loading...

Tuesday, October 29, 2013

Pengurus projek LPT maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 Oktober 2013
DUNGUN – Pengurus Besar Kanan Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2, Ir. Rusli Embok, maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 106, Jalan Jerangau-Jabur dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 malam itu, Rusli, 55, yang berasal dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan jenis Pajero Sport itu, Mohamad Zuki Ngah, 44, cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Zuki gagal mengelak daripada merempuh lori rosak di tengah jalan.




SMS terakhir sebelum kemalangan

KUALA TERENGGANU - “Awak makan dulu, walid balik lambat hari ini,” itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang sempat dihantar mangsa kemalangan maut, Rusli Embok kepada isterinya, Norma Abdul Rahman, 52, sebelum terbabit dalam nahas yang meragut nyawanya di Jalan Jerangau Jabor, Dungun, malam kelmarin.

Norma berkata, SMS itu adalah yang terakhir diterimanya kira-kira jam 7 petang, sebelum dikhabarkan berita kematiannya pada hari sama.

“Tengah hari sebelum kejadian pun, arwah ada menelefon saya, ketika itu dia sudah berada di Dungun. Arwah pesan supaya saya tidak lupa makan ubat sebab saya kurang sihat.

“Kehilangan arwah sangat dirasai ahli keluarga kerana dia seorang yang penyayang dan terlalu mengambil berat soal anak-anak,” katanya yang mengajar di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini.

Menurut Norma yang masih bersedih di atas apa yang berlaku, setiap pagi, sebelum dia ke sekolah, arwah selalu bawakan beg serta barang-barangnya dan diletakkan di dalam kereta sambil mengiringinya sehingga ke pintu kereta.

“Tetapi pada hari kejadian, arwah hanya meletakkan barang-barang saya ke dalam kereta dan kemudiannya duduk di hadapan televisyen sambil menonton rancangan agama kegemarannya.

“Pada pagi itu, arwah tidak mengekori saya sehingga ke pintu kereta, sebaliknya saya bersalam dengannya di dalam rumah sahaja sebelum keluar ke tempat kerja,” katanya.

Norma tidak mengesyaki perkara pelik yang akan terjadi kerana dia sendiri mengetahui bahawa arwah memang suka menonton rancangan agama itu.

Sementara itu, adik ipar arwah, Ramli Abdul Rahman, 38, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Ketika perjumpaan keluarga itu, arwah kelihatan sangat gembira, sehari sebelum menyambut Aidiladha dia berpuasa, dan ketika berbuka puasa, arwah nampak begitu berselera menjamu masakan ketam yang disediakan.

“Arwah memang seorang yang sangat disenangi ahli keluarga serta sanak saudara kerana kami selalu berhubung di antara satu sama lain,” katanya.

Manakala biras arwah, Dr Zulkifli Mohd Yusoff, 50, berkata, berita kematian arwah sangat mengejutkannya kerana baru sahaja berjumpa dua minggu lepas.

“Sejak dahulu lagi, arwah memang baik dengan semua orang dan saya perasan sejak kebelakangan ini, dia terlalu rapat dengan kami semua (saudara-mara), kehilangannya memang amat dirasai,” katanya.

Rusli yang bekerja sebagai Pengurus Besar Kanan (Pembinaan LPT Fasa 2) Jabatan Kerja Raya, meninggalkan seorang isteri serta empat anak, Ahmad Adli, 27, Ahmad Bulqini Ahsraf, 22, Ahmad Abqory Aiman, 19 dan Nur Amalina Syaquire, 18.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kecil, Jalan Panji Alam, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari.



Dengar laungan ‘Allahuakbar’

Dungun: “Saya dengar dengan jelas jeritan Allahuakbar oleh mangsa sebelum kenderaan dinaikinya bertembung dengan lori,” kata Hamdan Abdul Hamid, 62, yang turut terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan sehingga meragut nyawa Pengurus Besar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Jalan Jerangau-Jabur, dekat sini, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.25 malam di Kilometer 106 jalan berkenaan, dekat Ladang Gajah Mati di sini, Pengurus Besar (Pembinaan) Projek LPT Fasa 2, Rusli Embok, 55, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu terbunuh dengan tangan kirinya putus selain cedera parah di muka dan kepala.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero Sport dinaiki mangsa, Mohamad Zuki Ngah, 44, dari Kampung Langgar, Kuala Berang, Hulu Terengganu, cedera parah di kepala dan dilaporkan stabil.

Hamdan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Gurun, Kedah, menghantar anaknya Nor Syahazrina, 26, jurutera PETRONAS untuk menghadiri seminar di sebuah hotel di Kijal, Kemaman.

“Setiba di tempat kejadian saya nampak lori di laluan kanan jalan berhenti dan tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa dari arah bertentangan memotong beberapa kenderaan sebelum merempuh belakang lori terbabit,” katanya yang ditemui di tempat kejadian di sini, kelmarin.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/sms-terakhir-sebelum-kemalangan-1.215397
hmetro.com.my/articles/Dengarlaungan__8216_Allahuakbar__8217_/2013/Article
kosmo.com.my
nst.com.my/nation/general/highway-project-gm-dies-in-crash-1.387293



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my