loading...

Sunday, September 24, 2017

Dua maut motosikal bertembung



BANDARAYA MELAKA - Dua lelaki maut termasuk seorang anggota polis selepas motosikal ditunggangi masing-masing dipercayai bertembung dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku jam 8.45 pagi itu, mangsa Lans Koperal Sokongan, Mohd Hilmi Ismail, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Ismail Abd Majid, 52, meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri secara berdepan.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan bagi pemeriksaan Puspakom dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya yang menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri kepada anggota polis yang maut, Nor Afizah Jamil, 32, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian kemalangan itu kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Ketika menerima panggilan telefon saya baru keluar dari rumah emak di Pengkalan Balak kerana semalam saya dengan anak balik bercuti di kampung, sementara suami tak ikut sebab kena panggil bertugas.

“Saya ingatkan ia sekadar kemalangan biasa, tak sangka pula sehingga menyebabkan kematiannya. Kali terakhir saya jumpa suami tengah hari semalam sebelum saya berangkat ke kampung dan sempat meninggalkan duit belanja untuk kami dan anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka.

Allahyarham Mohd Hilmi meninggalkan seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Temu, selepas solat Asar.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-maut-motosikal-bertembung-1.734231

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my