loading...
Monday, January 7, 2013
2 kemalangan di Gunung Semanggol
7 Januari 2013
GUNUNG SEMANGGOL – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) berhampiran Gunung Semanggol, terpaksa menempuh kesesakan hampir 10 kilometer selepas treler yang sarat muatan besi buruk terbalik, di sini, kelmarin.
Insiden berlaku di Kilometer (KM) 188.4 pada kira-kira jam 5 petang telah menyebabkan timbunan besi berselerakan memenuhi kesemua laluan lebuh raya terbabit.
Sinar Harian difahamkan, kejadian berpunca daripada kegagalan pemandu treler mengawal kenderaan ketika melalui selekoh berhampiran lokasi kejadian disebabkan masalah brek.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar berkata, keadaan itu menyebabkan treler yang dalam perjalanan di arah utara masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pengadang jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan muatan treler terbabit terbalik ke laluan bertentangan menyebabkan besi buruk yang dibawa bertaburan.
“Anggota bomba mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan pemandu treler yang tersepit dalam kenderaan,” katanya.
Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.
Pihak berkuasa terpaksa membuka satu lorong kepada pengguna bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.
Satu parah, dua cedera
Tidak jauh dari lokasi kejadian, seorang pemandu lori parah manakala sepasang suami cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Kemalangan di Kilometer 186 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) membabitkan itu membabitkan dua lori dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu manakala sepasang suami isteri mengalami cedera ringan.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada tindakan pemandu lori muatan gas cecair yang memberhentikan kenderaan secara mengejut setelah berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan kemalangan membabitkan treler membawa muatan besi buruk berkenaan.
“Tindakan lori terbabit menyebabkan sebuah lori muatan barang yang berada di belakangnya tidak sempat berhenti dan seterusnya melanggar bahagian belakang lori muatan gas cecair terbabit.
“Pada masa sama sebuah kereta yang berada di belakang lori berkenaan tidak sempat mengelak dari melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya.
Pemandu lori terbabit telah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Taiping kerana kecederaan parah yang dialaminya, manakala pasangan suami isteri berkenaan ditempatkan di wad biasa untuk rawatan lanjut”, katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-kemalangan-di-lokasi-sama-1.118834
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment