loading...

Saturday, August 11, 2012

Ops Selamat Dilancarkan



Shah Alam: Op Selamat 1, yang menggantikan Ops Sikap akan menggunakan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata selain memberi tumpuan kepada kempen keselamatan jalan raya, Op Selamat 1 yang bermula esok sehingga 26 Ogos ini akan turut meningkatkan rondaan bagi mengelak sebarang kegiatan jenayah.
Tepis tanggapan

Katanya, ia juga antara langkah proaktif polis untuk menepis tanggapan masyarakat bahawa kes pecah rumah akan meningkat setiap kali tibanya musim perayaan.

“Sebab itu kita gunakan perkataan ‘selamat’ dalam perayaan tahun ini. Kita mahu supaya mereka yang pulang ke kampung, dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu.

“Jangan fikir perkara lain yang boleh mengganggu tumpuan di jalan raya sebab polis akan pastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Bagi kawalan kawasan perumahan, kita akan guna anggota sedia ada di setiap daerah kerana hanya 10 peratus saja anggota yang dibenar bercuti pada musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ‘Op Selamat 1’ di Dataran Shah Alam di sini, semalam.
Op Selamat 1 menggantikan Ops Sikap yang sudah sinonim dengan operasi penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya sejak 25 musim perayaan lalu.

Ismail berkata, selain memaklumkan kepada balai polis berdekatan jika ingin balik kampung, orang ramai juga boleh mendaftar dengan Rakan Cop yang dilihat sebagai satu cara berkesan untuk berinteraksi dengan polis bagi menurunkan kadar jenayah.

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/OpSelamattingkatrondaan/Article

Lori tangki petrol terbalik


SETIU 11 Ogos - Penduduk sekitar Sungai Tong dekat sini semalam gempar apabila sebuah lori tangki yang sarat dengan muatan minyak petrol terbabas sebelum terbalik di Kilometer 37.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika lori itu dalam perjalanan dari terminal minyak di Kerteh, Kemaman menuju ke Gua Musang, Kelantan.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Timur/20120812/wt_01/Lori-muatan-minyak-petrol-terbalik

Remaja perempuan terperosok bawah lori



11 Ogos 2012
KULIM: Seorang remaja perempuan nyaris maut apabila motosikal yang ditungganginya terperosok di bawah sebuah lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah kilang di Kulim Hitech, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum merempuh bahagian tengah treler berkenaan.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat seorang gadis meraung kesakitan apabila terperosok di bawah treler berkenaan bersama motosikalnya.

Menurutnya, pada masa sama, orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana menyangka mangsa kemalangan itu mungkin mengalami kecederaan serius apabila melihat keadaan motosikal yang remuk.

“Bagaimanapun, mangsa tidak cedera serius lalu dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika treler terbabit dalam perjalanan dari Sungai Kob membelok ke kanan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat itu.

Menurutnya, motosikal yang ditunggangi wanita itu datang dari arah sama dan ingin membelok ke kanan untuk ke tempat kerjanya.

“Akibat kejadian itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh di bawah treler berkenaan. Mangsa cedera di kaki dan punggung dan dibawa ke Hospital Kulim dengan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya.

Sumber:
harian-metro-online.com/gadis-meraung-bawah-treler

Maut Rempuh Pokok



11 Ogos 2012
IPOH – Seorang lelaki maut manakala seorang rakannya cedera parah setelah kereta Perodua Myvi yang dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Sekolah Tunku Abdul Rahman di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa Teow Chin Khung, 27, yang merupakan pemandu kereta terbabit maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rakannya, Kaw Ching Seng, 32, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa yang berasal dari Ipoh Garden dalam perjalan menuju ke Jalan Gopeng dari Tasek.

Menurutnya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh pokok di tepi jalan ketika tiba di tempat kejadian.

“Rempuhan kuat itu juga menyebabkan pokok berkenaan patah dua. Akibatnya, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk berikutan bahagian hadapan kenderaan remuk.

“Pasukan bomba dan penyelamat dipanggil untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Ipoh, Ahmad Roszaini Che Hat berkata, dua jentera bersama 13 anggota dikejarkan ke kawasan kejadian setelah menerima panggilan dari orang awam.

“Anggota mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk. Kedua-dua mangsa dapat dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pemandu-kereta-maut-rempuh-pokok-rakan-parah-1.75590

Suami isteri maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Ogos 2012
SERDANG – Tidak sampai 24 jam 'Op Selamat' dilancarkan, sepasang suami isteri maut apabila motosikal ditunggangi kedua-duanya terbabas di Kilometer 17.21 Lebuh Raya Mex, menghala ke Putrajaya di sini malam tadi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dari rumah mereka di pangsapuri Enggang Bandar Kinrara 6 di sini dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Putrajaya untuk berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 petang di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya ketika mangsa, Mohd Eaddy Afkam Abdul Khalid, 35, menunggang motosikal bersama isterinya, Yusmani Yusof, 28 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berasal dari Terengganu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati penunggang gagal mengawal pemanduan menyebabkan motosikal itu terbabas dan kedua-duanya tercampak ke atas jalan.

Abd Razak berkata, mayat kedua-duanya dituntut keluarga masing-masing dan dibawa ke Terengganu awal pagi tadi untuk dikebumikan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/suami-isteri-maut-ketika-dalam-perjalanan-untuk-buka-puasa-1.75598

Gara-gara elak kucing



 11 Ogos 2012
GEMENCHEH – Sepasang suami isteri terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, satu lori treler dan lori tanpa muatan di kilometer 27, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Kampung Gedok, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 itu, Jefri Md Zain, 29, dan isterinya,  Saharah Abdul Salam, 27, menaiki kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari Gemas menuju ke Gemencheh dipercayai cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing.

Jurucakap polis berkata, akibat kemalangan itu, kenderaan yang dipandu mangsa yang turut dinaiki dua anaknya dan ibu mertua terbabas ke laluan  bertentangan  dan bergesel dengan lori treler.

Tidak cukup dengan itu, kereta berkenan turut berpusing dan dihentam sebuah lagi kereta jenis Proton Saga dari arah Tampin.

“Anak mangsa, Md Afiq Danis Jefri, 4, hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemencheh, di sini bagi rawatan lanjut. 

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dari sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, pemandu lori tanpa muatan Zaid Aris, 47, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Gemencheh ke Gemas.

Katanya, dia sempat mengelak dan kereta mangsa bergesel dengan tayar belakang lori yang dipandunya.

“Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi lori treler di belakang.

"Saya juga akhirnya memberhentikan kenderaan tidak jauh dari lokasi bagi melihat apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-terbabas-elak-kucing-1.75615

Empat anggota tentera junam gaung



ALOR GAJAH - Lima  termasuk  dua pasangan suami isteri nyaris maut apabila kereta mereka naiki terbabas dan terhumban dalam gaung di Jalan Sungai Udang - Hutan Simpan, berdekatan Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan (PLRWS), di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu Awang Shahfaizul Awang Ahmad, 23, dalam perjalanan untuk bersahur di pekan Sunagi Udang, di sini.

Turut berada dalam kereta, Mohd Izwan Arshad, 23, dan isterinya, Norizatul Akmal, 19, serta Mohd Hafiz Mohd Nor, 23, dan isterinya, Nurul Syazwani Abdullah, 30.

Empat daripada lima mangsa itu merupakan anggota tentera dari Depo Simpanan Peluru, Hutan Simpan  Solok Duku, di sini.

Kereta dinaiki kesemua mangsa dikatakan melalui satu selekoh sebelum terbabas merempuh sebuah papan tanda sehingga patah,  lalu terhumban ke dalam gaung bersemak sedalam kira-kira 1.5 meter.

Sebuah jentera membabitkan enam anggota Balai Bomba Masjid Tanah bergegas ke tempat kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa, sebelum sebuah lagi jentera membabitkan lima anggota dari Balai bomba Tangga Batu turut sama membantu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Maskor Ahmad berkata, sebaik saja tiba di tempat kejadian, tiga mangsa masih berada dalam kereta akibat gagal keluar sendiri.

“Bomba terpaksa merenggangkan beberapa bahagian kereta dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit. Manakala dua lagi penumpang lelaki berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Dua penumpang wanita berkenaan dikatakan tercampak keluar dari kereta menerusi cermin tingkap belakang yang pecah.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lima-cedera-kereta-terhumban-masuk-gaung-1.75522

Friday, August 10, 2012

Kereta rempuh tembok jalan


 MUAR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit  Pulai, Jalan Abdul Rahman, malam kelmarin.


Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa, Chia Soon Hup, 31, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.

Soon Hup memandu sendirian kereta Toyota Vios dari Parit Jawa menghala ke Muar, dikatakan mahu berjumpa rakannya di bandar ini.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan serta merempuh  tembok jalan di kawasan selekoh sebelum melanggar tiang lampu.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Ketika operasi menyelamat dilakukan, mangsa sudah tidak bernyawa.

“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala setelah terhantuk dengan kuat di bahagian stereng.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-rempuh-tembok-jalan-1.75111

Sepasang Suami Isteri Maut Dirempuh Waja


Inalillahi wainailaihi rojiun

SABAK BERNAM - Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh kereta jenis Proton Waja di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Sungai Besar.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Musyar Mohammed berkata, mangsa dipercayai keluar dari arah Parit 6 sebelum dilanggar kereta terbabit yang datang dari arah Sabak Bernam.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta dan motosikal berkenaan dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum keduanya dilanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan konkrit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Mohd Fyrus Khan Pas Abdul Rahman, 51, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Sarimah Mohd Salleh, 49, maut ketika menerima rawatan di Hospital  Tunku Ampuan Jemaah.

Musyar berkata, kedua mangsa tersebut mengalami luka dan pendarahan di bahagian kepala dan badan akibat rempuhan.

“Sementara itu, pemandu kereta turut cedera parah manakala penumpangnya pula patah tangan kiri dan kini sedang menjalani rawatan di HTAJ,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan, Muhd Rozaimie Che Lokman, 31, berkata, dia terkejut apabila kedua kenderaan tersebut memasuki laluan bertentangan namun tidak sempat untuk mengelak.

“Kejadian berlaku hanya dalam sekip mata dan saya cuba mengelak dari merempuh kereta dan motosikal terbabit namun tidak sempat,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, dia sedang dalam perjalanan dari Jalan Klang Lama ke Tanjung Malim bagi menghantar bekalan barangan konkrit,” katanya.

Rozaimi berkata, dia masih trauma dan tidak percaya terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Kejadian hari ini betul-betul membuatkan saya trauma berikutan ia hanya berlaku dalam sekelip mata,” katanya.


Anak terkejut terima berita

ANAK sulung kepada mangsa kemalangan tersebut, Muhammad Mushawwar Khan, 28, berkata, dia terkejut apabila penduduk setempat memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa ibu dan ayahnya.

Mushawwar berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai membaiki kasut milik ayahnya sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk setempat sekitar jam 2 petang.

“Saya terkejut apabila beberapa orang menghubungi dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya.

Menurut abang sulung kepada empat beradik tersebut, dia kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi melihat sendiri lokasi kejadian.

Katanya, ibu bapanya juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kejadian.

Jelasnya, dia merasa amat sedih atas kehilangan kedua ibu bapanya lebih-lebih lagi bakal menyambut Syawal yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Menurutnya, beberapa persediaan perayaan telah disediakan oleh kedua ibu bapanya bagi menyambut perayaan beberapa minggu lagi.

“Saya sedih kerana mereka tidak bersama kami lagi adik beradik namun reda atas pemergian mereka,"


Bomba ambil masa 10 minit

SEMENTARA itu, pihak bomba mengambil masa selama kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Proton Waja tersebut.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba Sabak Bernam, Mariyo Ngadiman berkata, pemandu telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam yang turut membantu.

"Mangsa tidak dapat keluar dan pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang,” katanya.

Mariyo berkata, mangsa di bawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut setelah berjaya dikeluarkan.

Tambahnya, pihaknya turut dibantu anggota daripada Balai Bomba Sekinchan di lokasi kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/suami-isteri-maut-motosikal-dinaiki-dirempuh-kereta-lori-1.75258

Pakai Baju Petanda Ajal

Inalillahi wainailaihi rojiun

 KAMPUNG TOK RANDOK- "Kebiasaannya dia lebih selesa tidak berbaju bila berada di rumah tetapi berlainan pula kelakuannya dua hari lepas kerana dia memakai baju. Tak sangka rupanya perubahan itu sebenarnya petanda dia akan pergi selamanya," luah Che Esah Mahmud, 73.

Suaminya, Mat Jusoh Mat Ali, 72, maut dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di laluan Kampung Tok Randok ke Kampung Bukit Diman setelah motosikal ditungganginya bertembung sebuah lori kecil.

Menurut Che Esah, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya yang lebih mesra dengan panggilan 'Cik' oleh anak dan cucunya setelah dimaklumkan menantunya, Normila Mahmud, 45.

Katanya, pagi itu Normila datang ke rumahnya lalu memeluknya sambil menangis teresak-esak.

“Makcik hanya mampu duduk atas tilam di bahagian dapur ini kerana tidak sihat beberapa hari sebelum puasa baru-baru ini. Semalam (kelmarin), secara tiba-tiba, menantu datang memeluk makcik sambil menangis hingga membuatkan makcik terkejut melihat keadaannya.

“Makcik cuba tenangkannya dan minta dia ceritakan perkara sebenar. Hanya selepas beberapa ketika dia memberitahu Cik telah meninggal dan ketika itu makcik hanya mampu mengucap dan beristighfar supaya tenang menerima berita itu," katanya.

Che Esah berkata, dia melihat arwah suaminya itu agak berlainan namun tidak dapat jelaskan apa sebenarnya kelainan itu.

"Malah, ketika memerhatinya membasuh pinggan, tiba-tiba hati makcik terdetik bertanya sendiri adakah orang sakit atau orang sihat akan ‘pergi’ dahulu.

“Tidak sangka, rupanya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu walaupun makcik yang selama ini sakit. Paling ketara perubahannya ialah dia memakai baju dua hari lepas ketika berada di rumah kerana dia tidak suka berbuat demikian sebelum ini,” katanya.

Che Esah memberitahu, suaminya itu keluar rumah untuk ke kebun sawit yang terletak di kampung berkenaan kira-kira jam 8 pagi hari kejadian, sebelum pulang kembali ke rumah sekitar jam 10.30 pagi.

“Biasanya selepas pulang dari kebun, dia pasti akan masuk rumah untuk mandi, berehat lalu kemudiannya bersiap sedia untuk ke masjid. Namun semalam (kelmarin), dia sekadar pulang menghantar galah mengait kelapa sawit.

“Dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak berbaju, dia kembali menunggang motosikal untuk memaklumkan kepada pemandu lori kecil di Kampung Bukit Diman, buah sawit masih ada di kebunnya. Biasanya, arwah hanya menelefon sahaja tetapi semalam dia memaklumkannya sendiri,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pakai-baju-di-rumah-petanda-ajal-1.75116

Maut Tercampak 13m

 Inalillahi wainailaihi rojiun


 CHUKAI - Seorang remaja lelaki maut tercampak sejauh lapan meter apabila motosikal yang ditungganginya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva di kawasan selekoh di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.15 petang itu, Che Ayup Aziz, 18, mengalami yang kecederaan parah dengan bahu kiri terbelah, patah paha kiri dan kaki kiri luka teruk meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, motosikal jenis Honda EX5 Dream yang ditunggangi si mati bertembung dengan kereta yang dipandu seorang pegawai teknologi maklumat wanita, berusia 27 tahun yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, yang dalam perjalanan ke Chendor untuk berbuka puasa.

Menurutnya, berikutan perlanggaran kuat berkenaan, Che Ayup yang bekerja sebagai juru selenggara dan beralamat di Kampung Paya Berenjut bersama motosikalnya, dipercayai terkena pengadang besi jalan sebelum tercampak ke dalam longkang.

Che Ayup kemudiannya tercampak sekali lagi sejauh lima meter dari motosikal yang dinaikinya sementara kereta tersebut pula tercabut tayar depan sebelah kiri.

“Pelanggaran kuat secara berdepan juga menyebabkan motosikal yang dinaiki si mati remuk teruk di bahagian depan. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat yang dilakukan pada jam 9 malam mendapati si mati meninggal akibat kecederaan dalaman,” katanya.

Mayat Allahyarham Che Ayup kemudian dituntut keluarga kira-kira jam 10 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/remaja-lelaki-maut-tercampak-sejauh-13m-1.75104

Thursday, August 9, 2012

Maut Lori Terbalik



9 Ogos 2012 
ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori warga emas yang membawa muatan kabel besi paip nyaris maut apabila kenderaannya terbalik di Kilometer 219.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Restoran Jejantas Alor Gajah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Lim Kok Fim, 56, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Desaru, Johor untuk menghantar bekalan besi paip sebelum tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan meletup.

Jurucakap polis berkata, letupan menyebabkan lori terbabit terbabas ke kiri jalan sebelum terseret dan terbalik.

"Pemandunya dipercayai gagal mengawal kenderaan mengakibatkan semua muatan kabel besi yang dibawa bertaburan atas lebuh raya.

“Mangsa berjaya keluar menerusi cermin hadapan lori yang pecah, sebelum menyelamatkan diri ke tepi lebuh raya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian.

Menurutnya, pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-bawa-muatan-besi-terbalik-1.74808

Setengah jam tersepit tahan kesakitan



9 Ogos 2012

 ALOR GAJAH - Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam apabila kaki kanannya tersepit dalam kenderaan remuk selepas terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ) Sungai Petai, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, mangsa, Chua Yew Yong, 30, memandu kereta jenis Honda dari arah bandar Melaka menuju ke Alor Gajah, sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik sehingga patah.

Kemalangan itu turut menyebabkan tiang elektrik dirempuh mangsa terseret sejauh kira-kira 25 meter.

Saksi kejadian, Abdul Faiq Abd Rahim, 18, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama abangnya, Abd Rashdan, 20, dan rakannya, Mohd Asyraf, 21.

"Sebaik melihat kemalangan, kami segera turun dari kereta untuk membantu mangsa yang kelihatan hampir pengsan setelah gagal keluar berikutan kakinya tersepit pada pedal minyak.

“Dalam keadaan mengerang kesakitan, mangsa sempat bertanyakan keadaan keretanya kerana bimbang mungkin akan dimarahi bapanya akibat kemalangan itu," katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang tersepit dalam kereta cuba menghubungi rakannya menerusi telefon bimbit tetapi gagal.

“Orang awam yang berada di situ juga tidak berani menyentuh mangsa kerana takut tersilap memberi bantuan.

“Panik melihat keadaan mangsa yang merintih dan meraung, abang saya segera menghubungi bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, katanya, mereka berbual dengan mangsa.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2 Chee Hong Chuan berkata, bomba menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian itu pada kira-kira 1.30 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sebuah jentera membabitkan enam anggota membantu mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.

"Bomba terpaksa memotong beberapa komponen kereta selepas mendapati kaki kanannya patah dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Mangsa yang patah kaki kanan dan luka ringan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/setengah-jam-tahan-sakit-1.74807

Ketua Wanita Umno Jengka 3 nyaris maut



CHENOR - Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Jengka 3, Rahimah Abdul Rahman dan rakannya nyaris maut setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas hingga hampir terjunam ke dalam sungai dekat Kampung Jengka Batu 13, di sini, semalam.

Rakannya, Kamariah Mat Sharif, 64, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mereka berdua dalam perjalanan pulang dari Temerloh ke Jengka 3 atas urusan memperbaharui cukai jalan kenderaan.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu Rahimah hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pengadang jalan.

“Akibat rempuhan itu, kereta seakan terbang dan menjunam ke arah tepi jambatan dan nyaris masuk ke dalam sungai tetapi terhalang oleh sebatang paip besar.

“Orang ramai membantu mengeluarkan kami berdua dari kereta. Keadaan Rahimah lemah kerana tekanan darah tinggi akibat terkejut dengan apa yang baru kami alami.

“Alhamdulillah, kami berdua selamat dan hanya mengalami luka kecil,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan pekan Awah dengan bantuan orang ramai.

Kamariah berkata, mereka berdua keluar dari rumah ke Temerloh pada jam 2 petang selepas Rahimah beria-ria mahu mengambil cukai jalan yang sudah diperbaharui kerana tamat tempoh semalam.

"Memang Rahimah nampak penat kerana kami berdua mempunyai jadual aktiviti kemasyarakatan yang agak padat sepanjang Ramadan ini.

“Rahimah mahu juga ambil cukai jalan hari ini (semalam) kerana esok (hari ini) dia perlu membawa anak yatim ke satu majlis sumbangan menggunakan kenderaan ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/ketua-wanita-umno-nyaris-maut-1.74813

Tuesday, August 7, 2012

Viva terbalik angkara tayar pecar


BATU KURAU, Perak - Seorang anggota tentera nyaris terkorban apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki bersama isteri dan anaknya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Jambatan Sungai Ara, Jalan Pantai, Batu Kurau, semalam.

Mangsa, Fikri Husin, 36, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku apabila salah satu tayar keretanya pecah sebelum terbabas sebaik menaiki jambatan Sungai Ara.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana memandu perlahan manakala keretanya hanya terbabas dan tersangkut di penghadang jambatan.

“Akibat kejadian itu, anak saya yang baru berusia setahun 6 bulan cedera di bahagian mulut kerana terhantuk di pintu sementara saya dan isteri, Huzaifah Halim, 35, tidak cedera.

“Ketika kejadian, kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Taiping dari Kota Baharu, Kelantan selepas menghantar adik,” katanya kepada Sinar Harian.

Fikri berkata, dia sempat membantu mengeluarkan anak dan isteri yang terpaksa merangkak keluar melalui pintu.

“Dalam keadaan cemas itu, muncul orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut, membantu kami sekeluarga.

“Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada Ramadan tahun ini, saya berterima kasih kepada semua yang membantu dan bersyukur masih diberi kesempatan beraya bersama sanak keluarga dan rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan sebagai kemalangan biasa.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan berlaku tambahan ketika musim cuti persekolahan dan perayaan yang bakal tiba.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tentera-nyaris-jatuh-tebing-1.74166

Bahana Potong Kenderaan



RAUB – Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan sekitar jam 9.30 malam hingga jam 9.40 malam di Jalan Raub – Bentong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kemalangan pertama membabitkan motosikal, kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 355 dekat Taman Raub Jaya 3.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan mangsa, S Thajahiralan, 49, mati di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Mangsa yang menetap di Taman Medan Indah dalam perjalanan dari arah Bentong ke Bandar Raub.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah Raub cuba memotong kenderaan pacuan empat roda di hadapannya, tetapi bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa yang berada di laluan bertentangan,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke kanan jalan sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Katanya, selepas 10 minit, berlaku pula kemalangan kedua di Kilometer 363 dekat persimpangan Lurah Bilut membabitkan dua kereta.

“Pertembungan itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Razalli Khalid, 65, meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan mendapati mangsa yang menetap di Shah Alam, Selangor dalam perjalanan dari arah Raub.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kenderaan dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan lain, tetapi berada pada jarak dekat lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, jarak kedua-dua kemalangan hanya lebih kurang 8 kilometer hingga mengakibatkan kesesakan lalu-lintas sepanjang tempoh kejadian.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Salam Takziah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/bahana-potong-kenderaan-lain-1.74220

Tersepit Lori Budu


  DUNGUN– “Selepas terdengar dentuman kuat, saya menoleh ke belakang dan terlihat tiga orang tersepit dalam lori yang terbalik,” kata Zainun Mohd, 68, saksi kemalangan melibatkan sebuah lori dan Perodua Kelisa merempuh gerai ayam pusing di sini, pagi semalam.

Ketika kejadian, Zainun bersama suaminya, Abdullah Othman, 73, sedang membuang sampah di pekarangan rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada kemalangan melibatkan dua kenderaan itu.

Zainun berkata, dia cemas seketika apabila melihat lori muatan kotak bahan makanan sebahagiannya mengandungi budu dari arah Besut menuju ke Kuantan, Pahang itu terbalik manakala tiga penumpang termasuk pemandunya bertindih antara satu sama lain.

Katanya, tanpa berlengah dia terus meluru ke arah jalan raya sebelum menahan sebuah lori lain yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Nasib baik gerai anak makcik belum beroperasi lagi, jika tidak mungkin dia juga akan menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, akibat rempuhan berkenaan, beberapa barang di gerai ayam pusing milik anak Zainun, Amshari Abdullah, 28, dilaporkan turut rosak.

Tiga mangsa yang tersepit itu termasuk pemandu lori, Omar Salleh, 43, serta dua kelindannya masing-masing Ahmad Shafarin Omar, 41, dan Mohd Asri Ismail, 50, berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

Omar Salleh dari Besut dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawa-tan lanjut.

Dua lagi kelindan lori dan seorang pemandu Perodua Kelisa lelaki Melayu berumur 30-an hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 66.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu masih dalam siasatan pihaknya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/3-tersepit-dalam-lori-budu-1.74184

Bertembung Lori Tempoyak



 KOTA BHARU-Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori seberat dua tan yang penuh dengan muatan tempoyak di Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Mohd Irwan yang memandu kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan di muka, tangan dan kaki.

Manakala Mohd Zamri Mad Noor, 31, yang memandu lori, bersama dengan dua kelindannya hanya mengalami cedera ringan.

Mohd Irwan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak di Pengkalan Chepa di sini.

“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku, kerana apabila tersedar saya sudah berada di tepi jalan. Kemungkinan ketika itu saya terlelap seketika kerana penat bekerja pada waktu malam,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur terselamat dan hanya cedera ringan dalam kemalangan itu.

“Ketika berada di luar, saya terkejut melihat keadaan kereta yang remuk. Mujurlah saya tidak mengalami kecederaan teruk kerana kemalangan itu berlaku begitu pantas” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamri, berkata dia bertolak dari Machang kira-kira jam 7 pagi untuk menghantar bekalan tempoyak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu memasuki laluan bertentangan sebelum kereta itu kemudian merempuh hadapan lori dan berpusing beberapa kali.

“Saya hanya mampu mengelak dengan membelok ke kanan sebelum terbalik dan terseret beberapa meter,” katanya.

Beliau berkata, dia bagaimanapun bersyukur kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepadanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmat Radi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan kekuatan empat anggota dan sebuah jentera.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa sudah berada di tepi jalan selepas dikeluarkan dengan bantuan orang ramai,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pemandu-nyaris-maut-kereta-bertembung-lori-tempoyak-1.74131

Sunday, August 5, 2012

2 beranak maut angkara lembu


Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH - Berpunca seekor lembu melintas di tengah lebuh raya, empat kenderaan terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa seorang wanita dan anaknya, awal pagi semalam.


Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi di Kilometer 213 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat sekeluarga terbabas selepas gagal mengelak lembu tersebut, lalu melanggar pengadang tepi jalan.

Ia menyebabkan mangsa, Ngatinah Kemin, 47, dan anak bongsu, Muhammad Habib Firdaus, 10, maut di tempat kejadian.

Sebuah lagi kereta Proton Persona dinaiki dua lelaki turut terbabas, berpusing beberapa kali, diikuti dua lagi kereta Proton Persona dan BMW, semuanya gagal mengelak lembu yang sama.

Kemalangan itu juga menyebabkan lembu itu mati di tempat kejadian. Ngatinah dikatakan dalam perjalanan ke Kluang, Johor, selepas mengambil anak keduanya, Siti Nasuha Mokhtar, 21, yang belajar di Jepun baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk sambut Aidilfitri di tanah air.

Siti Nasuha yang turut berada dalam kereta bersama bapanya yang memandu Kancil, Mokhtar Abu Bakar, 50, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kereta dinaiki keluarga berkenaan merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas dan terbalik beberapa kali.

“Akibatnya, kereta berkenaan tersangkut pada besi pengadang lebuh raya itu. Dua Proton Persona dan sebuah BMW mengalami nasib sama,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala Mokhtar patah rusuk kiri dan luka kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

“Sementara Siti Nasuha dilaporkan stabil dan ditempatkan di wad biasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Ngatinah, Fazilah Abu Bakar, 48, berkata, arwah kakak iparnya itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam, Johor.

“Saya dimaklumkan, ketika kejadian, Siti Nasuha sempat memangku ibunya yang tidak sedarkan diri. Jenazah Ngatinah dibawa keluar dari bilik mayat untuk dibawa pulang ke Kluang, Johor, semalam.

Ketika Siti Nasuha dan bapanya itu dihantar ke Hospital Melaka, dia masih tidak tahu ibu dan adiknya itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kehilangan arwah juga menyebabkan hasrat mereka untuk berkumpul 10 keluarga di Alor Setar, Kedah, sempena meraikan majlis perkahwinan seorang anak saudara berkecai.

Al-Fatihah...


Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/lembu-lintas-lebuh-raya-dua-beranak-maut-1.73741

Budak 2 tahun maut dalam pertembungan


Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA TINGGI – Dua maut apabila kenderaan dinaiki bertembung sesama sendiri di Kilometer 36.5 Jalan Johor Bahru – Mersing dalam kejadian jam 2.15 petang, kelmarin.

Dalam kejadian berhampiran Pasar Borong Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) yang melibatkan kereta Proton Gen 2 dan Perodua Kelisa itu, dua lagi mangsa cedera parah.Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Gen 2, Mohamad Azrul Baharun, 28, dan kanak-kanak yang menaiki Produa Kelisa, Muhammad Farhan Najmi Effendy, 2 setengah tahun.

Manakala, mangsa yang cedera parah ialah Effendy Jumaat, 34, dan Nur Farhani, 6 tahun, di mana kedua-dua mangsa adalah bapa dan kakak kepada Muhammad Farhan Najmi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Suprintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian berkata, jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Gen 2 yang datang dari arah Johor Bahru itu dipercayai telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh Perodua Kelisa yang datang dari arah Kota Tinggi,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/budak-maut-kereta-bertembung-1.73952

Eksekutif Rentung Bertembung Lori



 KAMPAR – Seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran RTC Gopeng, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi dan mangsa, P Srinivasan, 26 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Timur, di sini, selepas menghantar rakannya di Ipoh.

Menurut beliau, kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum tiba di tempat kejadian.

"Kemalangan telah membabitkan kereta yang dipandu mangsa dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan tilam.

"Ketika sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit," katanya, semalam.

Beliau berkata, pertembungan itu telah menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa tersepit dalam kereta pada ketika itu.

"Mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori, Mohd Nordan Enoh, 50 bersama kelindannya sempat menyelamatkan diri.

"Sepasukan bomba dan penyelamat dari balai Gopeng dan Simpang Pulau telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi.

Kong Soon menambah, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menyedari anak tunggalnya itu keluar dari rumah untuk menghantar rakannya ke Ipoh, sebelum kejadian berlaku.

"Saya hanya mengetahui kejadian ini setelah menerima panggilan telefon dariapda polis pada jam 2.30 pagi dan bergegas ke hospital," katanya.

Salam Takziah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-selepas-hantar-rakan-1.73941

Pemandu Maut Rempuh pokok


  GEORGETOWN - Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Greenlane awal pagi semalam.

Pegawai Trafik Daerah Timur Laut, Asisten Superintendan C Ganesan berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.40 pagi, mangsa MB James Jayatissa, 27, dikatakan memandu laju dalam perjalanan dari arah Jalan Scotland-Jalan Masjid Negeri menuju ke Jalan Greenlane.

Ganesan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu seorang diri gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di tengah-tengah jalan dan menyebabkan bahagian kanan hadapan kereta remuk.

Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan dia yang cedera parah cuba dibantu oleh orang ramai namun gagal. Mereka terpaksa menunggu bantuan anggota bomba.

“Sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera akhirnya berjaya mengeluarkan mangsa melalui pintu tempat duduk belakang. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terus dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ganesan berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Salam Takziah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pemandu-maut-rempuh-pokok-1.73945

Bakal Pengantin Maut Dirempuh Kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun 

 PUCHONG - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 28.9 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Hentian Sebelah Puchong Selatan, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohd Tajuddin Mahmud, 27, berasal dari Bachok, Kelantan, maut di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa baru bertunang kira-kira dua bulan lalu dan akan berkahwin hujung tahun ini.

Sebelum kejadian mangsa bersahur bersama beberapa rakannya dan membeli keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Subang Jaya sebelum terbabit dalam nahas ngeri itu.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansur berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza merempuh belakang motosikal mangsa.

"Mangsa yang menunggang bersendirian tercampak atas cermin depan kereta itu.

"Motosikalnya terseret kira-kira 100 meter, kemudian kereta itu terbabas ke pembahagi lebuh raya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Saksi kejadian diminta hubungi polis bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bakal-pengantin-maut-1.73867

Kemalangan di Bukit Putus


Gambar1     Gambar 2     Gambar 3  Gambar 4   Gambar 5    Gambar 6


Video


Inalillahi wainailaihi rojiun

SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, hari ini.

Jurucakap polis berkata mangsa, Rohani Saidin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Proton Waja serta Honda CRV dan mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Waja yang dinaiki bersama empat anggota keluarganya yang lain.

"Selain itu, semua mangsa yang cedera iaitu pemandu kereta Honda CRV, empat penumpang Proton Waja dan tiga sekeluarga yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan," katanya.


Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat.


Seorang saksi, Syed Azril Syed Zamri, 33, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri serta seorang anaknya sedang melalui jalan itu dari arah Kuala Pilah menuju Seremban.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba saya nampak sebuah kereta jenis Honda CRV dari arah bertentangan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Waja di hadapan saya.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat sebelum kereta Proton Waja itu dirempuh kereta Proton Saga pula dari arah belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Syed Azril berkata beliau bernasib baik kerana sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak daripada bertembung dengan kenderaan di depannya.

"Apabila keluar dari kenderaan, saya melihat seorang lelaki yang tersepit di tempat pemandu kereta Proton Waja, merayu meminta tolong manakala penumpang yang lain sedang mengerang kesakitan.

"Saya juga melihat seorang wanita berlumuran darah berada di bawah tempat duduk belakang, dihimpit seorang lagi wanita, dan seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menangis," katanya yang kemudian menghubungi polis. - Bernama

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Seorangmaut_8cederadalamnahasdiBukitPutus/Article/artikelMA

5 Cedera Dalam Kemalangan 4 Kenderaan



KUALA LUMPUR - Lima orang cedera apabila tiga buah kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
  
Menurut saksi kemalangan, kejadian itu berlaku berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 10 pagi ini apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang dinaiki dua orang lelaki yang sedang menghala ke Bulatan Pahang terbabas lalu memasuki arah bertentangan.
  
Menurut pemandu sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu, Tam Sui Chim, 51, kereta Perodua Kembara itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan dua lagi kereta yang cuba mengelak terbabit dalam kemalangan.
  
Penunggang motosikal yang berada di belakang kereta itu hilang kawalan lalu melanggar belakang kenderaan itu.
  
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan.
  
Menurut jurucakap Hospital Kuala Lumpur, lima orang yang cedera dalam satu kemalangan, tanpa menyebut lokasi kejadian, dihantar ke hospital itu hari ini tanpa memberikan butiran lain.

Identiti mereka masih belum dikenal pasti. - Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/5-cedera-dalam-kemalangan-babitkan-4-kenderaan-1.73457

Warga Emas Maut Rempuh Pokok

Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Ogos 2012
PONTIAN - Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Parit Getah dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi di Jalan Benut - Simpang Renggan, mangsa, Tumiran Sapuan, 62, beralamat di Kampung Parit Mansor, dikatakan dalam  erjalanan pulang dari Pekan Benut ke rumahnya secara bersendirian.

Dia dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sepertimana yang disahkan oleh anak bongsunya Sakirin Tumiran, 21 yang tiba di tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

Polis masih menyiasat kes tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian bedah siasat Sementara itu, Sakirin berkata, dia tidak menyangka ayahnya itu menunggang motosikal ke Benut bagi membeli barangan keperluan walaupun mengalami masalah kesihatan sejak dua minggu lalu ayahnya itu bagi membeli minyak diesel untuk keperluan mereka di Kampung Parit Mansor.

“Saya tidak sangka pagi ini dia pergi bersendirian dan terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat berbuka dan bertarawih di masjid bersama kami sekeluarga,” katanya. Sakirin bagaimanapun reda dengan pemergian ayahnya meskipun tidak sempat meraikan Aidilfitri  bersama-sama pada tahun ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang mana dua daripadanya sudah berkahwin.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/warga-emas-maut-selepas-motosikal-terbabas-langgar-pokok-1.73680

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my