loading...

Wednesday, May 29, 2013

Kereta ditimpa timbunan batu




29 Mei 2013
PARIT BUNTAR - Seorang pemandu berdepan saat mendebarkan apabila kereta dipandunya ditimpa timbunan batu yang jatuh dari sebuah lori terbalik di persimpangan bertingkat Jalan Sempadan di sini, tengah hari, semalam.



Mangsa, Mohd Nabil Mat Desa, 24 memaklumkan, kejadian itu berlaku pada jam 12.40 tengah hari dan lori berkenaan terbalik di bahagian atas persimpangan bertingkat yang masih dalam pembinaan.

Menurutnya, timbunan batu itu jatuh tepat ke atas bahagian hadapan kereta jenis Perodua Myvi miliknya menyebabkan kerosakan agak teruk kepada kenderaan itu.

"Saya dalam perjalanan dari Pekan Lama Parit Buntar ke rumah saya di Taman Seri Wangi semasa kejadian berlaku. Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat ketika melalui tempat kejadian.

"Dalam sekelip mata saya nampak objek besar umpama 'hujan batu' jatuh dan mengenai bahagian cermin hadapan serta enjin kereta saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Nabil berkata, timbunan batu berkenaan telah menyebabkan dia terperangkap dalam kenderaan serta mengalami kecederaan ringan pada tangan.

"Saya bernasib baik kerana ada seorang pemandu yang kebetulan melalui kawasan itu menyuruh saya segera keluar dari kereta melalui tingkap.

"Kalau tidak saya tak dapat bayangkan apa akan jadi pada diri saya kerana ada susulan jatuhan batu ke atas kereta saya," katanya.

Tambahnya, berikutan kecederaan yang dialami dia telah dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh salah seorang pengguna jalan raya seterusnya dibawa untuk membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar.

Katanya, salah seorang penyelia di tapak projek memaklumkan bahawa lori berkenaan membawa lebih muatan dan berkeadaan tidak stabil ketika menurunkan muatan di tapak projek.

"Saya kesal dengan kejadian yang menimpa diri serta kereta saya disebabkan kecuaian pemaju projek pembinaan persimpangan bertingkat dalam memastikan keselamatan tapak projek yang diselia.

"Saya menuntut pemaju membiayai kos kerugian dan kecederaan yang saya alami serta berharap kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kereta-ditimpa-batu-1.165060


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my