loading...

Saturday, March 30, 2013

Maut tertusuk besi




31 Mac 2013
SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian  jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga  berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya.

"Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/wanita-maut-leher-tertusuk-besi-1.144490

Friday, March 29, 2013

Tragedi Rombongan Meminang




30 Mac 2013
BALING - Sebuah keluarga yang dalam perjalanan pulang dari majlis meminang nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Sungai Petani-Baling kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menghadiri majlis meminang salah seorang keluarga mereka di Felda Kemahang, Tanah Merah, Kelantan.

Salah seorang keluarga, Johari Osman, 69, dari Kampung Gua Said Alwi, Perlis berkata, terdapat 13 penumpang di dalam van yang dinaiki mereka.

Dia yang juga penumpang hadapan van itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala, 10 ahli keluarganya yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, van yang dinaiki penumpang terbabit dirempuh  oleh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah Sungai Petani-Baling dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan rempuhan antara kereta dan van tersebut. Manakala, sebuah kenderaan lain yang berada di belakang van tersebut gagal mengelak seterusnya merempuh bahagian belakang van tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kesemua mereka yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Jalan Sungai Petani - Baling berdekatan Kampung Ketemba sering terlibat dalam kejadian kemalangan. Tahun ini sahaja, lebih dari tiga kemalangan maut dilaporkan di kawasan jalan itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/rombongan-meminang-nyaris-maut-1.144232


2 Proton Satria bertembung




30 Mac 2013
KIJAL – Dua parah sementara seorang cedera selepas dua Proton Satria Neo bertembung hingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu remuk dalam nahas di Kilometer 131.8 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di Meraga Beris, dekat sini, kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.

Dua yang parah termasuk seorang ibu hamil, Tengku Akmaliana Tengku Zainuddin, 26, yang mengalami patah paha kanan dan patah ibu jari kaki kiri, selain difahamkan kandungannya turut mengalami pendarahan.

Seorang lagi yang parah adalah pemandu kereta berlainan yang juga pekerja swasta, Amarul Hafiz Zaharudin, 23, selepas tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami pendarahan dalam badan serta cedera di kepala.

Amarul Hafiz dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Nahas ngeri itu dipercayai berlaku berikutan kereta yang dipandu Amarul Hafiz yang dalam perjalanan dari Kemaman menghala ke Kuala Terengganu terbabas, lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar secara berdepan dengan kereta yang dipandu pasangan guru, Nasrullah Abd Rahman, 26, dan isterinya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika itu Nasrullah dan isterinya dalam perjalanan dari Felda Kerteh 4 menghala ke Gebeng, Kuantan.

“Selepas bertembung, kereta yang dinaiki Amarul Hafiz terpelanting lalu terbalik di sebelah kaki lima jalan dengan empat tayarnya ke atas dan enjin keretanya turut tercabut.

“Akibat pertembungan itu, Nasrullah pula terseliuh ibu jari tangan kiri, cedera di bahagian lutut sebelah kanan dan mengalami bengkak-bengkak,” katanya semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/ibu-hamil-parah-dua-proton-satria-bertembung-1.144280


Thursday, March 28, 2013

Penunggang maut dirempuh kereta




29 Mac 2013
PAKA – “Saya brek dan cuba mengelak mangsa, namun dia tercampak atas cermin kereta saya sebelum jatuh ke bawah," kata Azhar Abdul, 26, menceritakan detik cemas ketika kereta dipandunya merempuh seorang penunggang motosikal dalam satu kemalangan, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang di Kilometer 95.6 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu, dipercayai berlaku apabila seorang penunggang motosikal, dikenali sebagai Rasat Soa, 29, secara tiba-tiba masuk ke laluan kanan.

Azhar yang memandu Honda Accord dari arah sama ketika itu dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang, Kerteh, bersama isteri dan tiga anaknya.

Azhar berkata, dia cuba mengelak daripada merempuh mangsa yang tiba-tiba masuk ke laluan kanan di laluannya itu, namun gagal menyebabkan dia merempuh mangsa sebelum tercampak ke atas kereta lalu jatuh.

Menurutnya, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan mati serta merta di tempat kejadian.

“Rempuhan kuat menyebabkan dia terjatuh atas cermin kereta saya.

“Darah turut memenuhi cermin kereta saya sebelum kami semua keluar menyelamatkan diri,” katanya yang hanya cedera ringan.

Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang buruh kontrak warga Kemboja dalam perjalanan ke tempat kerjanya, selepas menikmati makan tengah hari di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/buruh-maut-dirempuh-kereta-1.143952


Wednesday, March 27, 2013

Treler 22 tayar putus dua





28 Mac 2013
BUKIT KUANG – Pengguna jalan raya di sini gempar apabila sebuah treler 22 tayar yang membawa muatan trak jentera angkat susun (forklift truck) seberat 40 tan terputus dua semasa melalui satu selekoh di laluan sementara jambatan Bukit Kuang, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Insiden luar biasa itu menarik perhatian ramai, selain turut menyebabkan jalan sesak hingga jalan terpaksa ditutup berikutan kenderaan berat itu mengambil masa lama untuk dialihkan, dan laluan baru terpaksa dibuka.

Treler terbabit putus dua berikutan sendi (chassis) ‘loader’ treler itu patah, lalu loader berkenaan dan kepala treler menghempap permukaan jalan mengakibatkan minyak diesel kenderaan terbabit tumpah di atas jalan.

Bagaimanapun, pemandunya, Nasir Ariffin, 46, bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa empat anak yang menetap di Kuantan, Pahang itu ketika kejadian, dalam perjalanan dari Pelabuhan Kemaman untuk menghantar forklift truck ke Pelabuhan Kuantan.

Menurut Nasir, sepanjang 20 tahun memandu treler, kejadian itu adalah pertama  kali dilaluinya.

“Saya memandu dengan perlahan, jadi bila kepala treler dan badannya terputus saya tidak dengar apa-apa,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga Penyelia Bahagian Trafik Syarikat Cergas Murni yang menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan, Mohd Azman Abdullah berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan kerana ia dipandu perlahan.

“Laluan pusingan U yang siap di kawasan ini membolehkan kenderaan dilencongkan ke laluan itu dan mengelakkan masalah kesesakan berterusan,” ujarnya.

Katanya, treler itu berjaya dialihkan sekitar jam 12.30 tengah malam dengan menggunakan kren seberat 45 tan yang tiba ke lokasi itu pada jam 9 malam.

Sejurus dialihkan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menyembur air bagi membersihkan jalan itu yang berminyak berikutan tumpahan diesel.

Pegawai operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Omar Chekku berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.15 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 4.25 petang dengan kekuatan seramai tujuh anggota dan sebuah jentera bomba.

“Dari petang hingga malam kami bersiap sedia di lokasi ini dan menunggu kenderaan berat ini dialihkan bagi membuat semburan air untuk membersihkan permukaan jalan raya,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/treler-22-tayar-putus-dua-1.143651



Abang Chik sayang mak




Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Mac 2013
GERIK – "Mak tidur dan jaga diri baik-baik. Abang Chik sayang mak," itulah kata-kata akhir mangsa kemalangan maut, Zulbasseri Sharif, 30, kepada ibunya, Che Nah Abu, 61, sebelum  terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.2, Jalan Gerik – Kupang, kelmarin.



Zulbasseri bersama isteri, Wan Rozilawati Wan Omar, 25 dan bayi mereka, Siti Wafi Syuhana, lapan bulan maut di tempat kejadian apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori 25 tan tanpa muatan.

Kejadian pada kira-kira jam 1.30 petang itu turut menyebabkan anak sulung mereka, Siti Wafa Syuhada, 2 kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan di tempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB).

Difahamkan, keluarga mangsa sedang dalam perjalanan ke rumah keluarga pihak isteri di Alor Buluh. Pasir Mas, Kelantan semasa kejadian berlaku.

Che Nah berkata, mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima beradik merupakan seorang yang rajin membantu menyara keluarga dengan mengusahakan padi selepas suaminya (bapa mangsa) mengalami masalah penglihatan.

"Kelakuan dia pagi tadi (kelmarin) agak pelik apabila dia seolah-olah manja dengan saya dan memeluk saya serta bersalam beberapa kali sebelum memulakan perjalanan. Saya ingat itu perkara biasa kerana Abang Chik memang rapat dengan saya.

"Sebelum naik kereta, dia ada minta wang RM100 daripada saya untuk beli barang. Itulah kali terakhir saya jumpa Abang Chik sehinggalah dapat khabar mengenai kemalangan ini," ceritanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Gerik.

Che Nah turut memaklumkan gagal menghubungi Zulbasseri setelah merasa tidak senang hati dengan tingkat laku pelik mangsa dan hanya mendapat tahu berhubung kemalangan daripada salah seorang anak yang memberitahu kereta dinaiki mangsa berada di bawah lori.

Katanya, tiada apa yang dapat dikatakan saat menerima berita kemalangan yang meragut nyawa tiga beranak itu, namun dia reda dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, bapa Rozilawati, Wan Omar Wan Mohamad, 61 mengaku terkejut mendapat perkhabaran anaknya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan bersama keluarganya.

"Mereka dalam perjalan pulang ke rumah pakcik. Tak sangka tak sempat jumpa mereka, terutama Wafa (Siti Wafa Syuhada) yang rapat dengan pakcik. Kalau balik kampung, dia suka naik motosikal jalan-jalan.

"Rozilawati memang rapat dengan tujuh adiknya yang lain, Kehilangan arwah amat dirasakan kerana dia anak yang baik," katanya.

Waris mangsa telah menuntut ketiga-tiga jenazah pada malam kelmarin dan dikebumikan di kampung asal Zulbasseri, iaitu di Bukit Besar, Yan, Kedah, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/susulan-kemalangan-maut-abang-chik-sayang-mak-1.143621


Tuesday, March 26, 2013

Rakan sempat ajar mengucap


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Mac 2013
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Gunung Keriang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, motosikal dinaiki mangsa, Kassim Isa, 54, dikatakan dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gunong menuju ke Jalan Sungai Baru, Gunung Keriang bertembung dengan sebuah kereta ketika dia berhenti untuk membelok ke tempat kerjanya di sebuah kedai perkakasan.

Mangsa yang cedera parah  meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta hanya cedera ringan.

Saksi, Rosidi Shuib, 42, yang juga merupakan rakan sekerja mangsa berkata, ketika kejadian , dia bersama beberapa rakan sekerja yang lain  berada di tempat kerja bagaimanapun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba.

“Kemudiannya, kami lihat mangsa terpelanting dan tergolek beberapa kali di atas jalan raya sebelum terjatuh.

“Terkejut dengan kejadian itu, kami segera mendapatkan mangsa untuk mengalihkannya ke kawasan yang lebih selamat malah sempat mengajarnya mengucap sebelum dia  meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kemalangan sering berlaku di kawasan ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian itu manakala pemandu kereta berkenaan hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu cuai sehingga mengakibatkan kematian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/rakan-sempat-ajar-mengucap-1.143344


Nyaris terjunam gaung




27 Mac 2013
LEMBAH BERINGIN - Seorang pemandu lori bersama kelindannya nyaris terjunam dalam gaung apabila lori muatan itik sejuk beku terbabas di Kilometer (KM) 414 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut saksi, mereka dalam perjalanan dari Sungai Bakap menuju Johor Bharu dan cuba mengelak sebuah kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi. Ketika tiba di laluan tersebut, lori hilang kawalan kerana cuba mengelak kenderaan lain, namun terbabas ke kiri dan masuk dalam longkang.

“Lori itu turut melanggar besi pengadang jalan, namun mujur tayar tersangkut pada longkang lebuh raya jadi tidak terus terjunam dalam gaung,” katanya yang enggan dikenali.

Difahamkan, lori terbabit membawa muatan kira-kira 5,000 itik sejuk beku dan semua muatannya selamat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lori-nyaris-jatuh-gaung-1.143412


Pasangan Warga Emas Maut Dirempuh Remaja




Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Mac 2013
JENGKA - “Mak selalu pesan suruh jaga ayah bila dia tiada nanti, namun tidak sangka, mak dan ayah ‘pergi’ bersama-sama,” luah anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di kilometer (KM) 46 Jalan Maran - Bandar Jengka - Jerantut pada jam 9.30 malam kelmarin.

Amir Azuan Nizam Husin, 19, berkata, ibunya, Fatimah Taib, 57, sering meluahkan kata-kata itu setelah menghidap sejenis penyakit misteri sejak lapan bulan lalu.

“Mak menghidap penyakit yang tidak diketahui puncanya dan pernah menggunakan kerusi roda. Disebabkan itu, dia selalu pesan supaya menjaga ayah bila dia tiada nanti.

"Tapi semalam (kelmarin), mak dan ayah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Amir Azuan Nizam berkata, ibunya bersama ayahnya, Husin Man @ Othman, 62, yang merupakan peneroka tanah rancangan di sini dalam perjalanan menghantar abangnya untuk bekerja di Kuantan.

Difahamkan, pasangan terbabit terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Kali terakhir saya berjumpa mereka, petang semalam (kelmarin) sebelum mereka berangkat ke Kuantan. Mak ada mengajak saya untuk ikut sama, tapi saya menolak.

“Sebelum mak dan ayah berangkat, mereka berpesan kepada saya supaya menjaga rumah serta diri baik-baik. Selain itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan mereka,” katanya yang merupakan anak bongsu dari empat beradik.

Jiran mangsa yang juga Pengerusi Biro Sosial tanah rancangan di sini, Zainol Bahari, 60, berkata, seminggu sebelum kejadian, dia, isteri dan Fatimah merancang untuk pergi berubat di Kampung Lompat, Temerloh.

“Kami naik kereta berasingan. Entah mengapa, Fatimah terlambat dan menghubungi saya memberitahu dia tidak mahu berubat.

"Katanya, tidak payahlah berubat dan biarlah keadaannya begitu. Kata-katanya itu seolah-olah dia sudah tahu yang dia akan ‘pergi’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kereta jenis Iswara dipandu mangsa  dari arah Kuantan, dirempuh dari kanan oleh kereta Myvi dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang keluar dari persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka.

Katanya, suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu Myvi cedera di bahagian lutut dan kini sedang di rawat di Hospital Jengka.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 22 pagi semalam.

Hadir sama, Adun Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pesanan-terakhir-jadi-petanda-1.143309


Monday, March 25, 2013

Melambung rempuh kereta




Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Mac 2013
Seremban: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi lelaki cedera parah apabila masing-masing yang menunggang motosikal berasingan jenis Yamaha 125Z merempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang membuat pusingan U di simpang lampu isyarat Bandar Sri Sendayan, Jalan Sungai Ujong berhampiran tapak pasar malam Sri Sendayan, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa Fazrul Zainal, 20, maut serta-merta di tempat kejadian akibat parah di kepala dan patah kaki kiri manakala seorang lagi, Ahmad Aminudin, 20, cedera parah dipercayai patah peha kanan dan kaki kiri selain luka di kepala serta tangan kanan.

Pemandu Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan itu, seorang wanita berusia 43 tahun dan anaknya berusia 18 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut saksi kejadian, Amran Mamat, 31, kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan cuba membuat pusingan U di simpang lampu isyarat.

“Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z tidak sempat mengelak lalu melanggar kanan kereta sebelah pintu pemandu sebelum mangsa melambung hingga menyebabkannya cedera parah dan mati.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Melambungrempuhkereta//Article


Terhumban ke gaung selepas pikat ayam hutan




Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Mac 2013
MARAN - Seorang peneroka Felda yang dalam perjalanan pulang daripada memikat ayam hutan, maut apabila motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 67.5 Jalan Lama Kuantan - Kuala Lumpur dekat Kampung Luit, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Mazlan Che Lah, 52, yang juga bapa 10 anak, menunggang motosikal jenis Honda EX5 sendirian.

Bagaimanapun katanya, sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun bersama dua adiknya yang dalam perjalanan dari Jerantut ke Felda Panching Selatan, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Kereta dipandu remaja lelaki itu dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa hingga mengakibatkan kedua-duanya terhumban ke dalam gaung.

Penunggang itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan dan luka di leher. Mayatnya dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Bagaimanapun, pemandu remaja itu hanya cedera ringan, manakala adiknya berusia 17 dan 11 tahun pula menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, pemandu remaja terbabit merupakan pelajar politeknik dan mempunyai lesen memandu yang sah.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/ajal-selepas-pikat-ayam-hutan-1.142941



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount