loading...
Monday, February 25, 2013
Pembonceng maut diseret 5 meter
Inalillahi wainailaihi rojiun
26 Februari 2013
TUMPAT – Seorang pembonceng maut manakala penunggangnya cedera parah apabila diseret kira-kira lima meter, selepas motosikal jenis Honda Vave bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 9.5 Jalan Wakaf Bharu-Tumpat, di hadapan Sekolah Maahad Muhammadi, Kampung Sedar, di sini petang kelmarin.
Kemalangan kira-kira jam 5.45 petang, mangsa, Iskandar Zulkarnain Derus, 19, dari Kampung Kelaboran maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala rakannya, Mohd Haikal Zaidi, 20, cedera parah di kepala dan patah tulang rusuk, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II).
Bapa mangsa, Derus Omar, 42, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya tetapi tidak menyangka Iskandar meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
“Arwah seorang pendiam tetapi beberapa hari sebelum meninggal dunia dia jadi peramah. Malah, dia juga begitu rapat dan selalu bercakap dengan saya.
“Dia juga minta macam-macam untuk sediakan makanan kegemarannya seperti orang mengidam. Malam kelmarin, dia meminta saya belikan burger, gembira betul dia apabila nampak saya bawa pulang burger permintaannya itu ,” katanya.
Menurutnya, perubahan sikap anaknya itu adalah petanda dia akan meninggalkan keluarganya buat selama-lamanya.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah menerima berita kematiannya dari seorang sahabat yang menelefon memaklumkan kemalangan tersebut,” katanya.
Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Kelaboran, malam kelmarin.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Sharipudin Yusof berkata, mangsa membonceng motosikal dari arah Wakaf Bharu menghala ke Tumpat.
“Di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kereta jenis Myvi menyebabkan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Kelisa dari Tumpat menghala ke Wakaf Bharu merempuh dan mengheret mangsa bersama motosikalnya kira-kira lima meter dari tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
“Saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-7257222 untuk membantu siasatan kemalangan tersebut,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/remaja-maut-diseret-5-meter-1.134570
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment