loading...

Saturday, July 23, 2011

Bayi Berusia 50 hari Tercampak Dari Van


Al-Fatihah

GUA MUSANG - Kegembiraan menyambut cahaya mata pertama berubah menjadi tragedi air mata bagi pasangan suami isteri selepas bayi yang didambakan selama ini maut akibat tercampak keluar dari van dalam kemalangan ngeri di Kampung Sungai Lakit, di sini petang semalam.

Perasaan pilu pastinya terkesan bagi Mohd Sazwadi Sidik, 23, dan Nur Alilidiana Mazlan, 20, kerana anak yang disayangi, Siti Nur Sazlina Mohd Sazwadi maut setelah berusia 50 hari.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang, ketika pasangan berkenaan bersama bayi mereka dan empat lagi ahli keluarga lain dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ariff Yusoff berkata, van jenis Mazda yang dinaiki tujuh orang termasuk mangsa bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki tidak dikenal pasti.

Akibat bertembung van yang dipandu Mohd Sazwadi terbabas ke dalam parit dan bayi itu tercampak keluar.

Selain ibu bapa bayi malang itu tercedera, mangsa lain turut mengalami kecederaan, ibu Nur Alilidiana, Hartini Ibrahim (nenek mangsa), 39, Piza, 19, Khairudin, 17 dan Wafinuddin, 4.

Ariff berkata, bomba menerima panggilan kira-kira jam 7.32 malam dan bergegas ke tempat kejadian lebih kurang 67 kilometer dengan sebuah jentera bersama sembilan anggota.

“Kita mengambil masa 25 minit mengeluarkan kaki pemandu tersepit pada brek kereta Wira berkenaan,” katanya

Sumber: SH

Treler Rempuh Treler


SEREMBAN – Nahas rempuhan sebuah treler membawa muatan gelung besi ke atas sebuah treler yang membawa lapan kereta Proton di Kilometer 264.6 Lebuh Raya Utara - Selatan, semalam mengorbankan dua nyawa.


Mangsa, pemandu treler membawa gelung besi, M Mayandi, 39, bersama kelindannya, Ravi, 23, kerana cedera parah di kepala dan badan.

Pemandu dan kelindan sebuah lagi treler selamat, bagaimanapun, lapan kenderaan masih baru yang dibawa treler berkenaan remuk teruk akibat rempuhan.

Menurut jurucakap polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi semalam, ketika treler membawa semua kereta, Proton itu sedang berhenti di lorong kecemasan.

Bagaimanapun, dirempuh dari belakang oleh treler membawa muatan gelung besi dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Simpang Renggam.


Menurutnya, pemandu treler itu mungkin mengantuk dan tidak menyedari sebuah treler berada dalam lorong kecemasan.

“Pelanggaran itu menyebabkan treler dinaiki mangsa menjunam ke dalam parit tepi jalan selepas dipercayai berlaku pergeseran.

“Pemandu treler berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit, manakala kelindannya pula tercampak keluar (juga mati),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan, bagaimanapun mungkin pemandu treler berkenaan mengantuk disebabkan melalui perjalanan yang lama,” katanya.

Sementara itu, kelindan treler, Mohd Izad Mohd Tap, 25, berkata, mereka dalam perjalanan ke Segamat tetapi terpaksa berhenti di lorong kecemasan selepas salah satu tayar treler pecah.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, setakat ini polis masih menyiasat kejadian itu.

Sumber: The Star
             Sinar Harian
             Kosmo

Friday, July 22, 2011

Suami Isteri Hancur Digilis


KALUMPANG – Dua warga Indonesia maut setelah terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 424.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berdekatan susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua mangsa yang dipercayai pasangan suami isteri itu hampir hancur seluruh badan akibat digilis kenderaan berat.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.50 pagi semalam ketika kebanyakan kenderaan keluar ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal terbabit dipercayai terbabas ke tengah jalan kerana hilang kawalan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh.

“Beberapa kenderaan dipercayai gagal mengelak mangsa lalu menggilis dan mengheret kedua-duanya beberapa meter.

“Semua kenderaan melanggar mangsa bagaimanapun tidak berhenti,” katanya.

Menurut beliau, sebelah tangan mangsa yang terputus ditemui beberapa meter dari mayat mangsa.

“Mangsa dikenali sebagai Hadi, 32 dan pembonceng, Diana, 30, kedua-duanya pekerja warga Indonesia,” katanya.


Sementara itu katanya, ketika polis mengawal lalu lintas di lokasi kejadian, sebuah van yang gagal dikawal melanggar motosikal mangsa dan diseret kira-kira 50 meter.

Bagaimanapun, pemandu van terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.


Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Menurutnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta saksi kejadian dan pemandu kenderaan yang melanggar mangsa supaya tampil membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian
             myMetro

Wednesday, July 20, 2011

Konstabel Polis Nyaris Maut

Tersepit 15 minit


GEORGETOWN – Seorang konstabel polis terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit apabila kaki kanannya tersepit di bahagian depan kereta jenis Honda Civic yang dipandunya malam kelmarin.

Zulfadzli Zamzuri, 23, yang memandu sendirian dikatakan nyaris maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 9.30 malam itu.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Kampung Bharu, Ayer Itam patah kaki kanan dan cedera di bahagian kepala serta badan.

Dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, akibat hilang kawalan, kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan di bahagian tengah dan melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berada di hadapannya sehingga berpusing beberapa kali.

“Mangsa yang tidak bertugas itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Farlim dari Sungai Nibong. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit kerana bahagian depan keretanya remuk selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Orang ramai yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba dan berjaya membawanya keluar selepas berusaha selama 15 minit,” katanya.

Ayub berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan dan meminta saksi yang mempunyai maklumat tampil untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Pegawai TUDM Maut


Al-Fatihah

KANGAR - Baru tiga hari tamat latihan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia dari sebuah pusat latihan di Pulau Pinang, seorang remaja menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 21, Jalan Changloon-Kuala Perlis, awal pagi semalam.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd Zulkefli Mohd Yusof, 21, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Manakala dua rakannya yang terselamat mengalami patah-patah dan seorang hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, kenderaan yang dipandu mangsa yang berasal dari Teluk Intan, Perak bersama tiga lagi rakannya itu terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan di bahagian kanan tempat duduk pemandu.

Katanya, kesemua mereka baru pulang menghadiri sebuah majlis di Sungai Petani.

“Empat rakan itu dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kangar.

“Setiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Ia menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia,” katanya.

Sumber: SH

Jalan Taman Serai Setia berlubang


PADANG SERAI- Penduduk Taman Serai Setia di sini, kecewa dengan sikap pihak berkenaan kerana tidak melakukan kerja penyenggaraan jalan di kawasan itu sehingga mengakibatkan kemalangan serius. Sehingga kini banyak aduan dibuat tetapi tidak ada pihak yang datang untuk menyelesaikan masalah itu.

Penduduk Hamzah Omar 43, berkata, kemalangan berlaku hampir setiap hari dan terbaru seorang lelaki patah kaki kanan apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar lubang sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

Menurutnya, masalah ini lebih berbahaya ketika hujan lebat kerana kebanyakan lubang di atas jalan dipenuhi air. Apabila ini berlaku, pengguna jalan terutama penunggang motosikal akan terdedah dengan bahaya.

“Masalah ini bukan baru dan penduduk di taman ini sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Berikutan itu, saya berharap pihak berkenaan segera menurap jalan ini semula sebelum berlaku kemalangan maut.

“Saya meminta kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk memastikan masalah ini selesai dengan membaiki jalan ini segera. Jangan tunggu sehingga berkempen pilihan raya baru masalah kami baru hendak diselesaikan,” katanya.

Warga emas, Ramli Abdullah berkata, selain masalah jalan berlopak, kawasan itu juga kurang lampu jalan.

“Kemalangan selalunya berlaku pada waktu malam. Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

“Selain itu, penduduk terpaksa meletakkan kerusi di jalan yang berlubang untuk memastikan tidak ada penduduk terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Norhayati Hashim ketika dihubungi berkata, beliau akan membawa masalah penduduk ke MPKK untuk memastikan masalah itu dapat diatasi.

“Saya akan mendapatkan laporan polis tentang kemalangan melibatkan penduduk di taman itu supaya ia boleh dijadikan dokumen sokongan untuk saya memohon MPKK menurap jalan itu dengan segera,” katanya.

SH

Maut Pertembungan Civic dan Viva


 Al-Fatihah...

KUANTAN - Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 8, Jalan Pintasan Kuantan dekat Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, pemandu kereta Honda Civic, Nuralif Abdul Rahman, 23 dari Taman Indera Mahkota di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Manakala penumpangnya, Muhd Sufian Masri, 30 dari Felda Bukit Sagu 1 dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, pemandu kereta jenis Produa Viva yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai turut mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah pelabuhan ke Kuantan hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.

“Ekoran kejadian, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat sebelum jenazah kedua-dua mereka dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan,” katanya.

Mohd Najid berkata, kemalangan yang meragut nyawa pemandu dan penumpang kereta terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru itu beliau menasihatkan semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, July 19, 2011

Bas Ekspres Rempuh Pembahagi Jalan


KUALA LUMPUR: Dua puluh penumpang dan dua pemandu terselamat apabila sebuah bas ekspres terbabas di KM299.1 Lebuhraya Plus dari arah utara Bangi ke Kajang, petang Isnin.

Ketika kemalangan kira-kira 6.40 petang itu, bas berkenaan adalah dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tayar hadapan bas itu yang dikatakan bocor hingga menyebabkan pemandunya tidak dapat mengawal bas lalu melanggar pembahagi jalan di lebuh raya itu.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah laluan kira-kira setengah jam.
Jurucakap Trafik Balai Polis Kajang mengesahkan bahawa kesemua penumpang bas itu selamat.

Pemandu pertama bas itu, P.Veluthan, 48, berkata beliau terkejut dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana terselamat.

"Ketika kejadian saya tidak dapat mengawal bas yang saya bawa, saya rasakan tayar bas di bahagian hadapan saya pancit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Pemandu kedua bas itu Norhayim Ithnin, 44, berkata bas tersebut berada dalam keadaan baik kerana baru berusia setahun.

Menurutnya beliau dan Veluthan tidak mengantuk dan mereka bergilir-gilir memandu bas itu. - BERNAMA

Sumber: mStar
             Sinar Harian




Panggilan Maut

Tak sempat hantar anak ke hospital



Al-Fatihah,

MELAKA - Seorang warga emas yang bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan seorang anaknya sakit dan perlu dihantar ke hospital, maut apabila keretanya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, hanya 100 meter dari rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin di Kampung Manggis, Jalan Pulau Gadong, di sini, mangsa, Md Saino Baba , 63, yang tersepit di dalam kenderaannya, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang sedang minum di sebuah warung di Tangga Batu, bergegas pulang dengan menaiki kereta Proton Iswara selepas mendapat panggilan memaklumkan anaknya sakit dan perlu dihantar ke hospital.

Bagaimanapun ketika menghampiri rumahnya, kenderaan mangsa dipercayai telah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Pulau Gadong gagal dikawal lalu terbabas dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari Taman Desa Duyong.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa tersepit di kaki dan mengalami hentakan kuat di dada serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohd Sham Md Saino, 40, berkata, bapanya memang gemar menikmati minuman bersama rakan pada sebelah malam dan sebelum kejadian arwah berada di Tangga Batu.

“Saya dimaklumkan sebelum kejadian, adik perempuan saya ada menghubungi ayah supaya dapat menghantar adik, Mohd Sharif, 39, yang menghidap kencing manis ke hospital.

“Selama ini pun memang ayah yang menjaga adik termasuk menghantarnya ke hospital atau mana-mana tempat untuk berubat,” katanya.

Mohd Sham berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati ayahnya kritikal selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Saya sempat membisikkan ke telinga ayah supaya mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian menghubungi pihak bomba berikutan keadaannya yang tersepit,” katanya.

 Sumber: Sinar Harian

Penduduk desak bina bonggol elak kemalangan

TELOK GONG – Kenderaan berat dan ringan yang sering dipandu laju ketika melalui Jalan Besar Telok Gong menimbulkan kerisauan terhadap penduduk kampung mengenai keselamatan mereka termasuk pengguna jalan raya yang lain.

Lebih menakutkan apabila sudah banyak kemalangan yang meragut nyawa berlaku di jalan berkenaan.

Pengadu yang juga bekas Ketua Kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Hanadi Yaakob berkata, bagi mengelakkan peristiwa lama berulang, pihaknya mengajukan perkara itu kepada pihak atasan supaya bina bonggol di laluan itu sejak Jun 2010.

“Namun hingga kini aduan itu dipandang sepi. Kita menuntut perkara ini demi keselamatan orang awam dan penduduk kampung.

“Kami yakin apabila ada bonggol, kenderaan yang melalui jalan ini akan dipandu secara lebih berhemah.

“Kami amat risau apabila kenderaan berat keluar masuk ke kawasan ini terutama yang angkut dan hantar barangan ke kilang dipandu laju walaupun papan amaran kurangkan laju dipasang di laluan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau yang mewakili penduduk di empat kampung berkata, lebih membimbangkan pihaknya berkenaan keselamatan pelajar sekolah yang keluar masuk ke kawasan sekolah pada sesi pembelajaran.

“Jangan sampai berlaku kejadian yang tidak diingini baru pihak berkuasa mengambil tindakan.

“Justeru itu, kami minta supaya pihak berkuasa bertindak segera demi keselamatan orang awam dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penduduk kampung turut mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang turun padang mendengar masalah dan rintihan penduduk kampung.

SH

Penjenayah Terbabas diKejar Polis

Lima MPV kejar 2 penjenayah


KUALA LUMPUR – Lima kenderaan polis (MPV) mengejar dua penjenayah menaiki sebuah kenderaan mewah curi dari Taman Tempua, Puchong Jaya, menghala Sungai Ramal, Kajang, malam kelmarin.

Adegan berlaku dalam tempoh 30 minit dan berakhir apabila seorang lelaki yang dikehendaki berhubung kes samun di Sungai Petani, Kedah, diberkas.

Terdahulu, kira-kira jam 9.30 malam, suspek berusia lingkungan 20-an dilihat memandu kereta jenis Toyota Estima dalam keadaan mencurigakan di taman perumahan berkenaan dipercayai sedang meninjau rumah untuk dipecah masuk.

Polis yang mendapat maklumat awam bergegas ke lokasi dan cuba menahan kenderaan dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, suspek yang ingkar arahan berhenti kemudiannya melarikan diri menuju ke Sungai Ramal.

“Suspek bertindak melanggar dua tol selepas dikejar lima MPV dan ketika di Sungai Ramal, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Seorang suspek dapat melarikan diri manakala rakannya diberkas selepas terjatuh dalam longkang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abd Razak berkata, polis menemui pelbagai alat pecah rumah dan samun, selain semakan mengesahkan kenderaan itu dilaporkan curi di Sungai Petani.

Beliau berkata, susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah teres satu tingkat di Klang Lama jam 11 pagi, semalam.

Katanya, polis menemui satu mesin pembuat kunci pendua, serangkai kunci Honda dan Toyota, alat-alat pecah rumah, dua paket dadah jenis Syabu dan sebuah kereta curi jenis Mitsubishi Triton yang dilaporkan hilang di Kuantan.

Sumber: SH

Monday, July 18, 2011

Padah Tidak Memakai Topi Keledar

Al-Fatihah...

KUANTAN — Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Kuantan dan Bera semalam.

Pegawai Turus Trafik Pahang, DSP Mohd Najib Jusoh, dalam kejadian pertama di KM42 Jalan Kuantan-Maran pukul 3 petang, Mohamad Hafiz Ahmad Sarjudin, 25, maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.

"Mangsa, yang menunggang dari arah Maran ke Kuantan, ketika tiba di tempat kejadian cuba memotong sebuah lori tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Seorang lagi penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di KM3 Jalan Lama Triang-Bahau pada pukul 6.20 petang.

Mohd Najib berkata, B. Karithiheyan, 34, bersama pemboncengnya sedang dalam perjalanan dari arah rumahnya di Felda Triang 1 ke Bandar Triang bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan yang terbabas memasuki laluan mangsa. Mangsa, yang dibawa ke Klinik Kesihatan Triang untuk rawatan, meninggal dunia pada 7.30 petang manakala pembonceng motosikal yang cedera parah dihantar ke Hospital Temerloh.

Beliau berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar. - Bernama

Sumber: Kosmo

Kakak Panggil Suami dan Anak sebelum Nafas Terakhir

Al-Fatihah...


SERDANG: “Sayu hati saya ketika mendengar kakak memanggil nama suami dan anaknya sebelum suara itu senyap,” kata Nur Effindi Sungip, 17, menceritakan kejadian kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) susur keluar Serdang dari arah Sungai Besi menuju Seremban di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, tiga beranak terbunuh manakala tujuh lagi cedera apabila kereta yang dinaiki 10 bersaudara terbabas sebelum melanggar tiang lampu di tempat kejadian.



Mereka yang terbunuh ialah kakak Nur Effindi, Nur Nazirah Sungip, 20, suaminya yang memandu kereta, Zulkifle Zainul, 29, serta anak tunggal mereka, Muhammed Danish Adam Zulkifle, 2.

Tujuh yang cedera pula ialah Nur Effindi, dua kakaknya, Nur Jumaatul Shuhaida, 24; Nur Atiqah, 19, dua adiknya, Nur Khairuddin, 12, Nurul Ashura, 7, serta dua anak saudaranya, Nur Shahiratul Syafiqa, 4, dan Muhammad Amirul Aiman Muhammad Nuralif, berusia setahun.

Nur Effindi berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada menziarahi bapa saudaranya, Ahmad Razli, 40-an, yang sakit tenat di Hospital Pusrawi di ibu negara dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Intan, Kajang.

Dia yang berada di tempat duduk sebelah pemandu berkata, sebelum kejadian dia tertidur seketika namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Selepas itu, katanya, Proton Wira yang mereka naiki berpusing beberapa kali sebelum semua penumpang dan pemandu kereta berkenaan tercampak keluar.

“Kami bergelimpangan di atas jalan dalam jarak satu meter dari kereta dan saya sempat melihat Muhammed Danish Adam berada di tepi kenderaan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.


“Walaupun cedera, saya gagahkan diri untuk bangun melihat mangsa lain termasuk abang ipar (Zulkifle yang bekerja sebagai penghantar akhbar) juga sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, semalam.

Nur Effindi berkata, dia cuba memberi bantuan kepada mangsa lain tetapi tidak berdaya sebelum orang ramai datang membantu dan menghantar mereka ke Hospital Serdang.

Menurutnya, jenazah kakak, abang ipar dan anak saudaranya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 4, Pahang, selepas selesai bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: myMetro
             kosmo
             bHarian

Sunday, July 17, 2011

Shabas ! Johor Mencatatkan Penurunan Kadar Kemalangan

Bilangan kematian, kecederaan kemalangan menurun


JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan penurunan kadar kematian dan kecederaan kemalangan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Sim Say Kiong berkata, penurunan bagi kadar kematian mencatatkan sebanyak 2.3 peratus iaitu 512 daripada 524 bagi tahun lalu.

Manakala bagi kecederaan kemalangan pula ialah 17 peratus iaitu daripada 1,469 kes pada tempoh Januari hingga Jun tahun lalu kepada 1,218 kes pada tahun ini.


“Bersempena dengan Mesyuarat Persidangan Pengarah Bilangan Dua yang diadakan di Hotel The Zon Regency selama tiga hari bermula 15 Julai lalu, pihak kami berbesar hati mengadakan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya (KJR) pada hari ini (semalam),” katanya kepada pemberita.

Say Kiong berkata, keselamatan jalan raya menjadi isu utama perbincangan persidangan itu.

“Trend penurunan statistik kadar kematian dan kecederaan kemalangan di Johor walaupun tidak berapa memuaskan namun ia sebagai platform JKJR untuk terus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.

Selain itu, JKJR Johor turut mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan Program Keselamatan Jalan Raya seperti Warden Trafik Sekolah, pemantauan Kelab Keselamatan Jalan Raya, ceramah dan pameran.

“Terdapat 10 sekolah di seluruh Johor yang terlibat dalam program JKJR antaranya termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 1, SK Johor Jaya 3, SK Kulai, SK Kempas, SK Kempas dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, JKJR juga bekerjasama rapat dengan syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain daripada agensi kerajaan.

kemalangandijalanraya.blogspot.com mengucapkan shabas !


Sumber: Sinar Harian

Pelajar Uitm Sri Iskandar Maut


Al-Fatihah...

Tercampak masuk sungai 

BUKIT TINGGI - Seorang remaja maut dalam kemalangan di Kilometer 42.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira jam 11.50 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Firdaus Saidin, 20, beralamat di Felda Ulu Jempol, Bandar Jengka.

Menurutnya, mangsa yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Sri Iskandar menunggang motosikal jenis RXZ seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bandar Jengka.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan dan kemudiannya melanggar tembok batu.

“Selepas itu, mangsa tercampak ke dalam sungai iaitu 15 meter dari aras bumi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Parah


TOK HAS - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah Proton Wira Aeroback yang dikatakan sedang membuat pusingan U di sini kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin.

Mangsa, Mohd Faiz Hassan, 27, dari Rumah Awam Gertak 100, Kuala Besut tercampak beberapa meter selepas motosikalnya merempuh bahagian depan sebelah kiri kereta tersebut, yang membuat pusingan U berhampiran sebuah kedai runcit di Kenjing dekat sini.

Menurut saksi, sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 50-an bersama seorang anak lelaki dari arah Jertih ke Kuala Besut ingin membuat pusingan U ke arah Jertih, sebelum dirempuh mangsa yang dari arah Kuala Besut.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian lutut dan kepala, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut dengan menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Keadaan motosikal berkuasa tinggi mangsa pula remuk pada bahagian depan manakala kereta terbabit rosak di sebelah kiri depan.

Sumber: SH

Tayar Lori Pancit Punca Wanita Hamil Dihempap


Al-Fatihah..

KULIM - Seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala suami dan pembantunya cedera apabila kederaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, Shalini Mohd Yusof, 26, mati di tempat kejadian, manakala suaminya Norhusaini Normadi, 26, dan pembantunya Hamdan Abdullah, 61, cedera parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu Norhusaini dirempuh sebuah lori pasir ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.



“Tayar lori pasir yang datang dari Taman Angsana itu meletup sebaik tiba di selekoh Taman Selasih mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan pasir yang dibawa lori terbabit tumpah di atas jalan raya lalu menimbus Toyota Hilux itu,” katanya, semalam.

Difahamkan, ketiga-tiganya dalam perjalanan ke masjid Junjung untuk menghantar makanan.


“Jentolak digunakan untuk mengangkat lori yang menghempap kenderaan terbabit.

“Pasukan bomba terpaksa memotong bumbung kereta itu untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang dan berada dalam keadaan tertiarap serta ditimbus pasir,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa yang hamil lapan bulan maut kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Lebih menyedihkan, bayi dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Ghuzlan berkata, polis akan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.

Sumber: Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount