loading...

Sunday, January 5, 2014

Maut tersepit di bawah kepala lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Januari 2014
MUAR – Seorang lelaki maut akibat tersepit di bawah kepala lori yang dipandunya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 139.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), berhampiran Pagoh, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Sudirman Padang, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang memandu lori sebuah pasaraya terkenal bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Masai, Johor Bahru untuk menghantar barang.

Dia dipercayai terlelap menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas memasuki sebuah parit di tepi lebuh raya berkenaan.

Sudirman yang berasal dari Likas, Sabah tercampak keluar daripada lori dan tersepit di bawah kenderaan itu sebelum meninggal dunia.

Saksi kejadian, Razain Mohd Jalil, 50, berkata, dia hairan melihat sebuah lori berada dalam parit bersebelahan ladang kelapa sawit seliaannya.

Dia yang bekerja sebagai penyelia pekerja ladang berkenaan berada pada jarak 20 meter daripada tempat kejadian segera menghampiri lori terbabit dan melihat seorang lelaki lingkungan usia 20-an di luar lori sedang menghubungi seseorang sambil menahan kesakitan.

Menurutnya, lelaki terbabit yang merupakan kelindan lori berkenaan beritahu rakan (mangsa) tersepit di bawah kepala lori.

“Tidak lama kemudian ambulans tiba dan kelindan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) disusuli pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.55 pagi seterusnya segera ke tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesah kejadian dan memberitahu mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/maut-tersepit-bawah-lori-1.237265


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my