku di situ. Saya tidak sangka mangsa adalah saudara saya sendiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Sementara itu, menurut sumber polis, basikal mangsa kemudian berlanggar dengan sebuah kereta jenis Nissan Latio yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka, di sini untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa mengesahkan kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-kena-langgar-1.198155



Monday, September 2, 2013

Juruteknik maut ke tempat kerja


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 September 2013
TANJUNG KLING - Seorang juruteknik tidak sempat ke tempat kerja apabila maut selepas kereta dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta lain di Jalan Tanjung Minyak-Sungai Udang, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

Mangsa, Mohd Razwan Johan, 30, meninggal dunia di tempat kejadian apabila tersepit di tempat duduk penumpang  dan mengalami kecederaan di kepala.

Pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang merupakan adiknya, Mohd Razmi Fitri Johan, 24, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri,  Superintendan Noh Che Pa berkata, kereta Kancil dinaiki dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Tanjung Kling.

“Tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki sepasang suami isteri.

“Akibat perlanggaran ini, kereta Kancil dinaiki mangsa melanggar pagar sebuah rumah berhampiran menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya.

Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta Kancil cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu dan penumpang kereta Honda Civic turut terselamat namun mengalami kecederaan ringan sementara kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Johan Baba, 58, berkata, ketika kejadian, Razwan yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dalam perjalanan ke jeti Tanjung Kling sebelum menaiki bot menuju ke Terminal Gas Asli dan Cecair (LNG) Petronas.

“Sudah kira-kira tiga tahun dia berulang-alik dari rumah kami di Repah, Tampin, Negeri Sembilan ke tempat kerja di Melaka bersama-sama adiknya, Fitri.

“Hari ini (semalam), dia dan adiknya keluar rumah kira-kira jam 6.30 pagi. Saya terkejut apabila menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam  8 pagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini.

Menurutnya, Razmi yang memandu kereta sudah dua hari tidak sihat dan kemalangan berkenaan berlaku selepas anaknya itu pitam ketika memandu.

“Razmi memberitahu saya sebelum kejadian mereka ada singgah di 7-Eleven untuk membeli ubat kerana tidak sihat lalu meneruskan perjalanan. Dia kemudian pitam dan sedar-sedar sahaja sudah kemalangan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/seorang-juruteknik-maut-ke-tempat-kerja-1.197868



Lori durian bertembung treler


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 September 2013
SETIU - Seorang pemandu lori satu tan membawa muatan durian maut setelah kenderaan dipandunya bertembung sebuah treler pengangkut kenderaan di Kilometer 37.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Sungai Tong), di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Sukiman Abdullah, 40, berasal dari Paka, Dungun, bukan sahaja cedera parah di bahagian kepala tetapi turut tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler pengangkut kenderaan dipandu Zulkeflly Abd Latib, 44, berasal dari Pulau Pinang, hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Treler tersebut dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu hilang kawalan akibat jalan licin. Kenderaan ini kemudiannya merempuh pengadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke laluan
bertentangan.

“Akibatnya treler ini bertembung lori dipandu mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta tersepit di tempat duduknya,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.27 petang dan bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama kekuatan enam anggota.

“Tiba di lokasi, didapati treler terbabit seolah-olah melekat dengan bahagian hadapan lori satu tan dinaiki mangsa serta melintang jalan hingga tidak boleh dilalui kenderaan. Masa diambil untuk keluarkan mangsa dari kenderaan dipandunya yang remuk ialah kira-kira 20 minit,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lalu lintas turut sesak sejauh beberapa kilometer di kedua-dua arah hingga menyebabkan pemandu keluar dari kenderaan untuk berehat di kaki lima jalan susulan perjalanan tidak dapat diteruskan.

Selain itu ratusan durian juga bertaburan.

Al-Fatihah


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/lori-muatan-durian-bertembung-treler-1.197725



Kepala digilis motosikal



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 September 2013
BALING - Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya parah akibat digilis oleh sebuah motosikal dalam kejadian kemalangan di Jalan Baru Kampung Padang, Kuala Pegang kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Mangsa, Mohamad Hafiz Abdul Wahab, 16, dari Kampung Charok Bemban, Mukim Pulai, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa yang juga penunggang motosikal terbabas seterusnya terjatuh di laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya digilis oleh sebuah motosikal lain yang datang dari arah bertentangan jalan tersebut.

“Mangsa bersama lebih kurang 15 penunggang motosikal lain dari arah Kampung Padang- Kampung Tas, manakala penunggang motosikal yang melanggar itu dari arah Kampung Tas- Kampung Padang.

“Kita percaya, mangsa tergesel dengan penunggang motosikal lain yang juga rakan-rakannya sebelum terjatuh di laluan bertentangan,” katanya.

Mat Daud berkata, penunggang motosikal yang melanggar mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya. Mangsa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Syed Abu Bakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Mat Daud berkata, pihaknya berharap agar ibu bapa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kejadian tidak dingini.

“Kita mendapat banyak aduan mengenai jalan terbabit yang sering digunakan untuk melakukan aktiviti lumba haram dalam kalangan remaja. Keadaan ini bukan sahaja mengancam nyawa mereka, tetapi pengguna lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, memandu sehingga mengakibatkan kematian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-maut-kepala-digilis-motosikal-1.197774




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount