loading...

Saturday, August 11, 2012

Empat anggota tentera junam gaung



ALOR GAJAH - Lima  termasuk  dua pasangan suami isteri nyaris maut apabila kereta mereka naiki terbabas dan terhumban dalam gaung di Jalan Sungai Udang - Hutan Simpan, berdekatan Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan (PLRWS), di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu Awang Shahfaizul Awang Ahmad, 23, dalam perjalanan untuk bersahur di pekan Sunagi Udang, di sini.

Turut berada dalam kereta, Mohd Izwan Arshad, 23, dan isterinya, Norizatul Akmal, 19, serta Mohd Hafiz Mohd Nor, 23, dan isterinya, Nurul Syazwani Abdullah, 30.

Empat daripada lima mangsa itu merupakan anggota tentera dari Depo Simpanan Peluru, Hutan Simpan  Solok Duku, di sini.

Kereta dinaiki kesemua mangsa dikatakan melalui satu selekoh sebelum terbabas merempuh sebuah papan tanda sehingga patah,  lalu terhumban ke dalam gaung bersemak sedalam kira-kira 1.5 meter.

Sebuah jentera membabitkan enam anggota Balai Bomba Masjid Tanah bergegas ke tempat kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa, sebelum sebuah lagi jentera membabitkan lima anggota dari Balai bomba Tangga Batu turut sama membantu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Maskor Ahmad berkata, sebaik saja tiba di tempat kejadian, tiga mangsa masih berada dalam kereta akibat gagal keluar sendiri.

“Bomba terpaksa merenggangkan beberapa bahagian kereta dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit. Manakala dua lagi penumpang lelaki berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Dua penumpang wanita berkenaan dikatakan tercampak keluar dari kereta menerusi cermin tingkap belakang yang pecah.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lima-cedera-kereta-terhumban-masuk-gaung-1.75522

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my