Wednesday, July 9, 2014

3 Kenderaan Bertembung



10 Julai 2014
Kuala Terengganu: Empat beradik menyambut Aidilfitri tanpa belaian ibu tersayang tahun ini apabila wanita berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Lebih memilukan apabila bapa kanak-kanak terbabit, Badrulhisham Bakar, 38, yang tidak mengetahui isterinya, Zuraiha Zainal Abidin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian asyik bertanyakan keadaan wanita terbabit ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini bersama empat anaknya yang turut mengalami kecederaan ringan.


Kemalangan membabitkan dua kereta termasuk milik kerabat Istana Terengganu, Tengku Nasruddin Tengku Mahmud, 41, dan sebuah motosikal itu turut meragut nyawa penunggang motosikal terbabit seorang lelaki Vietnam dikenali sebagai Le Ngoc Toan berusia 30 tahun.

Le Ngoc Toan

Ibu saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata, Badrulhisham dikatakan patah kaki kiri dan Muhammad Adam Muamzar, 6, cedera di kepala manakala tiga lagi anak mereka Muhammad Adam Wazif, 8, Nur Nia Dzaira, 4 dan Qaseh Eva Qaizara, 2, cedera ringan.


“Badrulhisham berkali-kali bertanyakan kepada saya keadaan isterinya dan saya tidak sampai hati memberitahu kejadian sebenar kerana masih kebingungan serta trauma dengan apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, malam kelmarin.


Rosmaliza yang tinggal di Putera Jaya, Setiu berkata, dia dan suami, Aziz Yahya, 39, mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya selepas menerima panggilan telefon daripada adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika kejadian arwah yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan dalam perjalanan ke rumah iparnya di Kampung Santong, Paka, Dungun dengan menaiki Proton Iswara dipandu suami bersama empat anaknya.

“Arwah bertolak dari Pasir Mas jam 3 petang dan berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk sebelum meneruskan perjalanan ke Paka,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia menemui arwah pada awal Jun lalu ketika pulang ke rumah keluarga di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas, Kota Bharu.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamitaktahuisterimeninggal/Article/index_html




Monday, July 7, 2014

3 Maut tercampak dari kenderaan


6 Julai 2014
IPOH - Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang dinaiki mereka terbabas di Km 200.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara di sini hari ini.

Mangsa, R Raju, 73, dan anak lelakinya, R Balasubramaniam, 40, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
   
Rakan mangsa, B Subramaniam, 66, pula disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping manakala seorang lagi anak lelaki mangsa R. Nandakumar, 31, cedera ringan.
   
Subramaniam dan Raju memegang status penduduk tetap (PR) manakala Balasubramaniam dan Nandakumar merupakan warganegara India.
   
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku apabila kenderaan berkenaan yang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kulim, Kedah terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang.
   
"Tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki manakala Balasubramaniam yang memandu kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu," kata Mat Fauzi ketika dihubungi.
   
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
   
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting Mohd Taufiq Abd Sattar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.48 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
   
"Tiba di tempat kejadian tiga mangsa telah berada di luar kenderaan berkenaan selepas tercampak keluar manakala seorang lagi tersepit," katanya.
   
Beliau berkata kerja-kerja menyelamat dan pembersihan jalan raya selesai pada pukul 4.57 petang. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/kenderaan-terbabas-tiga-maut-seorang-cedera-1.296951


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount