loading...

Wednesday, January 26, 2011

Peningkatan Kematian Dalam Kemalangan Jalan Raya

PETALING JAYA, 26 Jan - Jumlah kematian kerana kemalangan meningkat 1.9 peratus atau 127 kematian daripada 6,745 kematian pada 2009 kepada 6,872 kematian tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar berkata peningkatan kematian akibat kemalangan amat membimbangkan.

Pada tahun lepas daripada 6,260 kemalangan maut sebanyak 6,872 kematian dilaporkan berbanding 6,745 kematian direkodkan daripada 6,218 kemalangan maut pada 2009, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap ke-23 di Persada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Solah Mat Hassan dan Pengerusi Plus Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Khalid berkata, pada tahun lepas jumlah keseluruhan kemalangan 414,421 berbanding 397,330 kemalangan pada 2009.

Khalid berkata, pada operasi kali ini polis mensasarkan penurunan lima peratus kemalangan daripada 14,183 kemalangan yang berlaku semasa operasi perayaan Tahun Baru Cina tahun lepas, yang mencatatkan 201 kematian.

Operasi kali ini akan mengambil tindakan tegas terhadap pemanduan yang melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lampu merah, selain kesalahan memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.

“Rondaan penguatkuasaan trafik dan sekatan jalan raya juga akan dipertingkatkan selain memberikan nasihat kepapa pesalah-pesalah trafik supaya mereka sentiasa berhemah dan berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata, polis akan menggunakan 19 menara pemerhati polis untuk membuat pemantauan di jalan-jalan persekutuan dan lebuh raya.

“Orang ramai juga boleh melayari Facebook atau ke laman sesawang PDRM untuk melihat lokasi yang berbahaya di seluruh negara supaya orang ramai lebih berhati-hati apabila menggunakan jalan tersebut,” katanya.

Ops Sikap kali ini akan diadakan bermula esok sehingga 10 Feb ini dengan kerjasama agensi kerajaan seperti JPJ, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta Plus.

Tuesday, January 25, 2011

Malaysia Rugi RM 7.8 Bilion Akibat Kemalangan Jalan Raya

Kuala Lumpur, 7 Januari 2011

Malaysia kerugian RM7.8 bilion bersamaan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya
termasuk kemalangan maut di negara ini pada 2008, menurut Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.



Ahmad Farhan berkata, mengikut statistik Bukit Aman, dari Januari hingga November tahun lepas, sebanyak 5,753 kes kemalangan maut direkodkan yang membabitkan 2,464 motosikal, kereta (1,428), lori (559), kenderaan pacuan empat roda (4X4) 231, van (190), bas (121), teksi (74), lain-lain kenderaan (178), basikal (114) dan pejalan kaki (370).

Punca kemalangan maut yang dicatatkan pula antaranya akibat terbabas sendiri (1,587 kes), memakan jalan (856), cuba atau sedang menukar laluan (774), cuai ketika keluar dan masuk simpang jalan susur (585), mengekor rapat kenderaan hadapan (337), tidak nampak kenderaan atau objek serta binatang dihadapan (556), melawan aliran trafik (161), membuat pusingan U (220) dan tidak ikut lampu isyarat (106).

Selain itu sikap leka, suka berangan dan mengantuk (100), cuai ketika mengundurkan kenderaan (62), berlumba (21), berhenti mengejut (18), mabuk dan di bawah pengaruh dadah (10), dan lain-lain (340) juga menyebabkan kemalangan.

Berdasarkan statistik pada 2009, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding 6,527 orang pada 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata selain sikap manusia, penyebab kemalangan maut atau mendatangkan kecederaan turut dipengaruhi pelbagai perkara lain antaranya faktor jalan, persekitaran dan kenderaan.

"Sikap manusia adalah penyebab utama kemalangan dan 60 peratus kematian di jalan raya adalah di kalangan penunggang mahupun pembonceng motosikal," katanya.

Beliau berkata dari kajian yang dilakukan ke atas punca kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal, kebanyakan mereka menunggang secara berbahaya, tidak memakai topi keledar atau tidak memakainya dengan betul.

"Menurut kajian terkini yang kita lakukan, remaja bawah 20 tahun yang terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal adalah tidak mempunyai lesen," katanya.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount