loading...

Wednesday, July 24, 2013

Rentung dalam kereta


24 Julai 2013
GOMBAK -Seorang lelaki ditemui rentung dalam kereta milik bapanya yang terbakar dalam kejadian di Kilometer 36, Jalan Genting Sempah menghala ke Gombak, kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa, Yeoh Fui Ping, 31, dikatakan baru balik berjudi dari Genting Highlands selepas kalah serta mengalami kerugian membabitkan ratusan ringgit.

Difahamkan ketika kejadian berlaku, terdapat seorang polis bantuan berada di lokasi kejadian dan cuba untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun tingkap serta pintu kereta jenis Proton Wira itu tertutup rapat, manakala bahagian enjin kenderaan pula sudah terbakar.

Anggota terbabit memanggil mangsa yang berada di tempat duduk belakang tetapi tiada tindak balas, malah cubaan untuk menyelamatkannya gagal kerana api marak dengan cepat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, kereta yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands pada jam 8 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa masih hidup ketika kejadian berlaku.

"Mangsa terbakar seratus peratus dan laporan bedah siasat menunjukkan dia mati akibat terhidu asap serta melecur teruk.

"Tiada sebarang kesan kecederaan dalaman atau luaran ditemui pada badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya, semalam.

Abdul Rahim berkata, semakan ke atas kereta terbabit mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 54 tahun beralamat di Banting, Selangor.

"Kita dah hubungi lelaki itu dan dia mengesahkan kereta tersebut digunakan oleh anak lelakinya (mangsa) untuk ke Genting Highland.

"Keluarga juga sudah membuat pengecaman ke atas tali pinggang keledar dan jam tangan mangsa. Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) juga diambil untuk perbandingan," katanya.

Menurutnya, semakan ke atas pusat kasino di Genting Highlands menunjukkan mangsa berada di premis itu pada jam 10 malam Ahad lalu sehingga jam 6 pagi kelmarin.

Katanya, pihak kasino terbabit turut mengesahkan mangsa kalah beberapa ratus dan tidak tidur di hotel di sana.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lelaki-maut-terbakar-1.185999



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my