Friday, February 14, 2014

Warga emas maut digilis treler



14 Februari 2014
RAUB - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori treler ketika cuba mengelak bas yang berhenti di bahu kiri jalan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.50 pagi semalam di Kilometer 352, jalan Raub-Kuala Lipis.

“Kejadian berlaku di hadapan Pasaraya Thong Fatt dan berdasarkan siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa cuba mengelak bas yang memberi isyarat berhenti di kiri jalan.

“Mangsa telah mengelak ke kanan jalan dan terus membelok seperti ingin memasuki simpang, namun dilanggar sebuah treler dari arah sama,” katanya.

Menurutnya, mangsa, Eng Men @ Ng Yu Min, 71, kemudiannya terjatuh lalu digilis tayar bahagian kiri lori treler terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori terbabit yang berasal dari Lanchang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang berasal dari Taman Raub Jaya 6 dikatakan dari arah bandar Raub, namun tidak dapat dipastikan ke mana hala tujunya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raub sebelum dituntut oleh keluarga.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat  diminta tampil membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/warga-emas-maut-digilis-treler-1.250758


Wednesday, February 12, 2014

Pusara di jalan raya



Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Februari 2014
Kulim: Sepasang suami isteri warga emas maut manakala empat yang lain cedera apabila kereta PERODUA Alza yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang dalam satu kemalangan di Jalan Titi Karangan-Baling, berhampiran simpang empat Labu Besar, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa, Mohammed Ismail Mohamad Hassan, 66, dan isterinya, Rogayah Md Isa, 55, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang, maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu kereta itu, Ahmad Bukhari, 20, yang juga anak bongsu termasuk abangnya, Aidil Zulkarnain, 40, dan isteri, Rosidah Mohd Rafie, 43, serta anak mereka, Aida Nuraisyah, 15, mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan dari arah Baling untuk pulang ke rumah mereka di Pulau Pinang.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pusaradijalanraya/Article/index_html



Terjunam 12 meter


Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Februari 2014
KEMAMAN - Seorang pembantu kedai makan wanita maut sementara anak lelakinya cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 12 meter, petang kelmarin.


Nahas itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang di jalan pintasan dari Bandar Ceneh Baru ke Felda Neram Satu, kira-kira empat kilometer dari perkampungan Bandar Ceneh Baru.

Mangsa, Ruziyah Ibrahim, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, Ruziyah dan anaknya, Mohd Asyraf Rusmadi, 18, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Tanjung Pasir, Kuantan ke rumah mereka di Felda Neram 2.

“Ruziyah dan anaknya dikatakan bekerja di sebuah kedai makan milik saudara mereka dekat bandar Kuantan dan keluar berniaga seawal jam 4 pagi dan pulang jam 4 petang.

“Namun ketika tiba di tempat kejadian, kereta mereka naiki dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terjunam ke dalam gaung yang dalam,” katanya.

Mangsa dua beranak baru dua bulan bekerja di kedai makan itu dan berulang-alik menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Akibat kemalangan itu, Ruziyah turut tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kerana kereta yang dinaiki remuk teruk.

Mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Mayat Ruziyah kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di Chukai untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga lewat malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Cheneh Baru.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kereta-terjunam-dalam-gaung-1.249907
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibumaut_anakparah/Article/index_html



4 Beranak Nyaris Maut


12 Februari 2014
BUKIT TAGAR - “Saya tak fikir lain dah masa tu, saya terus tarik adik dan panjat keluar daripada kereta kerana bimbang dirempuh kenderaan lain,” kata Mohd Faiz Razali, 22, menceritakan detik cemas ketika menyelamatkan adiknya dari dalam kereta yang terbalik di tengah lebuh raya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu juga ibu dan bapanya keluar menyelamatkan diri sebelum beberapa orang awam berhenti untuk memberikan bantuan.

Mohd Faiz berkata, mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 412.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan kira-kira jam 6.45 petang ketika mereka dalam perjalanan daripada Slim River ke Bestari Jaya.

Katanya, ketika kejadian dia bersama bapa, Razali Mohamed, 51, ibu, Salmiah Aziz, 42 dan adiknya, Nur Iman Aqilah, 10, pulang daripada menghantar abangnya di sebuah kolej di Slim River.

“Masa perjalanan itu, ayah pandu pada kelajuan biasa di lorong tengah, tapi saya dengar bunyi kenderaan membrek di belakang sebelum berasa seperti kereta kami dilanggar.

“Masa itu saya sudah tak ingat apa-apa, kereta kami terbalik mengiring di tengah jalan. Saya cuma fikir adik dan selamatkan dia dahulu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Mohd Faiz bersyukur kerana adiknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Razali berkata, dia gagal mengawal kenderaannya setelah dilanggar dari arah belakang lalu melanggar besi pembahagi lebuh raya sebelum terbalik dan terseret hampir 100 meter.

“Saya pandu di lorong tengah tiba-tiba kereta Kia Forte dari belakang di lorong kanan sekali langgar bahagian tepi kereta menyebabkan saya hilang kawalan.

“Mungkin dia cuba memotong tapi gagal dan turut melanggar besi pembahagi jalan sebelum keretanya merintangi jalan,” katanya yang hanya mengalami sakit kepala.

Manakala, isterinya, Salmiah berkata, seperti biasa mereka akan melalui lebuh raya itu untuk ke Slim River dan ketika kejadian mereka sudah hampir persimpangan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar.

Dalam pada itu, difahamkan tiga lagi mangsa yang menaiki kenderaan Kia Forte tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka beredar lebih awal dari lokasi kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/empat-beranak-nyaris-maut-1.249662



Pemandu lori maut terbabas



12 Februari 2014
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Jalan Putra, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Cheah Kim Joo, 53, dikatakan dalam perjalanan menghantar kotak terpakai ke kilang tempat kerjanya.

Menurut saksi yang enggan dikenali, lori yang dipandu mangsa dipotong oleh sebuah kereta menyebabkan mangsa terpaksa mengelak sebelum terbabas ke dalam longkang berhampiran sungai Anak Bukit.

“Saya nampak lori seperti hilang kawalan dan ada sebuah kereta yang memotong sebelum terbabas.

“Mungkin dia cuba mengelak daripada kereta terbabit dan hilang kawalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mat Akhir Jaafar mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa kemungkinan terkena serangan jantung ketika sedang memandu menyebabkan hilang kawalan.

“Mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan menunjukkan mangsa mati mengejut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-lori-terbabas-1.249931



Sunday, February 9, 2014

Lima sekeluarga bergelimpangan atas jalan



10 Februari 2014
Jasin: Lima sekeluarga bergelimpangan di lebuh raya selepas tercampak keluar dari Toyota Estima dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 190.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, dua ahli keluarga terbabit terbunuh manakala dua lagi parah termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun serta dua lagi mangsa cedera ringan.


Difahamkan, wanita warga emas Kooi Bee Hua, 67, maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi lelaki yang belum dikenal pasti identiti disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Melaka tidak lama kemudian.

Kenderaan berkenaan dinaiki enam orang masing-masing tiga lelaki dan perempuan.


Menurut sumber, kejadian berlaku apabila pemandu Toyota Estima dipercayai hilang kawalan di lorong kanan lalu terbabas merempuh besi penghadang tengah sebelum kenderaan terbalik beberapa kali.


“Berikutan kejadian, lima mangsa tercampak keluar dan seorang wanita warga emas tersepit pada pintu kenderaan. Seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut parah.

“Dua lagi wanita cedera parah dan dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Melaka untuk rawatan manakala dua lagi hanya cedera ringan diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian,” katanya.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan 11 Mohd Ashraf Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dan mendapati lima dari enam mangsa yang cedera terbaring di atas lebuh raya dalam keadaan menyedihkan.


“Seorang daripada mereka yang cedera parah di kepala didapati tersepit di celah pintu kenderaan sebelah kiri dan dipercayai mati di tempat kejadian dan dikeluarkan dalam masa kurang dari 10 minit,” katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, anggota bomba turut membantu mengumpulkan tiga mangsa yang cedera parah termasuk dua lagi cedera ringan di tepi jalan sementara menunggu bantuan paramedik tiba tidak lama selepas itu. “Keadaan amat menyedihkan, selepas melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera parah di bahagian perut sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, dua mangsa terbunuh dan dua parah dan dua lagi cedera ringan selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan.


“Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu dan setibanya di tempat kejadian kenderaan dinaiki terbabas ke kanan jalan lalu merempuh besi penghadang tengah sebelum terbalik beberapa kali.


“Seorang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2014021001562320140210015623/Article/index_html



Maut langgar 2 kenderaan



Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Februari 2014
ALOR GAJAH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar dua kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Alor Gajah - Selandar, Machap Baru, di sini, petang semalam.

Mangsa, Mohd Kamil Abu Bakar, 31, dari Kampung Pegoh maut selepas motosikal ditunggangi sendirian melanggar sebuah lori sebelum merempuh kereta jenis Suzuki Swift dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Laham berkata, kejadian berlaku di hadapan pintu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Machap Baru menghala Machap Umboo.

“Sebelum kejadian pemandu lori berusi 57 tahun sedang membelok masuk ke simpang dan dalam masa sama mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian belakang lori berkenaan.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan kemudian merempuh kereta dipandu seorang lelaki yang berada di belakang lori tersebut sebelum dia jatuh ke atas jalan raya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohamad, Mohd Kamil meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1947," katanya.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Mohd Nurul Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia menaiki kereta bersama tunangnya, Aziah Rosli, 24, melihat lori berkenaan masuk ke simpang kanan tanpa memberi isyarat lampu.

“Saya berada di belakang lori berkenaan melihat motosikal itu cuba mengelak, namun berlanggar lori berkenaan sebelum melanggar bahagian depan sebelah kanan kereta saya walaupun saya juga cuba mengelak,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-langgar-dua-kenderaan-1.249274



Remaja maut rempuh belakang lori


10 Februari 2014
BANDARAYA MELAKA - Seorang pelajar tingkatan lima maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu rakan apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Lebuh AMJ, di sini, awal pagi semalam.




Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, mangsa, Orlando Low Sheng Aun, 17, dikatakan maut melanggar bahagian belakang lori membawa muatan kelapa tua yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa yang datang dari arah Jejambat Semabok menghala persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu sebelum kejadian berada di lorong tengah.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenama Suzuki telah melanggar belakang lori jenis Nissan Vanette menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan.

“Pelanggaran itu turut menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke kanan jalan, sementara tayar belakang sebelah kiri lori pecah,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Salehhudin, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum  dibawa ke Hospital Melaka, di sini  untuk dibedah siasat.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1947," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Low Mun Hoi berkata, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh rakan anaknya itu dan segera ke lokasi bersama isteri dan dua lagi anaknya, termasuk saudara kembar Orlando.

“Orlando yang belajar di Sekolah Menengah (SM) Bukit Beruang merupakan kembar. Saya hanya dapat tahu dia ke kawasan berhampiran untuk keluar minum bersama rakan.

“Kira-kira 12.30 malam, seorang kawan anak ada hubungi saya dan memaklumkan Orlando maut terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-langgar-belakang-lori-1.249193
http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Maut_Rempuh_Belakang_Lori.html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount