loading...

Saturday, January 11, 2014

4 Sekeluarga Maut

Siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan hujan dan jalan licin dipercayai menjadi punca kereta dipandu Nasrul Hafriq hilang kawalan.

Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Januari 2014
PEKAN – Hasrat seorang wanita untuk menghantar ibunya menunaikan umrah tidak kesampaian apabila dia maut bersama suami dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kuantan-Segamat dekat Runchang,  petang semalam.



Mangsa yang memandu kereta, Nasrul Hafriq Nasaruddin, isterinya, Fara Nor Asmira Jastan, masing-masing berusia 29 tahun bersama dua anak mereka Nasr Afeef Rifqy Nasrul, 2, dan bayi perempuan mereka Fara Adelia Adriana yang baharu berusia tiga bulan,  mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu mangsa sekeluarga yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Melaka.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mangsa sekeluarga tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan plastik dari sebuah kilang di Segamat.

“Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan mangsa sekeluarga yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian,” katanya.

Yahaya berkata, semua mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian oleh sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian.

Allahyarham Nasrul Hasriq merupakan kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Terengganu manakala isterinya,  Fara Nor Asmira bertugas sebagai Pegawai Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau berkata, mayat kesemua mangsa kini dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori itu bagaimanapun mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Kejadian kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/tak-sempat-jumpa-ibu-1.239380
http://www.hmetro.com.my/articles/2014011020251920140110202519/Article/
http://www.kosmo.com.my



Remaja Maut Rempuh Van



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Januari 2014
KUANTAN - Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggang hilang kawalan akibat bergesel dengan motosikal lain sebelum melanggar tiang elektrik dan sebuah van di jalan Kampung Tanjung Punai di sini, tengah malam semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa Muhammad Eryawan Mohd Rawi, 18 dari Kampung Tanjung Punai cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi penunggang yang turut terlibat dalam nahas itu dilaporkan parah.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan seorang lagi penunggang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan dari arah Kampung Tanjung Punai ke Jalan Utama Kuantan- Gambang dekat Tanah Putih di sini.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, kedua-dua motosikal terbabit dipercayai bergesel sesama sendiri lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kedua-dua penunggang gagal mengawal motosikal masing-masing lalu merempuh tiang elektrik dan sebuah van jenis Nissan Vannate yang diletakkan di tepi jalan itu,” katanya.
Zainalabidin berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua penunggang dilaporkan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menerima rawatan dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati laluan lurus dan basah selepas hujan manakala keadaan jalan agak terang dan berlampu jalan.

“Punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa remaja terbabit masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/remaja-maut-motosikal-terbabit-nahas-1.239546



Friday, January 10, 2014

Empat sekeluarga maut kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Januari 2014
KUANTAN: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka terbunuh selepas kereta Proton Persona dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 75 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Runcang, kira-kira jam 3 petang tadi.

Mangsa terbunuh dikenali sebagai Nasrul Hafriq Nasaruddin, 29 dan isterinya, Fara Nor Asmira Jastan juga berusia 29 tahun.

Manakala anak mereka masing-masing berusia dua tahun dan tiga bulan dikenali sebagai Nasr Afeef Rifqy serta Fara Adelia Adriana.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, semua mangsa berasal dari Batu 14 Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan lanjut.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2014011020251920140110202519//Article?BeritaUtama



Pemandu Lotus Nyaris Maut








10 Januari 2014
MUAR: Meskipun keseluruhan badan kereta mewah jenis Lotus yang dipandunya berkecai dan hanya tinggal rangka, seorang lelaki terselamat daripada maut selepas terbabas melanggar bukit di Kilometer 147.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh di sini, awal petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Lim Lik Wie, 40, dipercayai berasal dari Johor Bahru cedera parah manakala anjing peliharannya mati di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, dia yang dipercayai memandu laju kenderaan berkuasa tinggi itu.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta itu rosak teruk bagaimanapun mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.


Kejadian turut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah lebuh raya sejauh kira-kira dua kilometer.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu kereta berkenaan yang cedera di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan.

Sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/LelakinyarismautkeretaLotusterbabas/2013/Article


Wednesday, January 8, 2014

Lori tangki terbalik


9 Januari 2014
IPOH: Empat orang cedera selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan toksik Formaldehyde terbalik dan mengalami kebocoran dalam kemalangan di Kilometer 269.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang, di sini, pagi tadi.


Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu turut membabitkan dua kereta yang gagal mengelak lori berkenaan yang melintangi laluan terbabit.

Kemalangan yang berlaku kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Jelapang itu mengakibatkan pengguna Lebuhraya berkenaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira tiga kilometer.

Kebocoran bahan toksik terbabit juga menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan mengalami sesak nafas dan pedih mata.



Pasukan Hazmat Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan usaha mengalih lori tangki dan membersihkan bahan berbahaya berkenaan.


Empat orang yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

Laluan kemalangan dijangka tutup sehingga jam 1 petang nanti namun PLUS telah membuat lencongan untuk kenderaan buat sementara waktu.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Loritangkibawabahantoksikbocor//Article?BeritaUtama



Tiga maut van bertembung kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Januari 2014
KUALA KANGSAR – Dua sahabat karib maut dalam kemalangan membabitkan van dan kereta di Kilometer 70, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di sini, semalam.




Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, Rosmainiezal Mat Ani, 37, yang memandu van pekerja bersama Syed Idris Syed Nordin, 42, maut di tempat kejadian akibat tersepit.

Turut maut dalam kemalangan itu adalah seorang penumpang van, Aminah Kamarudin, 53, yang dalam perjalanan ke tempat kerja, sementara tiga penumpang lagi cedera parah, seorang daripadanya dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, insiden berlaku apabila van yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar itu tidak sempat mengelak sebuah kereta Toyota Camry dari arah bertentangan yang hilang kawalan.

“Keadaan itu menyebabkan pertembungan kuat berlaku, tiga penumpang termasuk pemandu van disahkan maut di tempat kejadian, sementara tiga yang lain di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, polis masih meneruskan siasatan berhubung punca kejadian di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan raya 1987.

Sementara itu, seorang saksi dikenali Razak berkata, orang ramai yang berada di lokasi cuba membantu mengeluarkan mangsa sementara menunggu bantuan tiba.

Bagaimanapun katanya, hanya pemandu dan penumpang van yang berada di lokasi sementara pemandu kereta Toyota Camry tidak kelihatan.

“Masa saya sampai di sana, saya sedih melihat keadaan mangsa, malah ada penumpang yang merintih kesakitan. Saya lihat pemandu van sudah tersepit dan tidak bergerak.

“Tidak lama kemudian, ambulans dan bomba tiba di tempat kejadian bagi memberi bantuan selanjutnya kepada mangsa kemalangan,” katanya.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di kampung masing-masing.

Allahyarham Rosmainiezal dan Syed Idris di Kampung Kepala Bendang, Sayong manakala Allahyarham Aminah di Lenggong.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-maut-kereta-van-bertembung-1.238564
http://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional-2/2627-tiga-maut-dalam-kemalangan-babit-tiga-kenderaan-di-kuala-kangsar
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/3mautnahastigakenderaan/Article




Bayi tercampak atas jalan


9 Januari 2014
Kuala Berang: “Menggeletar saya apabila pertama kali melihat kemalangan di depan mata, namun saya memberanikan diri mengangkat seorang kanak-kanak lelaki yang tertiarap atas jalan selepas tercampak keluar dari kereta bagi mengelak digilis kenderaan lain,” kata Sabariah Mansor, 49, dari bandar ini.


Sabariah yang juga saksi kemalangan yang berlaku di Kilometer 9 Jalan Ajil-Kuala Berang, berhampiran lampu isyarat di bandar Kuala Berang, di sini, semalam berkata, insiden itu membabitkan tiga PERODUA Myvi, sebuah PROTON Wira dan sebuah motosikal Honda EX5.


Dalam kejadian jam 7.20 pagi, kanak-kanak dikenali sebagai Rizki Hazid, 16 bulan yang menaiki PROTON Wira dipandu ibunya, Siti Sarah Ali, 29, dari arah Ajil ke Kuala Berang terselamat, manakala ibunya patah tangan kiri.

Sabariah ketika itu sedang mengemas barang di kedai makannya terus berpaling sebelum terdengar bunyi dentuman dan sekelip mata beberapa kereta terbabas serta ada juga yang terbalik.


“Kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan saya terkejut dan ketakutan. Sebaik melihat seorang kanak-kanak berada atas jalan saya kuatkan semangat mengangkatnya kerana bimbang digilis kenderaan lain kerana ketika itu lalu lintas agak sibuk.


“Kanak-kanak berkenaan tertiarap di atas timbunan kaca, tetapi tidak menangis walaupun ada darah di bahagian bawah dagunya. Beberapa pengguna jalan raya lain turut membantu ibu kanak-kanak itu keluar dari kenderaan dan dipercayai tangan kiri ibunya turut tersepit.

“Kanak-kanak itu dan ibunya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT),” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kemalangan membabitkan tiga kereta daripada arah Ajil-Kuala Berang serta masing-masing sebuah kereta dan motosikal yang menghala ke arah Ajil.

Menurutnya, sebelum kemalangan PERODUA Myvi berwarna kelabu dipandu Rohaya Wahab, 39, dari Kampung Tok Gebok berada di lorong kanan dan berhenti di lampu isyarat merah sebelum membelok ke kanan menuju ke Jalan Pusara.


“Sebelum datang dua kenderaan lain di belakang iaitu PROTON Wira dipandu Siti Sarah serta diikuti PERODUA Myvi berwarna putih dipandu Rasniza Zakaria, 32, seorang guru di sebuah sekolah rendah.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu PERODUA Myvi putih dan PROTON Wira dikatakan secara serentak ingin menukar lorong ke sebelah kiri kerana ingin menuju ke arah Bandar Kuala Berang dan kedua-dua kenderaan ini bergesel menyebabkan pelanggaran.


“Akibatnya, PRODUA Myvi putih merempuh PERODUA Myvi kelabu dipandu Rohaya menyebabkan kenderaan warna kelabu naik ke atas pembahagi jalan, manakala PROTON Wira terbabas ke kiri jalan dan hampir merempuh tiang lampu isyarat.


“Pemandu PERODUA Myvi putih dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu terbabas ke seberang jalan dan merempuh motosikal,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengigillihatbudaktercampak/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/bayi-tercampak-atas-jalan-1.238605



Polis dirempuh ketika operasi


8 Januari 2014
KUALA TERENGGANU - “Kejadian berlaku seperti ‘kilat’, saya langsung tidak sedar bila masa saya dirempuh, cuma apa yang saya ingat, tiba-tiba saya tercampak dan apabila tersedar, saya berada di atas riba rakan setugas dengan dipenuhi darah,” demikian cerita Lans Koperal Wan Abd Aziz Wan Omar, 32.

Anggota dari Balai Polis Chendering ini patah betis kiri dan cedera di kepala selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang bertugas membuat sekatan jalan raya di Jalan Bukit, Chendering, malam kelmarin.

Menurut Wan Abd Aziz, kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 malam ketika dia bersama lima lagi rakan setugas sedang sibuk membuat persiapan untuk memulakan operasi sekatan jalan raya di lokasi kejadian.

“Semasa sedang sibuk membuat persiapan, keadaan lalu lintas di lokasi agak lengang dan kami sememangnya tidak sedar bila masa motosikal berkenaan tiba di situ kerana langsung tiada sebarang bunyi enjin kenderaan sebelum itu.

“Tiba-tiba, saya yang ketika itu berada di bahu jalan dirempuh lalu tercampak beberapa meter dari lokasi dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Akibat rempuhan itu, selain mengalami kecederaan patah betis kiri, bapa kepada seorang anak ini terpaksa menerima enam jahitan di kepala akibat terhentak di jalan raya, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kenderaan yang terlibat dipercayai sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangi seorang lelaki.

“Suspek dipercayai datang dari arah Kampung Kubang Ikan, Chendering, dengan menunggang motosikal dalam keadaan laju sebelum merempuh mangsa yang ketika itu berada di bahagian sisi kiri jalan.

“Disebabkan kejadian begitu pantas, anggota yang berada di lokasi kejadian tidak sempat mencatatkan nombor pendaftaran motosikal terbabit, dan suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Pada masa sama, Zamri memohon kerjasama penduduk tempatan yang boleh memberi maklumat berhubung kejadian kerana mungkin berada di lokasi semasa kejadian dan ternampak insiden tersebut, menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Talian yang boleh dihubungi, Balai Polis Daerah Kuala Terengganu, 09- 6322222.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/polis-dirempuh-ketika-bertugas-1.238202



Tuesday, January 7, 2014

Pelajar ILP Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2014
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian, Gong Badak, di sini maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Sentosa, Setiu, semalam.

Kejadian jam 5.15 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohamad Shapawi Baha Nordin, 21, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Tong, Setiu dari tempat pengajiannya dengan menunggang motosikal Honda EX5.

Sebaik tiba di Kampung Sentosa, Setiu, mangsa tidak sempat mengelak selepas sebuah kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 30-an dari arah bertentangan membuat pusingan U secara tiba-tiba.

Mangsa yang tidak sempat membrek ketika itu terus merempuh bahagian sisi kereta berkenaan hingga tercampak beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di kepala, muka serta kedua belah kaki.


Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan lanjut, bagaimanapun meninggal dunia kira-kira jam 7 malam semalam.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarmautmotosikallanggarkereta/Article/index_html



Lori Bertembung Bas Tentera




7 Januari 2014
Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori maut selepas bertembung dengan bas yang dinaiki 36 anggota tentera dalam kejadian di Jalan Tuaran By Pass berhampiran Kampung Rampaian, dekat sini, kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Pemandu lori dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala pemandu bas dan 36 anggota tentera tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemandulorimautlanggarbastentera/Article/index_html



Kemalangan Ambulans


7 Januari 2014
KANGAR: Seorang lelaki berusia 50-an yang juga waris kepada seorang pesakit sawan patah kedua belah tangan selepas ambulans dinaiki bersama empat yang lain terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kangar-Alor Setar berdekatan Sekolah Menengah Syed Alwi di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Dalam kejadian berkenaan, ambulans daripada arah Impang Empat itu merempuh bahagian kiri belakang sebuah kereta jenis Proton Iswara daripada arah Utan Aji yang tidak berhenti ketika melalui persimpangan berkenaan.

Akibat rempuhan berkenaan ambulan dinaiki mangsa melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh pokok di bahu jalan raya.

Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakicederaambulansterbabitkemalangan/Article/index_html


Bas Bertembung Lori Roti



7 Januari 2014
BERA - Pemandu lori yang membawa muatan roti cedera di kaki kanan apabila lorinya bertembung dengan sebuah bas henti-henti di Kilometer 28, dekat simpang Kampung Menteri, Triang.

Mangsa yang berusia 30-an itu berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit hampir 15 minit selepas kejadian berlaku.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan bas termasuk 10 penumpang di dalam bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Zali memberitahu, pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaan apabila salah satu tayar di bahagian hadapan meletup secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku betul-betul di bahagian selekoh jalan, dan masing-masing cuba mengelak tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

“Mangsa (pemandu lori) pula dipercayai patah di bahagian paha kanannya akibat tersepit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zakaria Yusof mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.25 petang, dan pemandu lori itu dihantar ke Klinik Kesihatan Triang untuk rawatan susulan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-lori-tersepit-bertembung-dengan-bas-1.237842



Tak sempat ambil cucu di sekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Januari 2014
RANTAU PANJANG – Seorang warga emas maut dalam kejadian langgar lari dekat Bukit Tandak, di sini, ketika dalam perjalanan untuk mengambil cucunya di sekolah pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati mangsa, Abd Rahman Che Ngah, 68, ketika itu dalam perjalanan dari Rantau Panjang menuju Bukit Tandak dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Mangsa maut di tempat kejadian.

“Usaha mengesan pemandu terlibat dalam kejadian ini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Kalsom Hamad, 70, berkata, dia menyedari perlakuan suaminya agak ganjil selepas menunaikan solat subuh pada hari kejadian.

Katanya, mangsa tidak sabar-sabar untuk ke kedai membaiki motosikal sedangkan tiada bengkel dibuka seawal jam 7 pagi dan mangsa berdegil apabila dia melarangnya keluar terlalu awal.

“Arwah juga enggan membawa saya ke bandar, sebaliknya menyuruh saya menjaga beruk peliharaannya di rumah.

“Kata arwah, kalau dia tak keluar awal, mungkin tak sempat nak buat kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Kuau, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham  Abd Rahman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pada jam 10 malam, kelmarin.

Dalam pada itu, Kalsom turut berharap pihak polis berjaya menangkap pemandu terbabit dalam kejadian itu dan membawanya ke muka pengadilan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tak-sempat-ambil-cucu-di-sekolah-1.237837



Monday, January 6, 2014

Pelajar sekolah pondok maut kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Januari 2014
SEGAMAT - Seorang pelajar sekolah pondok di Terengganu maut apabila motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 1 Lebuhraya Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Taman Yayasan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Syed Omar Mujahid Syed Ali Hasani, 21, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas melawat rakannya di Batu Pahat untuk beberapa hari.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC itu dalam perjalanan
menghala ke Kuantan manakala pacuan empat roda tersebut menghala ke Segamat.

“Apabila tiba di persimpangan Taman Yayasan di lebuh raya berkenaan, pacuan empat roda itu ingin membelok ke kanan dipercayai mahu mengisi minyak di stesen minyak berhampiran dan tidak perasan mangsa yang datang dari arah hadapan.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya melanggar pacuan empat roda tersebut dan  akibat pelanggaran tersebut, mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa lagi bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda tersebut  mendapat kecederaan di kepala dan muka apabila cermin hadapan kenderaan tersebut pecah dan mengenainya sebelum dikejarkan ke klinik berhampiran oleh pengguna jalan raya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat dan menunggu keluarganya daripada Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu untuk menuntut mayat mangsa,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pelajar-sekolah-pondok-maut-1.237674



Penunggang TZM Maut Terbabas


6 Januari 2014
SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Temiang di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi, mangsa berusia 27 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa menunggang secara sendirian motosikal jenis Yamaha TZM dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Zamrud 7, dekat sini.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum mangsa terperosok ke dalam pembentung air.

“Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dan mati di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut jurucakap polis itu, daripada hasil siasatan awal, kemalangan berkenaan tidak melibatkan sebarang kenderaan lain.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini  untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penunggang-motosikal-maut-1.237569



Sunday, January 5, 2014

Hampir hancur akibat digilis lori


5 Januari 2014
JOHOR BAHRU - Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 20 Lebuh Raya Pasir Gudang, di sini, semalam.


Mangsa yang maut adalah Mohd Nazrin Kahar, 40, dan Lam Khoon Yen, 54, sementara individu dikenali sebagai Tan berusia lingkungan 40an cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kesemua mangsa menunggang motosikal secara berasingan dalam perjalanan ke tempat kerja masing-masing sebelum dirempuh sebuah lori pasir yang dipercayai hilang kawalan.



Saksi, Ridwan Abd Rashid, 31, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan secara tiba-tiba, lori berkenaan memasuki laluan bertentangan.

“Saya dapat lihat kerana saya memandu di belakang motosikal yang ditunggangi ketiga-tiga mangsa dan lihat mereka digilis lori terbabit.

“Saya berhentikan kenderaan dan cuba untuk membantu mereka. Saya mendapati dua mangsa sudah meninggal dunia dan seorang mangsa cedera parah,” katanya.

Katanya, dalam keadaan terkejut, dia berusaha mencari telefon bimbit mangsa untuk menghubungi keluarga mereka sebelum menelefon polis dan ambulans.

“Ikutkan memang panik dan terkejut sebab tidak pernah berhadapan dengan insiden ini, tetapi saya usaha juga cari ketiga-tiga telefon bimbit kesemua mangsa.

“Kemudian saya dapati ada satu telefon milik seorang mangsa telah hancur. Saya ambil kad simnya dan cuba hubungi keluarganya menggunakan telefon saya  sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu lori berkenaan.

“Kejadian tersebut berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dipercayai hilang kawalan hingga merempuh motosikal itu.

“Pemandu lori berkenaan kini ditahan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan untuk membantu siasatan,” katanya.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk bedah siasat dan mangsa yang parah juga dirawat di HSI.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/dua-penunggang-maut-1.237275
http://www.hmetro.com.my/articles/Gigillihatmayatberkecai/MA/Article
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/01/05/Two-killed-and-one-hurt-after-lorry-crashes-into-oncoming-traffic/
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/01/04/Accident-Lorry-Plough/




Maut tersepit di bawah kepala lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Januari 2014
MUAR – Seorang lelaki maut akibat tersepit di bawah kepala lori yang dipandunya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 139.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), berhampiran Pagoh, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Sudirman Padang, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang memandu lori sebuah pasaraya terkenal bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Masai, Johor Bahru untuk menghantar barang.

Dia dipercayai terlelap menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas memasuki sebuah parit di tepi lebuh raya berkenaan.

Sudirman yang berasal dari Likas, Sabah tercampak keluar daripada lori dan tersepit di bawah kenderaan itu sebelum meninggal dunia.

Saksi kejadian, Razain Mohd Jalil, 50, berkata, dia hairan melihat sebuah lori berada dalam parit bersebelahan ladang kelapa sawit seliaannya.

Dia yang bekerja sebagai penyelia pekerja ladang berkenaan berada pada jarak 20 meter daripada tempat kejadian segera menghampiri lori terbabit dan melihat seorang lelaki lingkungan usia 20-an di luar lori sedang menghubungi seseorang sambil menahan kesakitan.

Menurutnya, lelaki terbabit yang merupakan kelindan lori berkenaan beritahu rakan (mangsa) tersepit di bawah kepala lori.

“Tidak lama kemudian ambulans tiba dan kelindan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) disusuli pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.55 pagi seterusnya segera ke tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesah kejadian dan memberitahu mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/maut-tersepit-bawah-lori-1.237265


Jururawat Hospital Serdang Nyaris Maut


5 Januari 2014
KUALA BERANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang wanita selepas terselamat walaupun kereta dipandunya terbabas dan terbalik beberapa kali dalam kejadian di Kilometer 400.9 LPT Kuala Lumpur-Kuala Terengganu (Ajil-Telemong), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Afill Amalina Llailie Lokhman, 25, dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menuju ke arah Ajil dan kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Preve dipandunya secara tiba-tiba terbabas ketika di lokasi kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Serdang memulakan perjalanan dari Serdang kira-kira jam 4 pagi menuju ke Bukit Payung, Besut bagi pulang bercuti ke kampungnya.

“Kereta dipandu mangsa tanpa penumpang dipercayai terbabas ke kiri dan kanan jalan sehingga merempuh pengadang jalan, selain turut terbalik beberapa kali. Keadaan itu turut menyebabkan enjin kereta tersebut tercabut.

“Bagaimanapun, mangsa terselamat dan hanya mengalami luka kecil di bahagian mata sebelah kiri serta jari. Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu termasuk mematuhi had laju ditetapkan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pantang-maut-sebelum-ajal-1.237198


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount