loading...

Monday, May 27, 2013

Penunggang maut dirempuh kereta




27 Mei 2013
IPOH - Seorang juruteknik tidak dapat menahan sebak mengenangkan bapanya yang maut ketika menghantar surat khabar selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut dua nyawa di Jalan Lahat, awal pagi semalam.

Mangsa, S A S Rajentren, 52, bekerja sebagai pengedar surat khabar maut setelah motosikal dinaikinya dirempuh kereta yang dipandu seorang lagi mangsa, Foon Soon Hong, 43 dari Taman Berlian, Mengelembu.

Ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), anak kedua mangsa, R Povanaswaran, 28 berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian pada kira-kira jam 4 pagi oleh seorang rakan yang berkebetulan melalui  tempat kejadian.

Menurutnya, paling menghibakan adalah ibunya tiada dalam negara pada ketika ini kerana melawat saudara mereka di India yang hanya dimaklumkan berkenaan kejadian tanpa mengetahui suaminya telah meninggal dunia.

"Semasa kejadian, saya bekerja syif pagi dan bila dapat berita itu, saya segera ke tempat kejadian untuk pastikan sama ada benar atau tidak mangsa kemalangan itu bapa saya.

"Bapa saya selalu keluar dari rumah pada jam 3 pagi untuk edar surat khabar di sekitar Taman Canning sebelum pulang ke rumah empat jam kemudian. Saya tak sangka pertemuan malam tadi (kelmarin) menjadi pertemuan terakhir antara bapa saya dan kami tiga beradik," katanya kepada Sinar Harian.

Povanaswaran turut memaklumkan dia tinggal bersama mangsa, ibunya, G Bamathiywaty, 40 serta dua adik perempuannya di Taman Kledang Suria, Mengelembu.

Tambah Povanaswaran, selepas mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa suaminya, Bamathiywaty memaklumkan akan mengambil penerbangan paling awal untuk pulang ke Malaysia dan dijangka tiba petang ini.

"Saya tak sampai hati nak cerita perkara sebenar kepada ibu. biar dia pulang dulu," katanya.

Sementara, waris mendiang Soon Hong memaklumkan, mangsa merupakan seorang peniaga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.

Katanya, mereka sekeluarga tidak tahu menahu bagaimana kemalangan itu berlaku dan difahamkan kereta yang dipandu bukan milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, dalam kejadian pada jam 3.15 pagi semalam, kereta dipandu Soon Hong menghala dari arah Ipoh ke Pekan Falim dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta terbabit melanggar penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas dan merempuh pokok. Kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang penumpang kereta yang cedera dibawa je HRPB untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-rempuh-motosikal-1.164363


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my