loading...

Saturday, July 27, 2013

Anak Ketua Pengarang Berita TV3 maut nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Julai 2013
TEMERLOH - Anak kepada Ketua Pengarang Berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di km143 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab malam tadi.
 
Mangsa, Muhammad Luqman Mohd Khaidir, 26, mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, kedua-duanya lelaki, seorang pemandu kereta Proton Wira berumur 21 tahun, dan penumpang bahagian belakang, 31, cedera parah.
 
Dalam kejadian 9.30 malam itu, kenderaan yang terbabit dalam nahas itu ialah kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa, sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
 
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supt Zundin Mahmood, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
 
"Di tempat kejadian, dipercayai kereta dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Corolla terbabit menyebabkan kenderaannya berpusing dan melintang di atas jalan sebelum dirempuh Perodua Kancil yang datang dari arah Kuantan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, turut parah ialah pemandu Perodua Kancil seorang lelaki berumur 64 tahun, sementara pemandu Toyota Corolla berkenaan hanya cedera ringan.
 
Mohd Khaidir ketika ditemui Bernama berkata anak kedua daripada enam beradik itu pergi ke Kuala Lumpur bersama dua rakannya itu untuk membeli persiapan bagi menyambut hari raya nanti.
 
"Saya sekeluarga juga turut ke Kuala Lumpur secara berasingan untuk membeli persiapan raya dan dimaklumkan kejadian itu malam tadi," katanya.
 
"Arwah anak yang baik dan mendengar kata, saya sempat berbuka puasa dengannya sebelum ini selepas selesai membuat liputan pilihan raya kecil Kuala Besut, baru-baru ini," katanya.
 
Jenazah Muhammad Luqman selamat dikebumikan 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebak Muslim, dekat sini. - Bernama

Al-Fatihah




Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/anak-ketua-pengarang-berita-tv3-maut-kemalangan-1.187421
ntv7.com.my/7edition/local-en/TRAGIC_TRIP_TV3_NEWS_EDITOR_S_SON_KILLED_IN_AN_ACCIDENT.html


Maut selepas membeli buku latihan SPM


Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Julai 2013
POKOK SENA - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikalnya merempuh sebuah lagi motosikal di simpang Penjara Pokok Sena di sini malam tadi.


Mangsa, Fatullah Mohamad, 17, dikatakan dalam perjalanan dari Alor Setar pada pukul 10.05 malam untuk pulang ke rumahnya di kampung Padang, Pokok Sena selepas membeli buku latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Pegawai Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, T.Tivagaren berkata mangsa maut selepas merempuh sebuah lagi motosikal apabila hilang kawalan semasa membelok di persimpangan itu.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa rempuhan yang dikenali sebagai Rizal Abdullah yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu bapa mangsa, Mohamad Abdullah, 50, berkata pada petang kejadian itu anaknya ada memohon maaf daripadanya sebelum keluar ke Alor Setar.

"Sebelum ini, dia ada minta maaf kat abang dia dan dekat saya pun dia minta maaf petang tadi. Pada sebelah pagi, dia hanya duduk di rumah untuk siapkan kerja sekolah sebelum keluar membeli buku,” katanya. - Bernama




Sumber:
kosmo.com.my
ntv7.com.my/7edition/local-en/LOCAL_EN_1374905076.html
tv9.com.my/beritatv9/tajuk_utama/Seorang_Calon_SPM_Mohon_Maaf_Kepada_Keluarga_Sebelum_Ajal.html#.UfPQEtIa7oI

Pemandu teksi maut rempuh lori sampah

A Santhanam maut kemalangan teksi dan lori

27 Julai 2013
CHEMOR – Seorang pemandu teksi maut selepas keretanya merempuh sebuah lori muatan sampah selepas gagal memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya di Kilometer 11.5, Jalan Jelapang – Chemor di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 11 pagi itu, pemandu teksi jenis Proton Iswara, A Santhanam, 66, yang berasal dari Klebang Restu di sini, maut di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku ketika lori dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan dari arah Jelapang menuju menghala ke Khantan.

“Tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah teksi melanggar bahagian hadapan lori menyebabkan berlaku hentaman kuat di sebelah kanan sebelum terbabas ke dalam semak berhampiran.

“Manakala, teksi terbabit remuk teruk di bahagian hadapan menyebabkan mangsa tersepit. Anggota Bomba dan Penyelamat Ipoh dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Beliau berkata, bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Pemandu lori terbabit mengalami cedera ringan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/teksi-remuk-langgar-lori-sampah-1.187362
hmetro.com.my


Nyaris maut bertembung lori



27 Julai 2013
REMBAU – Seorang gadis nyaris maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sebaik keluar dari simpang di Kilometer 20.2 Jalan Seremban-Tampin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Nur Syahira Abdul Aziz, 23, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Senawang, Seremban terbabit kemalangan sebaik saja keluar dari persimpangan di pekan Pedas, di sini.

Bapa saudara mangsa, Mohd Nazreen Hashim, 27, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja berada di hadapan kedai dan secara tiba-tiba terlihat kemalangan membabitkan anak saudaranya itu.

"Saya kemudiannya terus membantu anak buah saya itu. Mujur dia tidak mengalami kecederaan teruk," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai bermula apabila kereta mangsa keluar dari simpang sebelum bertembung lori yang datang dari arah Seremban.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kereta-remuk-bertembung-lori-1.187315


Thursday, July 25, 2013

Kereta terbang rempuh rumah



25 Julai 2013
KEMAMAN – “Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat,” kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin.


Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk.

Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan.

“Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan.

Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara).

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kereta-terbang-rempuh-rumah-1.186389


Terawih terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Julai 2013
DUNGUN – Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih hiba buat seorang isteri apabila kehilangan suami tersayang selepas pasangan itu terbabit dalam kemalangan ngeri dekat sini pagi semalam.

Mangsa, Esah Abdullah, 63, terselamat sebaik berjaya dikeluarkan daripada keretanya yang ‘penyek’ selepas kenderaan dinaiki bersama suaminya, Mohamed Hassan, 68, berlanggar dengan sebuah lori pasir di Kilometer 15.5 Jalan Paka Al Muktfibillah Shah, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, pasangan peneroka Felda itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Al Mukhtafi Billah Shah menuju ke Ketengah Jaya.

Sampai di lokasi, kereta Proton Saga dipandu Mohamed dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori pasir dari arah Paka.

Akibatnya, kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala tayar hadapan lori terbabit difahamkan tercabut akibat rempuhan yang kuat dari arah bertentangan itu.

Mohamed yang berjaya dikeluarkan orang awam selepas tersepit di tempat duduk pemandu bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah di paha dan anggota badan lain.

Menurut anak lelaki arwah, Adnan Mohamed, 30, yang ditemui ketika menuntut mayat mangsa berkata, ketika kejadian, ibu bapanya dipercayai dalam perjalanan dari ladang sawitnya di Sungai Apu ke satu lagi ladang milik mereka di Felda Ketengah Jaya.

Adnan berkata, dia mendapat tahu berita menimpa ibu dan bapanya itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakaknya yang tinggal di Kemaman.

Katanya, sebaik mendapat berita buruk itu, dia bergegas ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk melihat keadaan ibunya, Esah yang hanya cedera ringan.

Namun sebaik sampai di situ dia dimaklumkan bapanya dikejarkan ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan teruk.

“Selepas menjenguk ibu, saya terus bergegas ke Hospital Dungun untuk mengetahui nasib ayah.
"Namun sebelum sampai di hospital, saya dimaklumkan ayah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Mengimbas kembali kenangan bersama arwah, Adnan berkata, pada malam sebelum kejadian, sebaik selesai solat terawih, dia sempat bertemu arwah bapanya itu di rumahnya di Felda Kerteh Enam.
Kata Adnan, pada malam itu, arwah bapanya kelihatan ceria, cuma arwah dikatakan ada meluahkan hasratnya untuk melakukan ibadah korban pada hari raya haji nanti.

“Semalam adalah solat terawih terakhir baginya.

"Saya tak sangka dia akan pergi buat selama-lamanya hari ini sebab tiada sebarang perubahan ditunjukkan ketika kami bersama di rumah,” katanya.

Bagaimanapun Esah yang ditemui di Hospital Dungun tidak dapat menceritakan apa-apa berkaitan kejadian tersebut kerana masih trauma dengan tragedi itu.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Felda Kerteh Enam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/solat-terawih-terakhir-1.186435







Wednesday, July 24, 2013

Dua beradik maut dirempuh bas


Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Julai 2013
KUANTAN - Dua beradik terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di hadapan Kompleks Mahkamah Kuantan dekat Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam nahas 10.30 pagi itu, Arif Akmal Ab Razak, 22, (pemandu) dan adiknya, Aniq Ihsan Ab Razak, 16, dalam perjalanan dari Jalan Kuantan-Bypass menghala ke Semambu.

"Dipercayai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira yang menyusur keluar dari kompleks mahkamah berkenaan telah mengubah lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba.

"Akibat itu kereta yang dinaiki dua beradik itu melanggar belakang kereta Proton Wira terbabit sebelum dirempuh sebuah bas persiaran dari belakang," katanya ketika dihubungi Bernama.  

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kedua-dua beradik yang berasal dari Kampung Teluk Mahang, Gambang meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/dua-beradik-maut-dirempuh-bas-persiaran-1.186300
nst.com.my/latest/two-siblings-killed-in-car-bus-crash-1.325582


Pelajar SMK Beluru maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Julai 2013
KUALA KANGSAR - Seorang pelajar maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh antara satu sama lain di KM 6, Jalan Kati-Chegar Galah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, Muhammad Najmuddin Hassan, 14, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi penunggang motosikal, Muhamad Azrin Abd Radzak, 17, cedera parah.

Kedua-dua mangsa tinggal di kampung yang sama, Kampung Jarau Enggor dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluru.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad berkata, siasatan awal polis mendapati, insiden berlaku apabila motosikal yang ditunggangi Muhammad Najmuddin hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang Muhamad Azrin yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Kati menuju ke Chegar Galah tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Pertembungan secara depan-depan antara dua motosikal itu menyebabkan kedua-duanya parah, seorang daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/motosikal-hilang-kawalan-berlanggar-sama-sendiri-1.186126



Rentung dalam kereta


24 Julai 2013
GOMBAK -Seorang lelaki ditemui rentung dalam kereta milik bapanya yang terbakar dalam kejadian di Kilometer 36, Jalan Genting Sempah menghala ke Gombak, kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa, Yeoh Fui Ping, 31, dikatakan baru balik berjudi dari Genting Highlands selepas kalah serta mengalami kerugian membabitkan ratusan ringgit.

Difahamkan ketika kejadian berlaku, terdapat seorang polis bantuan berada di lokasi kejadian dan cuba untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun tingkap serta pintu kereta jenis Proton Wira itu tertutup rapat, manakala bahagian enjin kenderaan pula sudah terbakar.

Anggota terbabit memanggil mangsa yang berada di tempat duduk belakang tetapi tiada tindak balas, malah cubaan untuk menyelamatkannya gagal kerana api marak dengan cepat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, kereta yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands pada jam 8 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa masih hidup ketika kejadian berlaku.

"Mangsa terbakar seratus peratus dan laporan bedah siasat menunjukkan dia mati akibat terhidu asap serta melecur teruk.

"Tiada sebarang kesan kecederaan dalaman atau luaran ditemui pada badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya, semalam.

Abdul Rahim berkata, semakan ke atas kereta terbabit mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 54 tahun beralamat di Banting, Selangor.

"Kita dah hubungi lelaki itu dan dia mengesahkan kereta tersebut digunakan oleh anak lelakinya (mangsa) untuk ke Genting Highland.

"Keluarga juga sudah membuat pengecaman ke atas tali pinggang keledar dan jam tangan mangsa. Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) juga diambil untuk perbandingan," katanya.

Menurutnya, semakan ke atas pusat kasino di Genting Highlands menunjukkan mangsa berada di premis itu pada jam 10 malam Ahad lalu sehingga jam 6 pagi kelmarin.

Katanya, pihak kasino terbabit turut mengesahkan mangsa kalah beberapa ratus dan tidak tidur di hotel di sana.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lelaki-maut-terbakar-1.185999



Dua kakitangan Universiti Kolej Bestari Setiu maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Julai 2013
BESUT - Dua kakitangan wanita Universiti Kolej Bestari Setiu yang merupakan sahabat karib maut apabila kereta Perodua Kenari yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tangki di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Anak Ikan, Jabi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, pemandu kereta, Wan Nor Fadhiaton Wan Mohd Fauzi, 32, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Nor Azura Husin, 35, yang duduk di kerusi penumpang hadapan, meninggal di Bahagian Kecemasan Hospital Besut.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Universiti Kolej Bestari Bandar Permaisuri, Setiu dari Kelantan.

Menurutnya, kejadian berlaku dipercayai apabila lori tangki dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu cuba memotong sebuah lori lain dari arah sama.

“Bagaimanapun pemandu lori itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke dalam laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

“Akibat pertembungan secara berdepan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan pemandu mati di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, Wan Nor Fadhiaton bertugas sebagai pustakawan kolej universiti berkenaan beralamat di Kampung Kok Pasir, Pasir Mas, Kelantan manakala rakan setugasnya adalah pensyarah  kejururawatan di pusat pengajian sama beralamat di Kampung Teluk Baru, Guchil, Kota Bharu.

Menurutnya, mayat mangsa dan rakanya yang tersepit terpaksa dikeluarkan pasukan bomba akibat kereta yang remuk teruk.

Mayat Wan Nor Fadhiaton dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.

Sementara itu, menurut salah seorang kakitangan universiti kolej berkenaan, kedua-dua sahabat itu berulang alik dari rumah mereka ke tempat kerja setiap hari sejak lebih enam tahun lalu.

Wan Nor Fadhiaton mempunyai dua anak termasuk seorang yang masih kecil manakala suaminya kakitangan Kolej Islam Sains (Kist) Bachok, Kelantan.

Azura pula telah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dua-sahabat-maut-kemalangan-1.186047




Tiga sahabat maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Julai 2013
PASIR MAS – Tiga sahabat maut dalam kemalangan apabila kereta Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton kira-kira jam 11.20 malam, dekat Jabor Galok, malam kelmarin.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang maut adalah Aasif Ahmad, 20; Ahmad Azizul Affizan Mat Jusoh, 21 dan Mohd Hazrin Ahmad, 21.

Menurutnya, Aasif yang memandu kereta Kancil dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas memasuki lorong bertentangan dan melanggar Triton.

“Aasif yang tersepit di bahagian pemandu, meninggal di tempat kejadian manakala rakannya, Azizul meninggal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada jam 9.30 pagi tadi (semalam).

“Hazrin yang merupakan penumpang di bahagian hadapan kereta tersebut, meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kira-kira jam 9.10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Perlanggaran itu katanya, menyebabkan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux melanggar Triton namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Ruslan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.07 malam kelmarin.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati terdapat sebuah kereta kancil remuk teruk dan terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.

“Kami berjaya mengeluarkan mangsa beberapa minit kemudian dengan menggunakan peralatan Hydraulic Power Unit dan cutter,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba turut menanggalkan kepala bateri bagi mengelak daripada kebakaran dan membuat kerja-kerja pembersihan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tiga-sahabat-maut-nahas-1.186040


Monday, July 22, 2013

Lori terbelah?

Kemalangan ngeri, lori terbelah


23 Julai 2013
TAPAH- Lori terbelah! Dua warga Bangladesh maut selepas lori dinaiki dari Shah Alam ke Pulau Pinang  merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di tepi Lebuhraya Utara–Selatan dalam nahas jalan raya pagi semalam.

Kemalangan ngeri berlaku kira-kira jam 6.15 pagi di Kilometer 343, Lebuhraya Utara Selatan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu treler, lori dan sebuah kereta jenis Proton Iswara turut mengakibatkan dua cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliw berkata, mangsa maut adalah warga Bangladesh dikenali Sumam Hossain Abd Kashem, 28, dan Delohar Hossin Md Raju Miah, 31.

Katanya, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Pulau Pinang bersama-sama seorang warga tempatan dan rakan senegaranya yang turut mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila sebuah treler rosak dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh berhenti di tepi Lebuhraya Utara Selatan kira-kira lima kilometer  sebelum persimpangan Tol Bidor di laluan lurus serta tidak berbukit.

Beliau berkata, lori yang dipandu oleh warga tempatan yang dikenali sebagai S Lechumanan, 34, tidak menyedari kedudukan treler yang diletakkan di tepi jalan sebelum  merempuh kenderaan itu.

“Rempuhan mengakibatkan badan lori tersebut tercabut dan tercampak melintang di tengah lebuh raya dan masa yang sama sebuah kereta jenis Proton Iswara dari arah sama  tidak sempat menekan brek disebabkan faktor jarak yang terlalu dekat.

Kemalangan itu menyebabkan Delohar yang duduk di belakang tersepit lalu maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala manakala rakan-rakan mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar  ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Som Sak berkata, seorang lagi mangsa warga Bangladesh, Sumam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah, pagi semalam selepas putus kedua-dua kaki akibat kemalangan itu.

Manakala, katanya, pemandu warga tempatan dan seorang warga Bangladesh, Alif Hossain Bahar Ali, 25, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan lanjut  di Hospital Teluk Intan.

Katanya,bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa warga Bangladesh telah selesai petang semalam dan  kini mayat masih berada di Hospital Tapah menunggu daripada pihak majikan untuk dituntut sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Iswara hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan  dalam kemalangan tersebut.

“Pihak kami masih menyiasat kejadian kemalangan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/rempuhan-kuat-belah-badan-lori-1.185670



Penunggang maut terpelanting 50 meter

Lim Chuah Chin Fu, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 disahkan mati

23 Julai 2013
GEORGETOWN - Seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta dan terbabas di Lorong Batu Lanchang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa Lim Chuah Chin Fu, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 disahkan mati serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau menunggang motosikal bersama rakannya dalam perjalanan ke Ayer Itam sebelum bergesel dengan kereta berkenaan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown di sini.

Akibat kejadian itu, mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terpelanting kira-kira 50 meter.

Menurut sumber, pemandu kereta yang bergesel dengan motosikal mangsa dikatakan tidak memberhentikan kenderaan dan berlalu pergi.

“Ketika kejadian laluan di tempat berkenaan agak sesak berikutan di situ adalah kawasan sekolah.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kenderaan yang bergesel dengan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau 10 tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar dapat menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat, manakala rakannya menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-motosikal-gesel-kereta-1.185667



Penyamun ditangkap dalam nahas



23 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang penjenayah dicekup sebaik saja terbabit dalam kemalangan ketika melarikan diri dari polis selepas menyamun seorang lelaki di Taman Seremban Jaya, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, penjenayah terbabit bersama seorang lagi rakannya masing-masing berusia lingkungan 20-an menyamun seorang pekerja penghantar surat khabar dengan menggunakan parang.

Menurut sumber, penjenayah terbabit yang menunggang motosikal menghampiri mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja sambil mengugutnya dengan sebilah parang.

“Suspek kemudian bertindak merampas motosikal dan beg mangsa. Bagaimanapun, suspek tidak bernasib baik apabila aksi mereka disaksikan dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Polis yang melihat kejadian itu bertindak mengejar suspek, namun sejurus sampai di Taman Seremban Jaya Fasa 9, motosikal ditunggang suspek melanggar sebuah van,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, kejadian itu menyebabkan seorang suspek terjatuh dan berjaya ditahan, bagaimanapun rakannya melarikan diri.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penyamun-langgar-van-ketika-larikan-diri-1.185691





Lima maut dalam tragedi ngeri


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Julai 2013
JOHOR BAHRU - Lima maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang jejambat bulatan Kota Iskandar di Lebuhraya Pesisir Pantai Johor Bahru–Nusajaya, dekat sini, semalam.

Kemalangan ngeri itu berlaku sekitar jam 12.50 tengahari ketika semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru  menghala ke Gelang Patah.



Mangsa yang maut dikenali sebagai Mokhtar Khalid, 43, bersama empat wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20an iaitu Marini bernombor pasport (AR258388); Sehate (AR25799); Desi Angreani (ARAP355538) dan Santi Novita Sitepu (AS184031).

Ketua Polis daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, seorang warga tempatan dan empat warga asing itu meninggal dunia di  tempat kejadian
“Kita percaya kenderaan tersebut dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan menghala ke Gelang Patah.

“Siasatan di tempat kejadian pula mendapati keadaan cuaca baik dan terang.

"Keadaan jalan juga rata, bertar dan kering, sedikit berselekoh dan terdapat tiga lorong, namun tiada kekeliruan tanda jalan,” katanya kepada media ketika mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Noor Hashim berkata, semua jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini,  untuk bedah siasat.



Sementara itu, isteri ketiga Mokhtar, Hasni Ali, 36, berkata, sekitar dua jam sebelum kejadian, suaminya sempat membalas sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya memberitahu mahu berbuka bersama keluarga.

“Saya menerima panggilan polis menyatakan suami terkemalangan dalam jam 2 petang dan tidak sangka dia telah pergi meninggalkan kami.

“Kali terakhir saya berjumpanya semalam (kelmarin) tetapi  suami langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lima-maut-kemalangan-ngeri-1.185227
bharian.com.my/bharian/articles/Taksempatbukapuasa/Article/index_html
kosmo.com.my



Bertaburan di atas jalan



22 Julai 2013
REMBAU – Sebuah lori enam tan yang membawa muatan barangan logistik dari Sungai Besi ke Johor Bahru terbalik selepas terbabit kemalangan di kilometer 224.4 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pemandu lori, Mazlan Mohd Ali, 32, dalam perjalanan menghantar barangan ke Johor Bahru.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, lori yang dipandu mangsa dipercayai terbalik selepas mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba masuk ke laluan mangsa.

“Selepas terbalik, lori yang dipandu mangsa dirempuh pula oleh sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 20-an," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Nor Mohamad Rahim, 32, yang memandu lori berasingan berkata, dia dan rakannya itu mempunyai jadual sama untuk menghantar barangan ke Johor Baharu, namun rakannya itu bergerak lebih awal dahulu daripadanya.

“Bagaimanapun, saya yang baru memulakan perjalanan menghantar barangan ke lokasi yang sama tiba-tiba menerima panggilan daripada rakan saya menyatakan dia terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan lori terbaik.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya dapati barangan yang dibawa rakan sudah bertaburan di atas jalan dan saya bersama-sama memunggah barangan di atas jalan untuk dimasukkan ke dalam lori lain,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-terbalik-barangan-bersepah-1.18524






Sunday, July 21, 2013

Kepala tembusi cermin depan


Beijing: Seorang wanita China terselamat dalam satu kemalangan ngeri yang menyaksikan kepalanya terhempas pada cermin depan kenderaan yang dinaiki dan tersepit di dalam lubang.

Wanita yang namanya tidak didedahkan itu adalah penumpang kenderaan terbabit apabila ia merempuh belakang sebuah trak di wilayah Guanxi, selatan China.


Rempuhan itu menyebabkan wanita yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika kejadian, tercampak ke depan dan kepalanya terhantuk pada cermin. Hantukan yang kuat itu menyebabkan cermin itu pecah dan kepalanya tersepit dalam lubang terbabit.

Anggota penyelamat terpaksa mengeluarkan pemandu kereta itu yang pengsan terlebih dulu sebelum dapat menyelamatkan wanita berkenaan.


Mereka mengambil masa yang agak lama untuk memembesarkan lubang di sekitar tengkuk mangsa sebelum dia boleh dikeluarkan dengan selamat.


Dengan berlumur darah serta kelihatan pening, wanita itu diusung oleh pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital berhampiran.

Kecederaan yang dialami wanita itu dan juga teman lelakinya yang memandu kenderaan itu dikatakan tidak mengancam nyawa mereka. - Agensi

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Kepalakeluarcermindepan/MA/Article



Maut diseret 20 meter



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Julai 2013
Sungai Petani: “Saya berada di rumah ibu kerana menunggu dijemput suami untuk berbuka puasa di rumah petang ini (kelmarin). Saya pitam sebaik menerima berita suami meninggal dunia kerana kemalangan.”

Begitu kata Norsuriana Ismail, 27, isteri kepada anggota tentera Mohd Hanifah Ibrahim, 28, yang maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Lencongan Barat berhampiran Taman Nilam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, Mohd Hanifah yang bertugas di Rejimen 19 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Lapangan Terbang dan seorang mangsa lain dirempuh dari arah belakang oleh kereta jenis Hyundai i10 itu ketika mereka berhenti di lampu isyarat.

Akibat rempuhan itu, Mohd Hanifah diseret bersama motosikal sejauh hampir 20 meter, menyebabkannya parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta terbabit yang gagal dikawal pemandunya merempuh papan tanda jalan dan terbabas ke dalam hutan di sebelah kiri jalan, sementara seorang lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Suamitakbalikberbuka/MA/Article


Maut dirempuh depan ibu


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Julai 2013
Seri Manjung: Luluh hati seorang ibu melihat anak bongsunya yang menunggunya di tepi jalan depan rumah mereka, terpelanting dirempuh kereta yang terbabas di Kampung Permatang, Jalan Teluk Rubiah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Mohammad Darwisy Rahman, 12, yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) dan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi.
Lebih memilukan Nurisah Abd Rashid, 46, dan suaminya, Mohmmad Daliman Shaari, 50, nahas itu seolah-olah mengulangi tragedi yang menimpa seorang lagi anaknya di tempat sama kira-kira 13 tahun lalu.

Pada Mac 2000, anak pasangan itu, Mohammad Shazwan Hakimi, 10, yang wajahnya saling tak tumpah wajah Darwisy, maut dirempuh kereta di tempat yang sama ketika menunggu untuk melintas bagi menghadiri kelas tuisyen di seberang jalan raya berkenaan.



Berdiri di tepi jalan 

Dalam kejadian petang kelmarin, Darwisy dikatakan berdiri di tepi jalan menunggu isyarat Nurisah untuk melintas selepas ibunya yang berada di seberang jalan raya memberi isyarat tangan supaya menunggu deretan kereta di jalan itu berlalu terlebih dulu.

Anak bongsu daripada lima beradik itu dikatakan mahu mendapatkan ibunya bagi membeli ayam percik yang dijual di kedai seberang jalan berdepan rumahnya.

Tiba-tiba sebuah kereta dari arah Teluk Rubiah menuju Seri Manjung, masuk laluan bertentangan dan memecut untuk memotong deretan kenderaan tetapi terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan lalu merempuh Darwisy menyebabkan mangsa terpelanting dan terhempas atas jalan raya.

Mohmmad Daliman berkata, keluarganya yang trauma dengan tragedi menimpa Shazwan, tidak membenarkan Darwisy berbasikal ke Sekolah Kebangsaan Kampung Dato Seri Kamaruddin yang terletak tiga kilometer dari rumah.

Dia menghantar dan mengambil anaknya dengan motosikal setiap hari, tetapi anak bongsunya itu maut juga di depan mata mereka.

“Ketika Shazwan meninggal dunia dulu, saya masih mampu menahan air mata supaya tidak mengalir tetapi kali ini saya tidak mampu untuk bertahan lagi selepas melihat Darwisy yang terbujur kaku.

“Bagaimanapun, saya reda kerana mungkin Allah meminjamkan sementara Darwisy kepada saya untuk mengubati kesedihan kehilangan Shazwan dan sekarang dia dikembalikan semula kepada-Nya,” katanya yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ditemui di Rumah Mayat HSM, di sini, semalam.

Jenazah Darwisy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Penchalang di sini, selepas Zuhur.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba, berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim, yang menyertai aktiviti gotong-royong sempena Program Semarak Ramadan BH Bersama Bank Rakyat di Kampung Pasir Panjang Laut, menziarahi keluarga mangsa.

Turut serta menziarahi ialah Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Hizamuddin Jamalluddin; Penolong Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu; Eksekutif Kanan Produk BH, Omar Tarmizi Ahmad Shaibi dan Ketua Biro BH Perak, Jalal Ali Abdul Rahim.

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Mautdirempuhdepanibu/Article/index_html
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/murid-tahun-enam-maut-dilanggar-1.185011



Maut ditinggalkan rakan

Mohd Nur Faiz Khan Abdullah maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Julai 2013
GEORGETOWN - Akibat tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan, seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi, Mohd Nur Faiz Khan Abdullah, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan selepas merempuh belakang kereta Proton Wira yang dinaiki sepasang suami isteri.

Lebih menyayat hati, kejadian berlaku hanya 100 meter dari rumahnya di Flat Seri Idaman, Jelutong di sini.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar bersiar-siar bersama rakannya di sekitar bandar raya.

Menurut sumber, mereka cuba menunjukkan aksi dengan menunggang secara berbahaya di sekitar kawasan berkenaan namun berakhir dengan tragedi.

“Sebelum kejadian, polis sedang mengarahkan mereka beredar tetapi kumpulan remaja berkenaan tidak mengendahkannya.

“Mereka kemudian terus menunggang sesama sendiri dan ketika tiba di lokasi kemalangan mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh kereta dinaiki pasangan suami isteri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tercampak beberapa meter selepas merempuh belakang kereta berkenaan dan rakan-rakannya yang lain terus memecut motosikal mereka kerana bimbang ditahan polis.

“Mangsa yang dibiarkan berseorangan itu akhirnya meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk di kepala serta beberapa anggota badan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ditinggalkan-rakan-ketika-maut-1.184985




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount