loading...

Thursday, October 31, 2013

Pemandu treler maut nahas


31 Oktober 2013
KARAK – Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 74 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Noor berkata, mangsa, K Subramaniam, 31, beralamat di Bandar Puchong, Selangor disahkan mati di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa memandu treler membawa muatan gelungan kabel elektrik dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Setibanya di tempat kejadian, treler dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan kemudiannya terbalik di lorong kanan.

“Akibat kejadian itu mangsa tersepit di bahagian pemandu dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, terdapat beberapa gelungan kabel elektrik itu tercampak ke laluan bertentangan.

Katanya, ia kemudiannya menyebabkan sebuah Suzuki Vitara yang dipandu seorang lelaki dan kereta Proton Saga dinaiki empat sekeluarga melanggar gelungan kabel elektrik itu.

“Pemandu Suzuki Vitara patah kaki kanan manakala empat sekeluarga tidak alami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-treler-maut-nahas-1.216265




Wednesday, October 30, 2013

Tiga jemaah haji maut nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Oktober 2013
KUANTAN - Tiga jemaah haji maut manakala tiga parah termasuk pemandu, selepas van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Km210.2 Lebuh raya Pantai Timur menghala ke Kuantan dekat sini, awal pagi tadi.


Mangsa yang terbunuh ialah penumpang hadapan, Kamarudin Ab Rahman, 43, dari Permatang Badak dan dua penumpang belakang, Zainab Awang Hassan, 59, dari Kampung Seri Teruntum dan Fatimah Said, 63, dari Kampung Rozali dekat Jalan Gambang di sini.

Pemangku Tadbir dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dua lagi penumpang dan pemandu van itu mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

"Nahas jam 3.40 itu berlaku semasa van yang membawa lima jemaah haji terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Kuantan.

"Dipercayai di tempat kejadian, van itu telah merempuh bahagian belakang lori muatan bijih besi terbabit yang berada di lorong kiri jalan.

"Ekoran itu, ketiga-tiga mangsa mati di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” kata Zainalabidin kepada pemberita.

Menurut Zainalabidin, mangsa yang terbunuh dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat dan keluarga semua mangsa kemalangan telah dimaklumkan. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my
hmetro.com.my/articles/Tigajemaahbarupulangmautdalamkemalangan//Article?HarianMetro
nst.com.my/latest/3-haj-pilgrims-killed-2-seriously-injured-in-crash-1.388244

Tuesday, October 29, 2013

Pengurus projek LPT maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Oktober 2013
DUNGUN – Pengurus Besar Kanan Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2, Ir. Rusli Embok, maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 106, Jalan Jerangau-Jabur dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 malam itu, Rusli, 55, yang berasal dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan jenis Pajero Sport itu, Mohamad Zuki Ngah, 44, cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Zuki gagal mengelak daripada merempuh lori rosak di tengah jalan.




SMS terakhir sebelum kemalangan

KUALA TERENGGANU - “Awak makan dulu, walid balik lambat hari ini,” itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang sempat dihantar mangsa kemalangan maut, Rusli Embok kepada isterinya, Norma Abdul Rahman, 52, sebelum terbabit dalam nahas yang meragut nyawanya di Jalan Jerangau Jabor, Dungun, malam kelmarin.

Norma berkata, SMS itu adalah yang terakhir diterimanya kira-kira jam 7 petang, sebelum dikhabarkan berita kematiannya pada hari sama.

“Tengah hari sebelum kejadian pun, arwah ada menelefon saya, ketika itu dia sudah berada di Dungun. Arwah pesan supaya saya tidak lupa makan ubat sebab saya kurang sihat.

“Kehilangan arwah sangat dirasai ahli keluarga kerana dia seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat soal anak-anak,” katanya yang mengajar di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini.

Menurut Norma yang masih bersedih di atas apa yang berlaku, setiap pagi, sebelum dia ke sekolah, arwah selalu bawakan beg serta barang-barangnya dan diletakkan di dalam kereta sambil mengiringinya sehingga ke pintu kereta.

“Tetapi pada hari kejadian, arwah hanya meletakkan barang-barang saya ke dalam kereta dan kemudiannya duduk di hadapan televisyen sambil menonton rancangan agama kegemarannya.

“Pada pagi itu, arwah tidak mengekori saya sehingga ke pintu kereta, sebaliknya saya bersalam dengannya di dalam rumah sahaja sebelum keluar ke tempat kerja,” katanya.

Norma tidak mengesyaki perkara pelik yang akan terjadi kerana dia sendiri mengetahui bahawa arwah memang suka menonton rancangan agama itu.

Sementara itu, adik ipar arwah, Ramli Abdul Rahman, 38, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Ketika perjumpaan keluarga itu, arwah kelihatan sangat gembira, sehari sebelum menyambut Aidiladha dia berpuasa, dan ketika berbuka puasa, arwah nampak begitu berselera menjamu masakan ketam yang disediakan.

“Arwah memang seorang yang sangat disenangi ahli keluarga serta sanak saudara kerana kami selalu berhubung di antara satu sama lain,” katanya.

Manakala biras arwah, Dr Zulkifli Mohd Yusoff, 50, berkata, berita kematian arwah sangat mengejutkannya kerana baru sahaja berjumpa dua minggu lepas.

“Sejak dahulu lagi, arwah memang baik dengan semua orang dan saya perasan sejak kebelakangan ini, dia terlalu rapat dengan kami semua (saudara-mara), kehilangannya memang amat dirasai,” katanya.

Rusli yang bekerja sebagai Pengurus Besar Kanan (Pembinaan LPT Fasa 2) Jabatan Kerja Raya, meninggalkan seorang isteri serta empat anak, Ahmad Adli, 27, Ahmad Bulqini Ahsraf, 22, Ahmad Abqory Aiman, 19 dan Nur Amalina Syaquire, 18.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kecil, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari.



Dengar laungan ‘Allahuakbar’

Dungun: “Saya dengar dengan jelas jeritan Allahuakbar oleh mangsa sebelum kenderaan dinaikinya bertembung dengan lori,” kata Hamdan Abdul Hamid, 62, yang turut terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan sehingga meragut nyawa Pengurus Besar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Jalan Jerangau-Jabur, dekat sini, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.25 malam di Kilometer 106 jalan berkenaan, dekat Ladang Gajah Mati di sini, Pengurus Besar (Pembinaan) Projek LPT Fasa 2, Rusli Embok, 55, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu terbunuh dengan tangan kirinya putus selain cedera parah di muka dan kepala.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero Sport dinaiki mangsa, Mohamad Zuki Ngah, 44, dari Kampung Langgar, Kuala Berang, Hulu Terengganu, cedera parah di kepala dan dilaporkan stabil.

Hamdan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Gurun, Kedah, menghantar anaknya Nor Syahazrina, 26, jurutera PETRONAS untuk menghadiri seminar di sebuah hotel di Kijal, Kemaman.

“Setiba di tempat kejadian saya nampak lori di laluan kanan jalan berhenti dan tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa dari arah bertentangan memotong beberapa kenderaan sebelum merempuh belakang lori terbabit,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, kelmarin.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/sms-terakhir-sebelum-kemalangan-1.215397
hmetro.com.my/articles/Dengarlaungan__8216_Allahuakbar__8217_/2013/Article
kosmo.com.my
nst.com.my/nation/general/highway-project-gm-dies-in-crash-1.387293



Monday, October 28, 2013

Bayi terselamat dalam kemalangan empat kenderaan



28 Oktober 2013
TAMPIN – Seorang ibu bersama bayi berusia dua bulan antara yang terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 4 Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, bayi berusia dua bulan berkenaan, Nur Arisya Syazwana Samsul yang menaiki kereta jenis Proton Persona dikejarkan ke Hospital Tampin, di sini selepas menangis tanpa henti dipercayai kerana terperanjat.

Menurut bapanya, Samsul Mohd Isa, 37, ketika kejadian, dia dan isteri, Nor Haslinda Mohamad, 30-an serta dua anak berusia lima tahun dan dua bulan dalam perjalanan dari Kendong ke rumah keluarga di Batang Melaka.

“Ketika kejadian saya terkejut apabila mendapati kereta di hadapan berhenti secara mengejut dan tidak sempat mengelak daripada merempuh kereta di hadapan. Mujur semasa kejadian, isteri saya sememangnya sedang memangku erat bayi kami.

“Mereka tidak mengalami kecederaan cuma anak kecil saya menangis tanpa henti menyebabkan isteri membawanya ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian berkenaan, empat kereta dari arah Tampin iaitu yang paling belakang sekali kereta jenis Proton Persona, Proton Iswara, Proton Saga dan Produa Viva terbabit dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat Sekolah Menengah Rendah Agama Repah.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/bayi-terselamat-dalam-kemalangan-empat-kenderaan-1.214986



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount