Monday, November 18, 2013

Pekerja kontrak maut bertembung polis


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 November 2013
KLEBANG - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat cari gali minyak maut selepas tersepit apabila kereta yang dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Batang Tiga, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Johara Sa’ad, 47, maut dipercayai akibat kecederaan pada badan selain tersepit di bahagian kaki selepas kereta jenis Kia Spectra dipandunya bertembung dengan Mitsubishi Lancer kira-kira jam 3.30 pagi.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang bertembung dengan kereta dipandu polis berkenaan yang datang dari arah Tanjung Kling menghala persimpangan lampu isyarat Batang Tiga.

Akibat rempuhan itu, Johara meninggal dunia di tempat kejadian bagaimanapun, polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di sini.

Adik mangsa, Julia, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa abangnya itu selepas dihubungi seorang anak saudara mereka kira-kira jam 4 pagi.

“Sebaik dimaklumkan saya kemudian ke bilik mayat dan bertemu dengan isterinya, Rahimah Rahim, 44, sebelum dia memaklumkan arwah keluar dari rumah mereka kira-kira jam 10 malam selepas dihubungi majikannya.

“Ketika kejadian, arwah yang mempunyai empat anak berusia 10 hingga 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Udang selepas berjumpa majikannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Kakak mangsa, Junainah, 53, pula berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Jumaat lalu dan melihat adiknya banyak mendiamkan diri meskipun sebenarnya dia adalah seorang yang banyak bercakap.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah lampu isyarat Batang Tiga ke Tanjung Kling hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Mitsubishi Lancer.

“Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tersepit maut di tempat kejadian kerana cedera di anggota badan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang mengesahkan menerima laporan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pekerja-kontrak-maut-tersepit-1.221847





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount