2 Jun 2013
Georgetown: Akibat marah dan berhenti di tengah jalan kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan seorang pemandu lain, seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang tidak sempat berhenti di Kilometer 7.7, Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi, Phung Soon Lye, 39, maut di lokasi kejadian kerana cedera teruk di seluruh badan dan kepala akibat rempuhan kuat kereta berkenaan.
Menurut sumber, mangsa yang memandu kereta jenis Ford dikatakan dalam keadaan mabuk dan sebelum itu dia juga dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pemanduan seorang pemandu kereta Audi.
“Ketika itu, berlaku salah faham antara mangsa dan pemandu kereta Audi terbabit dan mangsa yang tidak berpuas hati terus memberhentikan kenderaannya di tengah jalan.
“Tindakannya membuatkan pemandu kereta Audi terbabit terhalang sebelum mangsa turun dari kenderaannya. Menghampiri kereta pemandu Audi berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa terus membuka pintu dan cuba menarik keluar pemandu kereta Audi terbabit namun tiba-tiba sebuah lagi kereta yang tidak sempat berhenti merempuhnya.
“Akibat rempuhan kuat itu, tubuh mangsa terseret dan pintu kereta Audi terbabit turut tercabut, namun pemandu yang merempuh mangsa itu tidak cedera.
“Difahamkan, pemandu kereta Audi berkenaan hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.
Menurutnya, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Prai menuju ke pulau dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan mengambil keterangan daripada pemandu serta beberapa saksi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian terbabit.
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2013060205101720130602051017/MA/Article
http://m.utusan.com.my/Jenayah/20130602/je_03/Lelaki-berhenti-kereta-di-jambatan-maut-dirempuh
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Lelaki_Mabuk_Maut_Dilanggar_Kereta.html
berhati-hatilah bila berada di jalan raya....jangan ikut perasaan...
ReplyDeleteMcm gangster! Berenti tgh jalan!!
ReplyDelete