Saturday, November 23, 2013

Maut rempuh Plaza Tol


24 November 2013
SHAH ALAM - Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok pembahagi lorong di Plaza Tol Sungai Besi, pagi semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 9.15 pagi itu, Lok Kek Chin, 35, yang memandu bersendirian dari arah Seremban menghala Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian tulang rusuk dan patah kaki.

Enjin kereta mangsa turut terbakar selepas pelangaran itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Honda City hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok pembahagi lorong tol di Plaza Tol Sungai Besi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







Sumber:
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Pemandu_Berjaya_Diselamatkan_Dari_Rentung.html


Warga emas maut bertembung motosikal



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 November 2013
UMBAI - Seorang warga emas maut apabila motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Melaka Muar, dekat Pekan Umbai di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Siddik Hassim, 77, dari Kampung Umbai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila mangsa yang datang dari arah Muar dikatakan berhenti sebentar di tepi jalan, sebelum membelok ke kanan.

“Pada masa sama datang sebuah motosikal dari arah Muar melanggar mangsa dari sisi sebelah kanan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk di bedah siasat, sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/dua-motosikal-bertembung-warga-emas-maut-1.223940


Pemandu lori kontena nyaris rentung


24 November 2013
Shah Alam: Kepantasan seorang pemandu lori kontena mengesan bau asap di bahagian enjin sebelum berhenti di tepi jalan berjaya menyelamatkan dirinya apabila kenderaan itu terbakar di kilometer (KM) 7.2 Lebuhraya NKVE menghala ke Setia Alam, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, Mohd Sam Iskandar Abdul Jalil, 34, dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar muatan milik Pos Malaysia.

Menurutnya, selepas memandu selama 20 minit, enjin lori kontena yang dipandu mula mengeluarkan bau hangit yang kuat sebelum pemandu membuat keputusan memberhentikan lorinya di lorong kecemasan lebuh raya.

“Saya tidak menyangka bahagian depan lori akan terbakar dan memang bernasib baik kerana selepas beberapa minit keluar dari lori tadi (semalam), bahagian enjin mula terbakar, sekali gus memusnahkan bahagian tempat duduk pemandu.
“Saya segera menghubungi bomba dan Plus Malaysia Bhd (PLUS) untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sam yang bekerja sebagai pemandu lori sejak enam tahun lalu itu berkata, dia bersyukur dapat mengesan kerosakan di enjin itu dengan pantas dan tidak cedera.

“Kalau saya tidak ambil peduli mengenai bau asap dan meneruskan perjalanan, mungkin saya turut terbakar dalam lori,” katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya berkenaan sejauh kira-kira dua kilometer.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemandulorikontenanyarisrentung/MA/Article/index_html



2 sahabat maut bertembung lori



24 November 2013
Kuantan: Dua sahabat maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 12, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, semalam.






Dalam kejadian jam 7.30 pagi, pemandu kereta, M Kanayan, 36, terbunuh di tempat kejadian manakala penumpangnya, R Raman, 54, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Mangsa yang terbunuh masing-masing berasal dari Jalan Bukit Setongkol dan Kampung Gudang Rasau, di sini.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Kanayan dari arah Gambang menghala ke pusat bandar dikatakan terbabas dan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, pada masa sama sebuah lori tanpa muatan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan mangsa

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2mautrempuhlori/MA/Article
http://www.nst.com.my/latest/two-killed-in-crash-1.409773
http://news.abnxcess.com/2013/11/two-killed-when-car-rams-lorry-in-kuantan/



Friday, November 22, 2013

3 beradik tak sempat jemput ibu



Inalillahi wainailaihi rojiun

22 November 2013
Papar: Tiga daripada lima beradik yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk menjemput ibu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Papar-Beaufort, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 3.10 petang apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka bertembung dengan van dinaiki sembilan individu termasuk lapan pelancong Hong Kong.

Mangsa yang terbunuh ialah Ahmad Syahmi Borhan, 24, (pemandu) bersama dua adiknya Hazmim Syakir, 15, dan Mohd Eizaz Syafil, 10. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan George Abdul Rakman berkata, dua lagi mangsa, Syahmi, Danish Shahzwan, 13, cedera parah manakala Muazam Syafaat, 14, hanya cedera ringan.

Menurutnya, sejurus kemalangan, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Papar menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/3beradikmaut//Article?HarianMetro



Thursday, November 21, 2013

Tayar pecah nyawa melayang



22 November 2013
NILAI – Seorang lelaki warga emas maut akibat cedera parah di  kepala dalam kemalangan  di Kilometer 281.4 Lebuh Raya Utara - Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar Nilai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa, Lin Teck Seng @ Lin Chee Guan, 66, yang memandu kereta jenis BMW maut di tempat kejadian, selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori yang rosak.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor dalam perjalanan dari arah Nilai menuju ke Seremban.

Menurutnya, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh belakang lori yang ketika itu berada di lorong kecemasan akibat tayar rosak.

“Akibat daripada rempuhan itu, kereta mangsa tercampak ke kiri jalan dan mangsa kemudiannya tersepit sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan yang lain,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori yang membawa muatan besi itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd, Yusof Awang yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan



Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Wargaemasmautkemalangan/MA/Article
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bmw-rempuh-belakang-lori-pemandu-maut-1.223278



Wednesday, November 20, 2013

Suami isteri maut rempuh tembok


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 November 2013
LEDANG - Sepasang suami isteri terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.5 Lebuh Raya Air Keroh Melaka Jasin (AMJ) berhampiran Parit Pajar, Kesang , di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Sharil Yusof, 42, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Roslina Mahmod, 40, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Difahamkan, pasangan terbabit yang memiliki empat cahaya mata dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 5, Tanjung Gading, di sini, selepas mengambil suaminya pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di Merlimau, Melaka.

Malangnya kereta Proton Exora dipandu Roslina dari arah Melaka menghala ke Muar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok tepi jalan sebelum terbalik masuk ke dalam parit.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan kejadian berkenaan berlaku kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Abang kepada Sharil, Idris Yusof, 47, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu selepas menerima panggilan telefon daripada rakan kepada adiknya yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Kali terakhir jumpa dengan arwah petang semalam (kelmarin) di kedai makan yang diusahakannya bersama Roslina berdekatan dengan rumah mereka.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan kelihatan ceria serta ramah seperti biasa.  Biasanya selepas balik kerja kilang, sekitar jam 6 petang dia (arwah) akan berniaga di kedai makannya pula,” katanya, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedikit sukar berikutan keadaan kereta itu yang terbalik, namun kecekapan 12 anggota berjaya mengatasi masalah tersebut,”katanya.

Manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

"Mayat mangsa (Sharil) dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/suami-isteri-maut-kemalangan-1.223080



Juruteknik maut bertembung lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 November 2013
ARAU - Seorang juruteknik bahagian Kejuruteraan Elektrik Majlis Perbandaran Kangar (MPK) maut dalam kemalangan apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori pemungut sampah di Jalan Padang Nyu, Arau kelmarin.

Menurut Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Mohamad Azihan Ismail, 22, dipercayai datang dari arah Kampung Gial menghala ke Batas Seliku.

“Namun apabila sampai di tempat kejadian, Mohamad Azihan gagal mengelak lori terbabit yang keluar dari simpang Taman Ria, mahu membelok kanan ke arah Kampung Gial.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan," katanya.

Sementara itu, katanya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Manakala, menurut Setiausaha MPK, Suhaimi A Majid, kematian Mohamad Azihan merupakan satu kehilangan besar kepada MPK.

Katanya, arwah yang sudah setahun bekerja dengan MPK sentiasa menunjukkan prestasi yang baik selain seorang kakitangan berdisiplin.

Tambah Suhaimi, Mohamad Azihan yang berasal dari Ladang Tebu, Chuping merupakan pekerja yang sentiasa mesra dengan rakan-rakan, malah mudah didekati kerana sikapnya yang peramah.

“Sebaik sahaja dihubungi mengenai kemalangan, pihak MPK terus ke tempat kejadian dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk pengurusan jenazah.

“Saya bersama kakitangan MPK turut ke majlis pengebumian jenazah sehingga selesai pada pukul 1 pagi semalam di Tanah Perkuburan Felda Chuping,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/juruteknik-maut-bertembung-lori-1.222983



Calon SPM terjatuh motosikal maut digilis lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 November 2013
PASIR MAS - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas digilis sebuah lori pasir seberat enam tan dalam kemalangan di Kampung Teliar, Bunut Susu di sini, kelmarin.



Mangsa, Mohd Safuan Mohd Yusoff, 17, yang berasal dari Kampung Belukar, Wakaf Bharu itu maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang juga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat itu dalam perjalanan pulang ke rumah bersama rakannya, Mohamad Hasriduan Zahari, 17, dengan menaiki motosikal secara berasingan selepas dipercayai makan tengah hari di Kampung Bukit, Wakaf Baharu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dan mangsa dipercayai dari arah Bunut Susu ke Wakaf Bharu.

“Siasatan awal mendapati, tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggangi rakannya berhenti secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terus melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak ke laluan bertentangan di sebelah kanan sebelum digilis lori yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Bagaimanapun, rakan mangsa Muhammad Hasriduan yang menunggang sebuah lagi motosikal terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful, 35, berkata, sebelum kejadian dia sempat melihat kedua-dua mangsa cuba memotong sebuah kereta di hadapan mereka namun, gagal.

“Motosikal ditunggangi mangsa kemudian melanggar motosikal milik rakannya. Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak masuk kelaluan saya,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memperlahankan lori, namun disebabkan terlalu hampir, dia tidak dapat mengelak lalu terus melanggar mangsa.

“Saya sempat keluar melihat keadaan mangsa sebelum bergerak ke Balai Polis Bunut Susu untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/calon-spm-maut-digilis-lori-6-tan-1.223008



Pemandu treler maut terjunam cerun


19 November 2013
IPOH - Seorang pemandu treler maut apabila kenderaannya terbabas sebelum menjunam ke cerun di KM253.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Tan Chor Teong, 57, berasal dari Kota Barat dekat Taiping di sini mati di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad mangsa yang memandu treler membawa muatan bahan kimia dalam perjalanan dari Taiping ke Ipoh.


"Siasatan awal polis mendapati treler itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang laluan itu sebelum menuruni curam sedalam kira-kira enam meter menyebabkan mangsa tercampak keluar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya kejadian itu tidak melibatkan kenderaan lain dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pemandu-treler-maut-kenderaan-terjunam-cerun-1.222492
http://www.nst.com.my/latest/lorry-driver-dies-after-vehicle-fell-into-ditch-1.405681



Tuesday, November 19, 2013

Maut rempuh belakang lori sampah




Inalillahi wainailaihi rojiun

19 November 2013
KOTA BHARU - Seorang pekerja restoran makanan segera di bandar ini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu melanggar lori sampah di Jalan Baung, di sini, malam Sabtu lalu.

Mangsa, Ahmad Fikri Hashim, 20 menaiki motosikal Yamaha Ego dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di pasar raya Tesco menuju ke rumah di Pengkalan Chepa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika sampai di Jalan Baung, mangsa terlanggar belakang sebuah lori sampah yg sedang mengangkut sampah di kawasan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), dengan bantuan ambulans.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam kelmarin di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.

Azham berkata, hasil bedah siasat mangsa mengalami kecederaan parah di kepala yang menyebabkan kematiannya. Kes disiasat si bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-maut-1.222200




Monday, November 18, 2013

1 Maut 7 Cedera


18 November 2013
IPOH - Seorang maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler dan dua kereta di Km 257.2 lebuhraya Utara-Selatan menghala Selatan berhampiran Terowong Menora di sini hari ini.


Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, pemandu lori treler yang membawa muatan siling, M. Ukesparen, 31, disahkan mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad ketika dihubungi berkata, kejadian itu membabitkan treler berkenaan dengan sebuah lagi treler yang membawa muatan bitumen serta dua kereta masing-masing jenis Avanza dan Nissan Latio dengan kesemuanya dalam perjalanan menghala ke Selatan.


"Treler yang membawa muatan siling itu mengalami kerosakan brake dan cuba memperlahankan kenderaannya sebelum menghimpit treler yang membawa muatan bitumen itu dan menyebabkannya (treler bitumen) terbalik dan masuk gaung," katanya.


Katanya treler yang membawa muatan siling itu kemudiannya terbabas ke hadapan dan merempuh dua kereta itu.
 
Beliau berkata, bapa kepada Ukesparen cedera pada bahagian kepala manakala pemandu treler yang membawa muatan bitumen tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
"Kereta Avanza membawa seramai lima penumpang dan seorang daripada mereka Rokiah Awang mengalami patah tangan kiri manakala yang lain cedera ringan. Pemandu kereta Nissan turut mengalami cedera ringan," katanya.
 
Tiga mangsa dihantar ke HRPB manakala empat yang lain menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.
 
Abdul Ghaffar berkata, ekoran kejadian itu, kenderaan dari arah selatan menghala utara bergerak perlahan sepanjang empat kilometer disebabkan pengguna jalan raya mahu melihat kejadian itu.   - Bernama


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/1-maut-7-cedera-nahas-babitkan-2-treler-2-kereta-1.222176
http://www.hmetro.com.my/articles/Treler__8216_sapu__8217_3kenderaan/2013/Article
http://www.nst.com.my/latest/10km-long-crawling-jam-at-north-south-expressway-1.404762




Pekerja kontrak maut bertembung polis


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 November 2013
KLEBANG - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat cari gali minyak maut selepas tersepit apabila kereta yang dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Batang Tiga, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Johara Sa’ad, 47, maut dipercayai akibat kecederaan pada badan selain tersepit di bahagian kaki selepas kereta jenis Kia Spectra dipandunya bertembung dengan Mitsubishi Lancer kira-kira jam 3.30 pagi.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang bertembung dengan kereta dipandu polis berkenaan yang datang dari arah Tanjung Kling menghala persimpangan lampu isyarat Batang Tiga.

Akibat rempuhan itu, Johara meninggal dunia di tempat kejadian bagaimanapun, polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di sini.

Adik mangsa, Julia, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa abangnya itu selepas dihubungi seorang anak saudara mereka kira-kira jam 4 pagi.

“Sebaik dimaklumkan saya kemudian ke bilik mayat dan bertemu dengan isterinya, Rahimah Rahim, 44, sebelum dia memaklumkan arwah keluar dari rumah mereka kira-kira jam 10 malam selepas dihubungi majikannya.

“Ketika kejadian, arwah yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang selepas berjumpa majikannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Kakak mangsa, Junainah, 53, pula berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Jumaat lalu dan melihat adiknya banyak mendiamkan diri meskipun sebenarnya dia adalah seorang yang banyak bercakap.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah lampu isyarat Batang Tiga ke Tanjung Kling hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Mitsubishi Lancer.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tersepit maut di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang mengesahkan menerima laporan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pekerja-kontrak-maut-tersepit-1.221847





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount