Saturday, June 1, 2013

Dirempuh kereta ketika bergaduh di tengah jalan



2 Jun 2013
Georgetown: Akibat marah dan berhenti di tengah jalan kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan seorang pemandu lain, seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang tidak sempat berhenti di Kilometer 7.7, Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 1 pagi, Phung Soon Lye, 39, maut di lokasi kejadian kerana cedera teruk di seluruh badan dan kepala akibat rempuhan kuat kereta berkenaan.


Menurut sumber, mangsa yang memandu kereta jenis Ford dikatakan dalam keadaan mabuk dan sebelum itu dia juga dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pemanduan seorang pemandu kereta Audi.

“Ketika itu, berlaku salah faham antara mangsa dan pemandu kereta Audi terbabit dan mangsa yang tidak berpuas hati terus memberhentikan kenderaannya di tengah jalan.


“Tindakannya membuatkan pemandu kereta Audi terbabit terhalang sebelum mangsa turun dari kenderaannya. Menghampiri kereta pemandu Audi berkenaan,” katanya.





Menurutnya, mangsa terus membuka pintu dan cuba menarik keluar pemandu kereta Audi terbabit namun tiba-tiba sebuah lagi kereta yang tidak sempat berhenti merempuhnya.

“Akibat rempuhan kuat itu, tubuh mangsa terseret dan pintu kereta Audi terbabit turut tercabut, namun pemandu yang merempuh mangsa itu tidak cedera.


“Difahamkan, pemandu kereta Audi berkenaan hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Menurutnya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Prai menuju ke pulau dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan mengambil keterangan daripada pemandu serta beberapa saksi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian terbabit.



Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2013060205101720130602051017/MA/Article
http://m.utusan.com.my/Jenayah/20130602/je_03/Lelaki-berhenti-kereta-di-jambatan-maut-dirempuh
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Lelaki_Mabuk_Maut_Dilanggar_Kereta.html


Maut dihempap kontena



2 Jun 2013
PELABUHAN KLANG - Malang bagi seorang pekerja warganegara Myanmar apabila maut dihempap kontena di sebuah stor penyimpanan kontena di kawasan perindustrian Pelabuhan Barat, di sini, pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, mangsa berumur 31 tahun bersama pemandu kren sedang memunggah barang.

Kren yang membawa kontena itu berhenti secara mengejut dan menyebabkan kontena itu berayun dan menghempap mangsa yang ketika itu sedang mengangkat barangan menggunakan kenderaan pengangkut barang (forklift) di hadapan kren.

Muatan kontena yang berat menghempap bumbung forklift berkenaan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.



Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 4.30 pagi.

“Selepas menerima panggilan, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang terus ke tempat kejadian,” katanya.

Namun katanya, bomba alami kesukaran angkat kontena itu kerana ia melebihi had berat mampu ditampung jentera bomba.

“Anggota bomba terpaksa pinjam kren daripada pihak swasta untuk mengangkat kontena itu sebelum besi forklift yang menghempap mangsa dapat dipotong,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata, pihaknya ambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi sebelum mengeluarkan mangsa dari forklift.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badannya,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/pekerja-maut-dihempap-kontena-1.166494
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahasdihempapkontena/MA/Article/index_html
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130602/je_02/Maut-dihempap-kontena



Friday, May 31, 2013

Peniaga roti canai maut terjunam dalam parit


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Jun 2013
SABAK BERNAM - Seorang peniaga roti canai terbunuh manakala seorang adik lelaki bersama isterinya cedera ringan selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit di selekoh Jalan Parit 5, Sungai Panjang di sini, petang semalam.



Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Asiah Mohd Rasyidi, 54, meninggal dunia dipercayai lemas apabila menghadapi kesukaran untuk keluar selepas kenderaan yang dipandunya terhumban ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa tidak dapat keluar menyelamatkan diri ekoran kenderaan yang dipandunya terpelosok jatuh mengereng di sebelah tempat duduk pemandu.

“Bomba dan Penyelamat Sungai Besar yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira 15 minit selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, adik lelaki mangsa, Nazaruddin Mohd Rashidi, 34 dan isteri, yang hanya dikenali sebagai Iza, 24 terselamat apabila berjaya keluar daripada kenderaan itu dengan memecahkan tingkap di sebelah tempat duduk penumpang.

Beliau berkata, kedua-dua mereka terselamat menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, sementara mangsa yang meninggal dunia pula dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Jenazah Asiah akan dikebumikan di tanah perkuburan Parit 16 Sungai Panjang, dan Allahyarham meninggalkan  suami, Mohd Zaini Yusof Shabuddin, 54 dan 10  anak.

Sementara itu, Anak Allahyarham, Mohd Sani Mohd Zaini, 23 berkata, ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda melainkan melihat sikap pelik ibunya yang sering tergesa-gesa sejak beberapa hari lalu.

Mohd Sani anak ketujuh 10 beradik berkata, dia merasai kehilangan ibunya itu, apatah lagi sering membantu Asiah berniaga roti canai di gerai  mereka di Parit 16 Sungai Panjang.

“Sebelum kemalangan itu, ibu dan kedua adiknya menyelesaikan urusan sewaan bendang di rumah keluarga mereka dan selepas itu bergegas ke  Sungai Besar untuk membeli barangan keperluan berniaga roti canai keesokan hari,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/peniaga-roti-canai-maut-kereta-masuk-parit-1.166295


Kereta melekat pada tiang elektrik




31 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya merempuh dan melekat pada tiang elektrik di Lebuh AMJ Sungai Petai, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, Lee Kang Wei, 22, dari arah pekan Alor Gajah ke arah bandar Melaka sebelum terbabit dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, sebaik melalui satu selekoh, kereta jenis Produa Myvi dipandu mangsa dilihat terhoyong hayang sebelum meluncur ke kiri, lalu merempuh sebatang tiang elektrik.

“Kereta dipandu mangsa merempuh tiang elektrik sehingga patah dua sebelum melekat dengan keadaan tiang itu menimpa tempat duduk pemandu hingga remuk teruk.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selama beberapa minit dalam keadaan separuh sedar sebelum pengguna jalan raya berhenti untuk bantu,” katanya.

Beliau berkata, dentuman kuat akibat pelanggaran itu turut mengejutkan penduduk sebuah taman perumahan berdekatan yang keluar dan membantu mengeluarkan mangsa menerusi pintu penumpang hadapan.

“Orang awam membantu menarik mangsa keluar dengan perlahan walaupun situasi agak sukar kerana kedudukan pintu penumpang hadapan yang berada di atas,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan lemah tidak bermaya mangsa ditarik keluar orang awam sebelum ditenangkan dan menghubungi bantuan kecemasan.

Sementara itu, Jurucakap Hospital Melaka berkata, mangsa yang cedera parah pada seluruh anggota badan kini ditempatkan di zon merah hospital berkenaan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kereta-melekat-pada-tiang-elektrik-1.165979



Wanita maut kereta rempuh besi penghadang jalan




Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Mei 2013
KUANTAN – Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas lalu merempuh besi penghadang sebelah kiri jalan di Kilometer 197.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Gambang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, mangsa, Zuliana Zulkeply, 34, dari Ampang, Selangor, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta patah tulang belakang.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, pemandu kenderaan tersebut yang juga rakan setugas mangsa berusia 38 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian pemandu terbabit kemudian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang di kiri jalan.

Katanya, akibat rempuhan berkenaan, mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang sebelum dibantu dikeluarkan oleh orang awam namun disahkan meninggalkan dunia selepas itu.

“Pada masa sama, pemandu kenderaan tersebut dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Trafik Kuantan.

“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya sebelum dibawa pulang ke Ampang untuk pengebumian, malam kelmarin,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/wanita-maut-kereta-rempuh-besi-penghadang-jalan-1.165905


Maut ke tempat kerja



Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Mei 2013
SABAK BERNAM – Seorang pekerja swasta yang ingin ke tempat kerjanya di Sungai Panchang Bedena, Sungai Besar, di sini, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta Proton Wira, di Kilometer 44 Jalan Teluk Intan-Klang, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa Salahuddin Khairi, 23, berasal dari Kampung Tebuk Pulai tengah, Sabak Bernam, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Sungai Air Tawar menghala ke Sungai Besar dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

“Bagaimanapun, kereta Proton Wira yang dalam perjalanan menghala ke Sungai Besar tidak sempat mengelak lalu terus merempuh sebelah kiri motosikal terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak kurang 20 meter dari tempat kejadian, manakala motosikal yang ditungganginya terhumban ke parit besar laluan tersebut.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Besar untuk bedah siasat, sementara pemandu Proton Wira itu hanya mengalami luka ringan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-tak-sempat-ke-tempat-kerja-1.165780


Thursday, May 30, 2013

Warga emas dirempuh ketika melintas




30 Mei 2013
SEREMBAN –  Seorang warga emas menemui ajal ketika sedang melintas jalan raya selepas dilanggar sebuah kereta di persimpangan jalan Taman Rasah Jaya dan Taman Bukit Nuri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Siow Sak Ku, 76, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang berjalan berseorangan dipercayai sedang melintas jalan berkenaan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan menuju ke Rasah Jaya namun sejurus tiba di lokasi terbabit dia tidak nampak mangsa sedang melintas jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter dan maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Menurut jurucakap polis lagi, pemandu dan penumpang kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Pemandu kereta terbabit telah pun membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/temui-ajal-ketika-melintas-jalan-1.165319


Wednesday, May 29, 2013

Nissan panggil balik 841,000 kenderaan



TOKYO 23 Mei - Nissan Motor Co. Ltd. (Nissan) akan panggil balik 841,000 kenderaan di seluruh dunia, termasuk kereta kompak Micra yang juga dikenali sebagai March akibat masalah stereng.

Micra yang diperbuat di Britain dan Jepun antara tahun 2002 dan 2006 turut terlibat dalam masalah itu, begitu juga model Cube yang diperbuat di Jepun pada tempoh yang sama.

Syarikat itu akan memanggil balik kenderaan di Jepun, Eropah, Asia, Afrika, Latin Amerika dan Timur Tengah.

Masalah yang timbul ialah selak yang digunakan pada stereng kereta berkenaan mungkin tidak diketatkan dengan betul serta lebih teruk lagi apabila stereng itu berkemungkinan tidak berfungsi, kata Nissan dalam fail kenyataan kepada Kementerian Pengangkutan Jepun.

Menurut jurucakap Nissan, Noriko Yoneyama, bagaimanapun, tiada kemalangan, kecederaan atau kematian yang dilaporkan akibat masalah itu.

Syarikat pengeluar kenderaan auto kedua terbesar Jepun itu memberitahu, Nissan akan memperbaiki masalah tersebut sama ada mengetatkan selak itu atau menggantikan stereng yang baharu.

Kata Yoneyama, kerja membaiki itu akan mengambil masa selama 40 minit, bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai kos yang perlu ditanggung Nissan berhubung panggilan semula terbabit. - REUTERS

http://www.utusan.com.my/utusan/Pemotoran/20130524/mo_02/Nissan-panggil-balik-841000-kenderaan



Nissan to recall 841,000 vehicles due to steering wheel glitch


TOKYO –  Nissan Motor Co Ltd <7201.T> will recall about 841,000 vehicles worldwide including the Micra compact car, also known as the March, as a result of a steering wheel glitch, Japan's No.2 automaker said on Thursday.

Nissan is recalling certain models of the Micra compact car produced in Britain and Japan between 2002 and 2006, as well as the Cube, produced in Japan around the same period.

It is pulling back vehicles in Japan, Europe, Asia, Oceania, Africa, Latin America and the Middle East.
The bolt used in the steering wheel of these cars may not have been properly tightened and at worst the steering wheel may not function, Nissan said in a statement filed to the Japanese transport ministry.
No accidents, injuries or deaths have been reported, Nissan spokeswoman Noriko Yoneyama said.
Nissan will fix the glitch by either tightening the bolts or replacing the steering wheel with a new one.
The repair will take about 40 minutes, Yoneyama said. She declined to say how much the recall will cost Nissan.

http://www.foxbusiness.com/news/2013/05/23/nissan-to-recall-841000-vehicles-due-to-steering-wheel-glitch/





Bas terbabas dalam longkang


Bas ekspres yang terbabas masuk ke dalam longkang


29 Mei 2013
KLUANG - Seramai 27 penumpang bas ekspres dari arah Kuala Perlis - Johor Bahru berdepan detik cemas apabila bas dinaiki terbabas masuk ke dalam longkang di Kilometer 62.5 Lebuhraya Utara-Selatan, Machap-Johor, di sini, semalam.

Kejadian di lokasi kira-kira tiga kilometer sebelum sampai ke susur keluar tol Simpang Renggam arah selatan itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian sekitar jam 9 pagi.

Menurutnya, bas ekspres terbabit dipercayai hilang kawalan disebabkan kecuaian pemandu.

“Polis akan buka kertas siasatan untuk menyiasat lebih terperinci berkaitan kejadian berkenaan.

”Kes  ini akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 disebabkan kecuaian.

“Kemalangan ini tidak melibatkan kecederaan pada penumpang, manakala pemandu bas hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian, semalam.

Sementara itu, pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 25, mengakui kejadian tersebut berlaku sekelip mata.

Dia yang baru bekerja selama enam bulan bersama syarikat berkenaan berkata, pandangannya menjadi gelap secara tiba-tiba ketika memandu sebelum tersedar bas yang dipandunya sudah menghala ke tepi pembahagi jalan.

“Dalam keadaan yang pantas saya cuba mengawal bas supaya kembali  berada di laluan yang betul.

”Namun saya gagal untuk mengawalnya lalu terus meluncur laju masuk ke dalam longkang.

“Saya tetap bersyukur kerana semua penumpang dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/bas-masuk-longkang-1.164784


Tak sempat menghadiri temuduga



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Mei 2013
MUAR - Hasrat seorang wanita untuk menghadiri temuduga di bandar ini tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua lori dengan sebuah motosikal di Kilometer 11 Jalan Bukit Pasir-Muar di sini, semalam.



Mangsa ialah pembonceng motosikal dikenali Lili Zurainah Bahari, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa menaiki motosikal yang ditunggangi adiknya, Mohamad Khairuddin Bahari, 19, dalam perjalanan ke tempat temuduga kerja dari rumah mereka di Felda Lenga.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah lori yang sedang membrek dari arah sama iaitu dari Bukit Pasir menghala Muar.

Akibat rempuhan kuat itu, motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh ke kanan jalan raya.

Malangnya, datang sebuah lagi lori dari arah Muar menghala Bukit Pasir tidak sempat mengelak lalu terlanggar kepala Lili Zurainah.

Kedua-dua pemandu lori terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala Mohamad Khairuddin yang cedera pada anggota badan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130529/dn_27/Maut-dalam-perjalanan-temuduga-kerja
http://www.sinarharian.com.my/edisi/maut-kepala-dilanggar-lori-1.165071


Nyaris rentung bersama kereta



29 Mei 2013
BAGAN SERAI - Seorang pemandu terselamat daripada maut setelah kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar pengadang jalan sebelum meletup dan terbakar di Kilometer 187.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah selatan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa, P Kamaraguru, 57, yang memandu kenderaan jenis Proton Saga BLM dari arah Kamunting menghala Pulau Pinang, dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah lorong kenderaan laju yang secara tiba-tiba menukar arah dan menyebabkan mangsa hilang kawalan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa yang terkejut terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum kenderaan yang dipandunya terbakar.

“Bagaimanapun, mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan  berjaya merangkak keluar dari kenderaannya sebelum ianya terbakar sepenuhnya.

“Pihak kami masih lagi menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pemandu-merangkak-keluar-daripada-kereta-1.165187




Kereta ditimpa timbunan batu




29 Mei 2013
PARIT BUNTAR - Seorang pemandu berdepan saat mendebarkan apabila kereta dipandunya ditimpa timbunan batu yang jatuh dari sebuah lori terbalik di persimpangan bertingkat Jalan Sempadan di sini, tengah hari, semalam.



Mangsa, Mohd Nabil Mat Desa, 24 memaklumkan, kejadian itu berlaku pada jam 12.40 tengah hari dan lori berkenaan terbalik di bahagian atas persimpangan bertingkat yang masih dalam pembinaan.

Menurutnya, timbunan batu itu jatuh tepat ke atas bahagian hadapan kereta jenis Perodua Myvi miliknya menyebabkan kerosakan agak teruk kepada kenderaan itu.

"Saya dalam perjalanan dari Pekan Lama Parit Buntar ke rumah saya di Taman Seri Wangi semasa kejadian berlaku. Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat ketika melalui tempat kejadian.

"Dalam sekelip mata saya nampak objek besar umpama 'hujan batu' jatuh dan mengenai bahagian cermin hadapan serta enjin kereta saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Nabil berkata, timbunan batu berkenaan telah menyebabkan dia terperangkap dalam kenderaan serta mengalami kecederaan ringan pada tangan.

"Saya bernasib baik kerana ada seorang pemandu yang kebetulan melalui kawasan itu menyuruh saya segera keluar dari kereta melalui tingkap.

"Kalau tidak saya tak dapat bayangkan apa akan jadi pada diri saya kerana ada susulan jatuhan batu ke atas kereta saya," katanya.

Tambahnya, berikutan kecederaan yang dialami dia telah dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh salah seorang pengguna jalan raya seterusnya dibawa untuk membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar.

Katanya, salah seorang penyelia di tapak projek memaklumkan bahawa lori berkenaan membawa lebih muatan dan berkeadaan tidak stabil ketika menurunkan muatan di tapak projek.

"Saya kesal dengan kejadian yang menimpa diri serta kereta saya disebabkan kecuaian pemaju projek pembinaan persimpangan bertingkat dalam memastikan keselamatan tapak projek yang diselia.

"Saya menuntut pemaju membiayai kos kerugian dan kecederaan yang saya alami serta berharap kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kereta-ditimpa-batu-1.165060


Pelajar politeknik maut merempuh pengadang jalan


Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Mei 2013
MARAN - Seorang pelajar semester lima Politeknik Kuantan maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Jalan Maran-Serangkam dekat Kampung Merangis, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dari arah Serangkam dipercayai terbabas sebelum merempuh pengadang jalan.

Menurutnya,  tayar belakang motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa, Syuib Badri, 21, dikatakan pancit dan hilang kawalan ketika menuruni jalan berbukit di lokasi kejadian.

“Mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Ling dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kampung Serengkam.

“Kepala mangsa terhantuk pada bahagian bucu tajam pengadang jalan menyebabkan kecederaan parah di bahagian tersebut.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenal sebagai Yahya berkata, mangsa dilihat menunggang motosikal perlahan ketika melintasi sebuah kedai makan di Kampung Merangis kerana tayar belakang pancit.

Menurutnya, kurang setengah jam kemudian, mangsa dikhabarkan terlibat dalam kemalangan selepas terbabas.

“Saya terus hubungi ibu mangsa menggunakan telefon bimbit mangsa bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-politeknik-maut-1.165117




Betis terbelah dua dirempuh kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Mei 2013
KUANTAN – “Makcik hampir pengsan melihat kepala cucu berlumuran darah dengan betisnya terbelah dua.”

Demikian kata Umasharah Hashim, 62, nenek kepada Mohd Zarif Mohd Zamri, 16, yang cedera parah selepas motosikal dinaiki bersama rakan dirempuh Proton Iswara ketika hendak masuk simpang di Felda Panching Utara, kira-kira jam 11.45 tengah hari semalam.



Dalam kejadian itu, rakan Mohd Zarif yang dikenal sebagai Mohd Akmal Aizuddin, 15, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Mengimbas sebelum kejadian itu, Umasharah berkata, dia sempat berbual dengan cucunya ketika sedang membasuh kain sebelum mangsa memberitahu hasratnya mahu pergi memancing bersama rakan.

Mohd Zarif kemudian terus keluar bersama rakannya itu namun tidak sampai 10 minit dia menerima panggilan daripada seorang penduduk mengatakan cucunya itu kemalangan.

Warga emas itu bagaimanapun tidak percaya dengan kejadian yang menimpa cucunya sebelum meminta anaknya pergi ke tempat kejadian yang hanya lima meter dari rumah.

Bagaimanapun, tidak menunggu berita daripada anaknya itu, Umasharah gagahkan diri berjalan menuju ke tempat kejadian.

“Luluh hati makcik melihat cucu yang dibesarkan sejak kecil meraung kesakitan. Sejak kecil, makciklah ibu dan ayah kepada Mohd Zarif berserta dua lagi adiknya kerana ibu mereka telah meninggal dunia," katanya.

Selepas kejadian Mohd Zarif dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Aziz Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dirempuh kereta yang menghala ke Sungai Lembing dari Felda Panching Timur, ketika mahu masuk ke simpang untuk menghantar rakan pulang.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, kereta berkenaan kemudian terbabas di tepi kanan jalan dan tersangkut pada tunggul pokok kelapa sebelum pemandunya berusia 26 tahun membuat laporan di Balai Polis Panching selepas kejadian.

Katanya, jenazah Mohd Akmal sudah dituntut oleh ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HTAA, petang semalam.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:

http://www.hmetro.com.my/articles/Syukurdalamsebak//Article

http://www.sinarharian.com.my/edisi/betis-cucu-terbelah-dua-1.165012




Monday, May 27, 2013

Tragedi Festival Belia Putrajaya 2013


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Mei 2013
KUANTAN - Kegembiraan lima sahabat dalam konvoi lima motosikal yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Belia Putrajaya 2013 bertukar tragedi apabila dua daripadanya terbunuh selepas motosikal mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 98, Jalan Lipis-Merapoh, sempadan Gua Musang, Kelantan, malam semalam.
 
Dalam kejadian 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Jailani Abdul Rashid, 32, yang bekerja di Jabatan Penilaian, Kota Baharu, Kelantan disahkan meninggal dunia pada 11.20 malam tadi, manakala Mazuwi Muhammad, 31, bekerja di sebuah bank di Wakaf Chiku, Kelantan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah malam.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua sahabat terbabit meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) selepas mengalami kecederaan dalaman serta kepala.
 
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 26 tahun, yang membawa muatan pelbagai jenis barangan, dalam perjalanan menghala ke Shah Alam, Selangor dari Kota Bharu mendakwa terpaksa mengelak sebuah kereta di depannya sejurus menuruni bukit.
 
Bagaimanapun, disebabkan permukaan jalan licin kerana hujan lebat menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berhenti melintang di tengah jalan.

"Pada masa sama, lima sahabat terbabit yang datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan berat itu menyebabkan kelima-lima mangsa tercampak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Menurutnya, bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa iaitu Halini Mohd Nor, 29, masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai, Kelantan akibat parah di kepala, manakala Ahmad Razak Darus, 26, dan Rafizi Ramli, 31, mengalami kecederaan ringan namun masih mendapat rawatan di HGM. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-sahabat-maut-selepas-pulang-dari-festival-belia-1.164513


Warga emas maut dirempuh bas pesiaran


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Mei 2013
KUANTAN 27 Mei - Seorang warga emas maut akibat dirempuh sebuas bas pesiaran ketika melintasi jalan di km 12 Jalan Lipis-Jerantut dekat Kuala Lipis awal hari ini.

Abdul Wahab Mat Akhir, 68, yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Sibar, Kuala Lipis mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata di sini hari ini, nahas berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Jerantut menuju Kuala Lipis pada jam 10.45 pagi.

"Mangsa yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan dipercayai dirempuh bas terbabit selepas melepasi sebuah selekoh di situ.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130527/je_22/Warga-emas-maut-dilanggar-bas-di-Kuala-Lipis


Lori terhumban ke dalam sungai




27 Mei 2013
BALING - Seorang pemandu lori nyaris lemas setelah lori yang dipandunya terhumban ke dalam sungai di Jalan Sungai Petani-Baling berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.



Mangsa, Muhamad Rahmat Kamaruddin, 33, dari Kampung Bukit Gajah, Bentong, Pahang tersepit di tempat pemandu dengan keadaan kepalanya di dalam air.

Namun begitu, mangsa bernasib baik setelah penduduk kampung sempat mengalihkan kepalanya bagi mengelakkan dia lemas.

Bagaimanapun, mangsa masih tidak dapat dikeluarkan berikutan kedua kakinya tersepit di pintu dan stereng lorinya itu.

Sehubungan itu, pasukan bomba dan pertahanan awam dikerahkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan kesakitan.

Muhamad Rahmat berkata, dia bersyukur dengan tindakan pantas penduduk yang sempat membantu mengalihkan kepalanya dalam air.

“Saya cuba untuk keluar, tapi tak boleh, saya hanya mampu berserah kepada Tuhan. Alhamdulillah, tak lama kemudian, orang kampung datang. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan jadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian itu.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Drebarmenjeritmintadiselamat/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pemandu-lori-nyaris-lemas-1.164269


Penunggang maut dirempuh kereta




27 Mei 2013
IPOH - Seorang juruteknik tidak dapat menahan sebak mengenangkan bapanya yang maut ketika menghantar surat khabar selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Jalan Lahat, awal pagi semalam.

Mangsa, S A S Rajentren, 52, bekerja sebagai pengedar surat khabar maut setelah motosikal dinaikinya dirempuh kereta yang dipandu seorang lagi mangsa, Foon Soon Hong, 43 dari Taman Berlian, Mengelembu.

Ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), anak kedua mangsa, R Povanaswaran, 28 berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian pada kira-kira jam 4 pagi oleh seorang rakan yang berkebetulan melalui  tempat kejadian.

Menurutnya, paling menghibakan adalah ibunya tiada dalam negara pada ketika ini kerana melawat saudara mereka di India yang hanya dimaklumkan berkenaan kejadian tanpa mengetahui suaminya telah meninggal dunia.

"Semasa kejadian, saya bekerja syif pagi dan bila dapat berita itu, saya segera ke tempat kejadian untuk pastikan sama ada benar atau tidak mangsa kemalangan itu bapa saya.

"Bapa saya selalu keluar dari rumah pada jam 3 pagi untuk edar surat khabar di sekitar Taman Canning sebelum pulang ke rumah empat jam kemudian. Saya tak sangka pertemuan malam tadi (kelmarin) menjadi pertemuan terakhir antara bapa saya dan kami tiga beradik," katanya kepada Sinar Harian.

Povanaswaran turut memaklumkan dia tinggal bersama mangsa, ibunya, G Bamathiywaty, 40 serta dua adik perempuannya di Taman Kledang Suria, Mengelembu.

Tambah Povanaswaran, selepas mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa suaminya, Bamathiywaty memaklumkan akan mengambil penerbangan paling awal untuk pulang ke Malaysia dan dijangka tiba petang ini.

"Saya tak sampai hati nak cerita perkara sebenar kepada ibu. biar dia pulang dulu," katanya.

Sementara, waris mendiang Soon Hong memaklumkan, mangsa merupakan seorang peniaga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.

Katanya, mereka sekeluarga tidak tahu menahu bagaimana kemalangan itu berlaku dan difahamkan kereta yang dipandu bukan milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, dalam kejadian pada jam 3.15 pagi semalam, kereta dipandu Soon Hong menghala dari arah Ipoh ke Pekan Falim dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta terbabit melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang penumpang kereta yang cedera dibawa je HRPB untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-rempuh-motosikal-1.164363


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount