5 September 2013
GOMBAK - Seorang pemandu nyaris maut selepas kereta Proton Gen 2 yang dinaikinya terhempap muatan kayu balak di Jalan Lama Batu 10, kira-kira jam 7.45 pagi.
Mangsa, Nordin Abdul Shukor, 54, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Subang menuju ke tempat kerjanya yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
Menurutnya, secara tiba-tiba lori muatan batu yang berada di hadapan keretanya cuba memintas sebuah motosikal di hadapan lori berkenaan namun gagal lalu bergesel dengan lori yang membawa muatan kayu balak dari arah bertentangan.
"Lori yang bawa batu itu terus merempuh penunggang motosikal manakala lori kayu balak hilang kawalan sehingga menyebabkan muatannya jatuh menghempap kereta saya.
“Saya hanya mampu menjerit Allahuakbar ketika kejadian itu berlaku. Saya hanya berserah pada ALLAH,” katanya.
Nordin berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Orang Asli Gombak untuk menerima rawatan.
"Penunggang motosikal itu patah kaki kanan dan di hantar ke Hospital Selayang manakala pemandu lori muatan batu itu terus menghilangkan diri selepas kejadian itu," katanya.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ngeri itu.
"Saya akan buat laporan polis selepas ini bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, pemandu lori balak yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian itu berlaku, dia sedang dalam perjalanan menghantar kayu balak ke Ulu Yam.
"Saya terkejut dan gagal kawal lori selepas lihat lori di laluan bertentangan masuk secara tiba-tiba ke laluan saya.
"Saya tak sempat elak menyebabkan lori saya terbabas dan muatan dibawa menghempap kereta Gen 2 itu,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/nyaris-maut-kereta-dihempap-balak-1.198765
No comments:
Post a Comment