Inalillahi wainailaihi rojiun
18 Februari 2013
BAGAN SERAI - Seorang warga emas dalam perjalanan ke kedai runcit maut dirempuh sebuah kenderaan terbabas dalam kejadian di Teluk Medan, di sini malam kelmarin.
Akibat rempuhan tersebut, mangsa, Sulaiman Ahmad,60, cedera parah di bahagian badan dan kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang saksi, Abdul Rahim Chin, 41, berkata, dalam kejadian jam 8 malam, kereta tersebut dalam perjalanan ke arah Taiping sebelum hilang kawalan dan terbabas ke arah jalan bertentangan.
Katanya, dia yang berada di atas motosikal sementara menunggu anak saudara pergi membeli barang di sebuah kedai runcit di hadapan simpang Parit 6, di sini, terkejut kenderaan tersebut meluru pantas ke arahnya, sebelum sempat melompat menyelamatkan diri.
“Kereta itu terus merempuh motosikal saya dan tiga motosikal lain yang berada di belakang saya.
“Namun, apabila diteliti semula kesan rempuhan, saya dapati ada tubuh terbaring di atas jalan raya dengan keadaan badan berlumuran darah bersama tiga motorsikal dirempuh dan mendapati tubuh itu milik mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, anak mangsa, Siti Rohayu, 25, ketika ditemui terkejut setelah menerima panggilan orang ramai memaklumkan keadaan bapanya lebih kurang jam 8.30 malam hari kejadian.
Menurutnya, arwah bapanya sebelum itu keluar menghantar anak bongsunya ke tempat kerja sebelum pulang semula ke rumah untuk mandi dan solat Maghrib.
“Selepas Maghrib, arwah ayah keluar rumah semula tanpa pengetahuan kami dan terkejut mendapat berita dia sudah tiada setengah jam selepas itu,” katanya.
Berita kematian Sulaiman yang juga Setiausaha Umno cawangan Sungai Kepar turut mendapat perhatian kepimpinan Umno Bahagian Bagan Serai.
Ketua Pemuda Umno bahagian, Sharudin Ahmad menyifatkan arwah seorang pejuang parti tulen kerana tidak pernah merungut dengan segala amanah yang diberikan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan kes masih dalam siasatan.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-dirempuh-kereta-terbabas-1.132219
No comments:
Post a Comment