Friday, February 22, 2013

Pemandu maut terjun dari bas



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Februari 2013
TAPAH – Tindakan seorang lelaki yang terjun dari bas yang dipandunya selepas kenderaan tersebut merempuh sebuah lori mengundang padah apabila lelaki itu maut di Kilometer 314.3, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Utara di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, kepala Mohd. Anuar Jantan, 42, cedera parah akibat terhantuk pada pembahagi lebuh raya sebelum mati di tempat kejadian.

MAYAT Mohd. Anuar yang terbunuh selepas terjun dari bas ekspres yang merempuh belakang lori 
di Kilometer 314.3, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah


Ekoran pemandunya terjun, bas tersebut terbabas merempuh tebing kiri lebuh raya menyebabkan seorang daripada sembilan penumpangnya terbunuh.


Lima lagi penumpang bas itu cedera masing-masing akibat tersepit dan terhantuk di dalam bas.

Penumpang yang terbunuh ialah Abdul Rahman Noh, 59, manakala lima yang cedera belum dikenal pasti. Salah seorang mangsa yang cedera merupakan isteri Anuar.

Semasa kejadian bas tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pulau Pinang.

Dalam pada itu, M. Saravanan, 24, pemandu lori yang dirempuh bas ekspres itu berkata, dia terkejut apabila ternampak pemandu bas itu terjun keluar dari pintu depan bas selepas kenderaan itu merempuh lorinya.

“Sebelum tragedi itu, bas tersebut mengekori sebuah lori lain dan cuba memotong lori saya yang berada di lorong paling kiri.


Sumber:
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Dua_Terbunuh_Lima_Parah_Bas_Ekspres_Rempuh_Belakang_Lori.html

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm





Pengerusi Persatuan Doktor Kerajaan maut


23 Februari 2013
HULU SELANGOR – Seorang doktor pakar sakit puan yang baru dilantik sebagai Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Slim River pada Januari lalu terkorban dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur ke Bukit Tagar semalam.



Kejadian pukul 8 pagi itu mengakibatkan S. Thillainathan, 51, dari Petaling Jaya dan merupakan Pengerusi Persatuan Doktor Kerajaan maut di tempat kemalangan akibat cedera parah di beberapa bahagian badan selepas tersepit dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang dipandunya.

Jurucakap polis berkata, sebelum tragedi itu, MPV yang dipandu mangsa di lorong tengah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.


Sumber:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Pengerusi_Persatuan_Doktor_Kerajaan_Maut_Kemalangan.html




Treler minyak nyaris terbakar


23 Februari 2013
MARANG – Seorang pemandu treler yang membawa muatan minyak berdepan detik cemas, apabila salah satu tayar kenderaan berat itu tiba-tiba meletup dan terbakar.


Kejadian berlaku dekat persimpangan empat lampu isyarat Bandar Marang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, pemandu treler terbabit dalam perjalanan menghantar minyak ke Kota Bharu, Kelantan sebelum secara tiba-tiba salah satu tayar pada bahagian belakang treler tersebut meletup, menyebabkan ia terbakar.

Pemandu berusia 40an itu bagaimanapun terselamat, apabila dia bertindak pantas memberhentikan treler dipandunya dan segera memadam kebakaran dengan menggunakan dua alat pemadam api yang terdapat pada kenderaan itu.

“Saya dalam perjalanan ke Kota Bharu. Tiba-tiba tayar pecah tetapi mujur dapat mengawal dan memberhentikan kenderaan ini sebelum membuat pemeriksaan dan segera memadam kebakaran pada bahagian tayar belakang itu,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, keadaan lalu lintas juga terkawal apabila seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Marang, Wan Mohd Faizal Wan Ismail, 33, yang kebetulan berada di tempat kejadian membantu mengawal lalu lintas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, Zamri Awang Long mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan susulan kerja pemadaman dilakukan sepasukan 10 anggota bomba dan penyelamat daerah itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/treler-minyak-nyaris-terbakar-1.133755


Diziarahi dengan mayat anak


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Februari 2013
TAPAH - Mohd Amin Abdul Rahman, 32, anak kepada mangsa maut dalam tragedi kemalangan bas pagi tadi, tidak menyangka kepulangan ayahnya ke Pulau Pinang untuk menziarahi jenazah datuknya turut menyebabkan beliau kehilangan ayah tercinta.


Mohd Amin yang merupakan anak kedua daripada enam beradik berkata beliau turut kehilangan datuknya yang meninggal dunia akibat sakit tua di Bagan Ajam, Seberang Perai pada 11 malam tadi.

"Bila dapat tahu Tok Wan meninggal saya terus menziarahinya kerana kebetulan saya ada kerja di Pulau Pinang. Saya hubungi mak dan ayah bagi tahu perkara ini dan menyatakan kepadanya yang saya tunggu di sini (Pulau Pinang).

"Saya minta mak dan ayah naik bas pagi ini, bila telefon mak kira-kira 12 malam tadi, mereka sudah berada dalam bas menuju ke Pulau Pinang, " katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi tadi, mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres, Mohd Anuar Jantan, 42, dan penumpang bas, Abdul Rahman Noh, 59.

Insiden berkenaan menyebabkan bahagian hadapan bas remuk teruk.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang mangsa yang merupakan pemandu lori, M.V. Saravanan, 24, berkata, bas terbabit cuba memotong lorinya namun disebabkan ada sebuah kereta di bahagian kanan, bas itu tidak sempat mengelak.

"Tiba-tiba bas muncul dari arah belakang dan langgar sisi kanan belakang lori saya dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.

"Ketika pelanggaran berlaku pemandu bas itu terjun daripada bas dan saya lihat dia berada di tengah-tengah bahu jalan. Kepalanya terkena besi penghadang tengah lebuh raya," katanya dipetik Bernama.

Bas ekspres itu dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Pulau Pinang manakala lori itu dari Shah Alam menuju Pulau Pinang.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan penumpang yang tersepit dan tercedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata bas itu dinaiki 10 penumpang dan seorang pemandu.

Katanya, pemandu dan seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima cedera parah dan empat yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala pemandu lori dan kelindannya, K.Subramaniam, 21, serta pemandu kereta juga tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh," katanya.


Mohd Amin yang bekerja sebagai pengedar minuman berkata dia terkejut mendengar berita menyedihkan itu selepas menerima panggilan daripada ibunya pagi tadi.

"Bila dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan dan ayah meninggal dunia, saya bergegas ke Hospital Tapah kerana mayat dihantar ke hospital ini," katanya yang berasal dari Kempas Jaya, Johor Bahru.

Sementara itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, seorang penumpang yang terselamat Mohd Khaizul Safiee, 29, berkata dia tidak menyangka bas yang dia naiki terbabit dalam kemalangan.

"Ada beberapa penumpang meminta pemandu memandu lebih laju kerana bas dipandu terlalu perlahan. Tetapi pemandu bas ada bagi tahu dia sangat penat," katanya.

Katanya bas terbabit bertolak dari Johor Baharu kira-kira 11.30 malam sebelum berhenti di Hentian Pudu Sentral 5 pagi tadi untuk menukar bas.

Beliau berkata dalam kejadian itu kebanyakan penumpang cedera di kepala akibat terhantuk pada tempat duduk penumpang di hadapan manakala sebahagiannya terperosok di bawah tempat duduk. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Duamaut_limacedera//Article
www.sinarharian.com.my/semasa/anak-naik-bas-ziarah-ayah-meninggal-dunia-maut-kemalangan-1.133668




Lori simen terbalik


22 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Sebuah lori simen yang dipercayai mengalami masalah brek terbalik di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Wangsa 1, Wangsa Maju berhadapan kondominium Villa Wangsamas tengah hari tadi.

Seorang jurucakap polis yang ditemui di lokasi kejadian berkata kejadian kira-kira 12 tengah hari itu berlaku ketika pemandu lori berkenaan cuba memberhentikan lorinya di persimpangan lampu isyarat berkenaan untuk membelok ke kanan.

"Pemandu lori itu tidak dapat memberhentikan lorinya semasa menuruni bukit. Namun dia sempat mengelak sebuah kereta di hadapannya dengan membelok ke arah bertentangan.

"Lori itu juga melanggar tiang lampu yang berada dekat dengan kereta tersebut sebelum ia terbalik di atas jalan raya," katanya.

Pemandu kereta berkenaan yang mengalami kecederaan akibat dihempap tiang lampu dikejarkan ke hospital berdekatan. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lori-simen-terbalik-akibat-masalah-brek-1.133666




Guru al-Quran maut


Inalillahi wainailaihi rojiun 

22 Februari 2013
AL MUKTAFIBILLAH SHAH – Hasrat seorang guru al-Quran untuk bertemu kakaknya yang akan bertolak ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah, tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan dekat sini, pagi semalam.


Wan Esah Wan Sarih, 53, dari Mengabang Telipot, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian selepas kereta Suzuki Swift dinaiki bersama suami, Wan Zakaria Wan Mohamad, 56, bersama bapanya, Wan Sarih Wan Omar, 83, serta kakaknya, Wan Nik Wan Sarih, 54, merempuh sebuah lori yang terbalik di atas jalan selepas bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kemalangan berdekatan pusat Rawat dan Rehat (R&R), dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 10 pagi di kilometer 95 Jalan Jerangau-Jabor itu, dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Bukit Besi, dikatakan masuk ke stesen minyak sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Lori muatan coklat dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu itu dikatakan terbalik sebelum meluncur atas jalan ketika cuba mengelak kereta Proton Iswara itu.

Selepas bertembung dengan Proton Iswara, ia dirempuh pula kereta Suzuki Swift dipandu Wan Zakaria dari arah Kuala Terengganu menghala ke Jabor.

Menurut Wan Zakaria, dia bertolak dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk menziarahi kakak iparnya di Felda Bukit Goh yang akan menunaikan umrah.

Katanya, arwah isterinya yang difahamkan seorang guru al-Quran di kampungnya sempat menyediakan bekal kuih untuk dimakan ketika dalam perjalanan.

“Sepanjang perjalanan, kami tidak menemui lokasi yang sesuai untuk menikmati bekalan yang dibawa.

“Bagaimanapun belum sempat makan, kami terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Pemandu Iswara, Shafinie Yusof, 51, serta isterinya, Norizan Sulaiman, 50, turut tersepit dalam kenderaan remuk selepas merempuh lori terbabit.

Norizan bagaimanapun dilaporkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala suaminya Shafine, dari Felda Bukit Bading, Ajil turut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Pemandu lori berkenaan, Ibrahim Md Noor, 31, yang dalam perjalanan untuk menghantar coklat ke Pasaraya Giant Kuala Terengganu, bagaimanapun terselamat.

Ibrahim dikatakan sempat keluar dari lori yang terbalik sebelum menyelamatkan diri di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kemalangan tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Mayat mangsa yang terbunuh kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-sebelum-ziarah-kakak-1.133587



Thursday, February 21, 2013

Teksi terperosok bawah treler



21 Februari 2013
PORT DICKSON – Tiga penumpang cedera selepas teksi yang sedang perlahan untuk berhenti di lampu isyarat dilanggar sebuah treler di Bandar Spring Hill, dekat sini, petang kelmarin.

Pelanggaran berlaku kira-kira 7 petang itu turut menyebabkan teksi yang dipandu S Tharmalinggam, 53, terperosok ke bawah sebuah lagi treler berasingan.

Menurut Tharmalinggam,  dia bersama tiga penumpang berkenaan dalam perjalanan dari Seremban ke Lukut.

“Saya memandu dengan kelajuan sederhana. Sebaik tiba di tempat kejadian, saya perlahankan kenderaan kerana ada lampu isyarat.

"Tiba-tiba berlaku hentaman kuat di bahagian belakang teksi menyebabkan teksi saya terdorong ke bahagian bawah sebuah treler yang berada di laluan bersebelahan," katanya.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku terlalu pantas dan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Mujur kemalangan tidak terlalu teruk. Saya bersama seorang penumpang yang duduk di tempat duduk hadapan, serta dua yang duduk di belakang bagaimanapun boleh keluar dari kereta.

“Saya tidak cedera, cuma seorang penumpang mengalami patah kaki. Manakala dua penumpang lagi cedera ringan di anggota badan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Kesemua penumpang dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu treler yang dikenali sebagai Joe, 36, berkata, kejadian berlaku apabila dia cuba mengelak daripada melanggar treler yang berada di hadapannya apabila treler terbabit memperlahankan kelajuan serta berhenti dengan mengubah ke laluan sebelah.

"Tapi, saya tak sangka akan melanggar teksi pula," katanya.

Dia bagaimanapun bernasib baik kerana kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Kedua-dua pemandu treler yang tidak membawa sebarang muatan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terperosok-bawah-treler-1.133076



Pelajar maut rempuh belakang treler


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Februari 2013
KUANTAN-  Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Pintasan Kuantan dekat Indera Mahkota, di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa, Mohammad Naim Alimi, 19, dari Kampung Tiram, di sini parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat rempuhan yang kuat.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri,  Superintendan  Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata,  mangsa dipercayai menunggang dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Pelabuhan.

Menurutnya, sampai tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu  terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler terbabit.

"Siasatan awal  mendapati mangsa memiliki lesen memandu yang sah serta memakai topi keledar ketika kejadian.

“Punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa pelajar itu masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan penunggang supaya lebih berhati-hati sekiranya menunggang pada awal pagi kerana berkemungkinan berlaku halangan penglihatan akibat cuaca berkabus dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, pemilik kenderaan yang diletakkan di bahu jalan diminta supaya memasang isyarat atau tanda jelas sekiranya berlaku kerosakan supaya disedari pengguna jalan yang lain,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-maut-motosikal-langgar-belakang-lori-1.133113



Wednesday, February 20, 2013

Pondok jurutol ranap dirempuh kereta


20 Februari 2013
SEREMBAN –  Sebuah pondok jurutol di Plaza Tol Senawang di sini ranap dirempuh sebuah kereta Perodua MyVi pagi semalam.


Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan terbabit yang dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka berusia enam bulan dari arah lebuh raya tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah pondok tol di lorong tunai.

Rempuhan itu mengakibatkan pondok tol terbabit musnah 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan ketika kejadian tiada jurutol dalam pondok berkenaan.

Malah mangsa yang dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Taman Seremban Jaya juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang jurutol, Bainun Yaakob, 50, berkata, ketika kejadian dia baru setengah jam sampai ke tol terbabit untuk memulakan tugasnya pada jam 6 pagi.

“Saya berada di dalam bangunan plaza tol bersama seorang rakan dan kami tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti bunyi rempuhan.

“Saya ingatkan kemalangan antara kenderaan dan saya pun turun ke bawah bagi melihat apa yang berlaku dan tidak sangka sebuah pondok tol tunai roboh dirempuh sebuah kereta,” katanya.

Menurutnya, sejak 26 tahun bekerja di situ, sudah empat kali kejadian rempuhan tol berlaku.

Bainun berkata, kejadian seumpama itu mengundang rasa bimbang pekerja jurutol kerana ia boleh menjejaskan keselamatan mereka.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pondok-tol-ranap-dirempuh-1.132744


Tersepit lebih satu jam




20 Februari 2013
HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih sejam sebelum diselamatkan, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 407.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, dua kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, M Saravanan, 43, tersepit di tempat duduk pemandu apabila lori sarat dengan muatan pelbagai barangan hantaran dipandunya, merempuh belakang sebuah treler yang bergerak perlahan.

Menurut kakitangan syarikat perkhidmatan penghantaran segera tempat mangsa bekerja yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa memandu bersendirian dalam perjalanan dari Taiping menuju Shah Alam.

“Berdasarkan laporan pada buku log, mangsa bertolak dari Taiping pada jam 7.30 malam dan sepatutnya sampai jam 1 pagi tadi (semalam) di Shah Alam.

“Tetapi, lori mangsa dipercayai gagal dikawal ketika menghampiri laluan tersebut kerana kebanyakan kenderaan bergerak perlahan berikutan terdapat penutupan lorong di KM408.9,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori mangsa terperosok di belakang treler dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang kebetulan berada satu kilometer dari tempat kejadian iaitu lokasi kemalangan lain sebelumnya, bergegas untuk membantu mangsa.

“Lori dapat ditarik keluar, tetapi mangsa terpaksa ditenangkan sementara menunggu ambulans.

“Mangsa yang dipercayai patah kaki kanan, kemudiannya dikejarkan ke Hospital Slim River (HSR) untuk menerima rawatan,” katanya.

Difahamkan, terdapat kemalangan serta tumpahan getah di KM408.9 arah Selatan pada jam 11.18 pagi semalam hingga memaksa lorong kiri dan tengah ditutup.

Ketika Propel melakukan kerja pembersihan, berlaku kemalangan kedua di laluan sama kira-kira jam 12.17 pagi semalam menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Berdasarkan maklumat laman twitter Plus Trafik, terdapat dua kemalangan awal berlaku di KM402.2 arah Selatan pada jam 8.36 malam dan di KM420.4 arah sama pada jam 7.26 malam, namun tidak serius.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lebih-sejam-tahan-sakit-1.132831


Tuesday, February 19, 2013

Tak sempat tunai umrah

Mohd Aiman Ibrahim maut rempuh kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Februari 2013
KOTA  BHARU - Hajat seorang remaja untuk menunaikan umrah Mac ini, tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas jalan raya selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta dalam kejadian di jambatan Bunut Payong, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Mohd Aiman Ibrahim, 17, bekas pelajar Ma’ahad Tahfiz Sains, Kok Lanas maut di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan leher.

Mangsa dari Kota Bharu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Nilam Puri.

Sepupu mangsa, Rizwan Ramli, 29 berkata, dia amat terkilan kerana Mohd Aiman tidak sempat menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.

Menurut Rizwan, sepatutnya Aiman bersama ibunya, Maznah Yusof, 50, dan adiknya, Muhammad Aidil Iman, 15, berangkat ke Tanah Suci pada minggu hadapan.

“Segala persiapan termasuk urusan visa telah pun siap dan hanya menantikan masa untuk berangkat ke sana, namun saya amat terkilan dan sedih selepas melihat mayatnya terbujur kaku di atas jalan selepas terlibat dalam kemalangan.

“Semalam (kelmarin) sebelum kejadian, saya sempat meluangkan masa bersamanya ke majlis kenduri pertunangan sepupu di Terengganu, dan sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap dan hanya mendiamkan diri.

Tidak saya sangka perubahan itu merupakan petanda ajal dia akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Idris berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

 “Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/hajat-tunai-umrah-berkecai-1.132518


Van Sekolah terbalik



19 Februari 2013
PETALING JAYA - Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki, apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh kereta di Bandar Utama di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.

Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.

Saksi kejadian berkata, van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.

Ketika ditemui pemberita di PPUM, Penyelaras MIC Parlimen Subang A.Prakash Rao berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.

"Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan...dua yang parah menjalani pembedahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu Bernama pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Menceritakan detik cemas itu, B. Lavanya, 11, yang cedera di lutut, berkata dia berada di bahagian tengah tempat duduk penumpang apabila van milik jirannya itu dirempuh di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seorang guru lelaki yang enggan dikenali menamakan sembilan murid yang dibawa ke PPUM itu sebagai P.Kavilashini, D.Sineka, R.Suriaraja, K.Susan, A. Danushwaran, K.Melvin, A.Varsha, S.Sathia dan Lavanya.

Nama murid yang dibawa ke Hospital Sungai Buluh bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.- Bernama

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Duaparahvanbawamuridsekolahterbalikdirempuhkereta/Article/
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Van_Terbalik_13_Pelajar_Sekolah_Nyaris_Maut.html


Dua remaja patah tulang paha



19 Februari 2013
SEBERANG PERAI - Dua remaja terpaksa menahan sakit dalam tempoh panjang selepas tulang paha kanan masing-masing patah apabila motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Dua di sini petang kelmarin.


Kemalangan pada jam 5.30 petang itu turut merosakkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki satu keluarga apabila dua motosikal berkenaan terpelanting dan mengenai kereta itu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Pertembungan motosikal Honda EX5 yang ditunggang remaja perempuan dari arah Sungai Dua dengan motosikal Yamaha 125 ditunggang remaja lelaki dari arah Tasek Gelugor itu menyebabkan keduanya melambung sebelum terhempas di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

Manakala motosikal masing-masing menggelongsor dan terpelanting sebelum mengenai kereta Myvi dinaiki satu keluarga yang dalam perjalanan ke Tasek Gelugor menyebabkan bahagian tepi kereta kemek dan rosak.

Sebaik terhempas dua remaja yang berusia awal 20-an itu terbaring dalam keadaan kesakitan kerana kecederaan berkenaan.

Suasana agak tegang seketika apabila dua remaja berkenaan mengerang kesakitan kerana mereka turut mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk pendarahan di bahagian kepala.

Orang ramai yang kebetulan sedang melalui kawasan itu segera menghulurkan bantuan dengan mengalihkan mangsa ke tepi jalan  serta bertindak mengawal lalu lintas sebelum ketibaan pihak polis kemudiannya.

Dua mangsa kemalangan itu kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan oleh ambulans milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia  (JPAM) ke Hospital Seberang Jaya kemudiannya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-remaja-terpaksa-tahan-sakit-1.132500


Maut ke tempat kerja



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Februari 2013
KUALA PILAH – Seorang pekerja kilang cendawan Ulu Bendul, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori tanpa muatan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Shahidan Abdullah, 34, beralamat di Kampung Rembang Panas Juasseh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan, manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, insiden itu berlaku di kilometer 27 Jalan Seremban-Kuala Pilah, kira-kira jam 10 pagi.

“Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha jenis LC 135 sendirian datang dari arah Kuala Pilah menuju ke arah Seremban. Mangsa difahamkan hendak ke tempat kerjanya di kilang Cendawan Ulu Bendul.

“Kemudian, setibanya di selekoh tajam jalan, sebuah lori dari arah Seremban hendak masuk ke simpang kanan jalan terbabit, tanpa perasan mangsa dari arah Kuala Pilah.

“Akibatnya, rempuhan kuat berlaku di mana mangsa tidak sempat mengelak lori terbabit lalu melanggar bahagian lampu kiri bahagian depan lori hingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, " katanya.

Mayat mangsa yang masih bujang dan berasal di Bukit Piatu Melaka dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk dibedah siasat.

Azmi berkata,  pemandu lori, Kim Pow@Chin Kim Pow, 63, yang memandu secara bersendirian beralamat di Taman Pilah akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang diketuai, Mohd Faizal Abdul Razak menerima panggilan daripada orang awam jam 9.40 pagi semalam.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian jam 9.50 pagi, mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Kami tiba di sana, mangsa sudah tidak bernyawa. Selang beberapa minit kemudian, pihak HTAN tiba lalu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-ketika-ke-tempat-kerja-1.132580


Kereta Kancil rempuh teksi



19 Februari 2013
BACHOK - Sebuah kereta kancil dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah teksi yang baru sahaja mengambil penumpang di Kampung Sungai, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.

Seorang saksi, Siti Nor Sakinah Rosli, 24, berkata, ketika kejadian, dia melihat ke arah jalan raya dan tiba-tiba sebuah kereta Kancil dari arah Beris Kubur besar memasuki laluan bertentangan seolah-olah ingin memasuki lorong berkenaan.

Namun, kereta itu berlanggar dengan sebuah teksi dari arah Bachok ke Kota Bahru yang baru sahaja mengambil penumpang berdekatan.

“Ketika itu, saya berada di warung ibu yang terletak beberapa meter dari lokasi kejadian. Saya hairan melihat kereta Kancil tiba-tiba seperti ingin membelok ke kanan dan terus merempuh teksi dari laluan bertentangan.

“Saya tidak pasti sama ada dia memang ingin masuk ke lorong kanan atau ingin memotong kenderaan di depannya,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, pemandu kedua-dua kenderaan serta tiga penumpang teksi berkenaan cedera ringan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, lokasi itu sering menjadi sasaran kemalangan maut hampir setiap tahun.

“Hanya dua tahun kebelakangan ini sahaja tiada berlaku kemalangan maut di sini, namun dua tahun sebelumnya, seorang remaja lelaki dari Pasir Mas maut ketika dalam perjalanan pulang dari Pantai Irama bersama rakan-rakannya.

"Kenderaannya dipandu laju dan terbabas merempuh sebuah lori ais yang baru singgah di warung ibu saya,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-hilang-kawalan-1.132533


Lori buah terbalik



19 Februari 2013
RANTAU PANJANG – Pemandu lori yang membawa muatan buah trauma, setelah kenderaan dipandunya terbalik dalam kemalangan di Gual Mesa kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Khairul Anuar Arif, 27, dalam perjalanan untuk menghantar buah dokong dan mempelam dari Siam yang diambilnya di Rantau Panjang untuk dipasarkan ke Pasir Mas.

Tayar belakang lori satu tan penuh dengan muatan buah pecah secara tiba-tiba itu menyebabkan Khairul Anuar tidak dapat mengawal kenderaannya, seterusnya terbalik melintangi jalan.

Ketika kejadian, terdapat 30 bakul dokong yang setiap satunya seberat 25 kilogram dan beberapa kilogram mempelam.

Berikutan kejadian itu, buah dibawa mangsa bertaburan di atas jalan, sebelum dikutip keluarga mangsa dan dihantar dengan lori lain ke Pasir Mas, sementara lori turut rosak dan cermin hadapannya pecah.

Ibunya, Roslina Che Ali, 48, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan Khairul Anuar yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu memaklumkan lori dipandunya terbalik.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan, hatinya menjadi tidak tenteram kerana bimbang Khairul Anuar cedera.

“Selepas menerima panggilan saya meminta suami segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anak, memandangkan lori yang dipandunya terbalik," katanya.

Peniaga buah ini berkata, anaknya sudah lebih lima tahun membawa lori buah dan tidak pernah berdepan kejadian tidak diingini seperti semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, Khairul Anuar sudahmemeriksa tayar lori berkenaan dan ketika itu semuanya dalam keadaan baik.

“Saya bersyukur dia selamat walaupun cermin depan lori pecah dan lori dipandunya terbalik.

“Selepas kejadian, buah yang masih elok dikutip dan dihantar ke Pasir Mas dengan lori ganti,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/trauma-lori-terbalik-1.132538


Wanita mengandung maut bertembung bas

Honda Accord bertembung bas, mengorbankan wanita mengandung


Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Februari 2013
TUMPAT - Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan antara dua yang maut selepas kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 19 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat selekoh tajam di Kampung Jubakar Darat, awal pagi semalam.



Dalam nahas yang berlaku jam 5.20 pagi, wanita terbabit dikenali Rohanee Samamae, 35, merupakan warga Thailand maut di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta terbabit dari Kampung Kok Lanas, Kota Bharu, Mohd Nasaruddin Mohd Sidik, 39,  maut apabila mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat pemandu.

Seorang lagi penumpang kereta terbabit Waehanisah Kolu, 22, warga Thailand, juga mengandung cedera parah.



Ketua Trafik Daerah Tumpat, Inspektor Awang Abu Bakar Awang Rosli berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Pengkalan Kubor menghala ke Kota Bharu.

Menurutnya, kereta yang dipandu Mohd Nasaruddin ketika melalui selekoh tajam memasuki laluan bertentangan menyebabkan bertembung dengan bas ekspres tersebut.

“Bas ekspres Kuala Lumpur - Kota Bharu tersebut tiada penumpang dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Kubor selepas menurunkan penumpangnya di Kota Bharu,” katanya.

Pemandu bas tersebut, Shamsudin Mohd Nor, 39, bersama pemandu kedua, Wan Radhuan Wan Mat, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun bas ekspres tersebut hampir merempuh sebuah rumah kosong apabila terbabas ke bahu jalan selepas bertembung dengan kereta itu.

Awang Abu Bakar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.


Satu jam keluarkan mangsa tersempit

Pihak bomba mengambil masa selama satu jam untuk mengeluarkan tiga mangsa apabila dua daripadanya tersempit di bahagian hadapan.

Ketua Balai Bomba Pengkalan Kubor, Bustaman Karudin berkata, mangsa pertama dikeluarkan adalah penumpang di belakang, Waehanisah yang mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kedua berjaya dikeluarkan ialah penumpang di hadapan, Rohaneedan seterusnya pemandu kereta terbabit, Mohd Nasaruddin.

“Kedua-dua mangsa tersempit teruk di bahagian hadapan dan mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seramai lapan anggota dengan satu jentera dari Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan,” katanya kepada Sinar Harian.


Arwah sempat bagi cincin kepada bekas isteri

Arwah Mohd Nasaruddin sempat menyerahkan cincin perak kepada bekas isterinya, Wahida Mohd Hanif, 40, dari Kampung Dalam Rhu sebagai tanda untuk rujuk kembali selepas mereka berpisah lebih 10 tahun lalu.

Wahida berkata, dia agak terkilan kerana tidak sempat memberi jawapan kepada arwah.

“Petang semalam (kelmarin) arwah ada datang ke kedai runcit dan meluahkan hasrat untuk rujuk.

“Arwah bagi cincin perak yang dipakainya kepada saya sebagai tanda rujuk kembali, tetapi saya tidak beri sebarang jawapan,” katanya.

Menurutnya, pada malamnya pula, arwah datang lagi selepas dihubungi Nurnisren, 13, anak tunggal hasil perkongsian hidup dengannya apabila meminta dibelikan kek.

“Arwah datang bawa kek tersebut dan selepas itu memaklumkan akan bertolak ke Kuala Lumpur, tetapi dia tidak sempat ke sana apabila terlibat dengan nahas di Kampung Jubakar,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk, Tumpat di kampung halaman bekas isterinya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/wanita-sarat-mengandung-maut-1.132448
http://www.hmetro.com.my/articles/Takdirpujukbekasisteri//Article



Monday, February 18, 2013

Remaja maut bertembung Saga

Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Februari 2013
KOTA TINGGI – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu menyebabkan Mohd Fitri Zamali, 19, dari Kampung Sungai Sembilang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Saga dinaiki sebuah keluarga dari Felda Air Tawar 4, di sini.

“Kereta Proton Saga itu daripada arah Sungai Rengit menuju ke Kota Tinggi, manakala motosikal terbabit dari arah Kota Tinggi. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi untuk mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, abang mangsa, Misrul Nizam, 29, berkata, adiknya ada memberitahu rakan-rakan bahawa pertemuan pada minggu ini merupakan yang terakhir sebelum Mohd Fitri maut dalam kejadian terbabit.

Katanya, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu juga tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan.

“Arwah tidak bercakap apa-apa dengan kami dan berkelakuan seperti biasa sahaja, namun rakannya ada memberitahu saya bahawa arwah ada memberitahu ini adalah minggu terakhir mereka berjumpa.

“Saya mendapat berita kejadian ini daripada salah seorang saudara yang memberitahu adik terlibat dengan kemalangan. Ketika sampai ke tempat kejadian saya melihat adik sudah tidak bernyawa dan mayatnya juga telah ditutup dengan surat khabar,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Fitri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sembilang, di sini.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/remaja-maut-motosikal-bertembung-dengan-kereta-1.132133


Pelajar SMK Sultan Alauddin Riayat Shah maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Februari 2013
MUAR - Seorang remaja tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini apabila maut dalam nahas jalan raya di Kilometer (KM) 145.6 Lebuh Raya Utara Selatan Plus arah utara, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Mangsa Alfian Atiman, 17, yang menunggang motosikal jenis Yamaha secara bersendirian dari rumahnya di Kampung Alai, Panchor meninggal dunia di tempat kejadian.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah
, Pagoh itu dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kejadian berlaku ketika hujan gerimis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kedua-dua pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran. Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Pagoh, di sini, sebelum waktu zohor, semalam.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/calon-spm-maut-kemalangan-1.132130


Warga emas maut dirempuh kereta

Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Februari 2013
BAGAN SERAI - Seorang warga emas dalam perjalanan ke kedai runcit maut dirempuh sebuah kenderaan terbabas dalam kejadian di Teluk Medan, di sini malam kelmarin.

Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Sulaiman Ahmad,60, cedera parah di bahagian badan dan kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang saksi, Abdul Rahim Chin, 41, berkata, dalam kejadian jam 8 malam, kereta tersebut dalam perjalanan ke arah Taiping sebelum hilang kawalan dan terbabas ke arah jalan bertentangan.

Katanya, dia yang berada di atas motosikal sementara menunggu anak saudara pergi membeli barang di sebuah kedai runcit di hadapan simpang Parit 6, di sini, terkejut kenderaan tersebut  meluru pantas ke arahnya, sebelum sempat melompat menyelamatkan diri.

“Kereta itu terus merempuh motosikal saya dan tiga motosikal lain yang berada di belakang saya.

“Namun, apabila diteliti semula kesan rempuhan, saya dapati ada tubuh terbaring di atas jalan raya dengan keadaan badan berlumuran darah bersama tiga motorsikal dirempuh dan mendapati tubuh itu milik mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, anak mangsa, Siti Rohayu, 25, ketika ditemui terkejut setelah menerima panggilan orang ramai memaklumkan keadaan bapanya lebih kurang jam 8.30 malam hari kejadian.

Menurutnya, arwah bapanya sebelum itu keluar menghantar anak bongsunya ke tempat kerja sebelum pulang semula ke rumah untuk mandi dan solat Maghrib.

“Selepas Maghrib, arwah ayah keluar rumah semula tanpa pengetahuan kami dan terkejut mendapat berita dia sudah tiada setengah jam selepas itu,” katanya.

Berita kematian Sulaiman yang juga Setiausaha Umno cawangan Sungai Kepar turut mendapat perhatian kepimpinan Umno Bahagian Bagan Serai.

Ketua Pemuda Umno bahagian, Sharudin Ahmad menyifatkan arwah seorang pejuang parti tulen kerana tidak pernah merungut dengan segala amanah yang diberikan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes masih dalam siasatan.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-dirempuh-kereta-terbabas-1.132219


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount