loading...

Wednesday, July 20, 2011

Konstabel Polis Nyaris Maut

Tersepit 15 minit


GEORGETOWN – Seorang konstabel polis terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit apabila kaki kanannya tersepit di bahagian depan kereta jenis Honda Civic yang dipandunya malam kelmarin.

Zulfadzli Zamzuri, 23, yang memandu sendirian dikatakan nyaris maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 9.30 malam itu.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Kampung Bharu, Ayer Itam patah kaki kanan dan cedera di bahagian kepala serta badan.

Dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, akibat hilang kawalan, kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan di bahagian tengah dan melanggar sebuah kereta Proton Wira yang berada di hadapannya sehingga berpusing beberapa kali.

“Mangsa yang tidak bertugas itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Farlim dari Sungai Nibong. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit kerana bahagian depan keretanya remuk selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Orang ramai yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba dan berjaya membawanya keluar selepas berusaha selama 15 minit,” katanya.

Ayub berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan dan meminta saksi yang mempunyai maklumat tampil untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my