Saturday, August 12, 2017

Anak ADUN Jitra maut kemalangan


ANAK lelaki Exco Kedah maut selepas 4WD dinaiki terbabas dan melanggar pokok di KM12.7 lebuh raya PLUS, Changlun, dekat Kampung Bendang Perang, hari ini.

Mangsa iaitu Irfan Aminuddin, 20, adalah anak Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar.

Allahyarham duduk di kerusi depan penumpang.

Pemandu yang juga rakannya, Wan Khuzairi Wan Cik, 27, turut maut dalam kemalangan pada kira-kira 4 petang itu.




Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.30 petang.

Menurutnya, seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mereka mendapati Toyota Hilux remuk teruk selepas melanggar pokok.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit namun mereka disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Aminuddin yang turut ke lokasi kemalangan sebaik mengetahui kejadian itu kelihatan sebak dan menekup mukanya sebaik melihat jenazah anaknya dibawa keluar.

Tidak sempat memotong


TANAH MERAH - Dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9.7, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Kampung Paloh, di sini, malam kelmarin.

Nahas kira-kira jam 8.16 malam itu membabitkan kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa yang maut, Proton Persona dipandu seorang guru lelaki dan Toyota Vios dinaiki seorang pembantu farmasi wanita.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa yang maut ialah Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25, dan Shafiq Safwan Mohd Foza, 26.

Katanya, pembantu farmasi berusia 31 tahun pula patah tangan kanan dan luka di kaki, manakala guru berusia 53 tahun tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa dipandu laju dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian merempuh kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan lalu berpusing dan merempuh pula kereta Toyota Vios yang berada di belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta Toyota Vios terbabit terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri jalan menghala ke Pasir Mas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Suzaimi berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing beralamat di Jalan Mahsuri dan Kampung Bendang Baru, Bukit Panau, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber:  sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-sempat-memotong

Maut Bertembung Di Kampung Chepa


KOTA BHARU - Seorang pemuda maut selepas tercampak dari motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian kemalangan di Kampung Chepa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa, Muhamad Azam Shafie, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang rakannya berusia 19 tahun masing-masing menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara berasingan.


“Masing-masing menunggang motosikal dari arah Binjai menuju ke Kota Jembal dalam keadaan laju. Setibanya di Kampung Chepa, dua motosikal terbabit bergesel.

“Motosikal dinaiki Muhamad Azam kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah hadapan,” katanya.

Ismail berkata, akibat kejadian itu Muhamad Azam tercampak dan cedera parah sebelum meninggal dunia.

“Rakan mangsa yang turut terjatuh dari motosikal cedera ringan manakala pemandu kereta tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-motosikal-bertembung-kereta


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount