loading...
Wednesday, March 27, 2013
Treler 22 tayar putus dua
28 Mac 2013
BUKIT KUANG – Pengguna jalan raya di sini gempar apabila sebuah treler 22 tayar yang membawa muatan trak jentera angkat susun (forklift truck) seberat 40 tan terputus dua semasa melalui satu selekoh di laluan sementara jambatan Bukit Kuang, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Insiden luar biasa itu menarik perhatian ramai, selain turut menyebabkan jalan sesak hingga jalan terpaksa ditutup berikutan kenderaan berat itu mengambil masa lama untuk dialihkan, dan laluan baru terpaksa dibuka.
Treler terbabit putus dua berikutan sendi (chassis) ‘loader’ treler itu patah, lalu loader berkenaan dan kepala treler menghempap permukaan jalan mengakibatkan minyak diesel kenderaan terbabit tumpah di atas jalan.
Bagaimanapun, pemandunya, Nasir Ariffin, 46, bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa empat anak yang menetap di Kuantan, Pahang itu ketika kejadian, dalam perjalanan dari Pelabuhan Kemaman untuk menghantar forklift truck ke Pelabuhan Kuantan.
Menurut Nasir, sepanjang 20 tahun memandu treler, kejadian itu adalah pertama kali dilaluinya.
“Saya memandu dengan perlahan, jadi bila kepala treler dan badannya terputus saya tidak dengar apa-apa,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga Penyelia Bahagian Trafik Syarikat Cergas Murni yang menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan, Mohd Azman Abdullah berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan kerana ia dipandu perlahan.
“Laluan pusingan U yang siap di kawasan ini membolehkan kenderaan dilencongkan ke laluan itu dan mengelakkan masalah kesesakan berterusan,” ujarnya.
Katanya, treler itu berjaya dialihkan sekitar jam 12.30 tengah malam dengan menggunakan kren seberat 45 tan yang tiba ke lokasi itu pada jam 9 malam.
Sejurus dialihkan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menyembur air bagi membersihkan jalan itu yang berminyak berikutan tumpahan diesel.
Pegawai operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Omar Chekku berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.15 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 4.25 petang dengan kekuatan seramai tujuh anggota dan sebuah jentera bomba.
“Dari petang hingga malam kami bersiap sedia di lokasi ini dan menunggu kenderaan berat ini dialihkan bagi membuat semburan air untuk membersihkan permukaan jalan raya,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/treler-22-tayar-putus-dua-1.143651
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment