loading...
Monday, September 2, 2013
Juruteknik maut ke tempat kerja
Inalillahi wainailaihi rojiun
2 September 2013
TANJUNG KLING - Seorang juruteknik tidak sempat ke tempat kerja apabila maut selepas kereta dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta lain di Jalan Tanjung Minyak-Sungai Udang, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.
Mangsa, Mohd Razwan Johan, 30, meninggal dunia di tempat kejadian apabila tersepit di tempat duduk penumpang dan mengalami kecederaan di kepala.
Pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang merupakan adiknya, Mohd Razmi Fitri Johan, 24, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan di dada.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, kereta Kancil dinaiki dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Tanjung Kling.
“Tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki sepasang suami isteri.
“Akibat perlanggaran ini, kereta Kancil dinaiki mangsa melanggar pagar sebuah rumah berhampiran menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya.
Menurutnya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta Kancil cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu dan penumpang kereta Honda Civic turut terselamat namun mengalami kecederaan ringan sementara kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Johan Baba, 58, berkata, ketika kejadian, Razwan yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dalam perjalanan ke jeti Tanjung Kling sebelum menaiki bot menuju ke Terminal Gas Asli dan Cecair (LNG) Petronas.
“Sudah kira-kira tiga tahun dia berulang-alik dari rumah kami di Repah, Tampin, Negeri Sembilan ke tempat kerja di Melaka bersama-sama adiknya, Fitri.
“Hari ini (semalam), dia dan adiknya keluar rumah kira-kira jam 6.30 pagi. Saya terkejut apabila menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini.
Menurutnya, Razmi yang memandu kereta sudah dua hari tidak sihat dan kemalangan berkenaan berlaku selepas anaknya itu pitam ketika memandu.
“Razmi memberitahu saya sebelum kejadian mereka ada singgah di 7-Eleven untuk membeli ubat kerana tidak sihat lalu meneruskan perjalanan. Dia kemudian pitam dan sedar-sedar sahaja sudah kemalangan,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/seorang-juruteknik-maut-ke-tempat-kerja-1.197868
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment