2 Jun 2013
PELABUHAN KLANG - Malang bagi seorang pekerja warganegara Myanmar apabila maut dihempap kontena di sebuah stor penyimpanan kontena di kawasan perindustrian Pelabuhan Barat, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, mangsa berumur 31 tahun bersama pemandu kren sedang memunggah barang.
Kren yang membawa kontena itu berhenti secara mengejut dan menyebabkan kontena itu berayun dan menghempap mangsa yang ketika itu sedang mengangkat barangan menggunakan kenderaan pengangkut barang (forklift) di hadapan kren.
Muatan kontena yang berat menghempap bumbung forklift berkenaan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.
Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 4.30 pagi.
“Selepas menerima panggilan, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang terus ke tempat kejadian,” katanya.
Namun katanya, bomba alami kesukaran angkat kontena itu kerana ia melebihi had berat mampu ditampung jentera bomba.
“Anggota bomba terpaksa pinjam kren daripada pihak swasta untuk mengangkat kontena itu sebelum besi forklift yang menghempap mangsa dapat dipotong,” katanya.
Ahmad Zaidi berkata, pihaknya ambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong besi sebelum mengeluarkan mangsa dari forklift.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badannya,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/pekerja-maut-dihempap-kontena-1.166494
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahasdihempapkontena/MA/Article/index_html
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130602/je_02/Maut-dihempap-kontena
No comments:
Post a Comment