Friday, March 1, 2013

Maut bertembung bas sekolah


 Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Mac 2013
Seorang pemuda yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Utama FELDA Palong berhampiran persimpangan menuju ke Pos Iskandar, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 8 pagi itu membabitkan pacuan empat roda Perodua Kembara dan bas sekolah yang baru selesai menghantar pelajar di Sekolah Rendah Felda Tembangau, dekat sini.


Ketua Polis Daerah Superintendan Hamzah Alias berkata, pemandu Perodua Kembara, Mohd Khairul Edham Rosli, 21, yang berasal dari Kampung Jernih Chenor Pahang itu datang dari arah Tembangau untuk ke FELDA Palong Timur.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang bekerja sebagai polis bantuan FELDA itu dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh di laluan utama ke FELDA itu.


“Kenderaan dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan merempuh bas sekolah dari arah bertentangan.


“Akibat rempuhan kuat di bahagian hadapan, mangsa tersepit sehingga terpaksa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat,” jelasnya.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Mautrempuhbassekolah//Article



Pelajar Politeknik Sultan Idris Shah maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Mac 2013
SEREMBAN - Hasrat seorang pelajar mahu pulang ke kampung bertemu keluarga tidak kesampaian apabila dia menemui maut setelah motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori rosak di Kilometer 252.5, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Abdul Hakim Ahmad, 21, yang menuntut di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Rambai, Melaka maut serta-merta di tempat kejadian selepas tersangkut di belakang lori akibat rempuhan tersebut.

Menurut saksi, Ridzuan Yusof, 20, mangsa dikatakan memotong motosikalnya sebelum motosikal mangsa melanggar belakang lori rosak di kiri lebuh raya.

Katanya, dia sangat terkejut melihat motosikal mangsa meluru laju memasuki bahagian bawah tayar lori berkenaan.

“Saya tengok motosikal mangsa menghala ke sebelah kiri, saya ingat penunggangnya nak hentikan motosikalnya.

“Tetapi saya terkejut apabila melihat motosikal ditunggang mangsa itu menuju terus ke tayar kanan lori sebelum motosikal itu dan penunggangnya 'melekat' di tayar lori tersebut,” katanya.

Ridzuan berkata, dia segera memberhentikan motosikalnya dan dengan pertolongan seorang awam, mereka mengangkat mangsa dan meletakkannya di bahu jalan.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Ali Che Mat, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan lori sementara menunggu bantuan.

“Namun tiba-tiba terdengar dentuman kuat dari arah belakang lori, sehingga menyebabkan saya lari ke belakang untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak mangsa sudah pun terperosok di bawah lori,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-politeknik-maut-motor-rempuh-lori-rosak-1.135903


Terperangkap selepas kemalangan



SEBERANG MARANG, Marang - Puluhan kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama sekitar sejam, di jambatan Sungai Marang apabila tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini, semalam.

Akibat kemalangan itu, orang ramai turut memenuhi lokasi kemalangan menyebabkan kesesakan menjadi bertambah teruk, sebelum keadaan lalu lintas menjadi terkawal apabila pasukan bomba dan penyelamat serta polis daerah tiba di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi itu, membabitkan dua kereta jenis Toyota Wish dan Toyota SEG serta sebuah van jenis KIA, namun difahamkan tiada kecederaan parah dilaporkan menimpa tiga pemandu termasuk penumpang tiga kenderaan itu.

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan terbabit kemudiannya dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd Zamri Awang Long yang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.17 pagi sebelum tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

“Keadaan lalu lintas juga kembali pulih selepas tiga kenderaan itu dialihkan," katanya yang turut menasihati pengguna jalan raya di daerah berkenaan agar memandu secara berhemah dan berhati-hati dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/puluhan-terperangkap-selepas-kemalangan-1.135883



Thursday, February 28, 2013

Tiga pekerja binaan nyaris maut



1 Mac 2013
Hulu Bernam: Tiga pekerja binaan nyaris maut selepas tercampak daripada lori dinaiki dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10.30 malam di Kilometer 400.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Bukit Tagar apabila lori satu tan yang membawa peralatan binaan yang dinaiki semua mangsa terbabas akibat tayar belakang pecah.


Pemandu lori itu, S Dorairaju, 35, berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, Kedah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang lori sebelah kiri pecah menyebabkan lori berputar beberapa kali di tengah jalan dan kami bertiga tercampak keluar,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, dekat sini semalam.


Beliau berkata, mereka tidak sedar bagaimana keadaan mereka tercampak sama ada melalui pintu atau cermin depan lori.


Menurutnya, mereka hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan diri kerana masing-masing tercampak di atas lebuh raya.

“Lori kami turut melanggar sebuah lori lain dari arah belakang sebelum berpusing beberapa kali di tengah jalan. Lori turut dirempuh sebuah treler,” katanya.


Berikutan itu, Dorairaju cedera di kaki dan tangan kanan serta beberapa bahagian kepala dan badan.

Dua lagi rakannya, K Ashukumar,35, dan P Kalibaskaran, 25, cedera di kaki, muka dan badan, tetapi hanya menerima rawatan pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.


Sementara itu, pemandu treler, Liong E Chong, 30, berkata, lori itu cuba memotong sebuah kenderaan di depannya namun gagal disebabkan tayar pecah.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3tercampaktayarloripecah/Article/index_html


Setiausaha Akhbar Menteri Dan Pemandu Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Mac 2013
SEREMBAN  - Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sumber Manusia, Sivam Balan dan pemandunya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 232 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, pagi tadi.



Hazrin Hasan, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan rasmi cedera parah.

Sivam, 35, menjadi setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Dr S Subramaniam sejak lebih dua tahun lalu.

Kemalangan membabitkan sebuah lori, kenderaan pacuan empat roda dan kereta.

Jurucakap polis dipetik Bernama berkatam ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Alor Gajah, Melaka untuk menghadiri satu program yang turut dihadiri menteri berkenaan.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, kenderaan jenis Nissan X-Trail yang dipandu Hazrin terbabas dan bergesel dengan sebuah Perodua Myvi sebelum merempuh belakang sebuah lori yang membawa muatan plastik.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seorang
daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Pemandu lori dan pemandu kereta Myvi yang turut terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan.

Katanya mayat Sivam dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya.

Sementara itu, Subramaniam ketika ditemui di Hospital Tampin berkata Sivam sudah tiga tahun berkhidmat dengan beliau sebagai setiausaha akhbar dan hubungan mereka sangat rapat.

"Saya amat sedih kerana kedua-dua mereka merupakan pekerja yang setia dan bertanggungjawab dengan tugas selain banyak berjasa kepada kerajaan.

"Pada hari ini saya bukan sahaja kehilangan pekerja yang baik tetapi seorang sahabat kerana mendiang Sivam amat rapat dengan saya dan hubungan kami seperti saudara," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/su-akhbar-menteri-sumber-manusia-pemandu-maut-kemalangan-1.135237

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2013/2/28/mstar_jenayah/20130228185823&sec=mstar_jenayah


Bapa maut dirempuh penjenyah



1 Mac 2013
RAWANG - Tindakan seorang penjenayah yang melarikan diri dengan memandu sebuah van di laluan bertentangan, semalam berakhir tragedi apabila seorang bapa maut, manakala anak perempuannya parah akibat dirempuh di Kilometer 21, Jalan Rawang-Kuala Lumpur berhampiran Temple Park.

M Ramanayah, 58, yang menaiki sebuah motosikal bersama anaknya itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Anaknya, R Mariammah, 39, kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Kejadian bermula ketika polis cuba melakukan pemeriksaan terhadap sebuah van dipandu seorang lelaki yang berhenti di Jalan Ipoh menghala Rawang, berhampiran Pasar Borong Selayang, kira-kira jam 11.45 pagi.




Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, suspek hanya menurunkan cermin pemandu sebelum memecut kenderaan melarikan diri.

Beliau berkata, suspek kemudiannya membuat pusingan U di Jalan Bidara di jejambat Selayang dan memandu ke arah ibu negara sebelum masuk semula ke pekan Selayang melalui jalan kecil.

“Suspek seterusnya masuk ke laluan bertentangan di Jalan Rawang-Kuala Lumpur dan melanggar dua buah motosikal serta sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang wanita. Dua penunggang motosikal itu juga cedera.

“Suspek kemudiannya terus memecut dan terbabas selepas merempuh motosikal yang dinaiki dua beranak berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 28 tahun itu kemudiannya melarikan diri sebelum diberkas ketika menyorok di dalam longkang berhampiran lokasi tersebut.

“Siasatan mendapati suspek memandu di bawah pengaruh dadah. Dia juga memiliki tiga rekod jenayah lampau bersabit kes gaduh dan curi,” katanya.

Difahamkan, suspek yang berasal dari Raub, Pahang itu memandu van milik bapa saudaranya tanpa kebenaran keluarga.

Polis juga menemui sebilah pisau lipat yang disimpan di dalam poket seluar suspek.

Thaiveegan berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan.



Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bapa-maut-anak-kritikal-dirempuh-penjenyah-1.135489

http://www.hmetro.com.my/articles/Penjenayah__8216_liat__8217_//Article


Wednesday, February 27, 2013

Plaza Tol KESAS dirempuh treler

28 Februari 2013
Shah Alam: Seorang lelaki nyaris maut selepas treler dipandunya merempuh sebuah pondok tol di Plaza Tol Kemuning, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 40-an itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan walaupun tersepit di tempat duduk pemandu.


Kejadian dipercayai berpunca daripada kerosakan brek menyebabkan treler itu gagal untuk diperlahankan sebaik tiba di plaza tol.

Rempuhan kuat menyebabkan pondok tol berkenaan remuk, namun tiada pekerja tol dilaporkan cedera kerana pondok itu kosong ketika kejadian.


Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Shah Alam Jumari Husin berkata, enam anggotanya dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 1.37 tengah hari. Menurutnya, pemandu terbabit gagal dikeluarkan selepas treler dipandunya remuk sehingga memaksa anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkannya.


“Kami mengambil tempoh tiga minit mengeluarkan mangsa yang cedera ringan selepas semua pintu kenderaannya remuk dan gagal dibuka,” katanya.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Trelerrempuhpondoktol/Article/index_html


Lori rempuh pagar balai polis



28 Februari 2013
Kuala Lumpur: Sebuah lori yang sarat membawa muatan tar seberat 15 tan dikatakan mengalami masalah brek sebelum terbabas dan merempuh tembok pagar Balai Polis Sungai Besi, di sini, pagi semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Kampung Malaysia Tambahan, di sini.


“Lori terbabit sedang menuruni jalan berbukit dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) sebelum terbabas dan merempuh tembok balai polis itu.

“Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbalik di tengah jalan dengan separuh badannya masuk ke dalam balai,” katanya ketika ditemui, semalam.


Berikutan insiden itu, pemandu lori terbabit patah kaki kiri manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berdekatan balai polis ditimbus limpahan tar yang tumpah dari lori itu.


“Bagaimanapun, pemandu dan penumpangnya yang dalam perjalanan melakukan kerja-kerja di Kem Sungai Besi, di sini, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, selain kenderaan pacuan empat roda berkenaan, sebuah lagi kereta Proton Satria milik seorang anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan turut rosak terkena tayar lori yang tercabut selain muatan tar yang tertumpah.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Loriterbabasrempuhpagarbalaipolis/Article


Pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Februari 2013
Rembau: Hasrat seorang pelajar lelaki Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Alor Gajah, Melaka, bersarapan nasi lemak dibekalkan ibu bersama rakannya di asrama pusat kemahiran itu tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Seremban-Tampin dekat Kota, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, mangsa Mohamad Abdurrahman Azmi, 21, pelajar jurusan Diploma Teknologi Telekomunikasi menunggang motosikal Honda EX-5 dari arah Rembau ke Tampin itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Honda Hybrid dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Azmi Ahmad, 50, berkata, arwah pulang ke rumah mereka di Taman Seri Rembau, di sini, malam kelmarin kerana mahu mengambil duit belanja dan bergerak pulang ke kolej ADTEC pagi semalam.

“Saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Seremban. Kali terakhir saya jumpa dia jam 7 pagi sebelum saya ke sekolah, tetapi arwah tidak bersarapan bersama kerana mahu makan bersama rakannya di asrama.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/anak-wartawan-sinar-harian-cedera-parah-1.135166


Anak wartawan Sinar Harian parah



28 Februari 2013
SEREMBAN – Anak wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan cedera parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Mambau – Rantau, berdekatan Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Mohammad Syafiq Aiman Khairulkheiza, 5, anak kepada wartawan Khairulkheiza Mohd Najib, 30, mengalami pendarahan serius di bahagian limpa akibat hentakan kuat pada dashboard kereta.

Menurut Khairulkheiza, ketika kejadian, isterinya, Nor’Aida Abu Samah, 28, memandu kereta Proton Saga itu dalam perjalanan ke Sekolah Rendah Dato’ Raja Melana, Rantau, di sini, dari rumahnya di Taman Nusari Bayu, Sendayan.

“Isteri dan anak saya dalam perjalanan ke sekolah selepas menghantar dua anak yang lain ke sebuah rumah asuhan kanak-kanak di Garden Homes, Seremban 2.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu isteri saya hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri jalan sebelum melanggar tebing bukit,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kemalangan tersebut tidak melibatkan sebarang kenderaan lain.

“Anak dan isteri saya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

“Namun, anak saya mengalami pendarahan serius di bahagian limpa dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Khairulkheiza berkata, isterinya yang juga guru J-Qaf sekolah berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/anak-wartawan-sinar-harian-cedera-parah-1.135166


Maut bertembung lori tangki minyak

Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Februari 2013
KUALA LIPIS - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dinaikinya bersama dua lagi rakan bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam satu kejadian kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Mat Salleh Lateh, 36, bersama dua rakannya, Mohd Safuan Razi, 23, dan Mohd Erlmi Mokhtar, 26, menaiki  Proton Wira  dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Sampai di tempat kejadian di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), kereta dipandu Mohd Safuan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa  sama, sebuah lori tangki minyak dipandu seorang lelaki dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kelantan gagal mengelak dan bertembung dengan kereta dinaiki tiga sahabat tadi,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, Mat Salleh yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta tersepit itu mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

“Dua lagi sahabat mangsa serta pemandu lori tangki berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Lipis," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung pegawai penyiasat, Inspektor Johnny James Bujang menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/padah-bertembung-lori-tangki-1.135177


Lori balak terbabas


27 Februari 2013
Rantau Panjang: “Saya terdengar dentuman kuat seperti tong gas meletup sebelum bangkit daripada tidur dan mendapati beberapa batang kayu balak menghentam tangga rumah,” kata Mohd Zain Yaacob, 40, menceritakan detik cemas rumahnya bergegar selepas beberapa batang kayu balak bergolek dari sebuah treler yang terbabas berhampiran kediamannya di Kampung Kubang Rambutan, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, treler dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke kilang kayu di Lubok Jong, Pasir Mas itu terbalik selepas gagal dikawal ketika membelok ke kanan untuk ke Jalan Parit Air, di sini.

Selain menghentam tangga, kayu balak berkenaan turut menghempap sebuah lori milik jiran Mohd Zain, Wan Mohd Zahari Wan Mohd Noor, 40, sehingga rosak teruk.

Mohd Zain berkata, selepas melihat kayu balak menghentam tangga rumah, dia mengejutkan isteri dan empat anaknya yang tidur dan membawa mereka keluar rumah kerana bimbang kediaman itu roboh.

Katanya, selepas beberapa minit, dia lega kerana tiada perkara buruk

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Balakbawabala//Article


Hangus dua kereta bertembung


27 Februari 2013
SEREMBAN – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Wira dinaikinya terbakar selepas bertembung dengan sebuah Perodua MyVi di Jalan Mambau-Port Dickson di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu,  mangsa yang masih belum membuat laporan polis sehingga jam 5 petang semalam bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Jurucakap polis berkata,  mangsa yang memandu berseorangan dipercayai dari arah Seremban ke Port Dickson.

“Sebaik sampai ke tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa bertembung dengan kereta Perodua MyVi menyebabkannya terbakar dan hangus keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, mangsa bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan dan sempat dibawa keluar oleh orang ramai.

Jurucakap berkata, pemandu dan penumpang Perodua MyVi yang berusia 30-an juga selamat dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Badrul Tamam Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.02 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebanyak sebuah jentera berserta tujuh pegawai dan anggota dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Ketika kami sampai api sedang marak dan mengambil masa kira-kira enam minit kemudian namun keseluruhan kereta Proton Wira itu hangus,” katanya.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nyaris-maut-kereta-terbakar-1.134941

Maut dirempuh MPV


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Februari 2013
MUAR - Seorang lelaki tidak sempat mendiami rumah barunya yang masih dalam pembinaan apabila maut selepas terbabit nahas di Jalan Salleh, berhampiran Kampung Temiang di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohamad Awang, 55, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebaik keluar daripada persimpangan kampung berkenaan.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, rumah tersebut baru dimulakan pembinaan beberapa minggu lalu oleh adiknya bagi menggantikan kediaman mangsa  yang sudah uzur.

“Sememangnya arwah terlalu gembira dan sering memberitahu tidak sabar untuk tinggal di rumah barunya itu,” katanya kepada  Sinar Harian.

Jelasnya, sebelum kejadian, mangsa ada memaklumkannya mahu ke bandar, namun beberapa jam kemudian dia dikejutkan dengan berita insiden menimpa rakannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu dipercayai berlaku apabila MPV terbabit yang datang dari arah Muar menghala ke Pagoh tidak sempat untuk mengelak motosikal ditunggangi mangsa yang baru keluar dari simpang Kampung Temiang menghala ke Muar.

“Ini menyebabkan kereta terbabit merempuh mangsa yang kemudiannya tercampak ke atas jalan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Tambahnya, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-maut-dirempuh-mpv-1.135000

Monday, February 25, 2013

Rempuh Pacuan empat roda



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2013
KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 22, Jalan Kuala Kangsar–Manong, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, Abdul Mu’iz Abdul Razab, 22, yang menunggang motosikal jenis Yamaha dikatakan merempuh sebuah pacuan empat roda yang keluar secaera tiba-tiba dari simpang di Bukit Mercu.

Mangsa yang tinggal di Taman Harmoni meninggal dunia kira-kira dua jam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhammad berkata, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak selepas pacuan empat roda terbabit keluar dari simpang secara melulu.

Menurutnya, mangsa telah merempuh sisi kanan kereta terbabit dan dipercayai berlaku hentakan di bahagian kepala.

“Berikutan itu, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan dan meninggal dunia pada jam 10 malam.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta itu pula tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Katanya, pemandu kereta terbabit telah diambil keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/dirempuh-pacuan-empat-roda-1.134630


Pembonceng maut diseret 5 meter



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2013
TUMPAT – Seorang pembonceng maut manakala penunggangnya cedera parah apabila diseret kira-kira lima meter, selepas motosikal jenis Honda Vave bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 9.5 Jalan Wakaf Bharu-Tumpat, di hadapan Sekolah Maahad Muhammadi, Kampung Sedar, di sini petang kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 5.45 petang, mangsa, Iskandar Zulkarnain Derus, 19, dari Kampung Kelaboran maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala rakannya, Mohd Haikal Zaidi, 20, cedera parah di kepala dan patah tulang rusuk, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II).

Bapa mangsa, Derus  Omar, 42, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya tetapi tidak menyangka Iskandar meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Arwah seorang pendiam tetapi beberapa hari sebelum meninggal dunia dia jadi peramah. Malah, dia juga begitu rapat dan selalu bercakap dengan saya.

“Dia juga minta macam-macam untuk sediakan makanan kegemarannya seperti orang mengidam. Malam kelmarin, dia meminta saya belikan burger, gembira betul dia apabila nampak saya bawa pulang burger permintaannya itu ,” katanya.

Menurutnya, perubahan sikap anaknya itu adalah petanda dia akan meninggalkan keluarganya buat selama-lamanya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah menerima berita kematiannya dari seorang sahabat yang menelefon memaklumkan kemalangan tersebut,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Kelaboran, malam kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat,  Sharipudin Yusof berkata, mangsa membonceng motosikal dari arah Wakaf Bharu menghala ke Tumpat.

“Di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kereta jenis Myvi menyebabkan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah kereta jenis Kelisa dari Tumpat menghala ke Wakaf Bharu merempuh dan mengheret mangsa bersama motosikalnya kira-kira lima meter dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Saksi kejadian diminta menghubungi  Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-7257222 untuk membantu siasatan  kemalangan tersebut,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/remaja-maut-diseret-5-meter-1.134570


Abang nak mati dah



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2013
KEMAMAN – “Patutlah beberapa hari lalu arwah berpesan pada saya supaya langsaikan hutangnya, rupanya dia mahu ‘pergi.”

Demikian luahan penjual sayur, Gayah Mat Ali, 58, yang kematian suami dalam nahas melibatkan tiga kereta mengorbankan dua nyawa, di sini semalam.


Suaminya, Mohd Rupiah Ismail, 55, dan seorang lagi mangsa, Afizree Salim, 23, maut selepas kenderaan masing-masing bertembung di selekoh tajam Kilometer 124.9 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, berdekatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Satria Neo yang dipandu Mohd Rupiah menghala ke arah Kuantan, berlanggar secara bertentangan dengan Perodua Viva dipandu Afizree, sebelum sebuah lagi Perodua Viva dinaiki empat sekeluarga yang berada di belakang kereta Mohd Rupiah tidak sempat mengelak, lalu merempuh kereta Proton Satria berkenaan.

Berikutan itu, Mohd Rupiah yang juga pemandu lori maut di lokasi kejadian, sementara Afizree yang beralamat di Rumah Murah Gong Gemiang, Paka, Dungun meninggal dunia, kira-kira jam 4.30 petang, di Hospital Kemaman.

Bagaimanapun, kesemua empat beranak berkenaan termasuk seorang ibu mengandung tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.

Gayah berkata, dia mengetahui kemalangan melibatkan suaminya itu kira-kira jam 1.23 tengah hari sebelum segera bergegas ke hospital.

Arwah minta jelaskan hutang

Katanya, suaminya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Baru Kerteh untuk pergi ke Chukai bagi memperbaharui lesen GDL yang telah tamat tempoh.

“Sebelum pergi ke bandar, pada jam 9 pagi arwah datang ke Pasar Kerteh tempat saya jual sayur dan beri wang gajinya sebanyak RM50 kepada saya.

“Tapi waktu itu saya rasa tidak sedap hati dan mahu mengikutnya, tapi dia tidak izinkan dan saya sempat bersalam dan meminta maaf kepadanya sambil berpesan agar hati-hati memandu," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman, semalam.

Gayah hanya mengetahui suaminya itu meninggal dunia semasa berada di Kijal ketika dalam perjalanan menuju ke hospital.

Ibu kepada 16 anak ini berkata, seminggu lalu, arwah suaminya berkelakuan agak pelik kerana memintanya menjelaskan hutang sebanyak RM500.

“Tapi arwah suami cakap pemilik wang itu sudah tiada dan suami minta saya serah wang RM500 itu kepada masjid. Saya akan tunaikan permintaan suami.

“Minggu lepas juga saya terkejut bila arwah berkata ‘Yah, abang nak mati dah ni,' selepas arwah pulang dari masjid,” katanya lagi.

Katanya, suaminya bekerja sebagai pemandu lori ikan sejak 10 tahun lalu dengan salah seorang anaknya dan kereta Satria Neo dinaiki itu adalah milik anak sulung mereka, Mat Rosli, 27.

Gayah mempunyai seramai sembilan anak hasil perkongsian hidup dengan Mohd Rupiah selain mempunyai seramai tujuh anak dengan suami terdahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil bedah siasat mendapati Mohd Rupiah meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di kepala.

Jenazah Mohd Rupiah dikebumikan selepas isyak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kerteh.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/yah-abang-nak-mati-dah-ni-1.134587


Bayi 20 bulan maut tercampak 10 meter



25 Februari 2013
Gombak: Seorang bayi perempuan berusia 20 bulan maut selepas kereta dipandu bapanya yang berusia 20-an terbabas dalam kejadian di Kilometer 26.5 Lebuhraya Karak, dekat sini, petang semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian enam sekeluarga termasuk mangsa, Della Loh dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur selepas bercuti di pusat peranginan itu.


Jurucakap polis berkata, sebaik tiba di tempat kejadian kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Katanya, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan tiga penumpang termasuk mangsa, bapa saudara mangsa yang meriba mangsa dan nenek mangsa tercampak dari kereta. Ibu mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera ringan.


“Ketiga-tiga mangsa tercampak dipercayai akibat kereta berkenaan berpusing sebelum terbabas ke bahagian kiri bahu jalan,” katanya.


Jurucakap itu berkata, mangsa dan bapa saudaranya yang tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang, di sini.

“Bagaimanapun, bayi itu disahkan maut ketika menerima rawatan kecemasan manakala bapa saudaranya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Empat ahli keluarga lain hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.


“Punca kejadian masih dalam siasatan dan bapa mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kemalangan berkenaan,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayimautkeretadipanduayahterbabas/Article/index_html


Gara-gara mengelak objek



25 Februari 2013
ALOR GAJAH - Gara-gara mengelak objek yang terjatuh dari sebuah kenderaan, seorang pemandu lori kek berdepan detik cemas apabila lori dipandunya terbabas dan berpusing sebelum terbalik di Kilometer 200 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lori dipandu Azman Sulaiman, 47, dari Kuala Lumpur menuju Plentong, Johor Bahru, hilang kawalan selepas mengelak objek yang terjatuh dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.

Ketika kejadian, kenderaan MPV berkenaan merempuh besi pengadang lebuh raya menyebabkan barang yang diletak di atas kenderaan berkenaan tercabut dan tercampak ke tengah jalan.

Azman berkata, dia yang memandu di lorong kiri terkejut apabila sebahagian objek berkenaan, dipercayai peralatan sembahyang dari MPV terbabit terjatuh ke atas jalan dan cuba mengelak daripada merempuh barang berkenaan.

“Saya baru sahaja selesai menghantar bekalan kek di beberapa pusat membeli belah di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke kilang di Plentong. Sebaik barang di atas MPV itu terjatuh, saya cuba menekan brek untuk mengelak, namun lori saya berpusing dan terbalik," katanya.

Menurutnya, selepas terbalik, cermin hadapan lori lima tan yang dipandunya retak dan tercabut sebelum dia bertindak keluar dari lori.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-terbalik-elak-objek-jatuh-1.134364



3 maut bas ekspres terbabas di Bukit Tagar


Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Februari 2013
Tiga maut manakala 15 cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya di Kilometer 420.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke utara, dekat Bukit Tagar di sini, jam 3.30 pagi tadi.

Bas yang dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Sungai Nibong dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.



Mereka yang maut dalam kemalangan pada pukul 3.10 pagi itu ialah Mohd Zamri Rani, 42, berasal dari Kedah, Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, dari Simpang Renggam, Johor Baharu dan seorang penumpang wanita yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Derah Hulu Selangor Supt Norel Azmi dipetik Bernama berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan gagal mengawal kenderaan itu
sebelum melanggar pembahagi jalan.


"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju utara itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan mengakibatkan pembahagi jalan itu tertusuk ke dalam bas," katanya.

Beliau berkata, pemandu bas berkenaan cedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala 13 penumpang lain tidak cedera.



Video Kemalangan bas ekspres di Bukit Tagar




Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/3-maut-15-cedera-bas-ekspres-terbabas-dekat-bukit-tagar-1.134196

http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/TERKINI_3_1361776851.html


Sunday, February 24, 2013

Warga Indonesia nyaris maut


24 Februari 2013
15 penumpang sebuah bas persiaran terselamat apabila bas yang dinaki terhumban dari tebing bukit di Ampang, Selangor, pagi tadi.

Bas berkenaan kemudian merempuh empat kenderaan dan sebuah kedai berdekatan.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi di persimpangan lampu isyarat Ampang - Hulu Langat arah Jalan Taman Putra, Ampang.

Bas persiaran ini disewa 25 warga Indonesia dalam perjalanan dari Johor Baharu menuju ibunegara.


Sumber:
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Penumpang_Selamat_Walaupun_Bas_Terhumban_Dari_Tebing_Bukit.html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount