loading...
Friday, February 22, 2013
Guru al-Quran maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
22 Februari 2013
AL MUKTAFIBILLAH SHAH – Hasrat seorang guru al-Quran untuk bertemu kakaknya yang akan bertolak ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah, tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan dekat sini, pagi semalam.
Wan Esah Wan Sarih, 53, dari Mengabang Telipot, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian selepas kereta Suzuki Swift dinaiki bersama suami, Wan Zakaria Wan Mohamad, 56, bersama bapanya, Wan Sarih Wan Omar, 83, serta kakaknya, Wan Nik Wan Sarih, 54, merempuh sebuah lori yang terbalik di atas jalan selepas bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kemalangan berdekatan pusat Rawat dan Rehat (R&R), dekat sini, pagi semalam.
Kemalangan kira-kira jam 10 pagi di kilometer 95 Jalan Jerangau-Jabor itu, dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Bukit Besi, dikatakan masuk ke stesen minyak sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Lori muatan coklat dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu itu dikatakan terbalik sebelum meluncur atas jalan ketika cuba mengelak kereta Proton Iswara itu.
Selepas bertembung dengan Proton Iswara, ia dirempuh pula kereta Suzuki Swift dipandu Wan Zakaria dari arah Kuala Terengganu menghala ke Jabor.
Menurut Wan Zakaria, dia bertolak dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk menziarahi kakak iparnya di Felda Bukit Goh yang akan menunaikan umrah.
Katanya, arwah isterinya yang difahamkan seorang guru al-Quran di kampungnya sempat menyediakan bekal kuih untuk dimakan ketika dalam perjalanan.
“Sepanjang perjalanan, kami tidak menemui lokasi yang sesuai untuk menikmati bekalan yang dibawa.
“Bagaimanapun belum sempat makan, kami terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Pemandu Iswara, Shafinie Yusof, 51, serta isterinya, Norizan Sulaiman, 50, turut tersepit dalam kenderaan remuk selepas merempuh lori terbabit.
Norizan bagaimanapun dilaporkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala suaminya Shafine, dari Felda Bukit Bading, Ajil turut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Pemandu lori berkenaan, Ibrahim Md Noor, 31, yang dalam perjalanan untuk menghantar coklat ke Pasaraya Giant Kuala Terengganu, bagaimanapun terselamat.
Ibrahim dikatakan sempat keluar dari lori yang terbalik sebelum menyelamatkan diri di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kemalangan tersebut masih dalam siasatan pihak polis.
Mayat mangsa yang terbunuh kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-sebelum-ziarah-kakak-1.133587
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment