loading...

Friday, February 22, 2013

Treler minyak nyaris terbakar


23 Februari 2013
MARANG – Seorang pemandu treler yang membawa muatan minyak berdepan detik cemas, apabila salah satu tayar kenderaan berat itu tiba-tiba meletup dan terbakar.


Kejadian berlaku dekat persimpangan empat lampu isyarat Bandar Marang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, pemandu treler terbabit dalam perjalanan menghantar minyak ke Kota Bharu, Kelantan sebelum secara tiba-tiba salah satu tayar pada bahagian belakang treler tersebut meletup, menyebabkan ia terbakar.

Pemandu berusia 40an itu bagaimanapun terselamat, apabila dia bertindak pantas memberhentikan treler dipandunya dan segera memadam kebakaran dengan menggunakan dua alat pemadam api yang terdapat pada kenderaan itu.

“Saya dalam perjalanan ke Kota Bharu. Tiba-tiba tayar pecah tetapi mujur dapat mengawal dan memberhentikan kenderaan ini sebelum membuat pemeriksaan dan segera memadam kebakaran pada bahagian tayar belakang itu,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, keadaan lalu lintas juga terkawal apabila seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Marang, Wan Mohd Faizal Wan Ismail, 33, yang kebetulan berada di tempat kejadian membantu mengawal lalu lintas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, Zamri Awang Long mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan susulan kerja pemadaman dilakukan sepasukan 10 anggota bomba dan penyelamat daerah itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/treler-minyak-nyaris-terbakar-1.133755


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount