loading...

Monday, February 25, 2013

Abang nak mati dah



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2013
KEMAMAN – “Patutlah beberapa hari lalu arwah berpesan pada saya supaya langsaikan hutangnya, rupanya dia mahu ‘pergi.”

Demikian luahan penjual sayur, Gayah Mat Ali, 58, yang kematian suami dalam nahas melibatkan tiga kereta mengorbankan dua nyawa, di sini semalam.


Suaminya, Mohd Rupiah Ismail, 55, dan seorang lagi mangsa, Afizree Salim, 23, maut selepas kenderaan masing-masing bertembung di selekoh tajam Kilometer 124.9 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, berdekatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Satria Neo yang dipandu Mohd Rupiah menghala ke arah Kuantan, berlanggar secara bertentangan dengan Perodua Viva dipandu Afizree, sebelum sebuah lagi Perodua Viva dinaiki empat sekeluarga yang berada di belakang kereta Mohd Rupiah tidak sempat mengelak, lalu merempuh kereta Proton Satria berkenaan.

Berikutan itu, Mohd Rupiah yang juga pemandu lori maut di lokasi kejadian, sementara Afizree yang beralamat di Rumah Murah Gong Gemiang, Paka, Dungun meninggal dunia, kira-kira jam 4.30 petang, di Hospital Kemaman.

Bagaimanapun, kesemua empat beranak berkenaan termasuk seorang ibu mengandung tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.

Gayah berkata, dia mengetahui kemalangan melibatkan suaminya itu kira-kira jam 1.23 tengah hari sebelum segera bergegas ke hospital.

Arwah minta jelaskan hutang

Katanya, suaminya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Baru Kerteh untuk pergi ke Chukai bagi memperbaharui lesen GDL yang telah tamat tempoh.

“Sebelum pergi ke bandar, pada jam 9 pagi arwah datang ke Pasar Kerteh tempat saya jual sayur dan beri wang gajinya sebanyak RM50 kepada saya.

“Tapi waktu itu saya rasa tidak sedap hati dan mahu mengikutnya, tapi dia tidak izinkan dan saya sempat bersalam dan meminta maaf kepadanya sambil berpesan agar hati-hati memandu," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman, semalam.

Gayah hanya mengetahui suaminya itu meninggal dunia semasa berada di Kijal ketika dalam perjalanan menuju ke hospital.

Ibu kepada 16 anak ini berkata, seminggu lalu, arwah suaminya berkelakuan agak pelik kerana memintanya menjelaskan hutang sebanyak RM500.

“Tapi arwah suami cakap pemilik wang itu sudah tiada dan suami minta saya serah wang RM500 itu kepada masjid. Saya akan tunaikan permintaan suami.

“Minggu lepas juga saya terkejut bila arwah berkata ‘Yah, abang nak mati dah ni,' selepas arwah pulang dari masjid,” katanya lagi.

Katanya, suaminya bekerja sebagai pemandu lori ikan sejak 10 tahun lalu dengan salah seorang anaknya dan kereta Satria Neo dinaiki itu adalah milik anak sulung mereka, Mat Rosli, 27.

Gayah mempunyai seramai sembilan anak hasil perkongsian hidup dengan Mohd Rupiah selain mempunyai seramai tujuh anak dengan suami terdahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil bedah siasat mendapati Mohd Rupiah meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di kepala.

Jenazah Mohd Rupiah dikebumikan selepas isyak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Kerteh.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/yah-abang-nak-mati-dah-ni-1.134587


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my