loading...

Saturday, October 12, 2013

Ajal pulang Mesyuarat Agung Pas Kuala Krai



Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Oktober 2013
KUALA KRAI – Seorang wanita maut, sementara suami, tiga anak dan adik perempuannya cedera ringan, ketika dalam perjalanan pulang daripada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Krai, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kampung Batu Balai, di sini.

Mangsa, Nik Rohana Nik Hasan, 26, yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu, maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di bahagian dada.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Batu Balai ke RPT Sungai Pas selepas membawa anak lelakinya, Mohd Fariz Haikal, 6, untuk memperdengarkan bacaan ayat suci pada majlis berkenaan.

Sebaik selesai, mangsa sekeluarga terus pulang.

Mangsa yang cedera ringan ialah Azman Yazid, 35, tiga anak mereka iaitu Mohd Fariz Haikal, 6; Mohd Adam Fikri, 4; Nur Fatin Aida, 2; dan adik mangsa, Nik Rariqah Nik Hasan, 20.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga, petang semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Nuraddin Wahab berkata, hasil siasatan awal polis dipercayai kereta dipandu Azman gagal dikawal ketika melalui kawasan selekoh.

Menurutnya, berikutan itu, kenderaan terbabit terbabas dan masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

“Kereta terbalik menyebabkan penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Nuraddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/wanita-maut-tiga-anak-alami-cedera-ringan-1.211336



Friday, October 11, 2013

Maut dirempuh kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Oktober 2013
KAMUNTING – Gara-gara mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang, seorang penunggang motosikal maut selepas dia dirempuh kenderaan lain di hadapan Pusat Latihan Perkhidmatan Kor Diraja (Pulmat), Jalan Kamunting Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Mohamad Zamri Mahmood, 22, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Kamunting dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari satu simpang.

Katanya, bagaimanapun, mangsa tidak sempat mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan berlakunya pertembungan, mangsa yang tercampak, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mangsa yang bekerja sebagai jurujual berasal dari Kampung Padang Serai, Pantai Remis.

Yusuf berkata, buat masa ini, siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/jurujual-maut-dirempuh-kereta-1.211156



Maut selepas menduduki PMR



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Oktober 2013
ALOR SETAR - Seorang pelajar perempuan yang baru selesai menjalani peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada Selasa lalu, dijumpai mati di terusan dekat Kampung Kepala Parit Luar, Simpang Empat, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Siti Nur Afiqah Abd Rani, 15, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang Raja, Tandop selepas menghantar kawannya.

Abang sulung mangsa, Mohd Adi Abd Rashid, 24, berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan adiknya adalah pada jam 11 malam, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi, berdasarkan aduan yang dibuat oleh orang awam yang menemui adiknya.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkara itu kira-kira jam 4 pagi, sebelum ayahnya, Abdul Rani Seteh yang merupakan anggota MPV cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bergegas ke tempat kejadian.

“Orang awam memberitahu hanya menjumpai motosikal di tepi terusan. Pemeriksaan lanjut terhadap barang yang dijumpai menunjukkan kad pengenalan itu adalah milik adik saya. Kami memang tak sangka perkara ini akan berlaku.

“Ayah saya pergi ke lokasi kejadian, tetapi tak jumpa adik, yang ada cuma motosikal dan barang peribadi. Kemudian, anggota bomba yang datang mencari adik berjaya menemuinya kira-kira jam 5 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mangsa yang merupakan anak keempat daripada enam berada juga tidak pernah menunjukkan perubahan sikap pada sebelum ini.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Masjid Teluk Bagan kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Turut hadir mengunjungi jenazah adalah rakan-rakan Allahyarham dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Wan Mohd Saman, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku di jalan mini tar Tokai dekat Simpan Empat, di sini adalah melibatkan sebuah motosikal yang terbabas dengan sendiri.

“Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Semasa kejadian, beliau dalam perjalanan dari arah Tokai menghala ke Kampung Senggora sebelum dijumpai orang awam,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/ajal-tercampak-masuk-terusan-1.210589



Pelajar IPT maut digilis lori



11 Oktober 2013
JASIN - Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) maut digilis sebuah lori di Kilometer 175.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, petang kelmarin.

Mangsa S.Lavanraj, 19,  yang berasal dari Kota Tinggi, Johor dipercayai dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, Selangor sebelum motosikal Honda EX5 yang ditungganginya terlanggar bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV), Hyundai Santa Fe dipandu Ho Hong Wei, 28.

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terjatuh ke lorong kanan sebelum digilis sebuah lori dari arah belakang.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala maut di tempat kejadian.

Menurut kakak Hong Wei, Ho Ee Ping, 40, ketika kejadian dia bersama adik dan anaknya dalam perjalanan pulang dari Singapura ke Taiping, Perak.

Menurutnya, ketika itu adiknya memandu perlahan di lorong kiri kerana mendapati kenderaan dinaiki mengalami masalah teknikal dan mereka bercadang ke susur jalan keluar Jasin untuk berhenti makan serta berehat.

Namun, belum sempat berbuat demikian, mereka dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah belakang kenderaan.

“Saya segera menoleh ke belakang dan melihat penunggang motosikal itu terjatuh sebelum tergolek ke lorong kanan dan digilis lori sebuah lori

“Adik saya kemudian memberhentikan SUV itu tidak jauh dari lokasi dan terus menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang menunggang Honda EX5 dari arah selatan ke utara terlanggar bahagian belakang sebelah kanan SUV dipandu Ho.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar sebuah lori namun pemandu lori terbabit  tidak berhenti di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-maut-digilis-lori-1.210762



Maut rempuh belakang Hilux



11 Oktober 2013
SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggannya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Rasah, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Yong Boon Soon, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z secara berseorangan dipercayai dari rumahnya di Lukut, Port Dickson menuju ke pusat bandar di sini.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kanan, namun dia tidak menyedari kehadiran pacuan empat roda terbabit yang mahu keluar ke jalan besar.

“Mangsa telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan sebelum tercampak,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk tindakan lanjut.

Kata jurucakap, pemandu kereta terbabit berusia 20-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecedaraan dan keterangannya sudah diambil untuk membantu siasatan.

“Hasil keterangan pemandu kereta berkenaan yang dari Mambau dalam perjalanan untuk ke kedai tayar, sebelum berhenti seketika untuk mengisi minyak.

“Sebaik sahaja selesai mengisi minyak dia keluar ke jalan besar dan menghimpit lorong kanan sebelum dilanggar mangsa,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-rempuh-belakang-hilux-1.210571



Thursday, October 10, 2013

Pelajar Kolej Ranaco Marin maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Oktober 2013
DUNGUN: Selepas 11 hari meragut tiga nyawa, Kilometer 25 Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat Bukit Sejuk, di sini, terus menagih darah dengan meragut dua lagi nyawa pelajar Kolej Ranaco Marin, petang semalam.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu mengorbankan dua pelajar jurusan penyeliaan keselamatan, Hasmadi Zainordin, 30, dari Kampung Kuin Pasir, Jelawat, Bachok Kelantan dan Mohd Rizairie Mohd Rizan, 23, dari Machang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki dua pelajar terbabit dikatakan terbabas memasuki laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, berikutan kemalangan itu, kedua-dua pelajar terbabit tersepit di dalam kenderaan dan sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat AMBS dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.



Menurutnya, Hasmadi yang memandu Proton Wira terbabit parah di bahagian kepala dan keseluruhan badan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala Mohd Rizairie yang turut parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia sejurus diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duapelajarkolejmautkemalangan/Article/index_html
tv9.com.my



Warga emas maut terhumban dalam parit




Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Oktober 2013
KUALA LANGAT - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Muhhibah, awal pagi semalam.


Kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 pagi ketika mangsa, Abdul Rahman Bappu, 64, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Tok Mujir, Kampung Sungai Buaya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebaik tiba di lokasi lalu terbabas ke dalam parit dalam keadaan hujan lebat dan gelap.

Menurutnya, mangsa dipercayai berada di dalam parit selama tujuh jam sebelum dijumpai orang awam kira-kira jam 7.40 pagi.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda cedera parah di beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/maut-terhumban-dalam-parit-1.210202


Wednesday, October 9, 2013

Bayi 10 bulan maut dilanggar ibu



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Oktober 2013
KUALA TERENGGANU - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh ibunya di Kampung Bukit Besar di sini awal hari ini.


Kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu berlaku ketika ibu mangsa Faziah Yusuf, 35, cuba mengalih kedudukan kereta jenis MPV Proton Exora di garaj bagi memudahkan suaminya yang bertugas sebagai guru untuk keluar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata ketika mengundurkan kenderaan ibu mangsa tidak menyedari anak bongsunya merangkak keluar dari rumah ke belakang kereta.

"Akibat perlanggaran itu mangsa Muhammad Faqih Mohd Fitri yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu bapa mangsa Mohd Fitri Ngah, 40, berkata mengalih kenderaan bagi memudahkannya keluar bekerja memang menjadi rutin harian isterinya.

Namun ketika isteri sedang mengundurkan kereta, anaknya itu, bongsu dari enam beradik merangkak keluar ke garaj kereta di hadapan rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu setelah mendengar teriakan dari jirannya.

"Mendengar teriakan itu saya bergegas keluar rumah dan melihat isteri telah memangku anak kami dan bergegas menghantar ke Hospital.

"Biasanya anak saya tidak pernah merangkak keluar rumah namun hari ini dia merangkak sehingga ke garaj kereta," katanya ketika ditemui di rumah mayat HSNZ di sini. - Bernama




Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/bayi-10-bulan-maut-dilanggar-ibu-alih-kenderaan-1.210150
nst.com.my/latest/10-month-old-baby-boy-killed-by-reversing-car-driven-by-mom-1.371946?ModPagespeed=noscript




Pengawal keselamatan TNB Gemencheh maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Oktober 2013
TAMPIN – "Sehari sebelum kejadian, saya sempat bergurau dengan arwah yang dia tidak sudi melihat wajah saya lagi kerana asyik termenung di belakang rumah."

Demikian cerita isteri mangsa kemalangan maut, Rozita Mohamad Arshad, 30, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini.

Malah menurut Rozita, gelagat anak tunggal mereka, Adam Muhammad Iqhlas Al-Hafiz, 2 tahun, yang sering meragam sejak akhir-akhir ini seolah-olah bakal kehilangan orang tersayang.

"Semasa bergurau, dia (arwah) hanya cakap ambil angin dan ketika itu saya tidak terfikir benda bukan-bukan. Tak sangka ia petanda yang arwah akan pergi meninggalkan kami selamanya.

"Namun, apa yang saya khuatir sekarang ialah saya gagal menghubungi ahli keluarga suami saya untuk memaklumkan perkara ini,” katanya.

Rozita berkata, selepas ibu dan bapa arwah suaminya bercerai, arwah sudah menetap bersama datuk sebelah bapa arwah di Batu Kurau, Taiping, Perak dan dia hanya rapat dengan seorang kakak kandungnya, Rosmalidawati Ahmad, 37, yang menetap di Chemor.

“Hanya dengan kakak kandungnya sahaja arwah masih berhubungan. Malah, sebelum ini arwah ada memberitahu keinginannya untuk membawa saya dan anak berjumpa kakaknya serta ibunya yang berada di Yan, Kedah sekiranya mempunyai kereta.

“Namun, ia hanya tinggal perancangan sahaja. Saya juga gagal hubungi kakak ipar saya melalui nombor telefon yang terdapat dalam simpanan arwah. Oleh itu, saya harap sekiranya mereka terbaca berita ini mereka akan dapat menghubungi saya kembali.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Zainarul Hisham Ahmad, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pusat Kutipan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Gemencheh, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, kemalangan berkenaan membabitkan motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah Gemas mangsa dan lori tiga tan dari arah Tampin.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori tiga tan yang dipandu seorang orang kurang upaya (OKU) tangan berusia 33 tahun masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal dipandu mangsa.

“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan serta disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa di bawa ke HT untuk proses bedah siasat.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pengawal-keselamatan-maut-nahas-1.209917



Tiga anggota polis nyaris maut



9 Oktober 2013
KUALA SELANGOR - Tiga anggota polis nyaris maut dalam perjalanan ke Padang Tembak Bukit Jeram apabila kereta peronda yang dipandu berlanggar dengan sebuah kereta di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang di persimpangan Assam Jawa, pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, tiga anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar dalam perjalanan untuk menjalani latihan menembak di Bukit Jeram sebelum dikatakan gagal mengelak sebuah kereta jenis Perodua Viva yang keluar dari simpang.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Cif Inspektor Roslan Ismail berkata, pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.

“Siasatan awal yang dijalankan pegawai penyiasat trafik mendapati, lampu isyarat di laluan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang ketika kejadian tidak berfungsi. Ketika itu keadaan jalan tidak licin dan cuaca tidak hujan.

“Ketika kejadian, pemandu kereta peronda polis terbabit melihat kenderaan di sebelah kiri iaitu dari arah Ijok sudah berhenti dan mereka meneruskan perjalanan bagaimanapun sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan keluar dari simpang itu secara tiba-tiba,” katanya.

Roslan menjelaskan, berlaku pelanggaran di bahagian kanan kereta Perodua Viva terbabit sehingga menyebabkan kereta peronda terbabas dan melanggar lampu isyarat di hadapan manakala kereta
Perodua Viva itu pula terbabas ke bahu jalan sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Ketiga-tiga anggota polis terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan teruk manakala perempuan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

“Kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana individu atau saksi yang menyaksikan kejadian kemalangan terbabit diminta supaya tampil untuk membantu melancarkan siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Sarifudin Md Yusof berkata, keadaan jalan di persimpangan itu perlu diberi perhatian pihak berwajib bagi menggelakkan kejadian sama berulang.

“Penduduk berpendapat, jalan di kawasan ini wajar di selenggara dengan baik memandangkan warna cat putih dan kuning sudah mulai pudar. Lampu isyarat dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang difahamkan rosak.

Oleh itu, keadaan sebeini perlu diambil perhatian kerana  boleh mengundang bahaya," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tiga-anggota-polis-nyaris-maut-1.209879




Pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Oktober 2013
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd maut manakala isterinya parah apabila motosikal yang ditunggang mangsa merempuh sebuah lori di Kilometer 51.2, di sini kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Khairul Mohd Khir, 27, cedera teruk di bahagian tengkuk dan meninggal di tempat kejadian manakala isterinya, Norhidayah Mohd Nor, 23, parah di bahagian kepala.

Bapa mangsa, Mohd Khir Mohd Saman, 60, berkata, Mohd Khairul bersama isterinya dalam perjalanan dari Felda Kota Gelanggi 2 menuju ke bandar Jengka untuk membeli barang.

Menurutnya, berita kemalangan itu dimaklumkan rakannya yang turut berada di bandar ketika kejadian berlaku.

“Mohd Khairul selalu ke bandar setiap Isnin untuk beli barang memandangkan dia cuti pada hari berkenaan.

“Biasanya, anak saya ke bandar dengan kereta tapi entah kenapa hari ini (semalam) dia nak naik motosikal pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan hendak memasuki simpang Masjid Sultan Ahmad Shah Jengka, di sini sebelum dilanggar motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa.

“Motosikal ditunggang mangsa bersama isterinya dipercayai merempuh bahagian belah kiri lori berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan rawatan. Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pekerja-roadcare-maut-nahas-1.209849



Tuesday, October 8, 2013

Pelajar UTeM Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun


8 Oktober 2013
JASIN - Hasrat sembilan pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) untuk berkelah di air terjun Sagil, Tangkak, tidak kesampaian setelah salah seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Kesang-Selandar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang juga pelajar semester pertama jurusan reka bentuk pembuatan, Muhammad Haniff Arsyad Md Tahar, 19, menunggang motosikal Yamaha LC berseorangan dirempuh sebuah lori muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.

Rakan mangsa, Mohd Hafizi Rosdi, 19, berkata, mereka berkonvoi dengan sebuah kereta dan tiga motosikal.

Menurutnya, sebelum kejadian, mereka baru 10 minit bergerak keluar dari pintu belakang Utem untuk bertemu dengan seorang lagi rakan mereka di bandar Jasin sebelum meneruskan perjalanan.

“Kebetulan hari ini kami tiada kelas dan rancang hendak ke Sagil selepas bertemu rakan di Jasin.

“Ketika kejadian saya menaiki kereta berada di depan, namun rasa tidak sedap hati bila tidak nampak Hanif dalam kumpulan konvoi kami sebelum berpatah semula dan melihat dia terbaring di tengah jalan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Ezmer Mohd Hasni, 19, berkata, ketika kejadian dia mengetuai perjalanan itu dengan menunggang motosikal berlainan, namun sempat menoleh motosikal Haniff yang berada jauh di belakangnya.

“Saya sempat menoleh dan melihat sebuah lori dari arah bertentangan menuruni selekoh berbukit dalam keadaan laju dan memasuki jalan bersebelahan.

“Saya nampak Haniff memperlahankan motosikalnya dan bergerak ke tepi jalan, namun nasib tidak menyebelahinya apabila motosikalnya dirempuh lori berkenaan,” katanya.

Ezmer berkata, selepas merempuh mangsa, pemandu lori terbabit melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, siasatan awal mendapati lori yang datang dari arah Kesang ke Seladar dipercayai memasuki jalan yang dilalui mangsa sebelum berlaku pelanggaran.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan usaha mengesan pemandu lori terbabit sedang giat dijalankan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-utem-maut-1.209439



Monday, October 7, 2013

Pemandu bas ekspres maut rempuh papan tanda



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Oktober 2013
Seorang pemandu bas ekspres maut selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu terbabas lalu merempuh sebuah papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat sini awal pagi ini.


Dalam nahas pukul 2 pagi itu, mangsa, Ibrahim Ahmad, 58, sedang memandu dari Singapura ke Pulau Pinang sebelum hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian dan merempuh penghadang jalan.

Bas itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar dua tiang konkrit papan tanda di situ mengakibatkan kenderaan tersebut remuk di bahagian hadapan, manakala mangsa pula tersepit di tempat duduk.

Berikutan itu juga, dua penumpang iaitu Loh Ah Yuen, 51, mengalami kecederaan di kepala dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) Ronald Morris, patah kaki kiri serta kecederaan di perut manakala yang lain cedera ringan.

Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Sementara itu, Ronald Morris ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Serdang berkata, dia bernasib baik kerana telah menukar tempat duduk asalnya iaitu dari hadapan ke belakang ketika perjalanan baru dimulakan di Singapura untuk berehat.

"Saya minta kebenaran dengan pemandu bas terlebih dahulu dan ternyata keputusan ini adalah tepat. Jika tidak kecederaan saya mungkin lagi teruk apabila melihatkan keadaan bas itu," katanya yang pertama kali melancong seorang diri ke negara ini.

Ronald Morris memberitahu, kejadian tersebut juga adalah kali pertama menimpanya walaupun telah melancong di banyak negara Asia termasuk Korea dan Jepun.

Dalam pada itu, adik Ibrahim, Yunus, 46, tidak menyangka abangnya terlibat kemalangan kerana sudah berpengalaman memandu bas lebih 10 tahun.

"Dia kalau memandu sangat berhati-hati sampai saya dan adik-beradik lain bising kerana terlalu perlahan. Dia juga tidak mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Serdang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

"Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan menyiasat kes ini, manakala Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan tentang salah seorang warga asing yang terlibat dalam kemalangan ini," katanya.


SERDANG - “Saya terkilan sebab hasrat kami memancing bersama selepas Hari Raya Aidiladha nanti tidak tercapai,” kata adik pemandu bas ekspres, Ibrahim Ahmad, 58, yang maut selepas kenderaan dibawanya merempuh papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), awal pagi semalam.

Yunus Ahmad, 46, yang ditemui semalam berkata, perancangan memancing sudah lama dibuat tetapi semuanya tidak bermakna lagi kerana abang kesayangannya itu sudah tiada.

Menurutnya, dia terkejut ketika dimaklumkan oleh anak saudaranya tengah hari semalam berhubung kejadian yang menimpa abangnya.

"Ketika itu saya belum tahu status abang dan hanya diberitahu dia mungkin dirawat sama ada di Hospital Putrajaya atau Hospital Serdang.

"Saya terus hubungi kedua-dua hospital terbabit sebelum dimaklumkan abang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang," katanya.

Yunus berkata, dia bersama isteri dan anak-anak segera bergegas ke hospital, namun mereka tiba lewat 15 minit apabila abangnya disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang semalam.

“Berita itu sangat mengejutkan kerana saya berharap sekurang-kurangnya dapat berjumpa dan bercakap dengannya, tapi apakan daya ALLAH lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.

Katanya, dia dan abangnya itu sememangnya gemar memancing sehingga pernah memancing sehingga ke Perlis.

"Memancing bukan sekadar hobi kami tetapi adalah rutin setiap kali kami sekeluarga berkumpul.

"Biasanya abang akan ambil cuti beberapa hari jika merancang untuk pergi memancing," katanya.

Malah katanya, kehilangan abangnya itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham seorang bertanggungjawab malah seorang yang berhati-hati ketika memandu.

Beliau berkata, apabila mendapat tahu berhubung nahas itu, dia sangat terkejut kerana Allahyarham sudah berpengalaman membawa bas ekspres sejak lebih 10 tahun lalu.

“Setahu saya, dia juga tak pernah ada penyakit kronik seperti sakit jantung. Cuma kali terakhir saya hubungi dia minggu lalu, dia maklumkan sedang demam,” katanya.

Sementara itu, jenazah Ibrahim yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sudah dituntut untuk dibawa pulang ke Sungai Rokam, Ipoh, Perak untuk dikebumikan malam ini (semalam).

Ibrahim meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki berusia lingkungan 20-an.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/terkilan-hajat-abang-tak-sampai-1.209041
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131007/je_01/Pemandu-maut-17-terselamat
themalaysiantimes.com.my/bus-driver-died-after-hitting-into-traffic-pillar/
thesundaily.my/news/848586




Bekas wakil rakyat kemalangan




7 Oktober 2013
REMBAU – Hasrat seorang bekas wakil rakyat menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Kariah Bongek, di sini terbantut apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, Dahlan Ahmad, 84, memandu kereta jenis Toyota Vios keluar dari persimpangan rumahnya dan membelok ke arah Tampin sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang datang dari arah Tampin.

Kemalangan turut disedari anak Dahlan, Halimaton Dahlan, 55, yang sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumahnya.

Menurut Halimaton, dia terkejut apabila melihat kemalangan di jalan utama di hadapan rumah dari jauh.

“Saya cam kereta berkenaan adalah kereta ayah dan menggigil apabila menyedari ayah terbabit dalam kemalangan. Sebaik turun dari kereta, saya lihat ayah sudah berada di atas jalan dibantu orang awam.

"Memang sebelum ini kami sudah larang ayah memandu kereta kerana dua bulan yang lepas, dia pernah terlibat kemalangan. Tapi ayah tetap mahu bawa kereta untuk ke masjid," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, Toyota Vios dipandu mangsa mahu keluar simpang dan membelok ke kanan jalan, namun dalam masa sama terdapat sebuah lagi kereta datang dari arah Tampin sebelum kedua-duanya bertembung.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bekas-wakil-rakyat-kemalangan-1.209076



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount