Friday, January 11, 2013

Dada tertusuk pemegang brek

12 Januari 2013
Dua sahabat terkejut apabila menemui mayat rakan mereka terbaring dengan badan dipenuhi darah selepas dada kiri mangsa tertusuk pemegang brek motosikal yang dinaiki dalam kejadian di Jambatan Sentosa, di sini, kelmarin.

Mayat Stevan Jemat, 29, ditemui rakannya berusia 20-an ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing, jam 8 malam.


Sumber berkata, terkejut melihat mangsa tidak sedarkan diri, dua rakannya itu menghubungi hospital mendapatkan bantuan sebelum dia disahkan meninggal dunia.

“Pada jam 5 petang hari kejadian, mangsa bersama rakannya dikatakan mengambil minuman keras di sebuah rumah di Sentosa. Dua jam kemudian, mangsa ke rumah seorang lagi rakan mereka untuk menyambung minum minuman keras.


“Selesai minum di rumah rakannya, mangsa menunggang motosikal pulang ke rumah sebelum dipercayai beberapa kali terjatuh akibat terlalu mabuk.


“Bagaimanapun, mangsa masih tetap meneruskan perjalanan dan jatuh ketika melalui jambatan berkenaan sebelum ditemui dua rakannya sendiri,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dalam kes ini. Kesan kecederaan pada dada kiri mangsa dipercayai akibat tertusuk pemegang brek motosikalnya yang didapati patah.


“Ini kerana sebelum mangsa ditemui di atas jambatan itu, dia dikatakan beberapa kali terjatuh daripada motosikalnya,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tergolekatasjalan//Article/index_html




Maut dirempuh lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Januari 2013
Kuala Lumpur: Dua maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Besraya, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam berhampiran pusat beli-belah The Mines, Serdang, sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya.


Sumber trafik berkata, mangsa yang menaiki motosikal Honda C100 dirempuh sebuah lori yang tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, penunggang, Noorzahrim Hisyam Taharim, 28, dan pembonceng, Muhamad Narzeri Wahab, 40, dalam perjalanan dari Balakong ke Seri Kembangan.


“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala manakala pemandu lori pula tidak cedera.


“Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan terperinci kejadian itu masih dilakukan,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasjatuhdilanggarlori//Article/index_html


Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut


12 Januari 2013
BATU GAJAH – Seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut apabila kereta yang dipandu rakannya memasuki laluan bertentangan ketika cuba mengelak dari sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Ipoh – Lumut, di sini, semalam.

Mangsa, P Jeyaganthan,21, dari Kota Baharu, Kelantan adalah penuntut tahun dua Kejuruteraan Petroleum, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dinaiki mangsa cuba mengelak lori yang datang dari arah Ipoh selepas keluar simpang di hadapan stesen minyak.

“Sebuah lagi kereta dari arah Lumut tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian belakang kiri iaitu tepat di tempat duduk Jeyagathan menyebabkan mangsa terhantuk.

“Jeyaganthan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat, manakala dua lagi rakannya yang cedera mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, pemandu kereta, Ahmad Alamin Zainal Abidin, 23, nyaris maut apabila keretanya tiba-tiba masuk ke jalan bertentangan lalu merempuh lori di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.

Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dihubungi untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengalami cedera ringan sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kampar.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pelajar-tahun-dua-utp-maut-1.120189


Suami isteri nyaris maut



12 Januari 2013
BALING - Niat sepasang suami isteri untuk untuk membeli belah di Sungai Petani tidak kesampaian setelah mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 petang di Ketemba, Jalan Baling-Kulim di sini, semalam.

Mereka yang enggan dikenali itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan.

Difahamkan, kejadian berlaku setelah kenderaan pasangan terbabit melanggar sebuah kereta yang ingin memasuki persimpangan kanan jalan itu.

Keadaan itu mengakibatkan kereta pasangan terbabit terbabas dan hampir terbalik di bahu jalan.

Menurut sumber, kejadian berlaku disebabkan kecuaian berikutan pemandu kereta di hadapan pasangan itu sudah memberikan lampu isyarat sebelum membelok.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nyaris-maut-kereta-terbabas-1.120346


Pelajar maut bertembung lori


12 Januari 2013
KULIM - Hasrat seorang pelajar lelaki untuk mengambil adiknya pulang dari sekolah di Karangan tidak kesampaian apabila mangsa maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal dari arah Merbau Pulas menuju ke Sungai Karangan namun apabila tiba di Bukit Chong, mangsa cuba memotong sebuah kereta yang berada di hadapannya.

Menurutnya, akibat kegagalan mangsa memotong kereta di hadapannya, motosikal mangsa melanggar lori yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa terperosok di bawah lori dan mengakibatkan lori terlibat hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta dari Merbau Pulas ke Sungai Karangan sebelum terbabas di tepi jalan.

"Nasib tidak menyebelahi mangsa apabila kereta yang berada di belakang lori turut menggilis mangsa. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Ismail berkata, sehingga 9 September 2013, enam kemalangan maut dilaporkan berlaku dan kebanyakan mangsa terlibat terdiri dari golongan remaja selain penunggang motosikal merupakan mangsa yang paling ramai terlibat.

Katanya, bagi mengatasi masalah ini, pihaknya akan mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dan saman terhadap pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Apabila polis mengeluarkan saman terhadap pelajar sekolah dan orang ramai, orang awam akan merungut dan beranggapan kami zalim. Tetapi sekiranya mereka terlibat dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil, jumlah kemalangan maut akan meningkat.

Semua ini berlaku kerana kecuaian penunggang dan pengguna jalan raya.

"Sekiranya mereka mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan dan memandu secara berhemah, saya yakin kemalangan maut akan berjaya dikurangkan. Kita akan mengambil tindakan lebih serius terhadap pesalah lalu lintas selepas ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pelajar-maut-motosikal-dirempuh-1.120283

jangan cilok mencelah-celah

Penguatkuasa Majlis Perbandaran Nilai maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Januari 2013
SEREMBAN – Hasrat seorang lelaki mahu pulang rumah selepas selesai bekerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Lenggeng – Pantai, berhampiran Hutan Lipur Lenggeng, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu, mangsa, Nur Affendy Mohd Nor, 35, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Mangsa yang bekerja sebagai penguatkuasa di Majlis Perbandaran Nilai (MPN) itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jelebu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah pokok di bahagian kiri jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mati serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut jurucakap, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan tersebut.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penguatkuasa-mpn-maut-nahas-jalan-raya-1.120277


Suami warga Indonesia isteri maut

kemalangan lori dan motosikal


12 Januari 2013
NILAI – Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 276.2, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, motosikal jenis Suzuki Shogun 120 yang ditunggang mangsa itu dikatakan terbabas lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori satu tan yang diletakkan di laluan kecemasan akibat kerosakan tayar di bahagian depan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 30-an itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Katanya, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti namun dipercayai bekerja kontrak di Seremban manakala isterinya, dikenali Rinaningsih dari Yogyakarta itu dikatakan sedang dalam perjalanan menghala ke selatan.

“Daripada hasil siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas sebelum merempuh sebuah lori yang diletakkan di laluan kecemasan akibat kerosakan tayar di bahagian depan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku sebelum sempat mekanik menukar tayar yang rosak pada lori satu tan yang membawa barangan runcit terbabit.

“Ketika itu, kon kecemasan sudah diletakkan sebagai tanda amaran di laluan kecemasan, tetapi mangsa tidak menyedari lalu gagal mengawal motosikal yang ditunggang dan merempuh lori berkenaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat pada Isnin ini sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis hanya menemui pasport milik isteri mangsa di tempat kejadian bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diketahui setakat ini dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

“Sehubungan dengan itu, polis meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan  kejadian berkenaan dan kes ini akan siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/suami-isteri-maut-rempuh-belakang-lori-1.120215
hmetro.com.my/articles/Dua-duatercampak//Article


Tukang rumah maut

Motosikal RXZ Mohd Ridhuan yang terbakar dalam kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Januari 2013
KOTA BHARU- Seorang tukang rumah maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Jembal, Kampung Tawang, Bachok, di sini, semalam.

Kereta Proton Iswara Areoback remuk


Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi itu, mangsa Mohd Ridhuan Muhamad, 26, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, dari arah Tawang, meninggal di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan, Mohammad Suharnur Hasebullah, 21, mengalami kecederaan di muka dalam nahas itu.

Dua lagi penumpang yang bersama Mohamad Suharnur dalam kereta tersebut, Muhammad Zuhairi Ramli, 19 dan Mohamad Rozaimi Haron, 25, tidak mengalami sebarang kecederaan dan di rawat sebagai pesakit luar.

Adik Mohd Ridhuan, Mohd Saiful, 22 berkata, dia tidak mengetahui tujuan abangnya keluar pada malam kejadian.

“Lagipun kerana sibuk dengan kerja, saya jarang jumpa dia di rumah, tetapi semalam dia ada berbual dengan saya bertanyakan saya balik kerja pada waktu bila, namun saya tidak menyangka pertanyaannya itu merupakan pertanda dia akan pergi buat selamanya.

“Terkejut menerima berita itu dari rakannya yang datang ke rumah, saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat mayat abang terbaring kaku kira-kira dalam jarak 20 meter di kawasan saya berdiri. Sebak melihat mayatnya, namun saya gagahkan diri menatap mayatnya buat kali terakhir," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, mangsa yang meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian leher itu berasal dari Kampung Padang Dalam, Kota Bharu manakala pemandu kereta yang terbabit masih dalam keadaan kritikal ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd. Ridhuan dikatakan masuk kelaluan kanan dan melanggar bahagian hadapan kereta yang dipandu oleh Muhammad Suharnur.

“Keadaan itu menyebabkan berlakunya pertembungan yang kuat secara berhadapan sehingga menyebabkan Mohd. Ridhuan bersama motosikalnya terseret kira-kira 20 meter lalu terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di kawasan yang berdekatan,” katanya.

Ab. Rahim berkata, kedua-dua mangsa sempat diselamatkan sebelum motosikal dan bahagian hadapan kereta berkenaan terbakar.

Beliau berkata, mayat Mohd Ridhuan dihantar ke Hospital HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tukang-rumah-maut-nahas-1.120218




Lori tangki terjun Sungai Machap



11 Januari 2013
Batu Pahat: Seorang pemandu lori tangki terselamat dan hanya cedera ringan di tangan selepas kenderaan berat terbabit terbalik sebelum terjunam ke dalam Sungai Machap sedalam empat meter di Jalan Ayer Hitam-Simpang Renggam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, V Paiduthalli, 62, diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Paiduthalli berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kulaijaya selepas menghantar bahan kimia untuk pembinaan jalan di Kuala Lumpur.

“Ketika melalui kawasan itu, tayar belakang sebelah kiri tiba-tiba tergelincir dan saya terus menekan brek kecemasan.

“Akibatnya, saya gagal mengawal lori tangki menyebabkan ia terbalik dan melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, Paiduthalli berkata, dia terperangkap di dalam lori dan gagal keluar apabila pintu di bahagian pemandu serta penumpang terkunci.

“Ketika itu, air mula memenuhi kabin lori, saya terus memecahkan cermin depan untuk keluar. Penduduk kampung kemudian menghantar saya ke hospital,” katanya.

Menurut Paiduthalli, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk dan masih diberi peluang untuk hidup.

“Ini nyawa kedua saya, kali ini saya bernasib baik. Kemalangan ini juga adalah peringatan kepada saya supaya lebih berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa cedera ringan dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Loritangki__8216_terjun__8217_sungai//Article/index_html


Wanita keguguran bertembung Mercedez Benz

Wanita keguguran bertembung Mercedez Benz


11 Januari 2013
ALOR GAJAH – Seorang wanita keguguran selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kampung Baru, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, Norazura Md Saberi, 29, menaiki kereta jenis Perodua Viva dipandu adiknya, Norshazlin Md Saberi, 25, dalam perjalanan dari pekan Alor Gajah ke Kelemak.

Turut serta dalam kereta, kakak mangsa, Noraini Md Saberi, 28, adiknya, Norizati Md Saberi, 13, serta anak saudaranya, Nuraliya Alisa, 2 bulan,

Menurut sumber, sebuah kereta jenis Mercedez Benz dipandu Norzila Ibrahim, 49, dan anaknya, Mohd Syazwan Helmi Shamsuri, 12, dari Kelemak hilang kawalan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.

Saksi, Jasni Johar, 43, berkata, kereta dipandu Norzila memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki Norazura yang hamil empat bulan.

Menurutnya, pada mulanya Mercedez Benz berkenaan melanggar Proton Wira dipandu wanita berusia lingkungan awal 30-an.

“Kemudiannya, Mercedez Benz itu bertembung pula dengan kereta dinaiki mangsa dari arah bertentangan hingga melantun ke belakang melanggar sebuah Toyota Corona,” katanya.

Jasni berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang duduk di sebelah pemandu tercampak ke tempat duduk belakang, manakala bayi yang dipangku kakak mangsa dipercayai tidak sedarkan diri sejurus rempuhan berlaku.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kandungan-wanita-gugur-akibat-kemalangan-1.120066


Perangkap maut di Jalan Haji Ahmad


11 Januari 2013
KUANTAN - Tiga lubang yang terbentuk akibat mendapan tanah sehingga mencapai kedalaman kira-kira dua meter di simpang tiga Lorong Seri Setali 122 dan Lorong Seri Setali 78, Jalan Haji Ahmad, di sini menimbulkan kerisauan penduduk.


Lubang yang dipercayai terbentuk akibat kejadian banjir kilat baru-baru ini kian besar dan dalam sehingga boleh mendatangkan ancaman kepada penduduk terutama  pengguna kenderaan dan pejalan kaki.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Tan, 55 berkata, dia yang menggunakan laluan itu saban hari mula bimbang ancaman yang menanti akibat mendapan itu.

Menurutnya, bagi penduduk yang biasa menggunakan laluan itu, mereka mungkin sedar ’perangkap’ yang menanti di tengah-tengah simpang tiga tersebut.

“Jangan tunggu sehingga ada mangsa yang jatuh di sini baru ada usaha daripada pihak yang bertanggung jawab untuk datang membaiki,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, semalam.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Lee Chean Chung berkata, masalah tanah mendap di situ sudah berlaku berulang kali.

Menurutnya, punca mendapan dipercayai akibat aliran air yang meresap masuk melalui rekahan sebelum mengalir  ke longkang yang berada di bawah jalan tersebut.

“Kita percaya aliran air itu tersasar kerana tidak dapat mengalir dengan sempurna sebelum menghakis bahagian tepi longkang sehingga membentuk lubang tersebut,” katanya yang hadir meninjau masalah itu, semalam.

Chean Chung berkata, beberapa bulan lalu masalah itu sudah berlaku dan hasil aduan penduduk, lubang yang terbentuk ditimbus serta diturap semula.

“Kini masalah lubang maut ini kembali berlaku dan kita minta pihak yang berkenaan segera cari jalan penyelesaian  menutup lubang ini.

“Kita juga minta supaya masalah itu diteliti secara keseluruhan melibatkan seluruh sistem perparitan di situ supaya punca sebenar mendapan tanah di situ dapat kenal pasti,” katanya.

Menurutnya, jika tiada sebarang usaha dilakukan, mendapan itu akan menjadi semakin besar dan boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-lubang-tagih-mangsa-1.120079


Murid SK Mentakab nyaris maut

murid SK Mentakab nyaris maut

11 Januari 2013
TEMERLOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya di sini mengalami saat mencemaskan apabila kenderaan dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat hadapan sekolah dekat  Kampung Megat Segama di sini, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Latifah Abd Ghani 42, yang memandu Perodua Myvi baru keluar dari simpang sekolah selepas mengambil anaknya Umi Aishah Mohd Nasir untuk pulang ke rumah di Taman Seri Kemuning.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat menghala ke bandar Temerloh bertukar hijau dia terus memandu keluar dari simpang sekolah tetapi secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bandar Temerloh terus merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Akak terkejut sangat, tiba-tiba kereta akak dirempuh sebelah kanan dan berpusing ke kiri,” katanya di tempat kejadian semalam.

Latifah berkata, akibat rempuhan itu kereta dipandunya beralih kedudukan manakala Perodua Myvi yang melanggarnya terbalik.

Latifah bersama anaknya kemudian dibantu orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Songsang.

Kedua-dua beranak itu dilaporkan hanya alami bengkak-bengkak di tangan.

Sinar Harian yang kebetulan berada di tempat kejadian merakamkan detik cemas orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta yang terbalik.

Sementara itu, menurut penumpang wanita dalam kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Latifah, dia bersama adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

“Kami ada temu janji di hospital, sampai di sini tiba-tiba terbabit kemalangan, nak buat macam mana lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa peniaga berhampiran tempat kejadian menggesa pihak berkuasa meletakkan lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan terbabit selain memanjangkan tempoh lampu isyarat di situ.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/murid-tahun-empat-cemas-kenderaan-dipandu-ibu-dirempuh-1.119943



Thursday, January 10, 2013

Remaja maut bertembung anggota RELA


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Januari 2013
BESUT — Seorang remaja berumur 21 tahun maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah motosikal lain dekat Kampung Tasik Mengkuang, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian pada 10 malam tadi, mangsa Mohd. Azmi Kassim dipercayai tidak menyedari kehadiran motosikal lain di laluan bertentangan yang ditunggangi oleh Abdullah Mohamad, 42, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Kamaruddin berkata, Mohd. Azmi yang berasal dari Kampung Kerandang, di sini ketika kejadian dalam perjalanan menuju ke Kampung Bukit Kenak untuk bertemu rakannya.

"Hujan lebat telah menyebabkan jalan lurus yang tidak berlampu itu gelap sebelum kedua-dua mangsa bertembung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akibat rempuhan tersebut, Mohd. Azmi cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala Abdullah dari Kampung Tanah Merah, Kerandang, di sini pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.— BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm


Warga emas maut digilis lori



10 Januari 2013
PARIT BUNTAR -Hasrat seorang warga emas untuk berniaga tidak kesampaian apabila maut digilis sebuah lori selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sempadan, berhampiran persimpangan masuk ke Kampung Permatang Tok Mahat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, mangsa, Lim Yaw Chai, 63, dari Jalan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal sedang mengayuh basikal roda tiganya sendirian dari Jalan Sempadan menghala ke Pekan Lama Parit Buntar.

Malangnya, setibanya di tempat kejadian dipercayai basikal roda tiga mangsa bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan sebelum digilis lori berkenaan.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Saiful berkata, ketika kejadian dia sedang memandu di belakang lori membawa muatan besi itu sebelum melihat tayar belakang lori terbabit terangkat secara tiba-tiba dan terdengar seperti ianya merempuh sesuatu.

Menurutnya, dia terkejut sewaktu memotong lori berkenaan apabila melihat cermin sisi kelihatan seorang penunggang basikal sedang digilis sebelum terseret dan tergolek di jalan raya.

“Saya tidak sedar basikal roda tiga ini dari arah mana tetapi sejurus melepasi simpang empat di jalan pintasan itu, kejadian itu berlaku.

“Saya percaya lori ini bergesel terlebih dahulu dengan basikal roda tiga itu lalu tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa yang terbaring di atas jalan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada,”, katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya selama hampir sejam susulan hanya satu laluan sahaja terpaksa dibuka bagi memberi laluan kepada polis membuat siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,”katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-maut-digilis-lori-1.119788


Tragedi hari pertama kerja


kemalangan lori di Kilometer 118 Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke utara

10 Januari 2013
BAGAN SERAI - Hari pertama bekerja pasti menjadi igauan buruk buat seorang pemandu lori apabila nyaris maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 118 Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke utara, di sini, petang kelmarin.


Pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu terselamat daripada maut setelah lori dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta sebelum terbabas ke dalam parit berhampiran.

Saksi kejadian, Abd Rahim Yahya, 42, berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang, dia berada di kawasan berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran di antara sebuah kereta jenis Proton Iswara dan lori muatan tanah.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan lori yang sudah terbalik manakala pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk.

“Sedang saya mendekati pemandu, saya terdengar mangsa mengerang kesakitan dan meminta pertolongan.

“Saya kemudiannya segera menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bagi,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, Kampung Batu 8, di sini kelmarin.

Abd Rahim berkata, mangsa yang tersepit akhirnya berjaya dikeluarkan anggota bomba setelah bertungkus-lumus menarik keluar mangsa selama setengah jam.

“Mangsa terus dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di wad biasa manakala pemandu kereta terbabit hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Abd Rahim, berdasarkan perbualan dengan mangsa, dia difahamkan mangsa baru memulakan hari pertama bekerja sebagai pemandu lori untuk sebuah syarikat pembinaan di daerah ini.

“Agak mengejutkan mangsa masih terselamat dan hanya mengalami kecederaan biasa walaupun badannya dihempap sebahagian kerusi penumpang lori sewaktu kemalangan berlaku.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku dan saya berharap tahap keselamatan di lokasi kejadian dipertingkatkan demi keselamatan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih lagi dijalankan..

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/detik-cemas-hari-pertama-kerja-1.119663


Remaja maut di pangkuan bapa


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Januari 2013
KOTA BHARU- Seorang bapa sempat mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya, selepas remaja itu terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Kemumin, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zulyusri Naserudin, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda bersendirian maut di tempat kejadian selepas terbabas dan melanggar tiang lampu.

Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi, itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala.

Bapa mangsa, Naserudin Mohd Kasim, 47 berkata, dia hanya menyedari anaknya terlibat dalam kemalangan selepas dimaklumkan rakan anaknya yang menghubungi telefon bimbitnya.

“Saya tergamam seketika selepas menerima berita itu dan terus bergegas ke tempat kejadian dengan hanya berbaju kemeja T dan berkain pelekat.

“Tiba di lokasi, saya lihat keadaan anak saya yang parah di sebalik tiang lampu dan terus menerpa ke arahnya sambil memangku dia di atas paha yang ketika itu masih bernafas namun keadaannya lemah dan tercungap-cungap dan melihatkan keadaannya saya ajar dia mengucap,” katanya.

Naserudin berkata, sebelum kejadian, anak kedua dari empat beradik itu, tidak memberitahu kepadanya tujuan dia keluar, dan mengambil kunci motosikal sambil berlalu pergi.

“Saya pada mulanya tidak endah dengan keadaan itu, lagipun dia sering keluar rumah bertemu rakannya.

“Namun pada hari kejadian, saya sempat menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya namun tidak dijawab olehnya, tidak saya sangka, sms yang tidak berjawab merupakan petanda yang dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Naserudin berkata, walaupun amat perit untuk menerima pemergian anaknya, namun dia redha dengan ketentuan Ilahi.

“Semasa hayatnya, dia seorang yang baik dan tidak pernah membantah atau melawan saya, dia juga rajin  membantu saya berniaga santan di kedai saya, di Padang Tembak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 (SMKPC 2) cedera parah dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian
untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga jam 3 petang di HUSM sebelum dibawa pulang, untuk urusan pengebumian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/sempat-mengucap-di-pangkuan-bapa-1.119636




Wednesday, January 9, 2013

Ibu Hamil nyari maut


9 Januari 2013
Melaka: Seorang ibu hamil yang dipercayai baru pulang menjalani pemeriksaan kandungannya nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 1.10 tengah hari, mangsa berusia lingkungan 30-an yang memandu Toyota Avanza itu dari bandar raya ini menghala ke Ayer Keroh.


Sumber berkata, ketika kejadian kereta MPV itu berada di lampu isyarat di kawasan itu bersama sebuah motosikal yang turut terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Kejadian berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang datang dari Plaza Tol Ayer Keroh dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba dan melanggar sebuah lagi kereta jenis sama.


“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan kemudian melanggar Toyota Avanza dan motosikal terbabit,” katanya di sini, semalam.


Difahamkan, sebuah Honda Civic yang berada di persimpangan berkenaan turut melanggar satu daripada kenderaan berkenaan dan remuk di bahagian depan.

Kata sumber itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kecuali penunggang motosikal patah kaki dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibuhamilterbabitnahasselamat//Article/index_html


Tuesday, January 8, 2013

Jururawat maut ke tempat kerja


8 Januari 2013
KULIM - Hasrat seorang jururawat berusia 40-an untuk pergi bekerja tidak kesampaian apabila mangsa maut setelah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandunya dirempuh oleh dua kenderaan lain di lebuh raya berhampiran Desa Aman kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.


Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mangsa yang tinggal di Taman Desa Aman menuju ke arah Kulim, memotong lori di hadapannya menggunakan lorong sebelah kiri.

"Bagaimanapun  pemandu lori terlibat tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian belakang kereta mangsa.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali dan masuk ke jalan bertentangan sebelum dirempuh sekali lagi oleh kereta Proton Wira yang datang dari arah Kulim ke Baling.

"Mangsa yang masih beruniform tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris bagi tujuan pengebumian.

Menurutnya, pengguna jalan raya jangan sesekali memandu dalam keadaan melulu sehingga membahayakan diri mereka sendiri.

“Sebagai pengguna jalan raya yang berkhemah, kita harus bersabar ketika berada di jalan raya dan jangan bersikap emosi atau agresif terutama ketika kita lambat menghadiri temu janji atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/jururawat-maut-dirempuh-lori-1.119121


Remaja maut rempuh kerbau


Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang remaja maut, manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka secara berasingan melanggar seekor kerbau jantan  di Jalan Pantai Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, rakan mangsa, Muhammad Amirul Idrus, 18, yang berada di hadapan cuba mengelak daripada melanggar kerbau terbabit, namun gagal menyebabkannya tercampak di tengah jalan.

Manakala, Mohammad Fiqri Ramli, 21, yang berada di belakang rakannya itu juga gagal mengelak sebelum terseret kira-kira 45 meter dan terhumban ke dalam anak sungai.

Difahamkan ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Kampung Permatang ke pekan Kuala Sungai Baru.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Mohammad Amirul cuba mengelak daripada merempuh kerbau berkenaan, namun gagal sebelum disusuli motosikal Mohammad Fiqri.

“Mohammad Amirul tercampak ke tengah jalan sementara motosikalnya terbabas ke kiri jalan diikuti motosikal Mohammad Fiqri yang turut merempuh kerbau itu.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa terseret sebelum terhumban  ke dalam anak sungai manakala motosikalnya terhenti di satu lorong tanah merah,” katanya  kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika itu, ada beberapa rakan lain berada di belakang, namun menyedari kejadian berkenaan beberapa minit kemudian apabila melihat Mohammad Amirul terbaring di tengah jalan, tetapi tidak menemui Mohammad Fiqri.

“Beberapa rakan lain cuba mencari Mohammad Fiqri sebelum menemuinya dalam  sungai.

“Situasi cemas apabila kami cuba mengejutkan Mohammad Fiqri dengan memanggil namanya berulang kali, namun tiada tindak balas sebelum mendekati Mohammad Amirul yang terbaring dalam keadaan tangan kirinya terkulai,” katanya.

Katanya, panik melihat Mohammad Fiqri tidak bergerak, seorang daripada mereka menghubungi ayah Mohammad Fiqri dan memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan namun tidak berani memberitahu keadaan Mohammad Fiqri.

"Selepas itu, kami bertambah panik apabila motosikal Muhammad Amirul terbakar secara tiba-tiba,” katanya.

Bapa mangsa, Ramli Md Din, 53, berkata, sebelum kejadian, arwah ada mengadu lapar dan terus keluar sebelum dia menghubungi anaknya itu yang memaklumkan berada di sebuah kedai makan di pekan Kuala Sungai Baru.

“Saya ada mengajak arwah makan bersama di kedai makan tetapi arwah sudah keluar lebih awal dan saya menawarkan untuk membungkus makanan untuknya, namun arwah menolak.

“Kira-kira jam 2.40 pagi, saya menerima panggilan daripada rakannya memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan tanpa mengetahui bahawa arwah sudah meninggal dunia sebelum bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Katanya, beberapa minggu lalu, arwah yang bekerja sebagai juruelektrik di Kuala Lumpur ada memberitahu hendak berhenti kerja atas sebab yang tidak pasti dan lebih banyak membantunya mengurus kedai makan di pekan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa mengalami kecederaan dalaman manakala rakannya dilaporkan parah dan patah tangan kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala rakannya dirawat di hospital sama," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-langgar-kerbau-1.119107



Warga emas maut dirempuh


8 Januari 2013
PASIR PUTEH - Warga emas yang cuba melintas dari kiri ke kanan jalan dengan kereta jenis Kancil meninggal dunia akibat dirempuh kereta dari arah Pasir Puteh ke Jerteh dalam kejadian jam 9 pagi di sini, semalam.

 Ketua Polis Daerah, Mohd Kamal Zainal berkata, Eng Eh Chit, 71, dari Kampung Ketik Buluh, Semerak yang cedera parah termasuk patah tulang rusuk meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA).

Katanya, kejadian itu berlaku apabila kereta jenis Nissan yang dipandu Mohd Azhar Jusoh, 40, berasal dari Kampung Kubang Telaga, Bachok bertembung dengan kereta yang dipandu Eng yang bertindak melintas jalan di kilometer 48.1 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Mohd Azhar mengalami cedera ringan dan kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kereta terbabit terhumban ke dalam parit di hadapan Restoran Zakaria yang lebih dikenali sebagai Pokya Gear box berhampiran simpang ke Sekolah Kebangsaan Sri Aman.

Mohd Kamal berkata, Mohd Azhar tidak sempat mengelak selepas menuruni jambatan Sungai Rasau sebelum merempuh kereta mangsa yang secara tiba-tiba melintas jalan.

“Polis sedang siasat punca sebenar kemalangan ini dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu polis,” katanya.

Eng yang berada di tempat duduk keretanya dikeluarkan anggota bomba dan dibawa ke HTA sebelum menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu.

Ketua Balai Bomba Pasir Puteh, Joharuddin Hashim berkata, mangsa tidak tersepit walaupun bahagian kanan keretanya remuk teruk.

“Kami tidak mengambil masa lama untuk mengeluarkan mangsa dan dia dibawa ke hospital sebaik sahaja berjaya dikeluarkan dari keretanya,” katanya.

Penduduk setempat, Ahmed Jaafar, 65, berkata, dia terkejut mendengar dentuman kuat dari arah jalan ketika menunggang motosikal untuk ke Restoran Zakaria.

“Pakcik melihat dari jauh pemandu kereta Kancil tidak bergerak dalam keretanya yang terhumban ke dalam parit sementara pemandu kereta lagi satu berjaya keluar,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/warga-emas-maut-dirempuh-1.119020


Monday, January 7, 2013

Konstabel maut terbabas

Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2013
Petaling Jaya: Seorang anggota polis Balai Bukit Puchong, Subang Jaya, maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran pusat beli-belah Empire Gallery, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Konstabel Khairul Naim Mohd Saudi, 25, yang menunggang motosikal Yamaha CRS 800 seorang diri menghala ke ibu negara meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dijalankan sebelum jenazah diserahkan kepada warisnya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Polismautmotorterbabas//Article/index_html


Gara-gara tayar meletup

Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2013
KUANTAN — Akibat tayar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya meletup, seorang pengurus ladang maut manakala dua anaknya parah selepas terlibat dalam nahas jalan raya dekat Maran, semalam.

Abdul Basid Mohamed Yunus, 44, dari Permatang Badak di sini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh pada pukul 10.30 malam tadi akibat nahas yang berlaku di Kilometer 189 Lebuhraya Pantai Timur, Jalan Kuantan-Maran, petang semalam.

Dua anak mangsa yang cedera parah ialah Nurul Ain Shahirah, 11, dan adiknya, Muhammad Annuar Farhan, 8, kini dirawat di hospital yang sama.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu mangsa dan enam anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Maran.

"Tiba di tempat kejadian, dipercayai tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu tiba-tiba meletup menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di tengah jalan sebelum terbalik,” katanya.

Abdul Basid yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian.

"Dua anak mangsa yang cedera parah itu masih dirawat di hospital yang sama manakala empat anggota keluarga yang lain tidak cedera,” katanya. — BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm


Tak sempat makan tengah hari



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2013
MUAR - Hasrat seorang juru wayar pulang menikmati makan tengah hari bersama keluarga di rumah, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Nazli Alfaisan Othman, 22, dengan sebuah kereta jenis Chevrolet.

Mangsa dari Jalan Kim Kee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai dari arah sama iaitu Sungai Abong menghala ke Jalan Kim Kee.

Pemandu kereta terbabit berusia 55 tahun mendakwa, cuba mengelak anjing yang melintas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa yang berada di belakang kereta.

Difahamkan, pemandu kereta yang pada mulanya melarikan diri telah membuat laporan di balai polis berhampiran beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kempunan-makan-tengah-hari-1.118712


2 kemalangan di Gunung Semanggol




7 Januari 2013
GUNUNG SEMANGGOL – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) berhampiran Gunung Semanggol, terpaksa menempuh kesesakan hampir 10 kilometer selepas treler yang sarat muatan besi buruk terbalik, di sini, kelmarin.

Insiden berlaku di Kilometer (KM) 188.4 pada kira-kira jam 5 petang telah menyebabkan timbunan besi berselerakan memenuhi kesemua laluan lebuh raya terbabit.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berpunca daripada kegagalan pemandu treler mengawal kenderaan ketika melalui selekoh berhampiran lokasi kejadian disebabkan masalah brek.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar berkata, keadaan itu menyebabkan treler yang dalam perjalanan di arah utara masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pengadang jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan muatan treler terbabit terbalik ke laluan bertentangan menyebabkan besi buruk yang dibawa bertaburan.

“Anggota bomba mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan pemandu treler yang tersepit dalam kenderaan,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Pihak berkuasa terpaksa membuka satu lorong kepada pengguna bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.




Satu parah, dua cedera

Tidak jauh dari lokasi kejadian, seorang pemandu lori parah manakala sepasang suami cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Kemalangan di Kilometer 186 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) membabitkan itu membabitkan dua lori dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu manakala sepasang suami isteri mengalami cedera ringan.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada tindakan pemandu lori muatan gas cecair yang memberhentikan kenderaan secara mengejut setelah berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan kemalangan membabitkan treler membawa muatan besi buruk berkenaan.

“Tindakan lori terbabit menyebabkan sebuah lori muatan barang yang berada di belakangnya tidak sempat berhenti dan seterusnya melanggar bahagian belakang lori muatan gas cecair terbabit.

“Pada masa sama sebuah kereta yang berada di belakang lori berkenaan tidak sempat mengelak dari melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya.

Pemandu lori terbabit telah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Taiping kerana kecederaan parah yang dialaminya, manakala pasangan suami isteri berkenaan ditempatkan di wad biasa untuk rawatan lanjut”, katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-kemalangan-di-lokasi-sama-1.118834


Juruteknik maut langgar pembahagi jalan


7 Januari 2013
GEORGETOWN - Hasrat seorang abang yang mahu mengajak adiknya menghadiri majlis memperingati kematian bapa saudara di sebuah kuil tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa, M Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Adik mangsa, M Ravi, 40, berkata, abang kedua daripada lima beradik itu yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke pusat bandar tetapi tidak tahu tujuannya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa selepas menerima panggilan daripada abang sulung dari Kuala Lumpur memaklumkan kejadian.

“Saya terkejut selepas abang sulung memaklumkan Mohgan terlibat dalam kemalangan dan sebaik menerima berita, saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai, keadaan abang berlumuran darah dan  tidak bergerak lagi sedangkan pagi semalam dia menghubungi dan mengingatkan saya supaya tidak lupa mengambilnya untuk ke kuil sempena majlis memperingati kematian bapa saudara.

“Mendiang seorang yang pendiam namun pemergiannya cukup menyedihkan kerana dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng  mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/juruteknik-maut-motosikal-langgar-pembahagi-jalan-1.118700


Parah rempuh treler besi


7 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang lelaki cedera parah selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler muatan besi di Kilometer 220.5 Lebuhraya Utara - Selatan, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam itu, kereta yang dipandu rakan mangsa, Fathi Fahmi Nazwan Md Yunos, 30, hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebelah kanan treler berkenaan.

Pemandu treler, Yusli Ponyot, 46, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor, menuju ke Kuala Lumpur bersama seorang anaknya sebelum menyedari kenderaan yang dipandunya dirempuh dari belakang.

Menurutnya, dia hanya memandu perlahan berikutan membawa muatan besi yang berat dan hanya berada di laluan kiri.

"Selepas menyedari treler dirempuh dari belakang, saya berhenti di laluan kecemasan dan terlihat sebuah pacuan empat roda sudah remuk di bahagian hadapan," katanya.

Yusli berkata, dia beranikan diri membantu pemandu pacuan empat roda yang tersepit, namun gagal sebelum dibantu oleh seorang lagi pemandu lori yang berhenti.

"Mangsa segera dibawa ke tepi kerana bimbang dirempuh kenderaan lain yang memandu laju dan segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)," katanya di sini semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/parah-rempuh-lori-1.118837


Remaja maut bertembung Toyota Corolla

Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang remaja maut ketika menerima rawatan selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di satu selekoh Jalan Gangsa, Durian Tunggal, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Akmal Hakim Salim, 23, dari Batu Berendam ke pekan Durian Tunggal bertembung dengan kereta Toyota Corolla dipandu Ngow Dou Fa, 47, dari arah bertentangan.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa menunggang sendirian sebelum motosikal yang ditunggang hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta dari selekoh di hadapan.

"Mangsa tercampak jatuh dari motosikal ke tengah jalan dan cedera parah di kepala.

"Mujur tiada kenderaan lain yang melalui jalan itu dan mangsa yang diberikan rawatan awal di tempat kejadian dihantar ke Hospital Melaka namun dilaporkan meninggal dunia selepas sejam menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi.

“Mayat dihantar ke Bilik Mayat hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-bertembung-kereta-1.118847


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount