loading...

Wednesday, February 20, 2013

Tersepit lebih satu jam




20 Februari 2013
HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih sejam sebelum diselamatkan, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 407.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, dua kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, M Saravanan, 43, tersepit di tempat duduk pemandu apabila lori sarat dengan muatan pelbagai barangan hantaran dipandunya, merempuh belakang sebuah treler yang bergerak perlahan.

Menurut kakitangan syarikat perkhidmatan penghantaran segera tempat mangsa bekerja yang enggan dikenali, ketika kejadian, mangsa memandu bersendirian dalam perjalanan dari Taiping menuju Shah Alam.

“Berdasarkan laporan pada buku log, mangsa bertolak dari Taiping pada jam 7.30 malam dan sepatutnya sampai jam 1 pagi tadi (semalam) di Shah Alam.

“Tetapi, lori mangsa dipercayai gagal dikawal ketika menghampiri laluan tersebut kerana kebanyakan kenderaan bergerak perlahan berikutan terdapat penutupan lorong di KM408.9,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori mangsa terperosok di belakang treler dan dia tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang kebetulan berada satu kilometer dari tempat kejadian iaitu lokasi kemalangan lain sebelumnya, bergegas untuk membantu mangsa.

“Lori dapat ditarik keluar, tetapi mangsa terpaksa ditenangkan sementara menunggu ambulans.

“Mangsa yang dipercayai patah kaki kanan, kemudiannya dikejarkan ke Hospital Slim River (HSR) untuk menerima rawatan,” katanya.

Difahamkan, terdapat kemalangan serta tumpahan getah di KM408.9 arah Selatan pada jam 11.18 pagi semalam hingga memaksa lorong kiri dan tengah ditutup.

Ketika Propel melakukan kerja pembersihan, berlaku kemalangan kedua di laluan sama kira-kira jam 12.17 pagi semalam menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Berdasarkan maklumat laman twitter Plus Trafik, terdapat dua kemalangan awal berlaku di KM402.2 arah Selatan pada jam 8.36 malam dan di KM420.4 arah sama pada jam 7.26 malam, namun tidak serius.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lebih-sejam-tahan-sakit-1.132831


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my