loading...
Thursday, February 21, 2013
Teksi terperosok bawah treler
21 Februari 2013
PORT DICKSON – Tiga penumpang cedera selepas teksi yang sedang perlahan untuk berhenti di lampu isyarat dilanggar sebuah treler di Bandar Spring Hill, dekat sini, petang kelmarin.
Pelanggaran berlaku kira-kira 7 petang itu turut menyebabkan teksi yang dipandu S Tharmalinggam, 53, terperosok ke bawah sebuah lagi treler berasingan.
Menurut Tharmalinggam, dia bersama tiga penumpang berkenaan dalam perjalanan dari Seremban ke Lukut.
“Saya memandu dengan kelajuan sederhana. Sebaik tiba di tempat kejadian, saya perlahankan kenderaan kerana ada lampu isyarat.
"Tiba-tiba berlaku hentaman kuat di bahagian belakang teksi menyebabkan teksi saya terdorong ke bahagian bawah sebuah treler yang berada di laluan bersebelahan," katanya.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku terlalu pantas dan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
“Mujur kemalangan tidak terlalu teruk. Saya bersama seorang penumpang yang duduk di tempat duduk hadapan, serta dua yang duduk di belakang bagaimanapun boleh keluar dari kereta.
“Saya tidak cedera, cuma seorang penumpang mengalami patah kaki. Manakala dua penumpang lagi cedera ringan di anggota badan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.
Kesemua penumpang dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu treler yang dikenali sebagai Joe, 36, berkata, kejadian berlaku apabila dia cuba mengelak daripada melanggar treler yang berada di hadapannya apabila treler terbabit memperlahankan kelajuan serta berhenti dengan mengubah ke laluan sebelah.
"Tapi, saya tak sangka akan melanggar teksi pula," katanya.
Dia bagaimanapun bernasib baik kerana kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.
Kedua-dua pemandu treler yang tidak membawa sebarang muatan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber:
www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terperosok-bawah-treler-1.133076
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment