loading...

Wednesday, September 11, 2013

Pelajar Sekolah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

11 September 2013
KEPALA BATAS - Seorang calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) maut dilanggar kereta selepas motosikal yang dinaiki bersama kembarnya terbabas, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Keladi, Pinang Tunggal, di sini hari ini.
 
Kejadian berlaku jam 7.06 pagi ketika pasangan kembar itu Siti Mahirah dan Siti Masirah Mohd Said, 18, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah yang terletak 10 kilometer dari tempat kemalangan.
 
Siti Mahirah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Siti Masirah yang menunggang motosikal itu mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas.
 
Menceritakan kejadian kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu, Siti Masirah berkata, motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum mereka terbabas dan terjatuh di tengah jalan.
 
"Hujan tengah lebat tapi kami perlu ke sekolah kerana ada peperiksaan. Tiba-tiba sebuah kereta di hadapan kami membelok memasuki simpang tiga itu secara tiba-tiba menyebabkan saya terpaksa mengelak ke kanan dan bergesel dengan sebuah motosikal lain di lorong sama.
 
"Saya tidak dapat mengawal motosikal, menyebabkan kami terbabas dan terjatuh di tengah jalan. Saya terjatuh di sebelah kiri, Siti Mahirah di sebelah kanan. Ketika itu datang sebuah kereta dari arah bertentangan dan melanggarnya," kata gadis itu.
 
Katanya, dia yang bangun dan mencari kembarnya mendapati Siti Mahirah terperosok di bawah kereta itu.
 
Sementara itu suasana di pekarangan rumah mayat Hospital Kepala Batas diselubungi rasa sayu dan ibu mereka Asiah Saidin, 43, jatuh pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih dengan kejadian.
 
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim yang  dihubungi mengesahkan kejadian. - Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/calon-stam-maut-nahas-ketika-ke-sekolah-1.200663



Maut Rempuh Treler Rosak



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 September 2013
SLIM RIVER - Hasrat seorang pemandu lori menghantar bekalan makanan ke lokasi diminta majikan berakhir tragedi apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.27 pagi itu, lori yang dipandu Shamsuri Mersuki, 37, yang berasal dari Shah Alam merempuh belakang sebuah treler rosak di lorong kiri lebuh raya.

Menurutnya, sebuah treler dipandu seorang lelaki bersama seorang pengawal keselamatan membawa muatan barang kesihatan dari arah sama dalam perjalanan dari Shah Alam ke Ipoh mengalami kerosakan enjin dan semua lampu tidak berfungsi kira-kira jam 5.22 pagi.

Katanya, pemandu terbabit kemudiannya dikatakan memegang tanda amaran pada jarak kira-kira 200 meter daripada treler sebagai langkah berhati-hati kepada pengguna lebuh raya lain.

“Namun begitu, lima minit kemudian, sebuah lori tiga tan dipandu mangsa dari arah sama melanggar belakang treler tersebut.

"Mangsa yang parah kepala dan seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan rempuhan itu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit diterima kira-kira jam 5.52 pagi dan pasukannya tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Mangsa yang tersebut dikeluarkan dengan kekuatan seorang pegawai bersama 12 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim serta Tanjung Malim.

“Mangsa tersepit pada tempat duduknya dan kami terpaksa menggunakan kenderaan tunda sebelum berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 7.19 pagi,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-rempuh-treler-rosak-1.200862




Tuesday, September 10, 2013

BMW terperosok depan rumah


10 September 2013
Melaka: “Kami terkejut mendengar dentuman kuat dan mendapati sebuah kereta mewah terperosok melanggar kereta kami di depan rumah,” kata Siti Nazura Ithnain, 17.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi semalam, keluarga remaja itu gempar apabila sebuah kereta BMW dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terperosok ke rumah mereka yang terletak di bawah bukit di Kampung Bukit Duyong, di sini.

Lebih mengejutkan pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan turut memiliki sepucuk pistol tiruan dan satu kelopak peluru selain satu pil dadah Eramin 5. Tidak cukup dengan itu, suspek yang dikatakan mempunyai pas Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kereta mewah itu dilaporkan hilang di sekitar Bandar Baru Klang, Selangor.

Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau cedera di muka dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Menurut Nazura, dia sekeluarga mendapati wajah pemandu BMW itu berdarah dan masih bernyawa lalu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Terperosokdepanrumah//Article



Ustazah maut bersama tiga anak

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian sebak hati saya melihat Rohaya tersepit kerana kepala lori itu menghempap kereta dipandunya manakala mayat tiga anaknya sudah dikeluarkan dan terbaring di atas jalan raya.”
Demikian kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Rohana Hussin, 59, yang juga majikan kepada Rohaya Md Rabi, 35, yang terbunuh bersama tiga anaknya dalam kemalangan ngeri

Inalillahi wainailaihi rojiun

10 September 2013
KAJANG –Tragis apabila seorang guru mata pelajaran agama Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan tiga anaknya maut selepas  kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7 Jalan Kajang-Banting di sini, hari ini.



Kejadian turut menyebabkan seorang anak lelaki guru itu yang berusia tiga tahun kritikal dan  masih mendapat rawatan di wad kecemasan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh sebelum ke sekolah untuk mengajar murid sesi petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan dipandu mangsa dari arah Bangi ke Kajang dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori.

Rempuhan kuat turut menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan dan terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mereka yang terkorban adalah Rohaya Md Rabi, 35; Nor Nabila Al Huda Mohd Taufid, 9; Nor Nabila Ah Hanan, 7, dan Mohd Nabil Lutfi Al Hadif, 1.

Anak mangsa yang kritikal dikenali sebagai Mohd Nabil Lutfan Al Husni, 3.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa bertembung dengan lori menyebabkan mangsa yang memandu tersepit.

“Akibat pelanggaran itu, sebuah van turut merempuh bahagian belakang lori dipercayai akibat tidak sempat menekan brek,”katanya.

Empat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Kajang.




Hilang 4 orang tersayang

“Dunia gelap seketika saat berita malang itu dikhabarkan... ia saat paling hiba dalam hidup saya,” kata Muhammad Tauffid Kassim, 44, yang kehilangan isteri dan tiga anaknya serentak dalam kemalangan di Kajang, semalam.

Ketika dimaklumkan mengenai nahas kira-kira jam 11 pagi itu yang mengorbankan isterinya, Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anak mereka, perkara pertama terlintas dalam fikiran Tauffid ialah nasib empat lagi anak mereka yang masih kecil.

Tiga anaknya yang maut dalam nahas pada jam 11.50 pagi di KM 8 Jalan Kajang-Banting itu ialah Nur Nabila Al-Huda, 9; Nur Nabila Al-Hanan, 7; Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, 1, manakala seorang lagi, Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dihantar ke Hospital Kajang.

“Saya hilang empat nadi sekali gus,” kata guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB) itu dalam nada hiba sambil memaklumkan, empat anaknya yang masih hidup berusia antara tiga hingga 10 tahun, termasuk Nabil Lutfan.




Bertembung lori

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta PERODUA Kancil dipandu Rohaya, yang juga guru agama di SKBBB dalam perjalanan dari arah Bangi ke Kajang untuk menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Teras Jernang sebelum dikatakan terbabas dan bertembung sebuah lori dua tan dari arah bertentangan.

Dua anak mereka yang maut, juga bersekolah di SKBBB.

Tauffid berkata, dia sedang mengajar di sekolah ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus lesu sehingga terpaksa dipapah ke lokasi nahas.

“Isteri mengajar sesi petang, saya pula sesi pagi. Biasanya jam 12 tengah hari dua anak yang kecil dihantar ke rumah pengasuh,” katanya sambil menambah, jenazah empat beranak itu dibawa ke Kuala Nerang Kedah, malam tadi untuk disemadikan.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Abdullah Ramli, berkata ketika pasukannya tiba di lokasi, tiga daripada anak mangsa yang duduk di kerusi penumpang belakang sudah dikeluarkan orang ramai dengan seorang cedera dan dihantar ke Hospital Kajang.


Kereta remuk

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan dua lagi mangsa, iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di kerusi depan. Keadaan kereta yang remuk teruk menyebabkan dua mangsa berkenaan sukar dikeluarkan kerana tersepit dengan bahagian depan lori,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah van yang melanggar belakang lori berkenaan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius.

Video 
kemalangan maut Guru bersama tiga anak 




Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/ustazah-maut-bersama-tiga-anak-1.200297
hmetro.com.my/articles/2013091001391420130910013914//Article
tv9.com.my/beritatv9/tajuk_utama/4_Beranak_Maut_Kereta_Bertembung_Lori.html#.Ui79TNJmiSo
tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/EMPAT_MAUT.html
bharian.com.my/bharian/articles/Hilang4orangtersayang/Article/




Warga emas melekat di cermin kereta



10 September 2013
KAMUNTING - Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan akibat tangan kanan mangsa putus selepas terlibat dalam kemalangan di sini, semalam.

Siew Yoke Kow, 77, di sahkan meninggal dunia di tempat kejadian kemalangan jalan raya itu di Jalan Kamunting - Taiping berhadapan dengan sebuah bank di sini, kira-kira jam 8.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam kejadian terbabit difahamkan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun telah melanggar mangsa yang berjalan kaki dan ingin melintas jalan.

Beliau berkata, kereta yang dipandu lelaki terbabit datang dari arah Kamunting dan menghala ke Taiping.

“Kereta berkenaan kemudiannya terbabas lalu melanggar pula sebuah motosikal yang berada di lorong kiri ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Yusuf berkata, akibat kemalangan terbabit, mangsa yang sedang berjalan kaki meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selain itu, penunggang motosikal, Wan Rosley  Ahmad, 51, mengalami cedera ringan manakala isterinya, Zainab Zakaria, 47, mengalami cedera di tangan dan badan. Kedua-dua mereka dirawat di Hospital Taiping sebagai pesakit luar.

“Sementara itu, mangsa yang maut turut di hantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa yang maut mengalami cedera parah dan tangannya turut putus.

“Difahamkan tangan kanan mangsa yang telah putus dan jatuh di atas jalan raya akibat daripada kemalangan terbabit,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/warga-emas-melekat-di-cermin-kereta-1.200374



Tak sempat jumpa kawan


10 September 2013
KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 22 tahun untuk bertemu rakan selepas waktu bekerja tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Taman Sawi menuju ke Jalan Paya Besar.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum merempuh sebuah lori muatan tiga tan yang diletakkan di bahu jalan.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke bahu jalan manakala motosikalnya terperosok di bawah lori terlibat.

“Menurut saksi kejadian, mangsa tidak memakai topi keledar ketika kemalangan berlaku. Ini mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala," katanya.

Ghuzlan berkata, pihaknya mendapati terdapat lampu jalan di kawasan kejadian dan mangsa seharusnya dapat melihat lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim bagaimanapun di laporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ghuzlan menasihatkan penunggang motosikal supaya memakai topi keledar kerana ia mampu menghindarkan hentakkan kuat pada kepala.

"Dari siasatan dijalankan, 90 peratus kemalangan maut berpunca dari kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/remaja-maut-rempuh-lori-1.200470




Terperosok bawah kereta



10 September 2013
KUALA PILAH – Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat sini nyaris maut apabila motosikalnya terperosok di bawah sebuah kereta jenis Myvi dalam kemalangan di simpang Masjid Jamek Yan Tuan Raden, semalam.

Mangsa, Amirul Hazim Mohamad Yusri, 21,  dalam perjalanan ke kedai makan sebelum motosikalnya bertembung dan terperosok di bawah kereta yang dipandu seorang warga emas, Abu Bakar Long, 77.

Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, dia dari arah kampung Hayat, Simpang Pelangai dalam perjalanan ke Pasar Awam Kuala Pilah.

Menurutnya, setibanya di kawasan berkenaan, dia memberhentikan kenderaan dan memastikan tiada kenderaan lalu kanan sebelum keluar simpang.

“Bagaimanapun, apabila keluar dari simpang depan masjid, pakcik tidak perasan ada sebuah motosikal masuk ke simpang laluan pakcik.

“Akibatnya, pakcik terlanggar penunggang motosikal berkenaan dan motosikalnya terperosok di bawah kereta Myvi pakcik,” katanya.

Tambahnya, dia masih trauma dan tidak menyangka akan terlibat dalam kemalangan meskipun tidak melibatkan korban nyawa.

“Sepanjang pakcik membawa kenderaan, ini kali pertama pakcik terlibat dalam kemalangan. Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan pakcik. Berdebar-debar dan bimbing keselamatan pelajar itu.

“Pakcik harap, pelajar itu hanya mengalami kecederaan biasa dan tidak serius. Masa pakcik keluar dari kereta, pakcik lihat dia boleh berdiri,"  katanya.

Kata Abu Bakar, dia rasa lega apabila melihat mangsa hanya luka di dagu dan calar di tangan.

"Pakcik rasa syukur kerana tiada kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan itu. Pakcik risau, kalau-kalau ada budak bersama pelajar itu tentu ada kecederaan serius.” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/motosikal-terperosok-bawah-kereta-1.200519




Monday, September 9, 2013

Calon PMR parah rempuh kereta



9 September 2013
PORT DICKSON - Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) parah apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di hadapan Golden Straits Villa Resort, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 pagi itu, mangsa, Mohd Sulaiman Zulkufli, 15, menunggang motosikal berasingan bersama dua lagi rakannya dari arah Telok Kemang ke Port Dickson, sebelum merempuh belakang kereta Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun yang keluar dari simpang Pantai Bagan Pinang menuju ke Port Dickson.

Saksi kejadian, Mohd Taufik Mohd Yusof, 23, berkata, ketika kejadian dia, memandu kereta dari Pantai Bagan Pinang dan berada di belakang kereta Proton Satria berkenaan.

“Ketika menunggu untuk keluar dari simpang, saya nampak sebuah motosikal tiba-tiba merempuh belakang kereta Proton Satria yang berada di depan saya. Mangsa melambung dan jatuh di atas bumbung kereta itu,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Suhairi, 19, berkata, adiknya dihantar ke Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

"Kerana parah di kepala, adik saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Selain itu, adik saya juga patah kaki dan tangan kiri selain beberapa kecederaan kecil di badan,” katanya. Pemandu kereta Satria yang memandu bersendirian tidak cedera.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/parah-rempuh-kereta-1.200197



Dua warga UAE maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 September 2013
Tapah: Dua beranak pelancong dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) maut apabila kereta Perodua Alza dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 335.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, petang semalam.


Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kenderaan dipandu seorang warga Yaman bersama enam penumpang warga UAE dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.


Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di kiri jalan menyebabkannya berpusing sebelum merempuh pula pembahagi di tengah jalan sebelum berhenti di lorong kecemasan.

Kejadian menyebabkan Mira Ali, 13, tercampak keluar kira-kira lima meter dan maut di tempat kejadian manakala ibunya, Hajar Ahmad Al Tanajy, 34, dipercayai mengandung enam bulan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.


Saksi kejadian, Nasirah Khausar Abdul Said, 30, berkata, dia yang kebetulan berada di lokasi kejadian turun membantu Hajar Ahmad yang dilihat mengalami kecederaan teruk akibat kejadian itu.


“Saya ketika itu berada lebih kurang empat kenderaan dari lokasi kejadian. Melihat keadaan itu saya segera meletakkan kenderaan di tepi lorong kecemasan dan segera membantu mangsa yang kelihatan meraung kesakitan akibat kecederaan yang dialami.

“Saya nampak mangsa berlumuran darah dan meronta kesakitan selepas tercampak daripada kenderaan yang dinaikinya,” katanya ketika ditemui.

Al-Fatihah

Sumber:

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/DuawargaUAEmautkemalangan/Article/index_html
thestar.com.my/News/Nation/2013/09/08/Dubai-Family-Car-Crash.aspx
peraknews.com/berita-negeri/9658-kemalangan-di-tapah-ragut-2-nyawa-warga-uae



Sunday, September 8, 2013

2 Sahabat Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

8 September 2013
JENGKA - Hasrat dua wanita untuk pulang ke Seremban, Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila keduaduanya maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah MyVi dan sebuah pacuan empat roda Hilux di KM29 jalan Bandar Tun Abdul Razak Jengka menuju ke Maran.

Mangsa yang juga pemandu, Norbaizura Abdullah, 28, dan Quratu’aini Zaid Sofian, 21, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang, Alif Amri Amran, 20, cedera parah dan dihantar ke Hospital Bandar Jengka.

Difahamkan dalam kejadian pada jam 5.30 petang kelmarin itu, Norbaizura dan Quratun’aini dalam perjalanan dari Maran ke rumah Alif Amri di Felda Jengka 3.

Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Pemangku Superitendan Sulaiman A Hamid berkata, dipercayai Myvi yang dipandu Norbaizura memasuki lorong kanan jalan sebelum melanggar Hilux dari arah bertentangan.

“Kedua-dua kenderaan dipercayai cuba mengelak antara satu sama lain, namun bagaimanapun kedua-duanya bertembung di bahu jalan antara Felda Jengka 6 menuju Felda Jengka 3,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, Norbaizura dan Quratu’aini dikatakan mahu pulang ke Seremban, Negeri Sembilan sebaik selesai melakukan urusan perniagaan di sini.

Ketua Operasi Bomba, Balai Bomba Jengka, Shamsuddin Teh berkata, sebuah jentera bomba dan lima anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Pemandu MyVi tersepit dan mengambil masa selama 10 minit untuk dikeluarkan. Seorang lagi mangsa yang meninggal bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang ramai.

"Pemandu Hilux hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanyas masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/dua-sahabat-maut-nahas-1.199791



3 maut 3 parah


8 September 2013
ROMPIN: Tiga terbunuh manakala tiga lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung antara satu sama lain, di Kilometer 15.8 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa yang maut adalah dua beradik perempuan iaitu pemandu kereta Toyota Vios Chan Wee Lim, 49, dari Rompin dan penumpang belakang, Chan Gee Chin , 52, serta pemandu kereta Proton Persona Mohd Nazri Mohamad Dom, 38.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang parah iaitu dua penumpang belakang Toyota Vios, lelaki masing-masing berusia 50 tahun serta anak saudara kepada pemandu Proton Persona terbabit yang berusia 21 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta Proton Persona berkenaan dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Rompin sebelum dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan.





Katanya, pada masa sama, Toyota Vios berkenaan yang datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku pertembungan dengan kereta Proton Pesona itu.


"Akibat pertembungan itu, kereta Proton Pesona dinaiki mangsa terbakar, namun mangsa terbabit sempat diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin.

"Tiga mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan sebelum mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat dijalankan," katanya.





Menurutnya, mangsa yang parah dikejarkan ke HMS untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk rawatan susulan, petang semalam.

Katanya, polis masih belum mengambil keterangan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang selamat

Mohamed Fauzi berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tigamati_tigaparah/MA/Article
ntv7.com.my
sinarharian.com.my/semasa/tiga-maut-tiga-parah-dua-kereta-bertembung-1.199935



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my