loading...
Friday, January 11, 2013
Perangkap maut di Jalan Haji Ahmad
11 Januari 2013
KUANTAN - Tiga lubang yang terbentuk akibat mendapan tanah sehingga mencapai kedalaman kira-kira dua meter di simpang tiga Lorong Seri Setali 122 dan Lorong Seri Setali 78, Jalan Haji Ahmad, di sini menimbulkan kerisauan penduduk.
Lubang yang dipercayai terbentuk akibat kejadian banjir kilat baru-baru ini kian besar dan dalam sehingga boleh mendatangkan ancaman kepada penduduk terutama pengguna kenderaan dan pejalan kaki.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Tan, 55 berkata, dia yang menggunakan laluan itu saban hari mula bimbang ancaman yang menanti akibat mendapan itu.
Menurutnya, bagi penduduk yang biasa menggunakan laluan itu, mereka mungkin sedar ’perangkap’ yang menanti di tengah-tengah simpang tiga tersebut.
“Jangan tunggu sehingga ada mangsa yang jatuh di sini baru ada usaha daripada pihak yang bertanggung jawab untuk datang membaiki,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, semalam.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Lee Chean Chung berkata, masalah tanah mendap di situ sudah berlaku berulang kali.
Menurutnya, punca mendapan dipercayai akibat aliran air yang meresap masuk melalui rekahan sebelum mengalir ke longkang yang berada di bawah jalan tersebut.
“Kita percaya aliran air itu tersasar kerana tidak dapat mengalir dengan sempurna sebelum menghakis bahagian tepi longkang sehingga membentuk lubang tersebut,” katanya yang hadir meninjau masalah itu, semalam.
Chean Chung berkata, beberapa bulan lalu masalah itu sudah berlaku dan hasil aduan penduduk, lubang yang terbentuk ditimbus serta diturap semula.
“Kini masalah lubang maut ini kembali berlaku dan kita minta pihak yang berkenaan segera cari jalan penyelesaian menutup lubang ini.
“Kita juga minta supaya masalah itu diteliti secara keseluruhan melibatkan seluruh sistem perparitan di situ supaya punca sebenar mendapan tanah di situ dapat kenal pasti,” katanya.
Menurutnya, jika tiada sebarang usaha dilakukan, mendapan itu akan menjadi semakin besar dan boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-lubang-tagih-mangsa-1.120079
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment