loading...

Wednesday, February 12, 2014

4 Beranak Nyaris Maut


12 Februari 2014
BUKIT TAGAR - “Saya tak fikir lain dah masa tu, saya terus tarik adik dan panjat keluar daripada kereta kerana bimbang dirempuh kenderaan lain,” kata Mohd Faiz Razali, 22, menceritakan detik cemas ketika menyelamatkan adiknya dari dalam kereta yang terbalik di tengah lebuh raya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu juga ibu dan bapanya keluar menyelamatkan diri sebelum beberapa orang awam berhenti untuk memberikan bantuan.

Mohd Faiz berkata, mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 412.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan kira-kira jam 6.45 petang ketika mereka dalam perjalanan daripada Slim River ke Bestari Jaya.

Katanya, ketika kejadian dia bersama bapa, Razali Mohamed, 51, ibu, Salmiah Aziz, 42 dan adiknya, Nur Iman Aqilah, 10, pulang daripada menghantar abangnya di sebuah kolej di Slim River.

“Masa perjalanan itu, ayah pandu pada kelajuan biasa di lorong tengah, tapi saya dengar bunyi kenderaan membrek di belakang sebelum berasa seperti kereta kami dilanggar.

“Masa itu saya sudah tak ingat apa-apa, kereta kami terbalik mengiring di tengah jalan. Saya cuma fikir adik dan selamatkan dia dahulu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Mohd Faiz bersyukur kerana adiknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Razali berkata, dia gagal mengawal kenderaannya setelah dilanggar dari arah belakang lalu melanggar besi pembahagi lebuh raya sebelum terbalik dan terseret hampir 100 meter.

“Saya pandu di lorong tengah tiba-tiba kereta Kia Forte dari belakang di lorong kanan sekali langgar bahagian tepi kereta menyebabkan saya hilang kawalan.

“Mungkin dia cuba memotong tapi gagal dan turut melanggar besi pembahagi jalan sebelum keretanya merintangi jalan,” katanya yang hanya mengalami sakit kepala.

Manakala, isterinya, Salmiah berkata, seperti biasa mereka akan melalui lebuh raya itu untuk ke Slim River dan ketika kejadian mereka sudah hampir persimpangan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar.

Dalam pada itu, difahamkan tiga lagi mangsa yang menaiki kenderaan Kia Forte tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka beredar lebih awal dari lokasi kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/empat-beranak-nyaris-maut-1.249662



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my