Wednesday, November 20, 2013

Suami isteri maut rempuh tembok


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 November 2013
LEDANG - Sepasang suami isteri terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.5 Lebuh Raya Air Keroh Melaka Jasin (AMJ) berhampiran Parit Pajar, Kesang , di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Sharil Yusof, 42, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Roslina Mahmod, 40, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Difahamkan, pasangan terbabit yang memiliki empat cahaya mata dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 5, Tanjung Gading, di sini, selepas mengambil suaminya pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di Merlimau, Melaka.

Malangnya kereta Proton Exora dipandu Roslina dari arah Melaka menghala ke Muar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok tepi jalan sebelum terbalik masuk ke dalam parit.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan kejadian berkenaan berlaku kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Abang kepada Sharil, Idris Yusof, 47, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu selepas menerima panggilan telefon daripada rakan kepada adiknya yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Kali terakhir jumpa dengan arwah petang semalam (kelmarin) di kedai makan yang diusahakannya bersama Roslina berdekatan dengan rumah mereka.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan kelihatan ceria serta ramah seperti biasa.  Biasanya selepas balik kerja kilang, sekitar jam 6 petang dia (arwah) akan berniaga di kedai makannya pula,” katanya, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedikit sukar berikutan keadaan kereta itu yang terbalik, namun kecekapan 12 anggota berjaya mengatasi masalah tersebut,”katanya.

Manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

"Mayat mangsa (Sharil) dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/suami-isteri-maut-kemalangan-1.223080



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount