loading...
Tuesday, February 19, 2013
Dua remaja patah tulang paha
19 Februari 2013
SEBERANG PERAI - Dua remaja terpaksa menahan sakit dalam tempoh panjang selepas tulang paha kanan masing-masing patah apabila motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Dua di sini petang kelmarin.
Kemalangan pada jam 5.30 petang itu turut merosakkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki satu keluarga apabila dua motosikal berkenaan terpelanting dan mengenai kereta itu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Pertembungan motosikal Honda EX5 yang ditunggang remaja perempuan dari arah Sungai Dua dengan motosikal Yamaha 125 ditunggang remaja lelaki dari arah Tasek Gelugor itu menyebabkan keduanya melambung sebelum terhempas di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.
Manakala motosikal masing-masing menggelongsor dan terpelanting sebelum mengenai kereta Myvi dinaiki satu keluarga yang dalam perjalanan ke Tasek Gelugor menyebabkan bahagian tepi kereta kemek dan rosak.
Sebaik terhempas dua remaja yang berusia awal 20-an itu terbaring dalam keadaan kesakitan kerana kecederaan berkenaan.
Suasana agak tegang seketika apabila dua remaja berkenaan mengerang kesakitan kerana mereka turut mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan termasuk pendarahan di bahagian kepala.
Orang ramai yang kebetulan sedang melalui kawasan itu segera menghulurkan bantuan dengan mengalihkan mangsa ke tepi jalan serta bertindak mengawal lalu lintas sebelum ketibaan pihak polis kemudiannya.
Dua mangsa kemalangan itu kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan oleh ambulans milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Seberang Jaya kemudiannya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-remaja-terpaksa-tahan-sakit-1.132500
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment