loading...

Friday, January 17, 2014

Warga Thailand Maut



Dungun: “Saya tidak menyangka niat baik meraikan kedua-dua mereka makan pagi ini (semalam) membawa berita duka,” kata Yameelah Mat, 30, selepas kedua-dua sepupunya maut dalam kemalangan di Kilometer 94, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Nyior Paka, di sini, pagi semalam.




Kemalangan jam 6 pagi itu mengorbankan Aumiyah Tohmasae, 15, dari Patani, Thailand maut serta merta di tempat kejadian, manakala Padeelah Buenae, 21, dari Yala, Thailand meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada jam 12.20 tengah hari.

Yameelah berkata, ketika kejadian, dia dan suami, Faison Ibrahim, 45, yang memandu Honda Accord bersama anak mereka Muhammad Firdaus Furgan, 2, serta kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari bandar Dungun untuk makan di sebuah kedai di bandar Paka.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tiang elektrik lalu terbalik dalam keadaan keempat-empat tayar ke atas.

Yameelah bersama suaminya yang mengusahakan kedai makan di Restoran Batu 50 di bandar itu berkata, mereka ke Paka apabila arwah Aumiyah beria-ria hendak makan nasi ayam di Paka.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Hajatterkuburdijalan//Article?BeritaUtama





Thursday, January 16, 2014

10 Cedera Bas Ekspres Terbalik


16 Januari 2014
IPOH: Sebuah bas ekspres yang membawa 23 penumpang terbalik di Kilometer 218 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran hentian Taiping arah Utara, dekat sini kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Difahamkan bas terbabit hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan sebelah kiri laluan dan terbalik memasuki longkang serta menyebabkan 10 penumpang cedera

Bas dua tingkat berkenaan yang dalam perjalanan dari Lumut ke Butterworth, Pulau Pinang dan Alor Setar, Kedah itu, dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.

Kebanyakan mangsa yang cedera adalah penumpang bahagian belakang di tingkat atas bas akibat tertimpa sesama sendiri selepas kenderaan berkenaan terbalik.


Beberapa penumpang turut bertindak memecahkan cermin bas untuk keluar dari bas menyelamatkan diri.


Kesemua mangsa yang tercedera dihantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/10cederabasterbalik//Article?BeritaUtama



Sunday, January 12, 2014

Maut Nahas Digilis Lori


12 Januari 2014
LUKUT - Seorang warga emas maut selepas digilis sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer 7.9 Jalan Seremban, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Ku Siew Hong, 66, menunggang motosikal secara bersendirian keluar dari simpang Pasar Lukut menghala ke Port Dickson sebelum dilanggar sebuah lori dari arah Seremban.

Akibat pelanggaran itu, katanya, mangsa terjatuh dari motosikal sebelum digilis.

"Mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian dan pemandu lori yang juga seorang lelaki berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Abd Wahab berkata, mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Balai Polis Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-digilis-lori-ketika-keluar-dari-simpang-1.239716



Pengusaha kilang perabot maut


12 Januari 2014
IPOH - Seorang pengusaha kilang perabot maut manakala dua rakannya cedera setelah kereta Honda City dinaiki mereka terbabas dan melanggar besi pengadang jalan di Kilometer 280 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu kereta, Loh Chee Peng, 29, dari Kajang, Selangor bersama  dua rakannya yang juga pengusaha kilang perabot berusia 29 tahun dan seorang pekerja warga Myanmar berusia 25 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kedah ke Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kereta dipandu Chee Peng tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, sewaktu kejadian, keadaan jalan licin akibat hujan lebat sejak awal pagi.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi pengadang jalan.

“Kemalangan itu  menyebabkan Chee Peng cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

“Dua penumpang lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Sharuddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.09 malam, lima jam selepas kemalangan itu kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wan Sharuddin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta tampil segera membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tauke-perabot-maut-dua-rakan-cedera-1.239753



Ahli Konvoi Superbiker Maut Bertembung Lori





Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Januari 2014
IPOH - Cuti hujung minggu sekumpulan ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi ke Cameron Highlands bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 33, Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, semalam.

Mangsa, Shuhaimi Ali Mohd, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

Saksi kejadian, Mohd Anis Amil berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal model Yamaha YZF-R1 dikatakan terbabas sebelum terperosok di bawah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Sebelum itu, kami melihat mangsa gagal mengawal motosikalnya ketika melalui satu selekoh sehingga menyebabkan dia terlajak lalu melanggar sebuah lori secara berhadapan.

“Mayat mangsa hanya berjaya dibawa keluar dari bawah lori dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat Simpang Pulai yang dipanggil ke lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan mangsa adalah Timbalan Presiden Andalas Bikers yang berpangkalan di Klang, Selangor.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan dan pihaknya siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/peserta-konvoi-maut-1.239750
http://www.nst.com.my/world/superbiker-killed-in-crash-with-lorry-1.459984




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount